Posting mengikut label

Sunday, November 4, 2012

KDYMM: Tingkatkan prestasi, pencapaian dan prasarana UNISSA



Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 November. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) perlu berusaha keras bukan saja untuk mengeluarkan lulusannya, tetapi juga berupaya menghasilkan para graduan bertahap ulama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA bertitah demikian sempena Hafl Al-Takharruj Ke-2 UNISSA, berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Ketika bertitah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjelaskan bahawa baginda melihat UNISSA turut mengalami beberapa perubahan dan perkembangan, sejajar dengan usianya menjangkau lima tahun di mana pada Majlis Haflut Takharruj Ke-2 ini, para graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka masing-masing telah bersama-sama diraikan.

"Pada setiap masa, kita alhamdulillah turut mengeluarkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran, namun dalam masa yang sama, beta juga melihat, masih terdapat lagi ruang besar yang perlu diisi, khasnya oleh sumber tenaga manusia aliran agama," titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah mengambil berat kedudukan UNISSA, selaku sifatnya Pusat Pengajian Tinggi Islam tulen yang mampu untuk menjadi syi'ar, kerana memang namanya sendiri saja pun adalah syi'ar, perlu dijaga dan digilap sentiasa sebagai syi'ar.

Selaku syi'ar, titah baginda UNISSA tidak boleh rendah dari yang lain-lain, tidak wajar ia berada di bawah sedang yang lain di atas di mana hanya namanya saja pun meletakkannya tidak boleh di bawah.

"Ini bukanlah sentimen, tetapi sejujurnya sebagai 'hak' kerana namanya. Nama (Islam) itu adalah tiada duanya, menjadi kewajipan kita menghormatinya, sama seperti menghormati, siapa yang ampunya agama itu sendiri, iaitu Allah Subhanahu Wata'ala.

"Maka tingkatkanlah prestasi, pencapaian dan malah prasarana pusat ini. Janganlah ia kurang. Kalaupun tidak lebih daripada yang lain-lain, tetapi setanding atau sebanding adalah mustahak," titah Kebawah DYMM lagi.

Malah termasuk juga saiz tapak kawasan, titah baginda seterusnya, UNISSA janganlah kurang dari pusat-pusat pengajian yang lain, sama ada yang sudah wujud, mahupun yang akan datang jika berbangkit.

Baginda seterusnya bertitah menekankan bahawa adalah kurang bijak jika perancangan hanya setakat cukup-cukup, sebaliknya bertitah menyarankan agar merancanglah bagi keperluan masa depan yang panjang.

"Selaku syi'ar, UNISSA tidak boleh malap, seperti juga Islam sendiri tidak boleh malap. Ini adalah amanah untuk kita sama-sama memelihara dan menghormatinya sehingga bila-bila," titah baginda.


UNISSA berperanan proaktif laksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari'ah

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bertitah mengingatkan para graduan UNISSA supaya sentiasa memelihara imej baik pusat berkenaan, di samping terus menambahkan lagi kemahiran dan kualiti yang diperlukan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian sempena Hafl Al-Takharruj Ke-2 UNISSA, berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di sini.

Baginda bertitah menekankan bahawa peranan para pelajar bukanlah setakat ketika di dalam kampus sahaja, tetapi juga di luar kampus dengan mengongsikan ilmu-ilmu agama kepada masyarakat.

Menyentuh mengenai Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari'ah yang diperkenankan oleh baginda tahun ini untuk dilaksanakan di negara ini, baginda bertitah melahirkan rasa amat gembira mengetahui bahawa UNISSA telah pun memulakan Kursus Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perundangan Syari'ah (LL.B dan BSL) iaitu 'Program Double Degree'.

"Dengan ini UNISSA tidak syak lagi dapat kita harapkan untuk turut memainkan peranan proaktif dalam usaha ke arah melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari'ah tersebut, khasnya dalam menyediakan tenaga manusia yang diperlukan," titah baginda.

Kebawah DYMM seterusnya bertitah UNISSA pada misalnya boleh bekerjasama dengan pihak berkenaan dalam memberikan pendedahan kepada pengamal undang-undang dan juga orang ramai akan maksud perintah berkenaan.

Baginda juga bertitah melahirkan kepercayaan bahawa ahli akademik adalah memang layak untuk menjadi tunjangnya bagi pendekatan tersebut.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: