Posting mengikut label

Saturday, November 10, 2012

KDYMM: Pastikan prinsip tidak memperbelah masyarakat



Laporan: Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli

BALI, REPUBLIK INDONESIA, Khamis, 8 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Mahrum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa Tema Forum Demokrasi Bali Ke-5, selaras dengan prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang turut dikongsikan dalam Program Tindakan Sepuluh Tahun Makkah di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Prinsip-prinsip ini bertujuan untuk menyediakan peluang sepenuhnya kepada semua penduduk untuk menikmati kehidupan di dalam persekitaran yang selamat serta yakin terhadap masa depan mereka," titah baginda di Sesi Perdebatan Umum, Forum Demokrasi Bali (BDF) Ke-5 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Bali, Nusa Dua di sini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa negara-negara telah melanggan prinsip-prinsip tersebut melalui penyertaan dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan kerajaan-kerajaan juga telah berusaha untuk melaksanakannya mengikut keperluan dan keupayaan rakyat.

Bagaimana pun, dalam keghairahan untuk mengamalkannya, titah baginda, negara-negara seharusnya memastikan bahawa prinsip-prinsip tersebut tidak menjadi titik perbelahan yang menggugat perpaduan masyarakat.

Baginda seterusnya menyarankan perlunya ada keseimbangan antara pelbagai kepentingan, keprihatinan dan tanggungjawab dalam masyarakat masing-masing.

"Satu cabaran lagi adalah untuk memastikan negara dapat menterjemahkan prinsip-prinsip global tersebut dengan berhati-hati agar ia bersesuaian dengan cara hidup seharian rakyat masing-masing," titah baginda.

Baginda menyatakan itulah sebab utama forum tersebut diajurkan supaya pandangan-pandangan boleh dikongsikan di kalangan para pemimpin disamping mendengar pandangan daripada pembentang-pembentang yang terkemuka.

BDF, titah baginda telah berkembang sejak empat tahun lalu dan telah menjadi satu acara yang penting di dalam kalendar serantau. Ia merupakan salah satu usaha murni Presiden Republik Indonesia untuk menggalakkan kefahaman antarabangsa secara meluas.

Dalam hubungan ini, baginda tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia atas undangan ke forum tersebut.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: