Posting mengikut label

Monday, August 27, 2012

Keluarga merempat di tanah perkuburan


BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos - Suasana Aidilfitri sering dimeriahkan dengan kerlipan lampu-lampu cucul di rumah, namun tiga insan bernasib malang kerana Aidilfitri mereka hanya diterangi cahaya lilin sepanjang malam, malah tambah menggerikan lagi bilik kecil yang didiami bersebelahan dengan tanah perkuburan.

Insan malang ini, terdiri daripada suami isteri dan anak perempuan berusia tiga tahun, tinggal dalam sebuah bilik yang rosak tanpa bekalan elektrik di kawasan tanah perkuburan Kianggeh dekat sini setelah rumah tempat mereka menumpang diambil balik oleh pemiliknya.

Dayang Hajah Jarinah dan anak kecilnya Nur Ameerah

Wanita itu, Dayang Hajah Jarinah binti Haji Ahmad, 45, menceritakan kepada wartawan Media Permata yang kebetulan menziarahi kubur, bahawa mereka sekeluarga sudah menumpang di bilik itu selama dua bulan dan terpaksa mengharungi malam di kawasan tanah perkuburan itu tanpa rasa takut, biarpun setiap malam katanya terdengar berbagai suara menyeramkan.

Menurutnya, suaminya ada kalanya meninggalkan dia bersama anaknya, Nur Ameera Natasha Abdullah Abu Bakar, tiga tahun, yang terpaksa berpindah-randah dan menumpang tidur di kaki lima dan meja-meja di gerai kawasan bandar. Mereka enggan meminta bantuan sanak saudara kerana tidak ingin menyusahkan mereka.

Semasa penulis bertemu wanita itu hari ini, suaminya dikatakan belum pulang dan membawa kunci pintu bersamanya, sehingga dia dan anaknya terpaksa duduk di luar. Penulis hanya dapat mengambil gambar bilik mereka melalui lubang jendela pecah yang di dalamnya kelihatan agak daif.


Nur Ameerah, anak kecil berusia tiga tahun

Anak kecilnya yang memang belum memahami akan kesusahan yang dihadapi oleh kedua ibu-bapanya pula masih kelihatan begitu aktif bermain di perkarangan tanah perkuburan itu, bagaimanapun kata Dayang Hajah Jarinah, kadang-kadang anaknya itu menangis ketakutan terutama sekali jika sudah lewat malam dan cahaya lilin mereka terpadam.

Ditanya apakah pendapatan untuk menampung kehidupan mereka seharian, Dayang Hajah Jarinah memberitahu, tiga bulan lalu suaminya telah menerima bantuan zakat fakir miskin sejumlah $200 setiap bulan untuk selama setahun, selain itu mereka juga sudah memohon ke jabatan berkenaan untuk mendapatkan tempat tinggal, tetapi belum menerima jawapan.

Untuk mengisikan waktunya Dayang Hajah Jarinah juga sudah seolah-olah menjadi penjaga tanah perkuburan, kerana dia membersihkan kawasan, membuang sampah-sarap dan sebagainya.

Sebagai seorang ibu, setentunyalah dia juga mempunyai perasaan bimbang ke atas anak kecilnya itu yang terpaksa tinggal di tempat yang tidak sihat untuknya, dan berharap masalah mereka itu akan segera mendapat penyelesaiannya.

Dipetik dari - Media Permata Online

No comments: