Oleh Abang Jit Manis di Kota Solo City, Indonesia
Dato Haji Shoeffry bersama ahli-ahli Brunei Art Forum sebelum rombongan berlepas |
Menuntut ilmu itu memang tidak ada noktahnya, apalagi jika ilmu itu memerlukan seseorang itu untuk merantau keluar negeri yang mana setentunya ilmu yang dikejarnya itu adalah sesuatu yang bermanfaat untuk dipelajari.
Ilmu itu pastinya terdiri dari berbagai aspek yang meliputi semua bidang yang diperlukan dalam kehidupan seharian di dunia ini.
Baru-baru ini seramai sembilan orang pelukis tanah air telah berlepas ke Solo Indonesia untuk mempelajari lebih lanjut lagi dalam menghasilkan seni batik di sana.
Mereka ialah ahli Brunei Art Forum yang terdiri daripada Siti Nuruljannah binti Haji Othman (ketua), Amal Hazirah binti Haji Hujan, Ampuan Siti Ramlah binti Ampuan Babba, Tengku Amir Falique bin Tengku Pengiran Anak Haji Amir Farouk, Mohd Faizal bin Hamdan, Nur'izzian Dayana binti Mohd Isa, Umi Zaty Bazillah binti Zakaria, Lizzan Anak Linggat dan ahli veteran Brunei Art Forum, Zakaria bin Omar.
Hadir untuk mengucapkan selamat belayar di lapangan terbang Brunei ialah Presiden Brunei Art Forum, Dato Haji Shoefry bin Haji Abd Ghafor.
Menurut Zakaria Omar, lawatan sambil belajar ini dianjurkan untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam pemprosesan tekstil batik serta menjadikannya sebagai kraf tangan secara komersil.
Sepanjang lawatan seminggu itu mereka berpeluang melawat beberapa lokasi terkenal industri batik Indonesia di tengah-tengah Pulau Jawa yang begitu penting dan signifikan dalam perkembangan batik Indonesia sejak ratusan tahun yang lalu.
Perkembangan batik di Kota Solo adalah lebih relevan dalam perkembangan industri kreatif kerana ianya disokong penuh oleh kerajaan Indonesia.
Semasa melawat kilang batik milik Bapak Musta'in yang bertempat di Tegalrejo RT02/RW01, Sondakan, Jateng, Solo, mereka menyaksikan buat kali pertama bagaimana batik tradisi Indonesia diproses dari peringkat permulaan hingga akhirnya.
Kebanyakan pelukis Brunei memang pernah mencuba menghasilkan lukisan batik di tanah air tetapi teknik-teknik penghasilan batik di Solo agak berbeza.
Dalam erti kata lain mereka mempelajari penghasilan batik mengikut stail atau cara Indonesia. Mereka juga melawat Muzium Keraton di Surakarta Solo di mana mereka mempelajari lebih lanjut lagi mengenai seni dan budaya setempat.
Mereka juga memperoleh beberapa tip bagaimana untuk mencipta karya seni batik yang unik dan strategi yang berkesan dalam memasarkannya.
Di samping itu mereka juga mengetahui sejarah awal penghasilan batik di sana.
Pada hari kelima dan keenam program mereka berkesempatan menziarahi kediaman Pelukis Surrealism Kota Solo iaitu Bapak Wiryono, di Sideluhur, Laweyan Solo.
Pelukis-pelukis Brunei mendengar penerangan |
Menurut Zakaria, lawatan ke Solo ini dianjurkan sebagai langkah awal bagi para pelukis dan penggemar batik di Negara Brunei Darussalam dengan harapan agar industri batik dapat dikembang-majukan sebagai salah satu aktiviti menjana ekonomi di samping mengekalkan satu kluster warisan seni Melayu sepertimana yang telah dibuat di Indonesia dan Malaysia.
Lawatan ini adalah sebagai menjunjung dan menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai Wawasan Brunei 2035, di mana Baginda menyeru warga Brunei yang berpendidikan, berkemahiran dan yang berjaya agar terus berusaha untuk membangunkan sistem pendidikan kelas pertama dalam memberikan peluang kepada lapisan rakyat jelata untuk memenuhi kehendak ekonomi yang sentiasa berubah dari masa ke semasa, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, di samping juga berjaya dalam sukan dan seni.
Menurut Zakaria lagi, lawatan ini dilihat sebagai satu cara untuk menyatukan-padukan pelukis-pelukis batik Brunei dan pelukis-pelukis batik Indonesia termasuklah para pengusaha kilang batik di Indonesia.
Para pekerja di kilang Batik Soga |
"Seperti mana yang kita ketahui bahawa seni batik adalah kraf tangan yang terunggul di Indonesia dan Malaysia. Kedua-dua negara ini mempelopori batik moden dunia dan mereka telah mendominasi serta menembusi pasaran dunia yang dianggarkan mencecah berbilion ringgit.
"Lokasi negara kita di antara kedua-dua gergasi pengeluar batik ini adalah strategik untuk tujuan itu," kata Zakaria Omar.
Semua pelukis-pelukis Brunei merasa puas hati dengan lawatan sambil belajar di kota Solo Indonesia ini.
Menurut mereka, lawatan ini membolehkan mereka membuat kajian yang kebanyakannya difokuskan pada aspek-aspek pemprosesan seperti corak, mewarna, melilin, mencop dan kemudiannya proses terakhir yang dikenali dengan nama "Quality Control" (kawalan mutu) sebelum batik tersebut dipasarkan.
Kajian beberapa aspek pemasaran juga dilaksanakan dengan harapan agar ianya mendapat hasil yang terbaik. Ketika mahu berangkat pulang, hati mereka terasa berat untuk meninggalkan Kota Solo ini kerana banyak lagi yang harus mereka pelajari di sini.
Tetapi mereka menyedari bahawa saatnya sudah tiba untuk mereka meninggalkan bumi Kota Solo Indonesia. Mereka semua berharap agar dapat melawat Kota Solo ini sekali lagi di masa-masa yang akan datang.
Dipetik dari - Media Permata Online
No comments:
Post a Comment