Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesepuluh Majlis Mesyuarat Negara pada hari Khamis, 4 Jamadilawal 1435 Hijrah bersamaan 6 Mac 2014 Masihi bertempat di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil‘aalameen, Wabihee Nasta‘eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa ‘alihee Wasahbihee Ajma’een. Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah Istiadat Pembukaan Rasmi bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesepuluh Majlis Mesyuarat Negara berlangsung dengan sempurna.
Persidangan Majlis Mesyuarat Negara sudah 10 tahun bersidang sejak ianya diwujudkan semula. Di dalam tempoh tersebut banyaklah isu dan persoalan yang timbul untuk dibincang atau dibahaskan. Namun semenjak dari tempoh itu, kecenderungan banyak berkisar menimbulkan isu-isu yang berkaitan dengan kemudahan dan kesejahteraan para pegawai dan kakitangan Kerajaan sahaja berbanding cuma sedikit tumpuan diberikan kepada kesejahteraan para pekerja di sektor swasta.
Pada hal, bagi hemat Beta melalui perkembangan dan produktiviti disektor swasta itu dapat diharapkan untuk menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi di negara ini. Atas anggapan inilah Kerajaan Beta, sentiasa melaksanakan berbagai inisiatif bagi memperbaiki lagi iklim pelaburan dan perniagaan di negara ini sambil mempastikan kesejahteraan pekerja-pekerja tempatan di sektor swasta adalah mendapat perhatian sewajarnya.
Antara langkah-langkah ke arah itu ialah Penubuhan Tabung Amanah Pekerja, Skim Persaraan Caruman Tambahan, perwujudan Skim Tabungan Perumahan dan sebagainya. Malahan, langkah Kerajaan juga telah mengemaskinikan dan mengurangkan kadar cukai eksais bagi beberapa kenderaan yang berkapasiti rendah untuk tujuan mengurangkan kos sara hidup dan juga untuk faedah golongan yang berpendapatan rendah. Dengan trend perniagaan dan perdagangan, dunia hari ini, para belia kita sangatlah perlu meningkatkan diri sendiri dari segi kemahiran dan ilmu pengetahuan dengan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi.
Insya-Allah, mereka akan menjadi lagi lebih kreatif dan mampu untuk bersaing. Oleh itu, perbahasan di Dewan ini perlulah juga untuk turut memikirkan isu-isu strategik seperti ini. Dalam hal ini, Beta gembira dengan usaha yang diambil oleh Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi lain dalam Kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap literasi bisnes kepada para belia dan penuntut dengan menerapkan unsur-unsur entrepreneurship di dalam kurikulum pendidikan di negara ini. Memang sudah tiba masanya untuk negara melahirkan ramai lagi ahli perniagaan yang berjaya di kalangan anak-anak tempatan.
Negara kita, Alhamdulillah, mempunyai advantage yang sangat unik. Advantage itu ialah dalam bentuk keamanan dan kesejahteraan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Sewajarnyalah, keamanan dan kesejahteraan itu terus dipupuk dan dipelihara demi pembangunan kerana tanpa keamanan, pembangunan tidak akan dapat berjalan dengan lancar dan baik. Kita mustahak membangun tanpa semata-mata bergantung kepada hasil eksport minyak dan gas kita, kerana walaupun Tabung Kewangan Antarabangsa IMF, meramalkan pertumbuhan ekonomi global yang leibh baik bagi tahun 2014, namun masih sahaja terdapat risiko yang boleh menjejaskan ekonomi di mana saja. Tidak terkecuali negara-negara di rantau ini.
Bagi Negara kita, Kerajaan akan terus mengukuhkan stabiliti makroekonomi melalui perbelanjaan berhemah yang mengutamakan value for money dan accountability. Di samping itu, usaha untuk mempelbagaikan aktiviti perekonomian juga adalah menjadi keutamaana Negara. Maka untuk itu perkhidmatan awam perlulah melipatgandakan usaha bagi menjadikan Negara ini probisnes terutama untuk membantu perusahaan-perusahan kecil dan sederhana.
Sejak dua tahun kebelakang ini, pelaksanaan Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 adalah berjalan dengan rancaknya. Beta dimaklumkan bahawa keseluruhan Peruntukan Rancangan Kemajuan Negara Ke10 yang berjumlah $6.5 bilion itu, telah pun diagih-agihkan untuk berbagai projek kemajuan. Namun pada setiap tahun, perbelanjaan adalah melebihi Anggaran Peruntukan. Maka kerana itu, Beta telah pun memperkenankan sokongan Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 bagi satu tambahan kepada harga rancangan berjumlah $1.65 bilion. Peruntukan tambahan ini adalah untuk membiayai projek-projek baru yang dipohonkan oleh kementerian dan jabatan.
Adalah menjadi dasar Kerajaan Beta untuk terus meningkatkan aktiviti perekonomian di negara ini, termasuk berusaha bagi menarik pelaburan langsung asing. Bagi maksud tersebut, pihak Kerajaan telah pun menyediakan tapak-tapak yang sesuai untuk pelaburan besar meliputi bagi kemudahan infrastruktur yang diperlukan. Bagaimanapun, setiap perancangan itu adalah memerlukan pelaksanaan. Jika pelaksanaan itu tersasar atau tidak menepati jangka masa yang ditentukan maka puncanya hendaklah dikenal pasti dan difikirkan penyelesaiannya.
Dalam hubungan ini, penubuhan satu unit baru telah pun Beta perkenankan di Jabatan Perdana Menteri. Ia akan berperanan bagi mengenal pasti bidang-bidang utama yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan melalui agensi-agensi tertentu. Ia juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi tersebut dalam merangka perancangan, memantau pelaksanaan dan juga menawarkan khidmat nasihat sertabantuan dari masa ke semasa.
Pada bulan Januari yang baru lalu kita telah berhadapan dengan cuaca hujan yang turut menjejaskan sebahagian rakyat dan penduduk di Negara ini. Sebagai respons spontan, kerajaan Beta telah pun menyediakan peruntukan sejumlah $68 juta khusus bagi projek-projek metagasi banjir di kawasan-kawasan yang terjejas. Di samping itu, peruntukan tambahan juga sebanyak $35 juta telah disediakan bagi projek-projek membaik pulih prasarana awam dan aset-aset Kerajaan yang rosak akibat banjir dan tanah susur.
Satu lagi projek utama Negara ialah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah. Pelaksanaan undang-undang ini juga adalah satu aspek kemajuan besar bukannya seperti yang didakwa oleh setengah pihak sebagai kolot atau berundur ke belakang. Di sini, ingin Beta menyebut tentang perpaduan. Inilah masanya kita orang-orang Brunei perlu mempamerkan perpaduan kita kerana perpaduan itu adalah benteng dan kekuatan semula jadi.
Usahlah dihiraukan sangat apa orang lain kata tentang kita di Brunei kerana mereka itu bukan cukup tahu sebagaimana kita sendiri tahu tentang diri kita dan Negara sendiri. Tetapi yang penting kita sendiri selaku orang Brunei mestilah benar-benar menjadi orang Brunei apabila kita bersatu, maka bersatulah selaku orang-orang Brunei. Bersatu tanpa mengira apa jua suku kaum dan pegangan. Bernegaralah selaku orangorang Brunei bernegara. Kita berkerajaan maka berkerajaanlah selaku orang-orang Brunei berkerajaan. Kita beraja atau berketua maka beraja atau berketualah selaku orang-orang Brunei beraja atau berketua. Iaitu dengan penuh taat setia tanpa berbelah bahagi.
Inilah tanggungjawab kita semua atas nama rakyat Brunei Darussalam iaitu bersatu padu untuk mendukung dan menyokong pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah. Kepada mereka yang di luar Brunei pula tolonglah hormati kami sebagaimana kami menghormati mereka.
Akhirnya, Beta berharap Majlis Mesyuarat Negara Musim Kesepuluh ini akan dapat berlangsung dengan licin dan sempurna serta mampu untuk mencapai objektifnya.
Sekian. Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment