Posting mengikut label

Wednesday, August 22, 2012

Titah KDYMM sempena Hari Raya Aidilfitri 1433H / 2012M


Bersyukur dan mengagungkan Allah

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1433 Hijrah / 2012 Masihi.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

SELEPAS bersyukur kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa sebulan genap, maka kini, menyusul pula kita bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya Adilfitri yang mulia.

Tanda kita bersyukur itu, ialah dengan melafazkan takbir dan tahmid, sebaik-baik sahaja diumumkan permulaan menyambut Hari Raya, dan pada keesokan paginya pula adalah lebih meriah lagi lafaz-lafaz suci itu dikumandangkan di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara.

Beginilah keindahan Islam, ia sentiasa dihias dengan syukur dan dengan mengagungkan Allah. Orang Islam tidak boleh berhenti dari bersyukur dan tidak boleh lari dari mengagungkan Allah.

Walau apa pun keadaan, senang ataupun susah, kita adalah wajib bersyukur. Kerana senang dan susah itu masing-masing dengan hikmahnya, yang ditentukan oleh Allah.

Setiap hikmah yang datang daripada Allah, adalah baik belaka. Semua itu bernama kebajikan. Hikmah senang, mungkin saja untuk menyukakan hati siapa yang diberi kesenangan itu, sementara hikmah susah pula adalah bertujuan lebih kepada memberikan pengajaran. Kedua-duanya membawa kepada kebajikan belaka.

Bukan semua apa yang kita suka itu mesti baik dan yang kita tidak suka pula tidak baik. Ini telah ditegaskan sendiri oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 26, tafsir-Nya:

" ... dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), hanya Allah jua yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Baru-baru ini, sedang negara bergembira menyambut Ramadan, tiba-tiba berlaku satu musibah yang tidak disangka-sangka, iaitu kemalangan helikopter yang mengorbankan beberapa orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Kejadian ini sungguh menyayat hati, lebih-lebih lagi bagi keluarga-keluarga mangsa yang terlibat.

Sudah setentunya musibah seperti ini tidak kita ingini, tetapi ia berlaku juga, kerana ketentuan Allah telah berlaku di sini tanpa dapat dielak-elak lagi.

Jika merujuk kepada ayat di atas, kita hanyalah mampu untuk memikirkan hikmahnya sahaja, sementara selebihnya itu, hanya Allah jua yang mengetahuinya.

Di antara hikmah tersebut, kalau kita dapat menerimanya dengan sabar, maka kitalah orang yang berhak untuk menerima pahala daripada Allah.

Apakah dia pahala itu? Pahala adalah perkara yang amat berharga, malah tidak dapat dinilai harganya itu, kerana ia bukanlah komoditi yang diperniagakan, tetapi semata-mata kurnia Allah untuk orang-orang yang dikehendaki-Nya. Ia akan dijawat di Akhirat kelak, iaitu suatu hari di mana tidak ada lagi apa-apa yang kita inginkan, kecuali ganjaran pahala semata- mata.

Syaratnya, kita adalah dituntut supaya banyak-banyak bersabar dan reda menerimanya, selaku ujian daripada Allah. Pahala dari kesabaran itu insya-Allah, akan dijawat oleh orang-orang yang berkenaan sejajar dengan tingkat kesabaran masing-masing.

Adapun kita yang tinggal, sama-sama turut berkewajipan untuk mendoakan mereka yang telah pergi itu, semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang soleh.

Akhirnya beta dan keluarga beta dengan segala tulus ikhlas sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Adilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat dan penduduk di mana juga mereka berada, semoga kita semua dapat menyambut hari bahagia ini dalam suasana selesa dan aman di bawah inayah Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: