Posting mengikut label

Thursday, March 6, 2014

TPPA untungkan Amerika Syarikat, Malaysia hilang kedaulatan



Isu Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) menarik minat pelbagai pihak untuk membincangkan keburukan bakal diterima oleh mana-mana negara yang menyertai perjanjian itu. Salah seorang yang lantang menyuarakan penentangan ke atas TPPA di Jepun Profesor Nobuhiko Suto mengunjungi Malaysia hujung Februari lalu. Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Jepun dan Pakar Ekonomi Antarabangsa menentang TPPA ditandatangani oleh negara-negara membangun seperti Malaysia. Ikuti temubual Prof Nobuhiko Suto bersama wartawan Suara Keadilan Lyn Nasir mengupas isu keburukan TPPA.

S : Apakah tujuan TPPA dirunding di rantau Asia? Boleh jelaskan secara ringkas sejarah rundingan perdagangan dunia, AFTA, NAFTA dan terkini, TPPA?

FTA (Free Trade Agreement) adalah isu berkenaan tarif dagangan seperti harga, duti kastám dan sebagainya manakala TPPA membincangkan isu-isu harta intelek, perdagangan negara serta hal-hal kerajaan tempatan. la secara langsung akan membincang dan membidas tentang ‘government corporation’ serta ‘public corporation’.

Di Amerika Syarikat (AS) umpamanya, hampir kesemua syarikat dikawal oleh ‘public corporation’. Dalam konteks NAFTA pula sistem ISDS diperkenalkan iaitu syarikat asing boleh menyaman kerajaan tempatan jika berlaku sesuatu. Ini merupakan elemen baru dalam dagangan antarabangsa. Sebagai contoh rundingan dagangan antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah dipersetujui. Kabinet Korea Selatan merungut akibat rundingan FTA ini kerajaan tempatan Korea terpaksa menggubal semula rang undang-undang serta peraturan untuk disesuaikan dengan kehendak syarikat asing.

Bermula daripada mesyuarat APEC di Yokohama, delegasi dari Indonesia datang untuk bertemu dan menentang konsep TPPA. Hasil daripada informasi yang kami terima, Indonesia mengatakan jika menyokong TPPA akan mengubah institusi serta kebudayaan sesebuah negara. Kami selepas itu merumuskan bahawa kebanyakan negara memang tidak bersetuju dengan TPPA.

S: Apakah keperluan AS mewujudkan TPPA?

AS dibebankan dengan perbelanjaan tinggi di tahun 1970an dengan pembabitan mereka dalam perang Vietnam. Kini AS masih membebankan kerajaannya dengan perang Iraq serta penglibatan di Afghanistan. Bagi AS, ianya adalah penting untuk mengaut keuntungan di rantau ekonomi yang membangun seperti Asia Pasifik. TPPA asal ditandatangani antara AS, New Zealand, Brunei serta Singapura dan sekarang AS ingin melebarkan sayap dominasi ekonominya ke negara-negara Asia yang lain seperti Malaysia.

S : Mengapakah banyak negara rantau Amerika Selatan menentang perjanjian perdagangan TPPA?

Pada mulanya AS hanya dilihat mahu mengembangkan dangangan di antara negara-negara TPPA ini. Tetapi akhirnya AS cuba untuk mengubah dan menggubal institusi sesebuah negara itu bagi membolehkan syarikat dari AS ini bertapak serta mengaut untung. AS melihat syarikat kawalan kerajaan (di banyak negara Asia) sebagai penghalang dan ingin terus menukarkan peraturan serta strategi pembangunan sesebuah negara itu mengikut kehendaknya sendiri.

S : Adakah produk pertanian negara kecil Asia mampu berhadapan produk pertanian negara maju dengan subsidi yang tinggi setelah menandatangani TPPA?

Ramai beranggapan bahawa pasaran AS adalah terbuka dan senang ditembusi tetapi ini hanya mitos semata-mata. Begitu sukar untuk menembusi pasaran agrikultur di AS. AS mengawal ketat serta subsidi tinggi diberikan oleh kerajaannya dan dilihat mustahil untük negara-negara kecil (yang menandatangani) TPPA mengeksport produk mereka untuk menembusi pasaran agrikultur mereka.

S : Adakah ubat-ubatan generik masih dibenarkan dalam rejim ekonomi TPPA?

Kebanyakan negara seperti Jepun dan Malaysia mempunyai perubatan kerajaan yang mana rakyat yang berpendapatan rendah dikenakan caj murah untuk perubatan dan pembedahan. AS tidak mempunyai skim perubatan dibiayai oleh kerajaan dan rakyatnya terpaksa menanggung beban dengan kos perubatan yang teramat tinggi.

Secara total TPPA akan memusnahkan sistem penjagaan kesihatan sepertimana di Malaysia dan Jepun. AS juga akan memperbaharui harta intelek atau paten bagi uhat-ubatan. Sekarang kebanyakan negara yang mengeluarkan ubatan generik menggunakan paten yang sudah lama atau tidak akan diperbaharui. Kos ubat rawatan HIV di AS adalah lebih kurang USD7000 untuk setahun yang mana ubat yang sama di India hanya berjumlah USD300 setahun. TPPA akan mengubah dasar harta intelek sama sekali dan ini langsung tidak masuk akal kerana secara langsung akan meningkatkan kos serta harga barangan.

S : Benarkah syarat TPPA akan berlainan di setiap negara seperti mana yang cuba digambarkan oleh kerajaan Malaysia?

Tujuan utama TPPA sebenarnya adalah untuk memecahkan dominasi institusi serta peraturan sesebuah negara tersebut supaya syarikat-syarikat AS dapat memonopoli ekonomi tempatan yang menandatangani TPPA.

TPPA digubal hanya untuk dua agenda iaitu memberikan peluang kepada syarikat kecil dan sederhana AS untuk berdagang dengan negara TPPA yang lain. Agenda seterusnya adalah untuk menyediakan gaji industri yang tinggi terutama dalam industri harta intelek yang mana dengan memanjangkan tempoh 50 tahun paten harta intelek kepada 70 tahun, contohnya. Secara langsung AS ingin mengawal serta menggubal syarat harta intelektual di negara-negara TPPA ini.

S : Boleh berikan contoh perjanjian dagangan dengan blok Barat yang telah memudaratkan negara kecil?

Seperti yang diperkatakan lebih awal, AS akan menggubal dan mengawal dasar peraturan TPPA ini mengikut kepentingan mereka. la secara langsung akan menidakkan hak negara-negara kecil TPPA yang lain. Setiap negara akan dibelenggu dengan masalah polisi TPPA ini dengan mengambil contoh Korea Selatan.

Syarikat agrikultur AS ingin menjual produk mereka ke sekolah-sekolah di Korea Selatan akan tetapi kebanyakan penuntut lebih gemar membawa bekal dari rumah atau pun berkongsi memasak makanan yang menggunakan bahan mentah tempatan. Tetapi ini akan bercanggah dengan polisi TPPA yang mana Korea Selatan harus memberi. peluang dan tidak mendiskriminasikan barangan import dari AS. Ia merugikan Korea Selatan dan menutup mata penuntut untuk tahu lebih lanjut tentang barangan tempatan.

S : Adakah sesebuah negara kecil akan kehilangan kedaulatan dengan menandatangani perjanjian TPPA?

Perundingan TPPA ini perlu lebih terbuka, telus serta transparen agar semua yang terlibat benar-benar faham akan perjanjian tersebut. Ahli politik serta rakyat sesebuah negara perlu terlibat secara langsung dan tidak hanya segelintir pihak sahaja alam perundingan itu. Malah ahli kongres AS sendiri tidak menyokong penuh rundingan TPPA ini kerana ianya tidak telus dan terbuka.

S : Pernahkah berlaku kes syarikat asing menyaman negara kecil yang melanggar perjanjian dagangan dengan negara Barat? Apakah keputusan saman seumpama itu?

Salah satu kes tipikal adalah berkenaan isu tembakau, kebanyakan negara-negara (menandatangani TPPA) cuba menghalang penjualan tembakau dan ini akan menyebabkan syarikat-syarikat gergasi tembakau (AS) akan cuba menyaman kembali negara-negara kecil ini kerana tidak memberikan ruang untuk mereka menjual produk tembakau.

S : Pendapat peribadi anda, adakah Malaysia perlu menandatangani perjanjian TPPA?

Dibandingkan Malaysia dengan Jepun, isu TPPA ini akan dibincangkan dengan transparen terlebih dahulu di dalam Parlimen dan perlu mendapat sokongan Parlimen. Di Malaysia, ianya terpulang kepada Perdana Menteri, jika PM Malaysia menandatangani TPPA, tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. TPPA harus dikaji dan diselidik dengan lebih teliti sebelum sebarang persetujuan diambil.


Sumber - Suara Keadilan, 4 Mac 2014

No comments: