Posting mengikut label

Tuesday, March 18, 2014

Hina undang-undang Syari’ah akan dikenakan tindakan


Oleh Normazlina M.D & Ak Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Perbuatan mencemuh Perintah Hukum Kanun Jenayah Syari’ah 2013 dan perbuatan menakut-nakutkan orang ramai dari memberikan sokongan terhadap Perintah Kanun Jenayah Syari’ah boleh dilihat sebagai dua perbuatan yang berbeza.

Ia boleh ditangani secara berasingan melalui peruntukan undang-undang sedia ada oleh agensi-agensi berkenaan seperti Penguat kuasa Ugama, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, AITI, dan sebagainya.

Perkara tersebut telah diterangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman (gambar) semasa menjawab persoalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd Shafiee bin Ahmad mengenai tindakan pihak berkenaan terhadap individu atau kumpulan yang mencemuh serta menakutkan orang ramai tentang undang-undang Allah ini sama ada melalui media sosial elektronik, mahupun surat-surat khabar di luar dan di dalam negeri.

Menurut Yang Berhormat Menteri lagi, dari segi perspektif Perintah Kanun sebagaimana yang telah diberigakan secara meluas di negara ini, Perintah Kanun akan dikuatkuasakan dalam tiga fasa dan dalam fasa pertama, ia akan menangani perbuatan mencemuh yang sedang dibincangkan.

“Pada masa ini, Perintah Hukum Kanun Jenayah Syari’ah di Negara Brunei Darussalam masih dalam tempoh pemberigaan. Malah pemberigaan ini mungkin sahaja berlanjutan jika ia diperlukan kerana tujuannya adalah untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada orang ramai dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

“Perintah Kanun merupakan undang-undang jenayah Syari’ah yang bersumberkan dari Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Perbuatan mencemuh perintah Kanun boleh dianggap menghina ugama Islam dan si pelakunya boleh disiasat dan didakwa,” jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Jika hasil siasatan bahawa si pelaku disahkan melakukan penghinaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam kedudukannya sebagai ketua ugama rasmi atau terhadap Majlis Ugama Islam dalam kedudukannya sebagai badan yang bertanggungjawab bagi menyembahkan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengenai ugama Islam, maka si pelaku boleh didakwa sama ada di bawah Akta yang berjalan pada sekarang ini, atau di bawah Perintah Kanun Jenayah Syari’ah ini yang akan dilaksanakan nanti.

Perbuatan mencemuh perintah Kanun ini dikhuatiri boleh membawa si pelakunya jika ia seorang Muslim kepada melakukan kesalahan Irtidad apabila Hukum Kanun Jenayah Syari’ah dikuatkuasakan sepenuhnya nanti. Jika si pelakunya bukan seorang muslim, maka kesalahan yang sebanding dengan kesalahan Irtidad boleh dikenakan terhadapnya.

Perbuatan mencemuh Perintah Kanun atau perbuatan menakut-nakutkan orang ramai dari memberikan sokongan terhadap Perintah Kanun boleh memberikan bidang-bidang berkuasa seperti Penguat kuasa ugama, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan dalam Negeri, AITI, dan sebagainya untuk menjalankan siasatan di bawah mandat atau portfolio masing-masing.

“Begitu jua halnya dengan perbuatan mencemuh perintah Kanun boleh menyebabkan imej negara terjejas dan boleh mempengaruhi dan mengelirukan orang ramai. Akibat perbuatan ini, ianya boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara. Tindakan terhadap si pelaku boleh diambil tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.”

Menurut Yang Berhormat Pengiran Dato lagi, perbuatan menakut-nakutkan orang ramai dari memberikan sokongan terhadap Perintah Kanun, maka kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei bagi menyiasat perbuatan tersebut amatlah dihargai.

Manakala kesalahan yang dilakukan di luar negara juga boleh didakwa di dalam negara kita sendiri tetapi ianya memerlukan agensi-agensi yang berkenaan di negara terbabit untuk menyerahkan tertuduh didakwa menurut undang-undang di negara ini.

Sebagai kesimpulannya, perintah kanun merupakan Undang-undang Jenayah Syari’ah yang boleh memberikan kesejahteraan dan keamanan jika peruntukannya dapat difahami dan dihayati dengan baik oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.


Sumber - Media Permata

No comments: