Posting mengikut label

Tuesday, August 14, 2012

Dayang Alimah mengharap sinar Syawal


Oleh Abdul Rahim Haji Ismail


TUTONG, 12 Ogos - Warga emas, Dayang Alimah Haji Akop, 64, mengharapkan bantuan daripada pihak berkenaan untuk Syawal yang lebih meriah tahun ini.

Beliau yang hanya mendapat pencen tua sebanyak $250 dan elaun fakir miskin $100 sebulan, mengatakan pendapatan itu tidak mencukupi untuk persediaannya bersama tiga orang anaknya dan dua orang cucu menyambut Syawal yang bakal menjelang tiba.

Ini kerana selepas ditolak sewa rumah, wangnya hanya berbaki $110 dan tidak mencukupi untuk perbelanjaan sebulan apa tah lagi membeli barangan keperluan Hari Raya, katanya.

Dayang Alimah berkata semenjak suaminya meninggal dunia, beliau bersama tiga orang anaknya terpaksa hidup menyewa kerana tidak mempunyai kediaman, kecuali sebidang tanah yang tidak terusaha olehnya di Kampung Keriam.

Ketika ditanya mengenai sama ada beliau pernah membuat permohonan untuk mendapatkan rumah bantuan, Dayang Alimah mengakui pernah membuat permohonan itu dan telah didatangi oleh pegawai dari Jabatan Tanah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sehingga kini beliau masih menunggu tindakan lanjut jabatan berkenaan.

Beliau berharap agar ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepadanya supaya dapat membantu meringankan beban yang ditanggungnya bersama seorang anak perempuan yang tidak mempunyai pekerjaan dan dua orang cucunya.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi anak beliau Norjiah Suhaili di talian 8667093.

Dipetik dari - Media Permata Online

No comments: