Posting mengikut label

Showing posts with label KHUTBAH. Show all posts
Showing posts with label KHUTBAH. Show all posts

Friday, July 20, 2012

Khutbah Jumaat: Di Ambang Ramadhan


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w di samping sentiasa berusaha melaksanakan segala suruhan dan melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Khutbah hari ini adalah bertajuk "Di Ambang Ramadhan".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Antara sedar atau tidak, rupa-rupanya kita sudah berada di penghujung bulan Sya’ban dan bulan Ramadhan yang sering disebut dan ditunggu-tunggu ketibaannnya yang datang sekali lagi menemui kita. Ahlan Wa Sahlan Marhaban Bika Ya Ramadhan! Ada di kalangan kita yg berdoa kepada Allah sejak kedatangan bulan Rajab lagi dengan doa yang penuh makna dan harapan:


“Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban dan sampaikanlah hidup kami menempuh bulan Ramadhan”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sehubungan dengan ini, terdapat suatu riwayat yang menyebutkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah masih hidup, Baginda pernah menyampaikan kuliah selepas maghrib pada akhir bulan Syaaban sebagai mengingatkan kepada muslimin dan muslimat yang bersama baginda ketika itu mengenai kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Kuliah yang sangat bermakna itu dirakam oleh Ibn Huzaimah dalam Sohih Ibn Huzaimah. Intisari daripada kandungan kuliah tersebut ialah:

Rasulullah s.a.w. mengingatkan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia itu, di mana ia mempunyai kelebihan yg tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain sepanjang tahun. Antara kelebihannya ialah:

Pertama: Allah mengurniakan salah satu malam dalam bulan itu sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan;

Kedua: Ramadhan adalah bulan menguji kesabaran; puasa pada siang hari menjadi fardhu dan qiam pada malamnya pula sebagai nafilah atau sunat;

Ketiga: Sesiapa yang melakukan perkara kebaikan pada bulan itu ia akan mendapat pahala tujuh puluh kali ganda amalan fardhu yang dibuat pada bulan-bulan lain;

Keempat: Ramadan bulan kebajikan, sesiapa yang memberi makanan untuk orang yang berbuka puasa ia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa itu, walaupun sekadar bersedekah seteguk air atau sehirup susu;

Kelima: Di permulaan bulan Ramadhan adalah rahmah atau belas kasihan daripada Allah, di pertengahannya pula keampunan dan maghfirah, bahkan di penghujungnya bebas dari api neraka. Justeru, di ambang Ramadhan yang mulia ini, marilah kita mengambil iktibar dan memuhasabah diri daripada kuliah Baginda Rasulullah s.a.w sepertimana berikut:

Pertama: Ramadhan adalah bulan yang Allah berikan peluang kepada umat Islam untuk meraih sebanyak mungkin lambakkan jongkong-jongkong pahala yang dijanjikan kepada orang yg berpuasa. Amalannya tidaklah sangat berat, tetapi ganjarannya berlipat ganda dan sangat lumayan.

Oleh itu beberapa soalan yang mesti kita lontarkan ke dalam benak fikiran kita ialah: Tidakkah dengan tawaran-tawaran yg dijelaskan oleh Rasulullah itu sudah cukup membuatkan kita teruja untuk berjumpa dan bersama Ramadhan sekali lagi?, Adakah kali ini kita dapat mendakap Ramadhan seeratnya hingga ke saat Ramadhan beredar meninggalkan kita?. Atau apakah kita memilih sikap dingin dan tidak kisah sehingga kita menjadi orang yang sangat malang kerana apabila Ramadhan berlalu tidak seberapa pun yg kita perolehi?

Mungkinkah kita tergolong di kalangan yang telah disindir oleh Rasulullah dalam hadisnya yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa dari puasanya melainkan hanya lapar dan dahaga sahaja”.

Kedua: Ramadhan adalah bulan menguji dan menyuntik erti kesabaran; sabar dalam melaksanakan apa-apa perintah, akur dan patuh meninggalkan larangan Allah walaupun terpaksa berperang dengan nafsu syahwat dan runtunan syaitan yang terdiri dari makhluk jin dan manusia.

Justeru, orang yang sedang berjuang menjalani ibadah puasa adalah dimuliakan Allah setiap masa, mereka umpama seorang mujahid yang sedang berada di medan perang untuk meneruskan perjuangan demi perjuangan. Kemuncak penghargaan Allah tersebut dapat difahami dari hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Abu Aufa Al-Aslami, maksudnya: “Tidur orang yg berpuasa diberi pahala sebagai ibadah, diamnya sebagai sedang bertasbih, balasan pahalanya berlipat ganda, doanya diperkenan dan dosanya pula diampun”. (Riwayat al-Baihaqi)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ketiga: Kemuliaan Ramadhan yg dikurniakan Allah kepada setiap hamba-Nya yang beriman sememangnya mempunyai kaitan rapat dengan dengan penurunan al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 185:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah...".

Malam penurunan Al-Quran juga disebut sebagai malam “Lailatul Qadr” atau malam penilaian. Pada malam tersebut para Malaikat diperintah turun beramai-ramai ke dunia sebagai merayakan penurunan sebuah lagi kitab dari langit yang penuh dengan pertunjuk Ilahi kepada manusia. Ia merupakan kitab suci yang terakhir dan diturunkan kepada Nabi yang terakhir.

Al-Quran adalah kitab panduan hidup yang lengkap, sesiapa yang mematuhi dan mengikuti ajarannya ia akan berada di jalan yang selamat, sebaliknya sesiapa yang berdegil tidak mematuhinya ia adalah orang yang sesat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 1-2:
"Alif, Lam, Ra’, (kitab) Al-Quran yang Kami telah menurunkannya kepada Engkau (wahai Muhammad), supaya Engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; kecelakaan besar bagi orang yang kafir kerana azab yang sangat pedih (bakal menimpa mereka kelak)".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Setelah Ramadhan demi Ramadhan kita sambut, Nuzul Quran demi Nuzul Quran kita rayakan dulu, kini dan selama-lamanya, namun persoalannya ialah: Adakah kita akur, redha dan tenang menerima Al-Quran sebagai panduan hidup kita?

Adakah kita terasa bertuah menjadi umat yang dikurniakan Al-Quran yg mulia ini? adakah kita telah bersedia menjunjung Al-Quran dan mematuhinya sebagai peraturan disegenap aspek kehidupan kita?. Adakah kita mengambil sikap tidak kesah pun terhadap Al-Quran dan pertunjuknya?

Apakah kita mengambil sikap pura-pura tidak mendengar apabila orang mengatakan kepada kita sebagai orang yang tidak celik Al-Quran, sedangkan dalam pepatah warisan kita ada kecaman dalam bentuk pantun yg berbunyi:

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji di dalam perahu,
Suruh makan dia makan,
Mengaji Al-Quran dia tak tahu.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Soalan-soalan yang berkaitan dengan Al-Quran tersebut adalah soalan yang mesti dijawab dan tiada pilihan, soalan-soalan tersebut akan dikemukakan mengikut giliran yang dirahsiakan oleh yang Maha mengetahui segala rahsia. Apakah sebentar lagi? esok, lusa? Tahun ini atau tahun hadapan atau bila-bila masa? Tiada siapa yang tahu.

Sesungguhnya beruntunglah orang yg telah bersedia dengan amalannya, dia pasti akan dapat menjawabnya dengan lancar tanpa ragu, kerana praktis hidupnya yang sentisa iltizam terhadap Al-Quran membantu ia menjawab dengan mudah.

Sebaliknya orang yang tidak mengambil berat terhadap Al-Quran, mereka tidak berusaha dan tidak berjihad untuk pandai membaca Al-Quran, malah mereka lalai, malas, angkuh, dan sombong, sudah pastilah mereka akan gugup dan gementar yang tak terperi semasa soalan-soalan itu dikemukakan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam kesempatan yang mulia ini, di ambang Ramadhan yang berbarakah, marilah kita mengkoreksi diri dengan menjadikan Ramadhan sebagai titik perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat dan ummah kepada yang lebih cemerlang dan beristiqamah.

Marilah kita bermunajat kepada Allah agar kita diberi peluang sekali lagi untuk membetulkan segala kesilapan dan kecuaian yang lalu dan akhirnya kita diizinkan melangkah pintu syurga tanpa apa-apa sekatan dan halangan.



"Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau wanita, sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang baik daripada apa yang mereka telah kerjakan". (An-Nahl: 97)



Dipetik dari - Laman Web JAIS

Monday, December 19, 2011

Khutbah Jumaat 16 Disember 2011

MEMPERKASA HUBUNGAN ULAMA’ DAN UMARA

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam sejarah ketamadunan Islam, golongan umara’ dan ulama’ merupakan dua golongan yang amat dihormati oleh masyarakat. Golongan ini senantiasa menjadi perhatian masyarakat dan amat berpengaruh. Kerana itulah ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama’ di angkat kedudukannya dengan diberi pengiktirafan oleh pemerintah sebagai penasihat kepada Sultan atau Raja. Pengiktirafan yang begitu tinggi ini sebenarnya bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama’ dan selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA:
Maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”

Namun persoalan besar timbul disini siapakah ulama, dan umara’ yang sebenarnya?.Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini, ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
“Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi.”

Menjelaskan betapa besar peranan sebagai umara’ ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asy’ari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa:
“Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan.”

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama’ dan umara’ pada zamannya pula menyatakan bahawa:
“Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.”

Berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama’ tersebut ternyata hubungan antara ulama’ dan umara’ merupakan tunjang kepada kekuatan ummah dan menentukan hala tuju umat Islam pada masa hadapan. Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu. Lihatlah sebagai contoh kejayaan kerajaan Islam Samudera Pasai, Melaka dan Aceh yang bertonggakkan kekuataan ulama’ dan umara’ telah menjadi pusat perkembangan Islam yang paling penting dan berpengaruh pada abad 14 sehingga ke-17. Sebaliknya, apabila dua golongan ini menjadi jahat, bermusuhan, maka pemerintahan menjadi lemah, ummah tidak terbela, negara kucar kacir dan akan ditimpa kehancuran. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara’.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Persoalan besar timbul disini ialah bagaimana kaedah untuk memperkasakan dan mempertingkatkan hubungan ulama’ dan umara’?. Mimbar ingin menegaskan bahawa memperkasakan kaedah nasihat dan saling hormat menghormati merupakan sebagai satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan antara ulama’ dan umara’. Setiap ulama’ mestilah berintergriti, bersifat ikhlas, jujur, jatidiri, berpandangan luas serta tidak fanatik di dalam setiap tindakannya dan hendaklah memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau fahaman tertentu. Begitu juga dengan umara’, mereka mestilah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama yang baik dengan mana-mana pihak.

Seorang ulama terkenal Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan maksud nasihat untuk para pemerintah ialah supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, menyukai umat bersatu dibawah pemerintahannya dan tidak berpecah belah. Dengan memperkasakan kaedah ini ia akan meletakan peranan ulama’ di tempat yang sepatutnya, mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukan ulama, dalam sistem pemerintahan negara. Iman al-Turtusyi di dalam kitabnya siraj al-Muluk berkata:
Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah.

Dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong para pemerintah umat Islam dan rakyat amnya." (Riwayat Muslim).

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang mewujudkan sistem cara hidup menyeluruh kepada manusia dari segi akidah, syariah, akhlak, politik, ekonomi, dan sosial yang berkait rapat satu sama lain. Sistem cara hidup ini mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi manusia. Dengan demikian kerjasama dan hubungan harmoni ulama’ dan umara’ akan menjadi tunjang kekuatan ummah dan menentukan negara berada di landasan yang selari dengan Siasah Shar’iyah. Mimbar menyedari bahawa bidang kuasa ulama’ di negara ini adalah terbatas berbanding bidang kuasa umara’ yang luas. Oleh itu, walaupun tinggi integriti ulama’, dan hebat kewarakkan ulama’ tetapi keputusan terakhir merancang dan melaksanakan pembangunan umat dan negara terletak di bawah bidang kuasa umara’.

Selari dengan tanggungjawab ulama’, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan bahawa ulama’ tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama’ sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya. Mimbar amat yakin langkah umara’ atau pemerintah menjemput ulama’ dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari dengan tuntutan Islam. Kepada para ulama’ mereka perlulah membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira tahap kedudukan dan kecenderungan pemikiran mereka. Para ulama’ juga tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri di dalam dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata. Ingatlah bahawa hubungan ulama’ dan umara’ ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara dan ummah. Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28:
Maksudnya: “Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu).”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama-sama mengembeleng tenaga menyepadukan peranan ulama’ dan umara’ agar negara dan ummah terus dirahmati sebagaimana berikut:Pertama: ulama’ dan umara’ perlu bekerjasama dalam bidang yang boleh disepakati dan berbincang bagi mengelakkan perselisihan yang merugikan ummah.Kedua: ulama’ dan umara’ perlu mengikhlaskan hati dan melengkapkan diri dengan kemahiran, ilmu dan kepimpinan di samping berusaha memahami masalah terkini umat Islam.Ketiga: umat Islam perlu mendokong peranan dan sumbangan ulama’ dan umara’ dengan bersama-sama bersatu dan menguatkan rohani dan intelektual. Dan keempat: ulama’ dan umara’ perlu bersikap insyirah atau berlapang dada menerima teguran atau nasihat demi manfaat agama dan ummah.
Maksud Surah Huud: 15-16: “Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan)”.

Petikan Khutbah Jumaat dari JAKIM, semoga memberi manfaat kepada pembaca RumpunSuara.

Friday, December 2, 2011

Khutbah Jumaat, 2 Disember 2011

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Saya menyeru kepada sidang jemaah sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dengan penuh keyakinan, iaitu dengan melaksanakan segala perintahNya dan meningggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita akan tergolong di kalangan hambaNya yang mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak dapat lari daripada menerima qada’ dan qadar Allah SWT. Musibah, ujian, kesusahan, kesulitan dan sebagainya merupakan asam garam kehidupan seseorang manusia.

Walaupun kadang kala ia menyebabkan seseorang berputus asa dan ada pula yang sanggup membunuh diri dan sebagainya, hasil daripada kekecewaan yang menimpa mereka.

Namun bagi umat Islam yang beriman dan yakin dengan rahmat dan pertolongan Allah S.W.T, semua rintangan hidup yang dihadapi itu merupakan ujian dan tanda kasih sayang Allah S.W.T terhadap hambaNya.

Persoalannya, apakah kita yang selama ini mengaku menjadi hamba Allah telah berjaya menghadapi segala ujian Ilahi? Ataupun gelaran tersebut hanya untuk menyedapkan hati kita sahaja untuk melayari pancaroba kehidupan ini tanpa perlu dibeban dengan ujian dan musibah?

Apakah kita perlu lagi diuji sedangkan kita saban hari mengerjakan amal ibadat, berulang alik ke masjid untuk solat berjemaah, bersedekah di sana sini, menunaikan umrah dan haji? Jika begitu, sama-samalah kita kembali untuk merenungi semula diri masing-masing akan janji Allah bagi sesiapa yang ingin menepati syarat utama bergelar hambaNya seperti dalam surah al-Baqarah ayat 155:
Bermaksud:
“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Berpandukan ayat yang dibacakan sebentar tadi, jelaslah kepada kita bahawa sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah amat perlu kepada seorang hamba Allah S.W.T. Sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang redha terhadap qada’ dan qadar Allah S.W.T, bahkan ia boleh mengelakkan diri daripada perasaan marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi musibah.

Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahit atau sakitnya menekan perasaan. Oleh itu, sabar amat diperlukan dalam situasi sebegini. Tidak semua orang mampu bersabar, lantaran itu sikap sabar dianggap tinggi nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji.

Memetik kata-kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid al-Baghdadi katanya: “Bala dan ujian adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, dengan redha dan bersabar.”

Jika diisingkap kembali lipatan sejarah, kita dapati bahawa Rasulullah S.A.W sendiri yang merupakan kekasih Allah S.W.T turut diuji dengan pelbagai ujian. Ini termasuklah dibaling dengan batu, dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya.

Begitu juga dengan para rasul lain khususnya mereka yang bergelar ulul azmi diuji dengan pelbagai ujian. Nabi Ibrahim pernah dibakar oleh namrud dan Nabi Musa dihalau dan diburu oleh firaun.

Justeru, para nabi pun diuji dengan pelbagai ujian, apatah lagi kita ini yang sering tersasar dari landasan kebenaran dengan dosa dan maksiat yang tidak terkira!

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita melihat apa yang berlaku kepada dunia ketika ini. Walaupun mungkin musibah atau bala bencana itu tidak sampai ke negara kita, tetapi adakah kita patut berasa aman dan selamat? Apakah lebihnya kita berbanding mereka sehingga kini masih terpelihara dari sebarang bencana? Adakah kita telah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya?.

Begitu juga, rentetan kejadian banjir dahsyat yang meragut banyak nyawa dan mengalami kerugian harta benda berbilion ringgit sejak kebelangan ini melibatkan negara-negara seperti Pakistan, India, China, Bangladesh dan yang terkini negara jiran terdekat kita iaitu Thailand, wajar dijadikan iktibar dan pengajaran.

Marilah kita sedar bahawa amaran ini pernah dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam surah al-A’araf ayat 97 hingga 99:
Bermaksud:
“Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?Atau Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) Yang diatur oleh Allah? kerana sebenarnya tidak ada Yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) Yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang Yang rugi.”

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling kita sejak akhir-akhir ini seperti gempa bumi, peperangan dan kekacauan, penyebaran penyakit berjangkit dan pelbagai lagi musibah merupakan peringatan dan amaran jelas daripada Allah S.W.T apabila manusia melakukan kerosakan, terlibat dengan kemungkaran dan ia juga merupakan antara tanda-tanda Kiamat.

Suatu peringatan dari Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud:
“Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah”.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza.
Pertama: Bagi mereka yang terselamat dari bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan dalam bentuk kasih
sayang daripada Allah S.W.T agar mereka kembali kepada jalan-Nya.
Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa daripada Allah S.W.T disebabkan oleh
kekufuran dan kederhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.
Ketiga: Bencana juga bertujuan untuk mengukur tahap keimanan seseorang terhadap Allah S.W.T.

Begitulah hakikat sebenar kita sebagi hamba Allah. Ujian dan musibah adalah tanda rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T kepada kita. Maka bersegeralah bertaubat agar kehidupan yang seketika ini dapat dipergunakan sebaik mungkin. Jangan biarkan diri kita dimurkai dan dicela Allah SWT kerana kedegilan kita memohon taubat atas kesalahan yang dibuat.

Ingatlah bahawa kasih sayang Allah S.W.T amat luas untuk diperkatakan. Walaupun banyak bala bencana yang diturunkan ke alam ini, namun Allah SWT tidak mencabut semua nikmat yang diberikanNya. Masih ada sinar harapan buat kita mendakap cinta dan rahmat Allah yang tidak pernah pudar sepertimana pudarnya cinta si kekasih apabila ditinggal pergi!

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kesimpulan khutbah yang dapat diambil pada hari ini ialah:
Pertama: Rahmat Allah terlalu luas untuk hambanya yang disayangi.
Kedua: Ujian dan musibah yang berlaku kepada manusia memberi mesej bahawa Allah sayang hambanya.
Ketiga: Bersegeralah kembali ke jalan Ilahi dengan meninggalkan maksiat dan noda.

Firman Allah S.W.T dalam surah ar-Ruum ayat 41:
Bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”


Petikan khutbah Jumaat, masjid-masjid Wilayah Persekutuan Malaysia.

Peringatan dari mimbar masjid yang wajar menjadi renungan.
Moga-moga memberi faedah dan manfaat kepada pembaca RumpunSuara.