Posting mengikut label

Wednesday, August 29, 2012

Titah KDYMM sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433H/ 2012M anjuran YSHHB



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1433 Hijrah/ 2012 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah , pada hari Selasa, 9 Syawal 1433/28 Ogos 2012 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat meraikan hari besar dan hari kemenangan umat Islam, Aidilfitri yang mulia. Aidilfitri adalah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala kepada hamba-Nya yang berjaya melaksanakan ibadah puasa Ramadan sebulan genap.

Dalam suasana keraian Aidilfitri, biarlah sambutan Hari Raya ini menjadi satu ibadah yang disukai oleh Allah bagi mendapatkan ganjaran pahala-Nya.

Islam adalah satu-satunya ugama paling sempurna untuk mengatur seluruh kehidupan alam semesta. Segala aturannya itu, ialah untuk kebaikan belaka, serta juga untuk menghapuskan kejahatan. Dalam bidang ekonomi, Islam juga berfungsi, membawa manusia mencapai kemajuan yang sebenar-benarnya.

Beta difahamkan, Sambutan Aidilfitri anjuran Yayasan pada tahun ini menampilkan para profesional dan pegawai-pegawai serta kakitangan tempatan yang berkhidmat di Government Linked Companies (GLC) dan sebahagian sektor swasta yang mewakili beberapa kategori perusahaan dan perkhidmatan di negara ini. Beta sangatlah mengalu-alukan penyertaan mereka itu.

Kewujudan sektor swasta dan Government Linked Companies (GLC) adalah memainkan peranan sangat penting untuk membantu memajukan ekonomi negara.

Di dalam Rancangan Kemajuan Negara Kesepuluh 2012-2017, di mana menerusi Strategi Ekonomi, kita adalah sentiasa berusaha untuk membangunkan ekonomi berdaya saing yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti bagi rakyat dan penduduk di sektor awam mahupun swasta.

Maka ke arah ini, GLC dan sektor swasta adalah diharapkan untuk dapat sama-sama meneliti strategi-strategi RKN, khasnya Strategi Ekonomi dan Strategi Pembangunan Keusahawanan dan Perniagaan Tempatan bagi perkembangan dan kemajuan bidang-bidang berkenaan.

Beta percaya, dengan bermodalkan pengalaman, GLC dan sektor swasta, boleh mengorak langkah bagi meneroka peluang-peluang yang lebih baik, termasuk peluang di luar negara.

Dalam hubungan ini, kerajaan beta melalui beberapa agensi berkaitan sedang dan telah menyediakan pelbagai strategi, perkhidmatan dan kemudahan bagi membantu dan mengembangmajukan lagi sektor swasta, meliputi pendidikan dan profesionalisma pekerja-pekerja.

Beta turut bergembira mengetahui akan meningkatnya penglibatan sektor swasta dan GLC dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial atau ‘corporate social responsibility – CSR’, khusus dalam mengambil tahu hal-ehwal kesejahteraan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan, yang lebih ketara lagi ianya dilaksanakan dalam bulan Ramadan yang baru berlalu.

Beta berharap usaha berkebajikan seperti ini akan dapat diteruskan dengan rangkaian kerjasama dan ‘strategic partnership’ dengan pihak Yayasan dan agensi-agensi kerajaan serta NGOs. Ianya tentu mampu mendatangkan manfaat timbal balik kedua belah pihak. Mereka yang dibantu akan mendapat keringanan, sementara bagi yang membantu pula akan mendapat kepuasan dan ganjaran yang tidak mampu digambarkan.

Sempena Aidilfitri ini, peluang dapatlah diambil untuk mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan serta menjalin silaturahim sesama kita.

Inilah cara kita orang-orang Brunei, kemeriahan tidak hanya diraikan di antara keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, tetapi juga turut disemarakkan dalam kehidupan berorganisasi dan bermasyarakat. Ini akan menyuburkan lagi sikap hormat-menghormati, bantu-menbantu dan bertolak ansur, telus, amanah serta jujur dalam semua aspek kehidupan.

Amalan baik seperti ini, apabila ia terus dilakukan, akan menjadi budaya. Budaya hidup yang baik pula adalah mencerminkan kekuatan sesebuah masyarakat yang dibina dengan ugama. Oleh itu, marilah kita sama-sama memelihara ugama di dalam apa jua urusan dan pekerjaan kita. Beta yakin, di sinilah tunjang kekuatan dan kemakmuran kita selama ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments: