Posting mengikut label

Saturday, March 8, 2014

Brunei berpotensi jadi contoh pembelajaran pendidikan pra-sekolah


Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Pendidikan awal Kanak-kanak akan memberi kesan positif kepada kemajuan pembelajaran pelajar-pelajar secara amnya dan seterusnya akan membantu mempertingkatkan pencapaian sistem pendidikan negara.

Di samping itu, ianya akan mencapai objektif-objektif sosial seperti pengurangan kemiskinan, mengelakkan penderaan kanak-kanak.

Ke arah mencapai wawasan negara 2035, pelbagai inisiatif telah dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan, termasuklah menjalankan kajian pendidikan awal kanak-kanak (Early Childhood Care Education) yang dimaksudkan dengan mengambil seorang pakar yang mempunyai pengkhususan dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Yang Berhormat Awang Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid (gambar bawah) semasa sidang Majlis Mesyuarat Negara ke-10 petang tadi telah menyuarakan mengenai status kajian yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan mengenai Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Early Childhood Care Education) yang dilaksanakan dan seterusnya bertanya mengenai persediaan awal kementerian itu bagi memastikan pelaksanaan sokongan-sokongan yang dibuat dalam kajian berkenaan dibuat dalam masa yang terdekat serta perancangan/tindakan lain Kementerian Pendidikan bagi memperluaskan lagi pendidikan awal di negara ini.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan bahawa di negara ini, pendidikan kanak-kanak berumur lima tahun di peringkat Pra Sekolah telah mula disediakan oleh pihak kerajaan pada tahun 1939 secara percuma.

Walau bagaimanapun, pendidikan kanak-kanak lima tahun ini tidak diwajibkan sepertimana Akta pendidikan 2003, tetapi diwajibkan pada kanak-kanak berumur enam tahun menurut Perintah Pendidikan Wajib 2007 dan pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan untuk persekolahan kanak-kanak berumur lima tahun, dengan penyediaan pra-pra sekolah di 120 buah sekolah rendah.

Mengenai hasil dapatan kajian yang dijalankan oleh Konsultan dari International Child Resources Institute (ICRI) California, Amerika Syarikat yang memakan masa tujuh bulan yang bermula pada bulan September 2013 dan dijangka akan berakhir pada bulan April 2014, Yang Berhormat Menteri telah mengongsikan beberapa dapatan awal daripada kajian pihak konsultan.

Pertama, melalui kajian itu, Negara Brunei Darussalam mempunyai potensi untuk menjadi contoh kepada negara-negara lain di rantau ini, dari segi proses pengajaran dan pembelajaran di pendidikan Pra-sekolah.

Kedua, kajian juga menunjukkan lebih ramai guru-guru Pra Sekolah diperlukan untuk dilatih jika pendidikan kanak-kanak seawal 3-4 tahun ditawarkan kepada semua sekolah di negara ini.

Ketiga, kajian menyarankan Unit Pemedulian dan Pendidikan Awal Kanak-kanak untuk membangunkan dan mengimplementasikan kurikulum tersendiri yang berjenama Brunei dengan berlandaskan Melayu Islam Beraja dengan menyesuaikan kurikulum yang disediakan dengan keperluan relevan dalam konteks budaya dan pendidikan di negara ini.

Keempat, kajian juga menyarankan untuk meluaskan lagi penawaran latihan di peringkat universiti dan menubuhkan pusat-pusat latihan di negara ini, termasuk latihan dalam talian yang akan diiktiraf oleh institusi-institusi atau badan-badan ternama antarabangsa.

“Dalam masa yang sama, tanpa menunggu hasil kajian ini, adalah menjadi hasrat dan tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk terus berusaha memantapkan kapasiti tenaga pengajar yang mengajar kanak-kanak berumur lima tahun di kelas pra sekolah pada masa ini,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Di samping itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga mengongsikan beberapa perlaksanaan program yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan dalam mengusahakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Antaranya ialah Program Pembangunan Guru sentiasa dijalankan oleh Unit Pemedulian dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan menggunakan tenaga kepakaran tempatan dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga menghargai khidmat sukarelawan terdiri daripada belia yang sedang menunggu keputusan peperiksaan di peringkat ‘O’ dan ‘A’ level dalam membantu guru-guru Pra Sekolah dengan mengikuti latihan pendidik dan dibantu oleh guru-guru Pra Sekolah, yang telah dapat membantu keperluan kanak-kanak dari segi sosial, dan emosional.

“Selain membantu guru-guru darjah bagi kelas-kelas biasa, para sukarelawan juga membantu menjaga keselamatan kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas dengan memberikan perhatian yang diperlukan oleh kanak-kanak berkenaan.”

Tempoh jangka panjang pula ialah penyediaan program bagi meningkatkan pendidikan pra sekolah melalui latihan dalam perkhidmatan pengkhususan pendidikan terawal kanak-kanak turut dijalankan dan pembentukan kerangka kebangsaan yang berkualiti bagi pemedulian dan pendidikan kanak-kanak berumur 0 hingga 5 tahun telah bermula sejak akhir tahun 2012.


Sumber - Media Permata

No comments: