Posting mengikut label

Friday, August 24, 2012

SAMBUT KETIBAAN SYAWAL DENGAN LAUNGAN AL-QURAN


LIMBARUH HIJAU , 1 SYAWAL 1433 / 20 OGOS 2012 : Timbalan Presiden NDP, Saudara Haji Juned bin Haji Ramli menyambut baik dan menjunjung kasih atas kurnia titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433 / 2012 yang ditayangkan secara langsung di RTB semalam. Dalam kegembiraan kita menyambut dan meraikan  Hari Raya, kita  sepatutnya tidak lupa malah selayaknya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah baginda yang mengingatkan kita cara terbaik menanti dan menyambut ketibaan 1 Syawal iaitu dengan melaungkan lafaz-lafaz suci Al-Quran di masjid dan surau di seluruh Negara, ujar Timbalan Presiden. Beliau menambah Titah berkenaan mengajak kita supaya tetap bersyukur dan sentiasa mengingati Allah SWT baik dalam keadaan senang atau susah kerana keduanya ada mengandungi hikmat.

Tambah Saudara Haji Juned lagi, peringatan baginda memang wajar dan bertepatan dengan kehendak Islam dalam melakukan sesuatu sambutan atau acara agar kita tidak keterlaluan dalam keriangan dan kedukaan sehingga melanggar dan melupakan batas-batas agama.

Memetik titah Kebawah DYMM semalam “Beginilah keindahan Islam, ia sentiasa dihias dengan syukur dengan mengagungkan Allah. Orang Islam tidak boleh berhenti daripada bersyukur dan tidak boleh lari dari mengagungkan Allah”

Syukur adalah sesuatu yang dituntut Allah saperti ditegaskan sendiri oleh Allah SWT dalam  surah Ibrahim, ayat 7, tafsirnya “ Ingatlah  tatkala Tuhan memberi tahu, “Kalau kamu bersyukur, nescaya akan Aku tambahkan lagi, tetapi kalau kamu mengingkari (nikmat-Ku itu) maka seksa-Ku amat berat.”

Baginda bertitah seterusnya “ Walau apa pun keadaan, senang ataupun susah, kita wajib bersyukur. Kerana senang dan susah itu masing-masing dengan hikmatnya, yang ditentukan oleh Allah. Setiap hikmat yang datang daripada Allah, adalah baik belaka. Semua itu bernama kebajikan. Hikmah senang, mungkin saja untuk menyukakan hati siapa yang diberikan kesenangan itu, sementara hikmah susah pula adalah bertujuan lebih kepada memberikan pengajaran. Kedua-duanya membawa kepada kebajikan belaka.”

Perlu juga kita menginsafi, bahawa tidak semua yang bersama Hari Raya akan bergembira sepenuhnya, ada juga yang  berdukacita kerana ditimpa sesuatu musibah seumpama kehilangan seseorang yang tersayang. Kesayuan takbir mengiringi Hari Raya tentunya mengamit hati dan meruntun kesedihan. Namun apakan daya sudah takdir yang mesti diterima dengan kesabaran dan keimanan.

 Titah baginda menyangkut hal ini  “ Baru-baru ini ,sedang Negara bergembira menyambut Ramadhan, tiba-tiba berlaku satu musibah yang tidak disangka-sangka, iaitu kemalangan helicopter yang mengorbankan beberapa orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Kejadian ini sungguh menyayat hati, lebih-lebih lagi bagi keluarga-keluarga mangsa yang terlibat. Sudah setentunya musibah seperti ini tidak kita ingini, tetapi ia berlaku juga, kerana ketentuan Allah telah berlaku di sini tanpa dapat dielak-elak lagi”

Sesiapa yang sabar dan reda akan musibah dengan ketentuan Allah maka pahala baginya daripada Allah sebagaimana sabda nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan dari Sa’id al Maqbari dari Abu Hurairah ra bahawasaanya Rasulullah  SAW bersabda : Allah Ta’ala berfirman : “ Tidak ada balasan di sisi Ku bagi hamba Ku yang mu’min apabila Aku mematikan kekasihnya dari penghuni dunia dan ia mengharap pahalanya, melainkan syurga” (hadits ini ditakhrijkan oleh al Bukhari ra dalam Ar Riqaq (hamba sahaya), bab amal yang diharapkan untuk mendapat ridha Allah ) Jilid VIII, hal.90 )

Titah baginda lagi “Apakah dia pahala itu? Pahala adalah perkara yang amat berharga, malah tidak dapat dinilai harganya itu, kerana ia bukanlah komoditi yang diperniagakan, tetapi semata-mata kurnia Allah untuk orang-orang yang dikehendakiNya. Ia akan dijawat di akhirat kelak, iaitu suatu hari di mana tidak ada lagi apa-apa yang kita inginkan, kecuali ganjaran pahala semata-mata”

Kemalangan helikopter yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada beberapa orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei merupakan suatu kejadian yang amat menyedihkan bukan sahaja kepada keluarga-keluarga mangsa malah kepada rakyat di Negara ini. Penawarnya hayatilah titah baginda yang perihatin dan penuh kasih sayang terhadap rakyatnya dengan mengingatkan bersamalah dalam dakapan Hari Raya dengan cara yang sewajarnya mengikut Islam. aza

No comments: