Posting mengikut label

Monday, March 10, 2014

Rakyat Brunei di luar negara juga tertakluk kepada Kanun Syariah


Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Sesi soal jawab pada Taklimat Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 yang diadakan hari ini, berkisar tentang persoalan kepada siapa perintah tersebut akan dikenakan, kaedah pembuktiannya dan jenis kesalahan-kesalahan yang akan dikenakan sama ada Hadd, Qisas, Diyat dan Arsy serta kesalahan-kesalahan am.

Salah seorang peserta bertanya; “Bagi kes pembunuhan yang berlaku di luar negara Brunei, antara seorang yang beragama Islam yang membunuh seorang warga asing misalnya di United Kingdom, di manakah pelaksanaan hukuman yang akan dilakukan?”

Kepada soalan tersebut, ahli panel taklimat menjelaskan bahawa bagi sesiapa saja rakyat Brunei yang melakukan satu kesalahan jenayah di luar negeri seperti kes pembunuhan di luar negara, boleh sahaja dibicarakan di dalam negeri.

Dalam perkara Pengenaan (Application) Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 menyatakan; “Setiap orang yang boleh dibicarakan atas suatu kesalahan di bawah Perintah ini yang dilakukan di luar Negara Brunei Darussalam hendaklah diperlakukan menurut peruntukan-peruntukan Perintah ini bagi mana-mana perbuatan yang dilakukan di luar negara dengan cara yang sama seolah-olah perbuatan tersebut telah dilakukan di dalam Negara Brunei Darussalam.

Bagaimanapun ahli panel menjelaskan; “Ini adalah salah satu aliran yang dapat diketengahkan, namun isu bidang kuasa yang bertentangan boleh timbul kerana dalam situasi ini, pihak United Kingdom akan mempunyai hak untuk mengikuti undang-undang yang berkuat kuasa di sana dan sebaliknya.”

Sesi taklimat hari ini dianjurkan oleh Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri. Ia berlangsung di Pusat Da’wah Islamiah di sini dan dihadiri seramai kira-kira 250 peserta.

Sementara itu seorang lagi peserta mengemukakan pertanyaan; apakah hukum orang warga Indonesia yang menikahkan rakyat Brunei.

Dalam perkara ini, ahli panel menyatakan bahawa ia adalah salah satu kesalahan tapi tidak terkandung di bawah Hukum Kanun Jenayah Syariah.

Semasa sesi taklimat hari ini, pihak panel juga menjelaskan tentang kekeliruan pengertian seorang saksi yang memenuhi syarat-syarat syahid. Seorang Saksi Syahid haruslah seorang lelaki yang ‘akil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan boleh melihat.

Sehubungan dengan itu, jika kes rogol atau zina, 4 orang saksi syahid lelaki haruslah melihat melalui mata mereka sendiri dan bukan melalui CCTV seperti mana soalan yang dibentangkan dari peserta yang bertanyakan bahawa adakah saksi itu syahid jika sekiranya ia menyaksikan kejadian rogol atau zina dari CCTV.

Menurut ahli panel, saksi tersebut tidak dikira menepati saksi syahid kerana kejadian itu hanya dilihat melalui skrin dan bukan secara langsungnya.

Sesi taklimat Taklimat Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 akan terus diadakan dan beberapa usaha akan dilakukan bagi menyampaikan taklimat-taklimat kepada rakyat Brunei yang berada di negeri-negeri lain seperti United Kingdom.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, bolehlah melayari www.kanunsyariah.gov.bn.


Sumber - Media Permata

No comments: