Posting mengikut label

Monday, March 24, 2014

Sasaran 60% penghasilan beras sendiri tidak mustahil


Oleh Sim Y. H. & Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Kadar penghasilan beras pada masa ini adalah kira-kira lima peratus sahaja namun begitu dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan termasuk pengukuhan infrastruktur penghasilan padi, kadar penghasilan itu akan dapat ditingkatkan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Ja’afar mengenai kadar pengeluaran padi negara semasa Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang untuk hari ke-10, hari ini.

Yang Berhormat Pehin akui bahawa jumlah import bagi beras meningkat namun begitu peningkatan itu bukan disebabkan oleh kurang upaya negara menghasilkan beras tetapi disebabkan keperluan penduduk yang meningkat dari tahun ke setahun dan juga bagi memastikan negara mempunyai bahan-bahan berkenaan melebihi dari asasnya.

Mengulas mengenai sasaran 60 peratus sara diri penghasilan beras dapat dicapai menjelang 2015, Yang Berhormat Pehin menyatakan dan mengakui perkara itu adalah satu perkara yang sukar tetapi tidak mustahil untuk dicapai.

“Setakat ini daripada 2009, kita mula program sara diri kepada 2012-2013, kita dapat meningkatkan dalam lima peratus sahaja tahap sara diri. Walau bagaimanapun dalam beberapa tahun yang akan datang beberapa usaha telah dilakukan untuk meningkatkan keupayaan tersebut sama ada dari peringkat penyediaan ladang kepada peringkat pengeluaran hingga ke peringkat selepas tuai.”

Oleh itu, pihak kementerian berusaha untuk mempersiapkan beberapa prasarana yang lebih kukuh supaya ia akan lebih mantap dan lebih berterusan di mana penyediaan ladang melibatkan banyak penyediaan infrastruktur ladang-ladang yang sesuai dan juga mengajar para peladang mengenai penyiapan ladang-ladang yang lebih sesuai untuk digunakan bersawah.

Sementara itu berhubung dengan pengeluaran, para peladang juga akan diberikan latihan dan mengenal beberapa jenis atau variety padi yang lebih tahan dan mantap untuk digunakan di Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu di peringkat lepas tuai pula, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa usaha dilaksanakan bagi menyiapkan kilang-kilang pengisaran dan pengeringan yang pada masa ini dalam proses untuk disiapkan di kawasan Wasan, yang boleh menampung keupayaan mengisar negara.

Dengan usaha-usaha yang dilaksanakan di peringkat-peringkat berkenaan, Yang Berhormat Pehin menyatakan harapan bahawa dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang, negara akan mampu mencapai jika bukan kadar 60 peratus tetapi lebih daripada lima peratus.

Sementara itu, menjelaskan persoalan yang dikemukakan oleh Majlis Mesyuarat Negara dari Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad berhubung dengan Sungai Ingei, Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya berkata kawasan Sungai Ingei mempunyai beberapa keunikan dan kementeriannya khususnya Pusat Nadi Borneo mempunyai perancangan serta mengenal pasti bahawa kawasan berkenaan akan dijadikan sebagai kawasan perlindungan hidupan liar Ulu Belait (Ulu Belait Wildlife Sanctuary) di mana pusat bagi kawasan perlindungan itu adalah di Sungai Ingei.

Beliau menerangkan lagi bahawa penggunaan kawasan itu dan kegiatan yang boleh dikendalikan adalah terhad dan tidak boleh dimasuki secara bebas. Walau bagaimanapun untuk kegunaan penyelidikan dan eko-pelancongan secara terhad, akan disediakan zon bufer atau kawasan-kawasan yang boleh menerima lawatan daripada pengunjung supaya tidak mengganggu kehidupan liar di kawasan berkenaan.


Sumber - Media Permata

No comments: