Posting mengikut label

Monday, November 5, 2012

Titah KDYMM di Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-2 UNISSA



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-2 UNISSA pada hari Sabtu, 3 November 2012 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, waba’du.

Alhamdulillah Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun di Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-2, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Beta melihat UNISSA turut mengalami beberapa perubahan dan perkembangan, sejajar dengan usianya menjangkau lima tahun. Pada majlis Haflut Takharruj Kali Ke-2 ini, kita berpeluang pula sama-sama meraikan para graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka masing-masing. Pada kesempatan ini, beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan mereka itu.

Pada setiap masa, kita alhamdulillah turut mengeluarkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran, namun dalam masa yang sama, beta juga melihat, masih terdapat lagi ruang besar yang perlu diisi, khasnya oleh sumber tenaga manusia aliran agama.

Di sinilah cabaran turut dihadapi oleh UNISSA. UNISSA perlu berusaha keras untuk memenuhi hasrat yang beta titahkan sendiri, supaya UNISSA bukan saja mengeluarkan lulusannya, tetapi juga berupaya menghasilkan para graduan bertahap ulama.

Beta adalah mengambil berat kedudukan UNISSA, selaku sifatnya Pusat Pengajian Tinggi Islam tulen. Ia mampu untuk menjadi syiar, kerana memang, namanya sendiri saja pun adalah syiar, perlu dijaga dan digilap sentiasa sebagai syiar.

Selaku syiar, ia tidak boleh rendah dari yang lain-lain, tidak wajar ia berada di bawah sedang yang lain di atas. Hanya namanya saja pun, meletakkannya tidak boleh di bawah.

Ini bukanlah sentimen, tetapi sejujurnya sebagai hak kerana namanya. Nama (Islam) itu adalah tiada duanya, menjadi kewajipan kita menghormatinya, sama seperti menghormati, siapa yang

ampunya agama itu sendiri, iaitu Allah Subhanahu Wata’ala.

Maka tingkatkanlah prestasi, pencapaian dan malah prasarana pusat ini. Janganlah ia kurang. Kalaupun tidak lebih daripada yang lain-lain, tetapi setanding atau sebanding adalah mustahak.

Malah termasuk juga saiz tapak kawasan, UNISSA janganlah ia kurang dari pusat-pusat pengajian yang lain, sama ada yang sudah wujud, mahupun yang akan datang jika berbangkit. Adalah kurang bijak jika kita merancang hanya setakat cukup-cukup, tetapi merancanglah bagi keperluan masa depan yang panjang.

Selaku syiar, UNISSA tidak boleh malap, seperti jua Islam sendiri tidak boleh malap. Ini adalah amanah untuk kita sama-sama memelihara dan menghormatinya sehingga bila-bila.

Kepada para graduan UNISSA, beta ingin mengingatkan, supaya sentiasalah memelihara imej baik pusat ini, di samping terus menambahkan lagi kemahiran dan kualiti yang diperlukan. Peranan para pelajar bukanlah setakat ketika di dalam kampus sahaja, tetapi jua di luar kampus dengan mengongsikan ilmu-ilmu agama kepada masyarakat.

Pada tahum ini, beta telah memperkenankan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah untuk dilaksanakan di negara ini.

Sehubungan ini, beta amatlah gembira mengetahui, bahawa UNISSA telahpun memulakan kursus Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syari’ah (LL.B dan BSL) iaitu Program double degree.

Dengan ini, UNISSA tidak syak lagi dapat kita harapkan untuk turut memainkan peranan proaktif dalam usaha ke arah melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah tersebut, khasnya dalam menyediakan tenaga manusia yang diperlukan. UNISSA pada misalnya boleh bekerjasama dengan pihak berkenaan dalam memberikan pendedahan kepada pengamal undang-undang dan juga orang ramai akan maksud perintah ini.

Beta percaya, dalam pendekatan ini, ahli akademik adalah memang layak untuk menjadi tunjangnya.

Akhirnya beta ingin mengambil peluang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Ahli Majlis UNISSA, pentadbiran UNISSA di bawah pimpinan rektornya dan seluruh warga UNISSA serta ibu bapa atau penjaga graduan yang turut sama-sama hadir bagi meraikan kejayaan anak-anak mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: