Posting mengikut label

Monday, August 6, 2012

Kebawah DYMM: Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah dengan menjadikan Al-Qur'an sebagai panduan hidup umat Islam akan mampu mencapai kejayaan sebagaimana pada zaman keemasannya dahulu.

Tetapi sekarang, titah baginda, umat Islam tertinggal di belakang kerana mereka tidak atau kurang mengambil inspirasi dari Al-Qur'an. “Al-Qur'an cuma dibaca tidak dijadikan panduan. Sepatutnya di samping kita membaca isinya juga hendaklah dijadikan dasar dan asas panduan,” tegas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Tahun 1433 Hijriah / 2012 Masihi berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Jelas titah baginda, tidak boleh tidak adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk kembali kepada petunjuk Al-Qur’an bagi meraih kegemilangan dalam makna lain kita perlu bangun selaku generasi pembaca, di samping sekali gus menjadi pengamal ajaran Al-Qur'an itu.

Terdahulu daripada itu, baginda bertitah, bahawa kekuatan Islam terletak pada Al-Qur'an dan kekuatan Al-Qur'an pula terletak pada keasliannya yang tidak dicemari oleh tangan- tangan manusia.

Tegas baginda, adalah menjadi tanggungjawab setiap kita untuk mempertahankan, memelihara dan menjaga keaslian tersebut.

Antara cara kita mempertahankan, memelihara dan menjaga keaslian itu, titah baginda ialah melalui aktiviti penghafalan ayat-ayat Al-Qur'an itu.

Dalam hubungan itu baginda melahirkan perasaan gembira bahawa aktiviti penghafalan Al-Qur’an adalah sedang berkembang dengan baiknya di negara ini dan berharap dengan adanya pertandingan menghafal Al-Qur'an seperti yang berjalan pada masa ini dan juga dengan adanya Institut Tahfiz Al-Quran maka kita insya-Allah ada harapan untuk dapat melahirkan lebih ramai lagi penghafal-penghafal Al-Qur'an yang berilmu dan berkualiti.

“Al-Qur'an adalah sumber ilmu pengetahuan.

Di dalam Al-Qur'an manusia digalakkan untuk menyelidik fenomena alam, seperti pertukaran malam dengan siang, kekayaan bumi, air, udara, api, rahsia kelahiran dan kematian dan lain-lain,” titah baginda.

Baginda menambah titah, di dalam Al-Qur’an juga terkandung dasar-dasar ilmu pengetahuan dan teknologi, ilmu kedoktoran, ilmu astronomi, ilmu matematik dan lain-lain selain terdapat ayat-ayat mengenai sejarah, perubatan pemakanan, kesihatan dan bahkan mengenai kesusasteraan yang kesemuanya itu boleh menjana pertumbuhan tamadun dan pemikiran.

“Ini bersesuaian sekali dengan tema sambutan pada kali ini 'Al-Qur'an Sumber Inspirasi,” titah baginda.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: