Posting mengikut label

Monday, March 10, 2014

MPPD Menyokong Hukun Kanun Jenayah

LIMBARUH HIJAU,   28 Februari 2014 : Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah Suku Tahun Pertama Tahun 2014 (MPPD) menyokong sepenuhnya empat usul yang dibentangkan dalam majlis itu.

1- Usul pertama  ialah mengambil persetujuan dan ketetapan menyokong sepenuhnya Kanun Jenayah  Syariah yang telah diwartakan, dan menggesa agar kerajaan menyediakan sarana yang selengkapnya bagi pelaksanaan  kanun berkenaan tersebut mencapai matlamat tuntutan Islam yang sebenarnya. Perlunya  ada persiapan yang sempurna dan rapi daripada aspek kerangka perundangan, pengamal dan pelaksana bagi menjamin keutuhan syariah itu sendiri, dan menekankan peri mustahaknya kerajaan melakukan pencegahan terhadap apa jua perkara yang boleh mendorong masyarakat melakukan jenayah dan maksiat, umpamanya menutup pusat kegiatan maksiat, memudahkan urusan berpoligami dan perkahwinan, meningkatkan ekonomi dan pendapatan masyarakat.

2- Masalah pengangguran juga tidak terlepas daripada perbincangan.

MPPD juga menyokong usul supaya pihak kerajaan mencari jalan dan ikhtiar yang sewajarnya pada kadar segera bagi mengatasi masalah pengangguran di Negara ini. MPPD melihat bahawa masaalah pengangguran itu jika dibiarkan berterusan ianya boleh membawa kepada ancaman kepada kestabilan Negara. Dengan itu MPPD mencadangkan supaya pihak yang berkenaan akan dapat menimbang bagi pemberian zakat dibawah asnaf fakir miskin kepada para penganggur.

3- Kejadian banjir yang sering melanda beberapa kawasan rendah di Tutong, khususnya di Mukim-Mukin  Lamunin, Mukim Tanjung Maya, Mukim Rambai dan Mukin Ukong, juga menarik perhatian peserta untuk membincangkannya. MPPD pada hari itu juga    mengambil ketetapan  menggesa pihak yang berkenaan supaya mengambil tindakan perlu dan segera bagi mengatasi banjir berkenaan supaya tidak berulang dengan membuat perancangan secara menyeluruh; sekiranya perlu pihak berkenaan hendaklah  menyediakan peruntukan yang besar waimapun mencecah ratusan juta tapi dapat memberikan keuntungan atau faedah kepada penduduk yang terlibat selain juga kepada pihak kerajaan.


4- Dalam bidang pendidikan, MPPD juga turut menyentuh mengenai dengan guru sandaran yakin guru yang diperbantukan bagi mengganti guru-guru tetap yang bercuti kerana cuti bersalin, pegawai kontrak yang bersalin selain pegawai-pegawai pelajaran yang bercuti kerana mengikuti latihan dalam perkhidmatan. Sebagai kakitangan yang diperbantukan, mereka juga menginginkan jaminan masa depan seperti pegawai-pegawai yang telah ditetapkan dalam jawatan, namun penentian mereka beberapa tahun yang belum menjanjikan sesuatu yang menggembiranya tentunya menghampakan mereka. Walaupun mereka guru diperbantukan tetapi tugas dan tanggungjawab mereka tetap sama memberikan perkhidmatan yang sama. Dengan itu majlis pada hari tersebut juga turut mengambil ketetapan mendesak pihak yang berkenaan khususnya Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam mengambil langkah perlu supaya mereka yang sudah beberapa tahun diperbantukan dan layak diberikan jawatan tetap akan segera ditetapkan jawatan mereka selaras dengan matlamat dan hasrat negara untuk mengurangkan pengangguran , apalagi apabila melihat Wawasan Negara 2035 yang menjadikan negara maju.

No comments: