Posting mengikut label

Monday, March 10, 2014

HAWA NDP teruskan program Jejak Kasih


Oleh Hajah Saemah Zulkefli

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) hari ini meneruskan Program Jejak Ehsan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-30 dengan mengunjungi kediaman seorang warga emas di kawasan STKRJ Kampung Mata-Mata Gadong.

Warga emas itu Dayang Kasum binti Sarudin, 67, merupakan balu yang pada masa ini tinggal bersama dua anak lelakinya, Awang Ibrahim bin Mohamad, 42, dan Awang Johan Idris, yang mengalami sakit mental dan tidak sihat, selain ibu tua itu juga dalam keadaan uzur tidak dapat berjalan dan hanya boleh bergerak secara berengsot-engsot.

Anaknya, Awang Ibrahim tidak mempunyai pekerjaan tetap, hanya kadangkala menerima upah membersihkan masjid di kampung tersebut.

Menurut Awang Ibrahim, adik beradiknya yang lain tinggal di rumah masing-masing setelah berumah tangga dan kadang-kadang ada juga datang melawat menghantarkan makanan. Katanya mereka berasal daripada Kampung Saba Kampung Air dan telah lama berpindah ke kediaman yang sekarang.

Rombongan daripada Parti Pembangunan Bangsa (NDP) berkunjung
ke rumah Dayang Kasum di STKRJ Kampung Mata-Mata Gadong
Menurutnya ibunya menerima gaji pencen tua $250 sebulan, selain itu mereka juga ada menerima bantuan berbentuk makanan daripada JAPEM, dan dia sendiri juga menerima bantuan kebajikan $200 sebulan, cuma katanya dia tidak dapat melakukan kerja berat ekoran kadangkala mengalami sesak nafas.

Projek Jejak Ehsan yang HAWA NDP giatkan sejak tahun 2006 itu adalah untuk meningkatkan rasa keprihatinan terhadap warga emas, selain berhasrat membantu menggembirakan perasaan mereka sebagai orang tua terutama yang memerlukan termasuklah mereka yang dilaporkan terabai, serta bagi menyokong hasrat kerajaan terutama sekali JAPEM dalam sama-sama memeduli warga emas di negara ini.

Rombongan telah diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat, dan disertai sama oleh Naib Presiden NDP Daerah Brunei Muara, Awang Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, ahli Badan Penasihat Awang Haji Omar Tamin, Ketua Biro Pendidikan NDP, Dayang Dr Hajah Ra’yah binti Haji Mohd Ali, Ketua Biro Kemasyarakatan NDP, Dayang Hajah Asmah binti Haji Pulut dan ahli-ahli Exco HAWA NDP serta ahli-ahli wanita lainnya dalam pertubuhan itu.

Selain itu, Isnin lalu, rombongan HAWA NDP juga telah turut melawat warga emas, Dayang Nur Napisah Abdullah yang sedang dirawat di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait setelah dilaporkan terpaksa berlapar beberapa hari ekoran keadaanya yang uzur dan tiada siapa merawatnya.

Semasa kunjungan itu rombongan HAWA NDP turut menghulurkan sedikit bantuan berupa lampin pakai buang, dan makanan serta minuman.


Sumber - Media Permata

No comments: