Posting mengikut label

Sunday, March 2, 2014

Brunei mampu jadi model hudud


MOHD AZLIM ZAINURY

MARANG – Pas Terengganu yakin Brunei Darussalam mampu menjadi model perlaksanaan undang-undang syariah kepada negara Islam yang lain.

Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Terengganu, Yahaya Ali berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada komitmen dan kesungguhan pemerintah negara itu khususnya Sultan Brunei sendiri walaupun terdapat halangan.

"Ini sepatutnya menjadi iktibar kepada Menteri Besar Terengganu bahkan Perdana Menteri Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, kelmarin, sekembalinya dari lawatan empat hari ke negara jiran itu bersama-sama Adun dan Ahli Parlimen Pas Terengganu.

Adun dan Ahli Parlimen Pas Terengganu diketuai Pesuruhjaya Pas Terengganu,
Satiful Bahri Mamat (empat, kiri) dan Yahaya (empat, kanan) bergambar bersama
ketika melawat Brunei
Yahya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Marang berkata, dalam perbincangan dengan pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) dan Jabatan Mufti Brunei, mereka mengakui menjadikan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Pas sebagai rujukan.

"Maka tidak timbul apa yang digubal pada waktu itu sebagai undang-undang hudud Pas yang dituduh oleh Umno," katanya.

Beliau berkata, perancangan pelaksanaan undang-undang Islam yang diputuskan kerajaan berkenaan dilakukan secara berperingkat iaitu selepas enam bulan pertama diikuti dengan 12 bulan dan seterusnya selepas 24 bulan.

Menurutnya, radio dan televisyen di Brunei juga rancak memberikan kefahaman melalui siaran khas mengenai undang-undang Islam sebelum ia dilaksanakan mulai April ini termasuk melibatkan pegawai Unissa untuk menerangkan perkara itu kepada rakyat mereka.

"Apa yang penting sebagai umat Islam, kita bukan saja mesti yakin kepada undang-undang Pencipta, tetapi pemerintah mesti mempunyai keazaman politik (political will) dan memulakan usaha dengan tidak mencari pelbagai ulasan untuk tidak melaksanakannya.

"Perkara itu amat penting kerana dalam masa sama masyarakat di negara kita semakin menderita dengan pelbagai jenayah yang mengancam ketenteraman rakyat ," katanya.


Sumber - Sinar Harian

No comments: