Posting mengikut label

Saturday, November 17, 2012

Hijriah adalah paksi tamadun ummah



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1434

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAH Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah meminjamkan kepada kita umur, sehingga dapat menyambut tahun baru Hijriah 1434.

Menyebut Hijrah, ada beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Pertama, ia kan mengingatkan kita kepada Hijrah Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang penuh dengan cabaran itu. Kedua, penetapan bagi kalendar umat Islam, dan ketiga, peningkatan umur kita, iaitu suatu isyarat tentang sepatutnya mampu untuk mendatangkan keinsafan kepada kita semua.

Hijriah adalah paksi tamadun ummah. Ia berlaku sebagai gerakan dakwah dan kemudian dakwah itu pula, melahirkan peradaban demi peradaban di serata dunia.

Para pendakwahlah yang merubah wajah dunia, dari wajah hodoh jahiliah kepada wajah cantik yang berseri-seri.

Inilah dia berkat Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu.

Mengenai berkat ini, beta turut tertarik dengan tema sambutan pada tahun ini yang berbunyi: 'Umat Bertaqwa Negara Berkat'. Tema ini tidak syak lagi adalah satu pendekatan mengajak bertakwa.

Memang bertakwa itu wajib bagi setiap individu Muslim. Allah berjanji kepada orang-orang yang bertakwa akan memberi mereka jalan keluar daripada segala macam kesukaran dalam hidup ini. Bukan itu sahaja, samalah juga akan melimpahi mereka dengan rezeki yang terlintas di hati. Tambahan lagi jika takwa itu dihias dengan tawakal, maka segala-galanya akan menjadi milik mereka, berupa pertolongan dan pemeliharaan Allah (lihat Surah Ath Talaaq, ayat 2 hingga 3).

Salah satu dari ciri takwa ialah memelihara iman. Nabi Sallallahu AlaihiWasallam sentiasa menyuruh kita untuk membaharui atau menggilap iman, dengan mengucapkan banyak-banyak Laailahaillallaah, dalam makna iman itu boleh saja malap atau luntur jika tidak dipelihara.

Galakan Nabi Sallallahu AlaihiWasallam ini sayugialah jangan diambil ringan, kerana hikmahnya turut merujuk kepada keadaan yang ada sekarang, di mana semakin banyak timbul atau muncul ajaran-ajaran atau fahamanfahaman yang menyalahi akidah. Jika benar ajaran atau fahaman itu salah, atau ada unsur sesat di dalamnya, maka pembawa atau penganutnya mustahaklah bertaubat serta sekali gus mematuhi saranan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam untuk membaharui iman itu.

Turut membimbangkan kita, medan bagi penyaluran ajaran atau fahaman menyeleweng ini sangatlah luasnya. Ia tidak lagi terbatas setakat dari mulut ke mulut atau dari satu individu kepada individu lain, tetapi sudah sangat canggih dan lengkap melalui bukubuku, majalah-majalah, surat-surat khabar dan internet, seperti sahaja, keadaan itu sudah dapat dibendung lagi.

Oleh itu, beta mengingatkan, supaya kita di Brunei tidak akan terbawa-bawa untuk mencedok sebarang pemikiran atau fahaman yang menyalahi itu.

Luruskanlah pendirian dan tetapkan iman kita, kepada hanya, agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semata-mata, yang namanya adalah Islam.

Kita orang Islam mestilah sebulat-bulatnya kepada Islam itu, kerana inilah yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita tidak boleh menambahmenambah ataupun mengurangi apa-apa yang telah diperintahkan itu.

Kerana itu adalah sangat aneh dan malah tidak dapat diterima sama sekali, sebarang istilah, seperti 'Islam Liberal. 'Pluralise Ugama' dan lain-lain lagi seumpamanya.

Ini semua, tidak akan kena mengena dengan Brunei. Brunei adalah bumi Islam tulen. Insya- Allah, pegangan ini akan terus kekal turun temurun, sehingga ke akhir zaman.

Bersukut dengan saat yang bersejarah menyambut tahun Hijriah 1434 ini, marilah kita sama-sama membaharui azam, untuk terus berjasa dan berbakti kepada Islam, dengan menyumbang apa saja, demi kesuciannya.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta dengan tulus ikhlas dari hati yang jernih, mengucapkan Selamat Menyambut dan Memasuki Tahun Baru Hijriah 1434. Semoga di sepanjang tahun ini kita dengan izin Allah, akan dapat lagi meneruskan kehidupan beragama dan bernegara yang diredai-Nya dalam suasana aman, selamat lagi makmur. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: