Posting mengikut label

Showing posts with label TARBIAH. Show all posts
Showing posts with label TARBIAH. Show all posts

Saturday, December 7, 2013

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)


Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)

Sepatah kata Abu Anas Madani:

Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah SWT syariatkan ke atas hamba-Nya untuk menjaga kemaslahatan dan kebaikan buat mereka. Ini adalah suatu rahmah, Allah sebagai Pencipta Yang Maha Mengetahui dengan karenah dan keperluan makhluk-Nya.

Kalau dibiarkan manusia memikirkan sendiri untuk maslahah mereka tentulah pemikiran mereka tidak sampai ke tahap yang sepatutnya.

Sebagai suatu usaha kami untuk menyampaikan kebaikan dan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perkara ini, khasnya pada zaman yang ada orang mempersendakan Hukum Allah khasnya Hudud, maka diharapkan usaha ini ada manfaatnya.

Di bawah ini kami petik tulisan Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky Yaakob dalam muqaddimah buku MENGENAL HUKUM HUDUD yang ditulisnya pada tahun 1992 ketika Kerajaan Kelantan mengemukakan Enakman Jenayah Syariah II di DUN Kelantan.

Buku ini diterbitkan oleh: Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (Cet. 1, 1992).
Akhukum, AAM. PSD 27 Muharram 1435H – 01/12/2013.


KATA PENDAHULUAN

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد ان لا اله الا الله وحده لا شريك له واشهد ان محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وسلم وعلى آله وضحبه وسلم كثيرا.


وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـلاً مُّبِيناً

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perampuan mempunyai hak membuat pilihan sendiri dalam urusan mereka apabila Allah dan Rasul telah membuat sesuatu keputusan. Siapa yang tidak mematuhi hukum-hukum Allah dan Rasul-Nya bererti ia telah terjerumus dan kesesatan yang amat nyata." (al-Ahzab : 36)

Buku ini lahir tepat pada waktunya, di mana isu hukum hudud menjadi topik perbincangan hangat di kalangan orang-orang Islam sendiri dan menerima reaksi yang berbelah-bagi dari berbagai-bagai sektor penduduk Malaysia.

Buku ini dilahirkan dengan tujuan memberi gambaran asas tentang hukum hudud yang dipertikaikan itu supaya ia dapat difahami dengan penjelasan yang betul, mudah dan terlepas dari sebarang sentimen politik dan semangat perkauman yang buta agar isu yang besar ini dapat difikir dan diteliti dengan penuh tanggungjawab oleh setiap pihak yang berminat untuk mencampuri dalam isu ini terutama bahagian umat Muslim yang menerima Allah SWT sebagai Tuhan dan menerima Muhammad Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka yang ulung di sepanjang zaman.

Menurut prinsip keimanan dan aqidah Islamiah, setiap Muslim dan Muslimah wajib mempertahan dan membela agamanya, dan konsep membela agama tidak hanya terbatas dalam erti kata mengamal dan mempertahankan peraturan-peraturan ibadat, peraturan nikah cerai dan peratuan muamalah sahaja, malah merangkumi usaha mempertahankan konsep-konsep pemerintahan, pentadbiran dan kehakiman yang telah digariskan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan antaranya ialah hukum hudud yang dipertikaikan sekarang ini.

Sehubungan dengan ini, mana-mana Muslim dan Muslimah yang tidak sanggup mempertahankan kesucian hukum hudud atau merasa keberatan untuk menganggap hukum hudud sebagai hukum-hukum Allah Taala yang wajib dipatuhi atau bertindak liar dengan mempertikaikan hukum hudud atau mempersenda-sendakan hukum hudud atau menyifatkan hukum hudud sebagai undang-undang barbarik, kejam dan tidak berperikemanusiaan, maka bererti ia tidak sanggup menjunjung hukum Allah SWT dan secara terbuka menentang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dan setiap mereka yang tergolong dalam kategori orang-orang yang menentang al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW secara langsung adalah tergolong di dalam kumpulan manusia yang menentang Allah dan Rasul-Nya.

Untuk menyelamatkan ramai orang Islam dari keruntuhan iman dan kemusnahan aqidah mereka yang suci kerana terlibat secara sedar atau tanpa sedar dalam kegiatan mempertikaikan hukum hudud yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW itu, maka terpaksa dilakukan dengan segera untuk melahirkan sebuah buku khusus megenai hukum hudud dengan tujuan membentangkan keterangan hukum-hukum itu supaya ramai orang Islam mendapat gambaran tentang hukum hudud yang sebenar dan tidak terus terkeliru dan tertipu dengan gambaran-gambaran khayalan yang melulu hingga hukum hudud dipandang sebagai ancaman-ancaman dan undang-undang buas yang menakutkan dan mengerikan, sedangkan hukum hudud yang diturunkan Allah SWT itu suci dan bersih dari segala gambaran yang melulu, dusta dan menghinakan itu.


(Abu Anas Madani) HUDUD: Hukum, Hikmah, Kritikan & Jawapan

Semua pihak yang ikhlas sedar bahawa pelaksanaan hukum hudud yang diperkatakan sekarang ini masih dalam peringkat perancangan persiapan. Tiada siapa yang sanggup berdakwah bahawa hukum hudud boleh dilaksanakan sekarang juga dengan menggunakan kitab-kitab Feqah yang ditulis di abad-abad yang lampau tanpa memerlukan penapisan dan semakan yang rapi atau tanpa memerlukan usaha-usaha kemaskini atau tanpa memerlukan perubahan-perubahan yang wajar dalam struktur kehakiman dan pentadbiran undang-undang negara.

Pendek kata, persiapan itu adalah satu perkara, dan kesahihan hukum hudud sebagai undang-undang dari syariat Allah Taala yang wajib didaulatkan oleh umat Islam yang mempunyai kuasa membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang adalah satu perkara yang lain, yang tidak boleh dikelirukan dengan isu persiapan yang juga turut menjadi kewajipan.

Apa yang penting wujud pada peringkat sekarang ialah keinsafan dan keazaman untuk menegakkan hukum hudud. Apabila keinsafan dan keazaman yang ikhlas wujud, maka perlaksanaan hukum hudud lambat laun akan muncul di alam realiti. Dalam perjuangan di peringkat persiapan, setiap Muslimin dan Muslimat berkewajipan memberi sumbangan dan sokongan tanpa mengira parti dan menjauhi diri dari membuat komen-komen negatif atau memalu gendang-gendang sumbang yang membayangkan kearah keraguan.

Hukum hudud merupakan sebahagian dari kanun jenayah Islam dan kanun jenayah Islam merupakan sebahagian dari syariaat Allah SWT yang wajib dijunjung, diamal, dan dipertahankan oleh setiap Muslimin dan Muslimat.

Perlaksanaan kanun jenayah Islam di zaman Rasulullah SAW telah dilakukan pada zaman Madinah, ketika mana Islam berjaya menegakkan negara Islam yang berdaulat, yang mempunyai kuasa untuk menegakkan undang-undang dan peraturan-peraturan. Oleh sebab itulah setiap masyarakat Islam di mana-mana negeri dalam mana-mana generasi dan zaman sekalipun, wajib mendaulatkan kanun jenayah Islam apabila mereka berkuasa membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang negeri, kerana perlaksanaan kanun jenayah Islam merupakan perkembangan yang kemuncak bagi dakwah Islam di samping ianya merupakan keperluan asasi bagi mengawal kesejahteraan umat.

Keutuhan sebuah negara Islam adalah dipertahankan oleh dua kekuatan, iaitu kekuatan keimanan dan taqwa yang tertanam dalam hati rakyat jelatanya, dan kekuatan undang-undang yang menjadi teras kekuatan lahiriah negara itu.

Taqwa dan undang-undang merupakan dua kekuatan berkembar negara Islam yang tidak boleh dipisahkan. Sebarang usaha untuk memisahkan dua kekuatan itu akan memusnahkan identiti sesebuah negara Islam. Memang diakui bahawa hukum hudud atau kanun jenayah Islam umumnya yang diwarisi umat Islam pada hari ini belum dilengkapkan dengan teknik-teknik dan kaedah-kaedah pelaksanaan undang-undang yang moden seperti undang-undang ‘penal code’ yang ada pada hari ini adalah kerana beberapa sebab oleh sejarah dan politik.

Antaranya, yang pertama, kesuburan dan perkembangan kanun jenayah Islam telah terbantut sejak negara-negara Islam memasuki era kelemahan dan kejatuhan, di mana kanun jenayah Islam dari segi amalan tidak lagi berfungsi dalam masyarakat-masyarakat Islam dan oleh kerana itu ia tidak mendapat kesempatan untuk terus berinteraksi dengan realiti kehidupan manusia hingga ke zaman moden.

Kedua; Kerana ia ditulis di abad-abad yang silam berlandaskan realiti-realiti kehidupan umat Islam di zaman silam, akan tetapi walaupun begitu, ia tetap kekal dengan ciri-ciri semulajadinya yang sanggup mengikuti perkembangan zaman dan perubahan kehidupan manusia. Lunas-lunas dan kaedah-kaedahnya yang universal (sejagat) yang dapat dipakai pada semua zaman dan tempat.

Jika kepakaran teknikal ahli perundangan di zaman ini bergabung dengan kepakaran ilmiah Islamiah ahli perundangan Islam yang telah lama wujud di negara kita dan negara-negara Islam yang lain, sudah tentu kanun jenayah Islam dapat diletakkan dalam satu acuan baru yang dapat mencerminkan dinamisme (kehadapan) dan realismenya yang utuh untuk menghadapi kehendak realiti kehidupan moden.

Buku ini adalah hasil dari saringan bebas dari sebuah buku perundangan Islam yang besar yang paling mutakhir dan sedang mendapat populariti yang tinggi dan meluas di dunia Islam iaitu buku:

 الفقه الإسلامي وأدلته

(Kefahaman Perundangan Islam Dan Dalil-dalilnya)
Hasil karangan ulama Islam semasa yang terkemuka, Doktor Wahbah az-Zuhayli -hafizahullah-.

Bahagian yang dimasukkan dalam buku yang kecil ini ialah bahagian hukum hudud mengenai jenayah-jenayah zina, qazaf (membuat tuduhan zina ke atas orang lain), mencuri, merompak dan minum arak sahaja dengan tujuan agar buku ini tidak menjadi tebal dan cukup untuk mengenal garis-garis besar hukum hudud dengan beberapa perinciannya yang penting.

Setiap pembaca yang menatap buku ini dengan hati nurani yang terbuka dan dengan kesedaran seorang mukmin yang mempunyai hubungan yang peka dengan Allah dan Rasul-Nya akan melihat dan menginsafi bahawa hukum hudud itu adalah undang-undang yang diaturkan oleh kebijaksanaan Allah SWT yang mengetahui tabiat hati dan naluri manusia yang diciptakannya. Ia bukannya undang-undang yang digaris secara sewenang-wenangnya yang hanya sesuai dengan zaman unta dan masyarakat padang pasir yang bersahaja, malah selanjutnya ia akan memperolehi keyakinan bahawa hanya hukum hudud ciptaan Allah sahaja yang mampu menyelamatkan tamadun manusia dari keruntuhan akhlak dan kemusnahan sosial akibat kebebasan perlakuan jenayah seks, jenayah mencuri dan merompak, jenayah membunuh dan menceroboh dan merosakkan.

Masyarakat Amerika yang membangga-banggakan dirinya sebagai negara yang terkuat dan mempunyai tamadun yang paling tinggi dan sebagai satu-satunya negara yang layak menjadi polis dan hakim dunia dapat dijadikan contoh yang amat jelas bagaimana ketamadunan negara itu sedang dicemari keruntuhan akhlak dan perlakuan jenayah yang berleluasa hingga ketamadunannya tidak lagi mencerminkan konsep tamadun dalam erti kata yang murni dan sebenar.

Gaya perundangan jenayah barat kebelakangan ini menjurus ke arah kaedah bersimpati dengan penjenayah dan meringankan hukuman terhadap mereka. Hasil yang paling jelas dari kaedah ini ialah penghapusan hukuman bunuh atau ‘Capital Punishment’, memandang ringan kepada jenayah zina dan jenayah minum arak dan mengenakan hukuman yang menggalakkan ke atas pencuri-pencuri dan perompak-perompak. Akibat trend perundangan yang lembut inilah penjenayah-penjenayah yang keji itu berkembang begitu pesat dan subur dan mengakibatkan penderitaan-penderitaan yang amat berat kepada masyarakat di seluruh dunia dan menyebabkan rancangan pembesaran penjara-penjara sama penting dengan pembesaran kolej-kolej.

Dari penjelasan buku yang kecil ini, setiap pembaca dapat melihat bahawa pelaksanaan hukum hudud dari awal hingga akhirnya adalah diikat dengan berbagai-bagai syarat yang ketat dan boleh digugurkan dangan berbagai-bagai keraguan, malah dalam kes rejam yang paling berat sekalipun, orang yang dihukum masih mempunyai kelonggaran untuk melarikan diri semasa menjalani hukuman dan dalam sesetengah kes hudud yang lain, hukuman hudud tergugur sekiranya dengan taubat sebelum penjenayah itu ditangkap.

Ciri-ciri hukum hudud yang menarik ini membayangkan bahawa matlamat hukum hudud adalah semata-mata untuk mewujudkan kesan pencegahan yang mendera dan memeritkan bukannya untuk membinasakan penjenayah demi melindungi kesejahteraan masyarakat. Di samping itu konsep hukuman dan balasan dalam Islam bukan semuanya diselesaikan di dunia ini, malah seluruh insan akan dibicarakan kembali dalam pengadilan terakhir di hadapan Allah SWT pada hari akhirat, oleh sebab itulah dalam hukum hudud terdapat lorong-lorong yang selamat untuk memberi peluang kepada pesalah itu menginsafi diri mereka di dunia atau bertaubat sebelum menghadapi pengadilan di akhirat buat kali terakhir.

Dengan syarat-syarat yang ketat dan faedah-faedah keraguan (benefit of doubts) yang luas yang diperuntukkan di dalam hukum hudud tidak boleh disifatkan sebagai undang-undang mandatori yang mutlak seperti Akta Undang-Undang Dadah Merbahaya yang dilaksanakan di negeri ini, malah perselisihan pendapat di antara ahli-ahli perundangan Islam dalam mentafsirkan sesetengah peruntukan di dalam hukum hudud, telah menjadikan hukum hudud suatu undang-undang yang banyak memberi ruang kepada pertimbangan dan ijtihad para hakim untuk membuat keputusan yang berhemat.

Ia jauh berbeza dari undang-undang dadah merbahaya ciptaan manusia yang tidak memberi ruang-ruang pertimbangan perikemanusiaan yang logik yang dapat memberi kepuasan dan ketenangan kepada hati nurani yang merasa bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap setiap nyawa yang dihukum oleh mereka.

Pelaksanaan hukum hudud sebagaimana yang dapat diperhatikan dari penjelasan buku ini lebih mendalam dan lebih serius dalam mendokong aspek rahmat dan kasihan belas yang tidak terdapat di dalam undang-undang dadah merbahaya ciptaan manusia yang tidak sanggup membezakan secara berperikemanusiaan di antara pengedar-pengedar dadah yang sebenar dengan pengambil-pengambil upah yang miskin, jahil dan terdaya, juga di antara pengedar-pengedar dadah yang sebenar dengan orang-orang yang bernasib malang yang terjebak dalam deeming provision atau dalam definisi pemilikan dadah mengikut undang-undang dadah.

Setengah-setengah hakim diakhir pembicaraan dadah merbahaya yang berbunyi: “Saya tidak mempunyai pilihan selain dari menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas kamu” adalah merupakan sesuatu pernyataan yang mengungkapkan kebuntuan dan kekecewaan hati nurani yang peka untuk menemui jalan-jalan rahmat dan kasihan belas.

Saya percaya setiap pembaca yang meneliti syarat-syarat pelaksanaan hukum hudud dengan sadar dan insaf dari awal hingga akhir akan membuat kesimpulan yang spontan bahwa hukum hudud walaupun bersifat mandatori amat sukar dilaksanakan melainkan ke atas penjenayah-penjenayah yang yang amat jahat dan benar-benar wajar dihukum atau penjenayah yang amat jujur dan amat tinggi keinsafan dan taqwanya hingga sanggup meminta hukuman dijalankan ke atasnya walaupun diberi isyarat oleh hakim supaya tidak membuat pengakuan seperti itu.

Di samping itu pelaksanaan hukum hudud tidak seharusnya membimbangkan orang-orang bukan Islam, kerana hukum hudud bertujuan mewujudkan suasana aman yang sebenar kepada semua penduduk negara tanpa mengira kaum dan bangsa. Mereka tidak seharusnya merasa takut kepada hukum hudud selama mereka menaruh kebencian dan bersikap menentang perlakuan jenayah-jenayah hudud yang keji itu atau selama mereka tidak bercita-cita untuk melibatkan diri di dalam jenayah-jenayah yang jahat itu.

Atau selama mereka tidak rela kedai-kedai mereka dicuri atau selama mereka tidak rela melihat isteri dan anak-anak gadis mereka dilarikan dan dirogol dengan kejam atau selama mereka bercita-cita untuk tidur nyenyak dalam suasana aman dan selesa tanpa mengenakan pada pintu-pintu rumah mereka dengan berbagai-bagai penggera yang canggih dan tanpa memasang kunci yang berlapis-lapis seolah-olah penjara-penjara kecil di tengah bandar.

Cara pelaksanaan hukuman rejam, hukuman sebat, hukuman potong tangan dan hukuman bunuh yang dijalankan di hadapan mata satu perhimpunan ramai akan membuat para penjenayah yang menjalani hukuman itu benar-benar merasakan bahawa mereka sedang dihukum oleh orang ramai. Di sinilah letaknya faktor-faktor keberkesanan hukum hudud yang dapat melahirkan kesan-kesan pencegahan yang berkesan sehingga membuat setiap orang yang bercita-cita untuk melakukan jenayah-jenayah hudud yang keji itu terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum melangkah ke alam jenayah itu.

Sebelum mengakhiri kata pendahuluan ini adalah wajar ditekankan sekali lagi bahawa kewajipan mempertahankan hukum hudud dari segi ilmiah dan kaedah perlaksanaannya bukan sahaja menjadi kewajipan cerdik pandai Islam yang tergolong dalam istilah alim-ulama seperti yang ditanggapkan selama ini, malah ia menjadi kewajipan semua pengamal undang-undang yang beragama Islam di seluruh negeri ini, yang terdiri dari hakim-hakim dan peguam-peguam yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaandan pengendalian undang-undang Negara.

Selaku seorang muslim yang bertuhankan Allah SWT dan mahir dalam perundangan negara, mereka berkewajipan mempelajari dan mengkaji selok-belok hukum hudud bersama para ulama dan membuat perakuan-perakuan yang membuka jalan ke arah pelaksanaan hukuman hudud yang diturunkan oleh Allah Taala. Mereka tidak wajar berselindung di sebalik lalang dengan alasan yang dangkal bahawa tugas mereka hanya menafsirkan undang-undang, bukan menggubal undang-undang, kerana di dalam realiti Islamnya, mereka adalah hakim-hakim dan peguam-peguam yang beragama Islam yang bertanggungjawab mengamal dan mengembangkan undang-undang Islam mengikut saranan-saranan yang berada di dalam keupayaan mereka selaku ahli undang-undang.

Sikap redha dan berpuas hati dengan undang-undang ciptaan manusia yang diambil dari Barat atau sebagainya adalah bertentangan dengan aqidah Islamiah yang dianut oleh mereka. Begitu juga sikap tidak peduli atau memandang remeh kepada undang-undang ciptaan Allah SWT akan meletakkan mereka dalam barisan orang-orang yang tidak menghormati dan menjunjung tinggi undang-undang Allah SWT, iaitu satu barisan yang bertenggek di tepi jurang kemusnahan aqidah dan keruntuhan iman.

Sebenarnya, kepakaran teknikal dan pengalaman-pengalaman yang luas dari para hakim dan peguam beragama Islam itu dapat memberi sumbangan-sumbangan pelaksanaan yang amat bermakna dalam penyusunan qanun jenayah Islam umumnya dan undang-undang hudud khususnya, di zaman kebangkitan umat Islam yang ingin kembali kepada sistem hidup Islam setelah gagal dengan undang-undang ciplak ciptaan manusia yang semata-mata berlandaskan kepentingan-kepentingan keduniaan.

Di samping itu, pengalaman-pengalaman kerajaan Arab Saudi serta kerajaan Sudan dan juga percubaan-percubaan kerajaan Pakistan dapat dijadikan panduan-panduan yang amat berguna dan membina dalam usaha mengemaskinikan teknikaliti pelaksanaan undang-undang hudud dalam dunia yang serba maju dan moden ini. Kita yakin dengan usaha yang sedemikian rupa dari para alim ulama yang berganding bahu dengan para hakim dan para peguam yang beragama Islam, negara ini lambat-laun akan dapat menikmati naungan di bawah undang-undang Islam yang adil dan aman.

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH

Semakin jauh kita mengkaji perundangan Islam dan kitab-kitab yang disusun oleh ahli perundangan Islam semakin kuat kepercayaan kita terhadap kemantapan syariat Islam dalam mengatur urusan kehidupan masyarakat, juga terhadap kebaikan pemikiran Islam, kebijaksanaan ahli-ahli perundangan Islam dan keagungan perundangan Islam, kerana hukum-hukumnya bukan sahaja dilandaskan di atas dalil-dalil naqli dari al-Quran dan as-Sunnah, malah ia menembusi begitu jauh di dalam jiwa dan akal manusia untuk mendapatkan dalil yang menguat dan menyokongnya sehingga ke masa kini, iaitu dalil yang menyokongnya dari aspek pelaksanaan yang praktikal dan menyumbangkan kekuatan kepadanya untuk kembali berfungsi semula dalam mengatur dan mengendalikan hubungan-hubungan social, hubungan-hubungan dagang, dan hubungan dua hala yang berlangsung setiap hari di antara individu-individu, juga dalam mengembalikan hubungan antarabangsa.

Tujuan memilih dan mengambil undang-undang Islam ialah untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam yang kukuh, terhormat, bersih, aman dan tenteram dimana tiada ruang untuk ditawarkan kehinaan atau menyerah kalah kepada musuh, masyarakat yang tidak memberi tempat kepada perlakuan jenayah dan kegiatan-kegiatan yang tidak menentu, masyarakat yang tidak memberi pertimbangan kepada kelakuan-kelakuan pelik dan menyeleweng, perbuatan yang korup, atau mungkar dan maksiat. Ia bertindak ke arah itu secepat mungkin mengikut prinsip-prinsip Islam terutama prinsip memberi perlindungan kepada perbuatan jenayah yang tertutup atau dilakukan secara tidak terbuka dan prinsip menolak dan mengenepikan hukum-hukum hudud bukan hukum ta’zir apabila terdapat keraguan.

Di antara faktor yang benar-benar menarik kita kepada undang-undang Islam ialah umat Muslimin di zaman kita telah pun mencuba segala barangan import di dalam bentuk undang-undang dan peraturan-peraturan, idea-idea dan budaya-budaya serta berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang bersifat materialistik yang sempit atau kebendaan semata-mata, tetapi pada akhirnya golongan yang insaf dan sedar telah kembali kepangkuan Islam setelah sistem import itu gagal memajukan individu dan masyarakat, dan setelah terbuka tembelangnya yang selama ini ditutup dengan lapisan cat tamadun yang palsu, yang mana dari tamadun palsu inilah kita telah mengambil sesuatu yang rendah serta tidak bermutu dan meninggalkan intan atau sesuatu yang berguna lalu kita tegakkan kehidupan umat Islam mengikut sistem-sistem dan budaya-budaya import itu yang telah mengakibatkan kerosakan kepada nurani dan fikiran-fikiran mereka.

Di samping menanamkan keraguan dan sikap tidak yakin kepada diri sendiri, menggoncang nilai, sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang murni dan pada akhirnya sistem itu gagal kecuali mengekalkan kita menjadi satu umat yang lemah yang bergantung pada orang lain, satu umat yang tidak diketahui identitinya atau satu umat yang tidak mempunyai keperibadiaan yang tersendiri sama ada keperibadian Islam atau keperibadian Arab, sama ada keperibadian Timur atau Barat.

Dengan dorongan yang kuat dari pemikiran yang sedar atau tidak sedar, masyarakat Islam menjurus ke arah Islam sebagai jalan keluar atau jalan selamat, tetapi malangnya orang-orang Islam hanya menumpukan kegiatan mereka dalam bidang ibadat sahaja menyebabkan sistem hidup mereka berada di suatu sudut dan kegiatan ibadat mereka berada di sudut yang lain. Mereka berada dalam keadaan dua jalan yang terumbang-ambing dan bertentangan antara satu sama lain, mereka berada dalam keadaan bingung dan bosan, mereka berada dalam keadaan serba salah yang baru walaupun tidak seburuk berpisah terus daripada Islam.

Tiada jalan lain yang dapat menyelamatkan umat Islam dari keadaan dua jalan yang terumbang-ambing itu selain dari pelaksanaan syariat Allah SWT secara menyeluruh dalam semua bidang muamalah, jenayah, hudud dan lainnya, serta mengubah undang-undang ciptaan manusia. Sehubungan dengan ini, sinar harapan telah kelihatan, di mana langkah-langkah yang positif sedang menjurus kearah menegakkan kembali undang-undang syariat di negeri-negeri Arab dan di negeri-negeri Islam untuk membersihkan masyarakat dari keruntuhan akhlak dan penyelewengan, menegakkan keperibadian sendiri dan mengendalikan segala urusan kehidupan masyarakat mengikut pemikiran Islam baik dalam bidang politik ataupun sosial ekonomi mahupun dalam bidang ketenteraan, juga untuk menghancurkan segala belenggu kehinaan, membasmi segala bentuk pencerobohan dan pencabulan, memerangi segala jenis eksploitasi di samping menghidupkan kepercayaan kepada diri sendiri dan menyatukan umat Islam di bawah panji-panji al-Quran dan sunah Rasulullah SAW dan mengambil manfaat dari kajian-kajian perundangan Syariah yang tidak terkeluar dari dua sumber tersebut.

Kini orang-orang Islam telah sedar bahawa satu-satunya jalan untuk mencapai kemuliaan, menolak pencerobohan musuh dan membebaskan bumi Islam dan hak-haknya yang telah dirampas itu ialah bersatu-padu di bawah panji-panji jihad untuk menegakkan agama Allah SWT sama seperti perpaduan dan pengemblengan kekuatan yang telah dilakukan oleh musuh terhadap kita. Mereka telah memerangi kita di bawah lambang ideologi kebangsaan dan perkauman mereka yang keji.

Mengenal hukum-hukum aqad, peraturan-peraturan jihad yang digariskan dalam perundangan Islam, hukum-hukum hudud dan jenayah, sistem kehakiman Islam yang adil dan prinsip-prinsip undang-undang Islam merupakan satu cabang dari pokok besar yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi ahli-ahli undang–undang dan kehakiman di dunia ini.

Tetapi yang amat menyedihkan ialah wujudnya sesetengah golongan orang Islam yang jahil tentang kajian perundangan Islam yang subur itu telah menyifatkan kajian itu sebagai longgokan undang-undang yang tidak tersusun kerana didorong oleh perasaan kasih mereka kepada barat dan kerana ditekan oleh perasaan rendah diri dan tidak percaya kepada diri sendiri dan kerana jahil dengan tuntutan-tuntutan kehidupan dalam pelbagai bentuk andaian-andaian dan kemungkinan yang wujud dalam proses perlaksanaan undang-undang yang ada sekarang ini.

Mereka merasa senang dan selesa dengan hidangan undang-undang ciptaan Barat dan lebih bangga menyebut pendapat Tuan Fulan.. dan Mr. Fulan.. dari menyebut pendapat tokoh-tokoh ulama Islam yang besar yang telah berjaya mengeluarkan pendapat-pendapat, konsep-konsep dan hasil-hasil karya yang menjadi idaman para pembesar, alim-ulama, ahli-ahli falsafah dan para cendikiawan.

Kepada generasi umat Islam di zaman ini kita menyeru, marilah kita kembali kepada perundangan Islam yang kaya dan subur ini, marilah kita menghayati mata-airnya yang nyaman dan menceduk undang-undang yang sesuai dengan zaman kini. Semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita untuk memilih undang-undangnya yang mudah dan selesa, semoga Allah mengurniakan keyakinan yang kukuh, pemikiran yang matang dan perasaan yang peka untuk memilih peraturan-peraturan yang baik, juga untuk mengesan kebenaran dan mencegah kebatilan dari akar umbinya.

Di sinilah kita mengetahui bahawa perjuangan menegakkan panji-panji Islam memerlukan kepada usaha menyiapkan satu tapak yang kukuh untuknya dalam bentuk mewujudkan realiti yang praktikal untuk perundangan Islam, pemikiran Islam dan dakwah Islam yang bersifat membina, kerana dakwah Islam bukannya kenyataan bersifat sentimen yang berkobar-kobar atau bukannya suatu kerangka kosong yang tidak mempunyai isi dan metodologi. Usaha mewujudkan tapak yang kukuh itu adalah bertujuan untuk menjamin kesinambungan dakwah agar ia tidak dapat digugat oleh pukulan ribut taufan yang kencang atau digugat oleh angkara tipu daya musuh.

Dalam pengajian perundangan Islam dari semua alirannya, terdapat bukti yang kukuh bahawa undang-undang Islam sesuai untuk dilaksanakan pada setiap zaman. Ia merupakan satu jalan yang betul untuk merealisasikan syakhsiah Islamiah yang padu kerana Islam berfungsi sebagai faktor yang membina dan menyatu-padu, bukannya faktor yang memecah-belah sebagaimana yang dilihat oleh pemikir-pemikir yang dangkal fahamannya. Perselisihan pendapat dalam kalangan ahli-ahli perundangan Islam hanya berlaku dalam isu-isu kecil atau isu-isu ijtihadiyah sahaja, bukan dalam persoalan-persoalan prinsip dan tujuan.

Oleh sebab itulah dirasakan amat perlu agar pengajian perundangan Islam itu dibentangkan dengan gaya penjelasan yang mudah dengan berlandaskan dalil-dalil yang sahih untuk menimbang-tara dan membandingkan pendapat-pendapat perundangan di samping memudahkan jalan untuk mentarjih (menguatkan) atau memilih pendapat-pendapat yang lebih baik dan sesuai dengan aliran zaman.

Inilah perkara yang saya ingin lakukan dalam buku ini melalui usaha-usaha yang bersungguh-sungguh, -Allah SWT sahaja yang mengetahuinya- untuk menjelaskan setiap pendapat perundangan dan mengetahui hukum setiap masalah yang terdapat dalam kitab-kitab feqah yang lama dengan harapan dapat memberi manfaat yang sebaik-baiknya.

HUKUM HUDUD

(Hudud adalah kata majmuk) dari “Al-Hadd” yang bermakna “kawalan” atau “cegahan”. Dari asal kata yang sama penjaga atau pengawal pintu dipanggil Haddad kerana ia mengawal dan mencegah seseorang dari memasukinya. Hukuman-hukuman dinamakan sebagai hukum-hukum hudud kerana ia berfungsi mencegah orang ramai dari melakukan jenayah-jenayah yang dikenakan oleh hukum hudud. Istilah Hududullah bererti perlakuan-perlakuan yang diharamkan dan dicegah oleh Allah SWT.

Firman Allah s.w.t:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا


"Itulah perlakuan-perlakuan yang diharamkan Allah oleh kerana itu janganlah kamu dekatinya." (al-Baqarah : 187)

Istilah Hududullah juga bererti “hukuman-hukuman yang telah ditentukan Allah” yang tidak seharusnya dilakukan seseorang. Hukum-hukum ini dinamakan Hudud kerana ia mencegah seseorang dari melakukannya.

Firman Allah s.w.t:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا


"Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh kerana itu janganlah kamu mencabulinya." (al-Baqarah : 229)

Hudud mengikut pengertian syara’ yang diguna pakai mazhab Hanafi ialah hukuman-hukuman yang ditentukan dan diwajibkan Allah SWT sebagai hak Allah Taala. Hukum-hukum Ta’zir tidak ditentukan Allah (malah diserahkan kepada budi-bicara pemerintah. Hukum Qisas (balasan bunuh) juga tidak dinamakan Hudud walaupun ia merupakan suatu hukuman yang telah ditentukan Allah SWT kerana hukum Qisas merupakan hak manusia bukannya hak Allah, kerana itu hukum Qisas boleh dimaafkan dan dicari perdamaian, tetapi semua hukuman-hukuman itu dinamakan hudud kerana ia mencegah perlakuan jenayah seperti itu daripada berlaku.

Maksud hukum hudud itu disifatkan sebagai hak Allah SWT kerana hukum hudud diperundangkan dengan tujuan untuk melindungi maruah, keturunan, harta benda, akal dan nyawa dari ganguan dan pencerobohan, tetapi sesetengah hukum hudud seperti hukuman perzinaan dan minum arak adalah hak Allah Taala semata-mata dengan erti, ia adalah hak masyarakat. Dan sesetengah hukum hudud yang lainnya seperti hukum hudud qazaf (membuat tuduhan berzina terhadap orang lain) merupakan hak Allah dan hak manusia, iaitu satu hukum dimana hak peribadi berkongsi dengan hak umum.

Hukum hudud mengikut istilah kebanyakan ulama yang bukan dari aliran Hanafi ialah hukuman yang ditentukan oleh syara’ sama ada ianya hak Allah SWT atau hak manusia.

JENIS-JENIS HUKUM HUDUD

Jenis-jenis hukum hudud ialah hukum hudud kerana berzina, hukum hudud kerana membuat tuduhan zina, hukum hudud kerana mencuri, hukum hudud kerana merompak, hukum hudud kerana meminum arak dan sebagainya. Mengikut mazhab Imam Hanafi, hukum hudud itu lima:

1- Hukum hudud kerana mencuri.
2- Hukum hudud kerana berzina.
3- Hukum hudud kerana minum arak
4- Hukum hudud kerana mabuk.
5- Hukum hudud kerana tuduhan zina.

Hukuman hudud kerana merompak termasuk dibawah hukum mencuri dengan pengertian yang lebih luas kemudian ditambah dua hukum yang lain mengikut mazhab-mazhab selain daripada mazhab Hanafi, iaitu hukum hudud kerana Qisas dan hukum hudud kerana murtad. Jadi, hukum hudud mengikut mazhab ini adalah tujuh, dengan alasan bahawa hukum hudud itu, adalah hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT yang perlu diikuti dan tidak boleh diingkari seseorang, juga dengan alasan hukum hudud mengikut pendapat yang sah adalah meliputi hukuman kerana memelihara hak Allah dan hukuman kerana memelihara hak-hak manusia, antaranya ialah hak Qisas.

Berdasarkan penjelasan ini kita mempunyai dua istilah mengenai hukum hudud.

Pertama:

Istilah mengikut mazhab Hanafi yang masyhur, iaitu mengkhususkan hukum hudud kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu hukuman yang bertujuan melindungi kepentingan masyarakat, iaitu lima jenis hukuman yang telah diterangkan sebelum ini dengan memasukkan hukum hudud merompak kedalam hukum hudud mencuri, juga dengan membezakan hukuman hudud kerana meminum arak yang diperbuat daripada anggur dengan hukuman hudud kerana minum minuman yang memabukkan yang diperbuat daripada bahan selain daripada anggur, iaitu seperti minuman yang diperbuat daripada beras belanda, madu, cuka dan sebagainya.

Kedua:

Istilah kebanyakan ahli perundangan yang bukan dari mazhab Hanafi,iaitu perkataan hukum hudud diistilahkan kepada setiap hukuman yang telah ditetapkan Allah SWT sama ada hukuman itu bertujuan untuk melindungi hak Allah Taala atau hak individu-individu. Hukuman-hukuman itu adalah sebanyak tujuh jenis hukuman termasuk hukuman Qisas dan hukuman murtad. Saya akan menyentuh tujuh jenis hukuman ini dengan menjelaskan bahawa jumlah jenayah-jenayah hudud ialah lapan jenis iaitu berzina, membuat tuduhan zina, minum minuman yang memabukkan, mencuri, merompak, menderhaka atau merompak, murtad dan membunuh dengan sengaja yang dikenakan hukuman Qisas. Semua hukuman ini dikira sebagai hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Ujar Al-Mawardi: Perbuatan-perbuatan jenayah ialah perbuatan yang terlarang disisi undang-undang syara’ dan ia dicegah dengan hukum hudud dan hukum Ta’zir.

HIKMAH DIPERUNDANGKAN HUKUM HUDUD

Hikmah dan tujuan diadakan hukum hudud atau hukuman-hukuman ialah untuk mencegah dan menahan manusia dari melakukan jenayah-jenayah itu dan untuk melindungi masyarakat dari kerosakan dan membersihkannya dari sebarang perlakuan jenayah.

Ujar Ibnu Taimiyyah rahimahullahu Ta’ala:

Antara rahmat Allah SWT ialah Dia mengenakan hukuman terhadap perlakuan jenayah yang berlaku diantara sesama manusia yang melibatkan nyawa, tubuh badan, maruah dan kehormatan, harta benda, iaitu perlakuan jenayah membunuh, meluka, membuat tuduhan zina dan mencuri.
Dan Allah SWT telah mengatur kaedah-kaedah untuk mencegah jenayah-jenayah itu dengan undang-undang yang amat halus, kukuh dan menguatkuasakannya dengan sebaik-baik cara yang dapat mencapai maksud pencegahan itu tanpa melampaui batas yang wajar diterima oleh seorang penjenayah.
Oleh sebab itu, Allah SWT tidak mensyariatkan hukuman potong lidah atau bunuh ke atas pembohong dan tidak pula mengenakan hukuman memotong kemaluan ke atas mereka yang berzina atau mengenakan hukuman bunuh ke atas pencuri, malah Allah SWT mengenakan hukuman yang sesuai dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya Yang Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Lemah Lembut, Maha Pemurah dan Maha Adil dengan tujuan untuk menghapuskan jenayah yang mendatangkan bala dan mala petaka serta untuk membasmi keinginan-keinginan untuk melakukan kezaliman dan pencerobohan agar setiap orang berpuas hati dengan limpah kurnia dan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dan tidak tamak untuk merampas hak-hak orang lain.

ADAKAH HUKUMAN POTONG TANGAN ITU SUATU HUKUMAN YANG KEJAM?

Pelaksanaan hukuman potong tangan adalah merupakan satu cara pencegahan yang sesuai dengan penjenayah yang mengancam masyarakat. Ia merupakan hukuman yang memberi rahmat dan keamanan kepada orang ramai umumnya. Dalam Memorandum Penjelasan Kanun Hudud bagi jenayah mencuri dan merompak bilangan 148 tahun 1972 yang dikeluarkan di Libya terdapat kenyataan berikut:

Sesetengah golongan yang ragu dan was-was dengan senang hati menyifatkan hukuman potong tangan (dalam jenayah mencuri dan merompak) sebagai hukuman yang tidak sesuai dengan tamadun dan kemajuan serta menuduh hukuman itu sebagai kejam dan bengis. Mereka sebenarnya menumpukan pandangan mereka hanya kepada aspek kekerasan hukuman, tetapi mereka berpura-pura lupa kepada kekejaman jenayah itu dan kepada kesan-kesannya yang buruk terhadap masyarakat. Mereka pura-pura menangis kerana tangan si pencuri yang berdosa itu dipotong, tetapi mereka tidak merasa takut kepada jenayah mencuri dan berbagai-bagai kesan sampingannya yang buruk.

Berbagai-bagai lagi kesalahan dilakukan kerana jenayah mencuri. Pelbagai pencerobohan dilakukan ke atas orang-orang perseorangan dan banyak kecederaan parah dialami oleh orang-orang yang tidak berdosa kerana jenayah mencuri. Berapa banyak harta benda dan harta kekayaan telah diragut dan dirampas dan berapa ramai orang yang hidup tanpa rumah tangga kerana harta mereka dicuri dan kerana sumber rezeki mereka terputus akibah dicerobohi pencuri, tetapi semua akibat ini tidak pernah difikirkan oleh orang-orang yang merasa kasihan belas kepada tangan-tangan yang hanya sedikit yang dipotong untuk menjamin keamanan dan ketenteraman orang ramai.

Apakah mereka tidak menyoal diri sendiri manakah yang lebih selesa kepada masyarakat di antara memotong satu dua tangan setahun yang dapat menghapuskan jenayah mencuri dan mungkin selepas itu mungkin tiada lagi tangan yang dipotong dan orang ramai dapat hidup aman, di mana harta benda dan nyawa mereka terjamin selamat atau pencuri itu hanya dihukum penjara dan kerja berat untuk sementara atau untuk selama-lamanya bagi jenayah mencuri sahaja. Di dalam kebanyakan negeri di dunia, puluhan ribu kes jenayah kecurian berlaku setiap tahun.

Jenayah mencuri tidak pernah putus malah kian bertambah dari semasa ke semasa, kian beragam dan kian merebak. Kita masih mendengar berita bank-bank yang dirompak dengan nekad, keretapi-keretapi yang disamun di siang hari dan gudang-gudang yang dirompak. Jenayah mencuri harta benda sering dilakukan serentak dengan jenayah mencederakan, membunuh dan merogol mangsa-mangsa. Kes-kes yang seperti ini berlaku tidak terhingga banyaknya dan tidak dapat dicegah walaupun telah digunakan berbagai-bagai ilmu, kepandaian dan kuasa pihak tertentu.

Perlakuan jenayah-jenayah yang serius tidak dapat dicegah melainkan dengan mengenakan hukuman-hukuman berat yang berkesan. Sesuatu hukuman itu tidak dapat berfungsi sebagai hukuman jika ianya bersifat lembut dan lemah. Hukuman yang berjaya ialah hukuman yang dapat menumpaskan jenayah bukannya hukuman yang memberi kemenangan kepada jenayah.

Yang anehnya, ahli-ahli perundangan ciptaan manusia tidak memandang hukuman bunuh yang dikenakan ke atas sesetengah jenayah yang lain sebagai hukuman yang berat, sedangkan hukuman itu jauh lebih berat dari hukuman potong tangan yang dikenakan ke atas jenayah mencuri dan merompak. Konsep hukuman yang sebenar harus dilihat dari aspek kesesuaian dan keberkesanannya dalam membanteras setiap jenayah.

Satu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan ialah hukuman memotong tangan pencuri adalah jauh lebih baik dari membiarkan jenayah itu bermaharajarela di dalam masyarakat dan mengancam keamanan dan ketenteraman yang membawa kepada berbagai-bagai kemungkaran dah jenayah yang lain.

Sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat Islam selepas melaksanakan hukum hudud telah berada dalam keadaan aman dan tenteram pada keselamatan harta benda, maruah, kehormatan dan sistem pemerintahannya sehingga pernah penjenayah sendiri datang menyerahkan dirinya supaya dijalankan hukuman ke atasnya kerana ingin membesihkan dirinya dan menebus dosanya.

Negeri Hijaz dan seluruh negeri di Semenanjung Tanah Arab pada zaman yang lampau merupakan gelanggang-gelanggang yang aktif kepada jenayah mencuri dan menyamun yang ganas. Mereka melakukan jenayah itu sehingga ke atas rombongan jemaah haji lelaki dan perempuan yang ingin berkunjung ke Baitullah. Hanya sebilangan kecil sahaja dari mereka yang selamat pulang ke negeri mereka.

Tetapi apabila kerajaan Saudi menjalankan hukum hudud terhadap dua jenayah itu, maka negeri itu terus aman, jenayah mencuri berhenti dan geng-geng penyamun terus hilang sehingga negeri itu menjadi contoh negeri aman yang mengagumkan, di mana terhapusnya perlakuan jenayah mencuri dan menyamun walaupun jumlah penjenayah yang dipotong tangan itu sangat kecil dan tidak setanding dengan jumlah mangsa yang tidak berdosa yang terkorban dalam satu serbuan oleh pihak penjenayah. Mengikut rekod, jumlah pencuri yang dikenakan hukuman potong tangan hanya enam belas orang sahaja dalam masa dua puluh empat tahun.

Bertitik-tolak dari keterangan yang lalu, ternyatalah bahawa kekerasan yang bercirikan hukuman potong tangan itu sebenarnya merupakan suatu rahmat yang menyeluruh kepada masyarakat kerana terselamat dari keganasan jenayah kecurian dan rompakan serta kesan-kesannya yang amat buruk. Tindakan memotong tangan dan kaki sebilangan penjenayah yang amat kecil yang melanggar perintah Allah SWT itu adalah lebih selesa dari membiarkan jenayah itu bertindak secara berleluasa terhadap ribuan mangsa yang tidak berdosa menyebabkan jiwa, tubuh dan harta kekayaan mereka terkorban, malah kekerasan hukuman hudud merupakan rahmat kepada mereka yang terlintas di hati untuk melakukan jenayah itu, mereka terpaksa membatalkan angan-angan itu apabila mereka terbayangkan kepada kekerasan hukuman yang akan diterimanya nanti.

Kekerasan hukuman akan menghalangnya dari terjerumus ke dalam gaung jenayah. Hukuman itu merupakan satu kekerasan dalam suatu skop yang tertentu sahaja, tetapi ia membawa rahmat yang luas kepada seluruh masyarakat. Inilah sejajar dengan Syariat Islam selaku Syariat yang berlandaskan rahmat dan kasihan belas.

Bukankah Allah telah menyatakan dalam firmanNya:

كَتَبَ عَلَى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ


“Allah telah mewajibkan dasar rahmat kasihan belas keatas diri-Nya” (al-An'aam : 12)

Bukankah Allah Taala sifatkan diri-Nya dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim, Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih yang kita sebut pada setiap waktu?

Sementara Rasulullah SAW pula bersabda:

الراحمون يرحمهم الرحمن


“Orang-orang yang bersifat kasihan belas dirahmati Allah Yang Maha Penyayang dan Kasihan belas.”

Malah kita diperintah untuk menunjukkan sikap kasihan belas kepada makhluk haiwan. Jika beginilah sifat Syariat Islam, tentulah hukum-hukumnya dalam kanun hudud tidak boleh disifatkan sebagai kejam dan berat, malah hukuman-hukuman itu meupakan rahmat kepada seluruh orang ramai.

Melihat kesan hukuman hudud ke atas suatu golongan penjenayah yang kecil sahaja tanpa melihat kesannya yang baik ke atas masyarakat secara keseluruhan merupakan satu pandangan yang terbalik dan songsang, malah pandangan itu lebih hampir dan merupakan satu pandangan yang mempunyai kepentinggan dan diragui kejujurannya, kerana yang seharusnya menjadi asas pandangan ialah kepentingan penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahan mereka tanpa sebarang keraguan yang dapat mengenepikan hukuman itu.

Walaupun demikian, janganlah dilupakan bahawa Islam amat berhati-hati agar hukuman hudud tidak dilaksanakan kecuali perlakuan jenayah itu telah disabitkan bersalah dengan yakin. Sehubungan dengan ini, Islam telah mengenakan prosedur-prosedur untuk membuktikan jenayah dan mengenepikan hukuman hudud apabila terdapat keraguan-keraguan yang munasabah. Langkah-langkah ini adalah bertujuan untuk mengalakkan pelaksanaan hukuman hudud kecuali dalam kes-kes yang tertentu sahaja agar tercapai keberkesanannya dalam mencegah perlakuan jenayah dan mengenakan kawalan yang maksima ke atasnya.

Malah pelaksanaan sesetengah hukum hudud seperti hukuman sebat –mengikut prinsip-prinsip Syar’iyah– lebih disukai oleh sesetengah penjenayah dari dikenakan hukuman penjara selama beberapa waktu sama ada panjang atau pendek. Hukuman rejam pula merupakan hukuman bunuh secara terbuka yang amat memeritkan. Ia merupakan hukuman masyarakat ke atas mereka yang sanggup mencabul maruah dan kehormatan.

PERBEZAAN DI ANTARA KANUN HUDUD DAN KANUN TA’ZIR

Ciri-ciri perbezaan antara keduanya ialah:

1. Hukum hudud dan Qisas telah di tetapkan oleh Allah SWT dari awal lagi di dalam jenayah-jenayah yang tertentu, di mana hakim tidak boleh menggunakan budi bicaranya dalam menilai hukuman-hukuman itu mengikut keadaan-keadaan penjenayah atau mengikut suasana-suasana berlakunya jenayah itu. Adapun hukuman-hukuman Ta’zir (keseksaan), maka ia terserah kepada budi-bicara hakim, di mana ia boleh menimbang dan memilih hukuman yang sesuai mengikut keadaan, penjenayah, keperibadian, kesalahan-kesalahannya yang telah lepas dan mengikut keberkesanan atau kesesuaiannya dengan hukuman itu, juga mengikut keadaan suasana perlakuan jenayah itu dan kesannya kepada masyarakat.

Walaupun demikian, kuasa membuat pertimbangan dan penilaian yang diberikan kepada hakim itu adalah terikat dengan peaturan-peraturan yang ketat terutama dalam aspek memilih hukuman-hukuman keseksaan yang sesuai dengan perlakuan-perlakuan kesalahan yang termasuk dalam perbuatan masiat. Untuk maksud itu, seorang hakim disyaratkan untuk mempunyai pengetahuan hukum yang mencapai tahap mujtahid mengikut mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali. Di sini ternyatalah bahawa kuasa yang diberikan kepada hakim itu bukan kuasa mutlak yang terikat terhadap mana-mana peraturan-peraturan yang tertentu, di mana pihak tertuduh tidak mendapat jaminan-jaminan keadilan.

2. Hukum hudud wajib dilaksanakan oleh pemerintah, begitu juga hukuman Qisas jika tidak dimaafkan oleh wali darah. Hukuman-hukuman hudud tidak boleh dimaafkan, dibebas, disyafaat dan digugur dengan sebarang alasan dan sebab, tetapi di dalam hukuman Ta’zir di sana terdapat ruang perselisihan pendapat di antara tokoh perundangan Islam. Mengikut pendapat tokoh perundangan Islam yang besar, iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Ahmad, hukuman Ta’zir wajib dilaksanakan oleh pemerintah sama seperti hukuman hudud, tetapi boleh dimaafkan jika pemerintah berpendapat kemaafan itu boleh mendatangkan kebaikan atau melihat penjenayah itu boleh menjadi baik dengan cara-cara yang lain daripada mengenakan hukuman keseksaan seperti dikenakan celaan atau sebagainya.

Sementara Imam as-Syafi’e berpendapat bahawa hukuman Ta’zir tidak diwajibkan ke atas pemerintah untuk melaksanakannya. Ia diberi kebebasan melaksanakannya atau tidak melaksanakannya, kerana hukuman Ta’zir adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh syara’. Ia sama seperti hukuman pukulan yang dilakukan oleh seorang bapa, guru atau suami.

Punca pebezaan pendapat ini ialah kerana hukuman-hukuman Ta’zir melibatkan perkara-perkara yang sesetengahnya merupakan hak Allah SWT seperti menghina sahabat-sahabat Rasulullah SAW atau menghina al-Quran dan sebagainya atau sesetengahnya merupakan hak individu yang boleh dimaafkan seperti, perbuatan memukul atau memaki seseorang dan sebagainya.

3. Hukuman Ta’zir sesuai dengan prinsip umum yang menetapkan perlu wujudnya perbezaan hukuman kerana perbezaan jenayah, sedangkan hukum hudud sama sahaja. Ia tidak berbeza dengan sebab besar kecil perlakuan jenayah, iaitu ia sama sahaja di antara kesalahan mencuri satu dinar dengan kesalahan mencuri seribu dinar, di antara peminum arak yang minum sedikit atau yang meminum arak dengan banyak.

(Dalam Bab Yang Ketiga pula pengarang mula menjelaskan satu-persatu tentang hukum Hudud secara ringkas. Sila baca bukunya, jika di Kelantan boleh didapati di kedai buku Syarikat Ja’far Rawas, Kota Bharu.)


Dipetik dari - abuanasmadani.com

Tuesday, August 21, 2012

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal


Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman

Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabung Qadha dan Sunat

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, Asyura dan enam hari dalam bulan Syawal). Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi),

Maksudnya: "Setiap amal manusia adalah untuk di rinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu)." (Rasulullah menjelaskan): "Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi." [Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah SWT menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun". [Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Risalah ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal

Abu Ayyub Al -Ansari RA berkata: Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengi ringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun." [Muslim no: 1164]. Di dalam hadis ini Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Hukum Puasa Enam Syawal

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi RH: "Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal). Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan." [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah RA berkata,

Maksudnya: "Nabi SAW melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha." [Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama? ialah:

1 - Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhi rnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari -harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT, maksudnya:

"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat ) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." [Surah Aali Imran: 133]

2 - Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.

Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya'ban yang akan datang. Aisyah RA berkata,

Maksudnya: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya'ban." Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. [Muslim no: 1146. Al-Bukhari, no: 1950] Penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah SAW" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa'id.

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, yakni Aisyah RA, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya'ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

Rasulullah SAW mensyaratkan "berpuasa Ramadhan" terlebih dahulu, kemudian barulah "mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal".

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah RA.

Menurut Imam An-Nawawi RH, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: "Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya". [Syarah Sahih Muslim 8/22].

Menurut Al -Khatib Asy-Syarbini: "Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat". [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub al-Ilmiah, Beirut].

3 - Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Mughni Al-Muhtaj 2/184, Hasyiah Asy-Syarqawi 1/428, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahu a'lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat ) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula).

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah SAW.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah SWT akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang di redhai-Nya.

Dipetik dari - abuanasmadani.com

Saturday, August 18, 2012

Sunah dan adab menyambut hari raya


Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman

Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan.

Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW menyambut Hari Raya, antaranya ialah;

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.

Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”

Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama? telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ia juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya

Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4. Takbir Hari Raya

Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas?ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik.

Kata ulama, “Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.” Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya

Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik

6. Berpakaian baru/cantik di hari raya

Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.

7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.

Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;

i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat.

ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.

iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.

iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

8. Solat Hari Raya. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.

Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.

a- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat kedua ada lima kali takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi SAW.

b-Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A?la dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasyiah berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi SAW.

c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas katanya:

“Aku menyaksikan Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”

d- Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: “Telah sepakat para fuqaha? bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”

9. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]

Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawaduk dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”

Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

10. Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

11. Zakat Fitrah. Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam al-Bukhari meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

Kesalahan yang dilakukan pada hari raya

Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita telah mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakn lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.

Semoga ‘Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan.

Dipetik dari - abuanasmadani.com

Friday, August 10, 2012

Dua kerosakan umat hari ini


Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz

Ada dua kerosakan besar yang menimpa ke atas masyarakat Islam hari ini. Kerosakan ini secara jelas berpunca daripada tempoh lama ratusan tahun umat Islam berada di dalam kepungan penjajahan barat ke atas dunia Islam yang secara fizikalnya, telah berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan oleh negara-negara umat Islam tersebut.

Tetapi kemerdekaan fizikal itu bukanlah mengubati segala penyakit yang telah menjalar ke segenap urat nadi umat. Ia memerlukan tempoh yang tidak pendek untuk para pengislah (muslih) daripada kalangan pejuang umat untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Dua kerosakan besar yang mengundang pelbagai masalah umat itu ialah:

Pertama, kerosakan pemikiran umat Islam.

Islam membina pemikiran atau ideologi Islam. Pemikiran Islam lahir secara begitu mendasar daripada akidah Islam yang terbina daripada keimanan terhadap Allah, kitab dan rasul-Nya. Akidah yang bertunjangkan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib, hidup sesudah mati dan hari pembalasan itu telah membentuk pemikiran hidup umat Islam yang suci, sempurna dan membangunkan kehidupan sebenar manusiawi.

Apabila berlaku penjajahan ratusan tahun barat ke atas umat Islam yang saat itu, telah dilalaikan oleh kebendaan dan kezaliman para penguasa, mereka berusaha untuk menukar dan memurtadkan umat Islam. Tetapi akidah tauhid begitu bersebati di dalam jiwa dan nadi umat Islam. Mereka gagal di situ tetapi tidak di dalam memastikan umat Islam lemah selama-lamanya.

Justeru mereka begitu bersedia melancarkan serangan pemikiran yang merosakkan pandangan umat Islam terhadap kehidupan, malah terhadap ugama mereka sendiri.

Akhirnya, dalam tempoh beberapa kurun, mereka mampu melahirkan generasi umat Islam yang tidak lagi membangunkan pemikiran mereka berasaskan akidah yang suci. Lahir kerosakan pemikiran yang dahsyat seperti;

1) Islam adalah agama akhirat dan memberi manfaat untuk akhirat sahaja. Urusan dunia adalah milik ilmu akal yang menolak akidah Islam yang dilihat menolak logik akal dan ilmu manusia yang sentiasa berkembang.

2) Islam tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan. Sebarang usaha mempolitikkan Islam atau mengislamkan persada politik dianggap satu jenayah terhadap kesucian ugama. Islam terlalu suci untuk bicara soal hiruk-pikuk politik yang kotor.

3) Hukum-hakam di dalam al-Quran tidak lagi sesuai kerana begitu ketinggalan zaman. Jika dilaksanakan, ia adalah fitnah terhadap agama dan kezaliman terhadap manusia moden.

4) Demi kemajuan, umat Islam mestilah menerima cara barat yang telah maju dan moden sekali kehidupan mereka walaupun umat Islam terpaksa mengorbankan nilai-nilai murni agama dan kehidupan umat Islam sendiri. Itu adalah bayaran terhadap sebuah kehidupan yang lebih baik dan mampu menyaingi barat.

5) Pendidikan jasmani dan kemajuannya lebih penting daripada pendidikan rohani dan kemajuannya. Apa-apa bentuk ibadah dan riadah rohani dikira salah dan perlu ditinggalkan jika ia bertentangan dengan logik akal dan kemajuan fizikal.

Itu adalah contoh kerosakan pemikiran umat Islam hari ini yang secara jelas telah menolak Islam sebagai sebuah agama kehidupan di dunia dan akhirat, rohani dan jasmani, hari ini dan akan datang, malah satu-satunya agama yang sempurna dan menyeluruh.

Kerosakan pemikiran umat Islam yang telah memesongkan cara berfikir mereka tersebut telah meruntun kepada kerosakan seterusnya yang lebih parah iaitu;

Kedua, kerosakan akhlak umat Islam.

Islam bukan sekadar akidah dan pemikiran yang hanya tertanam di dalam diri tanpa membina dan dan mewarnai kehidupan manusia di alam nyata. Malah, binaan akidah dan pemikirannya adalah dengan tujuan mengarah dan menyusun kehidupan manusia.

Rasulullah menerima wahyu, membacanya dan membina generasi awal selama lebih 20 tahun. Tempoh lama itu, walaupun dengan kehendak Allah ia boleh dipendekkan semahu-Nya, adalah dengan satu hikmat besar iaitu sebagai satu penyediaan qudwah dari rasul-Nya itu untuk umat manusia sehingga kiamat. Baginda berada di atas singgahsana akhlak yang tinggi dengan sifat-sifat kemuliaan yang perlu digapai dan ditiru oleh umatnya.

Adalah pelik dan sukar dibayangkan, umat yang bernabikan manusia qudwah, tiba-tiba menonjolkan wajah kehidupan yang begitu buruk akhlaknya. Tetapi itulah hakikat yang terlihat daripada kehidupan umat Islam hari ini.

Daripada pemerintah negara umat Islam yang terkedepan dengan isu-isu pembaziran wang negara, salah guna kuasa, rasuah, penindasan dan pengkhianatan sampailah ke peringkat rakyat bawahan dengan isu-isu kekotoran, dadah, zina dan sebagainya, adalah begitu jelas ia telah menjadi kerosakan besar yang agak kritikal.

Mengapa? Ya, ia adalah kesan kerosakan yang pertama iaitu kerosakan pemikiran umat Islam yang bertunas daripada akidah mereka yang telah longgar dan goyang.

Kerana itu, umat Islam terpinga-pinga dan teragak-agak untuk mengambil penyelesaian cara Islam di dalam menangani isu dan masalah masyarakat. Ia pastinya berpunca dari keyakinan bahawa Islam bukanlah satu penyelesaian untuk penyakit-penyakit di zaman moden hari ini.

Setelah kita memahami dua kerosakan besar ini, kita mestilah dapat mengagak betapa sukarnya mengubati kedua-dua penyakit umat ini.

Ia memerlukan kesabaran dan kerahmatan yang tinggi, ilmu dan kebijaksanaan yang tinggi serta usaha dan jihad yang tinggi juga. Para pendakwah dan pejuang di medan islah masyarakat perlulah memiliki sifat-sifat tersebut demi menjayakan misi besar membina umat Islam yang baru dan berjaya.

Antara faktor yang begitu membantu ialah melakukan kerja dakwah dan islah secara berjamaah dan saling bekerja sama di samping mengelak pertembungan dan kekhilafan yang tidak diperlukan. Juga, saling menyokong usaha baik walaupun bukan daripada usaha kumpulan kita.

Tazkirah ringkas ini adalah sebagai sentuhan agar kita saling bertafakur di bulan Ramadhan yang mulia ini. Selamat menempuh 10 terakhir Ramadhan dengan penuh kejayaan.

Dipetik dari - HarakahDaily

Monday, August 6, 2012

Pluralisme agama bercanggah dengan Islam


Awang Haji Johar Haji Mohammad
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos - "Di zaman kita sekarang ada yang berlumba-lumba mendapatkan harta zakat atau sedekah meskipun dia sebenarnya mampu untuk bekerja mendapatkan rezeki di bumi Allah yang luas ini, sedangkan di zaman Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam para sahabat sangat-sangat menginginkan banyak harta supaya dapat berzakat dan bersedekah.

"Itu adalah tidak wajar dan tidak menepati kehendak agama kita yang menuntut umatnya bekerja untuk mendapatkan rezeki dan cuba untuk menjadi orang yang mampu menyumbangkan hartanya ke jalan Allah seperti berzakat dan bersedekah dan membantu memajukan negara."

Dalam Ceramah Khas di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara 1433 Hijrah malam ini, Ketua Pendakwa Syarie, Awang Haji Johar Haji Mohammad juga menyentuh mengenai kewujudan fahaman pluralisme ugama dewasa ini yang dicetuskan oleh golongan Islam liberal yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama benarnya.

Menurutnya Al-Quran jelas menolak fahaman plurisme ugama berdasarkan ayat-ayat daripada Surah Al-Ikhlas dan Surah Al-Kafiruun.

Kedua-duanya menyatakan dengan jelas bahawa Allah itu Maha Esa, tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan, hanya dia tempat meminta dan memohon pertolongan tanpa melalui manusia atau makhluk lain dan tidak ada sekutu baginya dalam semua hal termasuk mentadbir dunia dan segala isinya, tekannya.

"Al-Quran juga menjelaskan perbezaan penyembahan dan peribadatan antara penganut Islam dengan bukan Islam, orang Islam tidak akan menyembah apa yang mereka sembah dan begitu juga sebaliknya mereka tidak mahu menyembah apa yang orang Islam sembah. Orang Islam juga tidak akan beribadat secara mereka beribadat begitu juga sebaliknya."

Oleh sebab tiada persamaan dan masing-masing dengan pendirian berkenaan, maka tidak wujud kompromi dalam hal kepercayaan itu, ujarnya sebagaimana ditegaskan oleh Al-Quran, "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku ugamaku".

Awang Haji Johar menegaskan bahawa oleh sebab itulah Islam tidak dapat berkompromi dengan fahaman Plurisme Ugama berkenaan kerana fahaman itu mengatakan semua agama adalah sama benarnya, tidak ada yang lebih benar.

"Itulah usaha dilakukan oleh golongan Islam Liberal sehingga Al-Quran pun ditakwilkan dengan pandangan yang menyimpang daripada Ijmak Ulama."

Beliau seterusnya menekankan bahawa di dalam aqidah Islam yang diketahui secara jelas dan telah disepakati oleh kaum Muslimin bahawa tidak ada di muka bumi ini suatu agama yang benar kecuali agama Islam, penutup seluruh agama, membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya.

Penolakan Al-Quran dengan konsep Pluralisme Ugama itu juga semakin jelas melalui firman Allah Ta'ala dalam Surah Ali Imran, Ayat 85, yang tafsirnya: "Barang siapa mencari agama lain selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."

Menurutnya itulah sebahagian daripada perkara akidah yang melibatkan salah satu golongan yang wujud dewasa ini yang ditolak pendirian mereka dengan sumber inspirasi Al-Quran.

Beliau seterusnya berkata, dalam konteks itu Islam menghargai toleransi agama, tetapi tidaklah akan menganggap semua agama adalah sama benarnya, kerana Islam mempunyai identitinya tersendiri dalam menyembah Tuhan Yang Maha Esa yang mengetepikan segala bentuk kesyirikan.

Penyelesaian Islam terhadap Pluralisme Agama itu adalah dengan mengakui perbezaan dan identiti agama masing-masing iaitu "untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku".

Dalam ceramah berkenaan, beliau telah turut pelbagai bidang lain yang turut menjadikan Al-Quran sumber inspirasi termasuk dari sudut kepentingan masyarakat dan negara.

Dipetik dari - Media Permata Online

Saturday, July 28, 2012

BEBERAPA SANGKAAN TENTANG PUASA


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ada beberapa anggapan, pegangan dan salah sangka tentang puasa dalam kalangan masyarakat. Mereka menganggap batal ataupun kurang pahala beberapa perbuatan tertentu, padahal tiada dalil yang menyokong pendapat mereka. Sebahagian pendapat itu khilaf dan telah disebut oleh beberapa ahli fekah dahulu, tetapi dilihat tidak kukuh untuk dipegang ataupun ada ruang untuk disemak semula.

Mandi Masa Puasa

Antaranya, anggapan bahawa mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas asar makruh. Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Memasukkan Ke Rongga

Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas:
“Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar” (riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih).

Namun, itu merupakan ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa. ‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut tentang khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap muslim. Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi itu membatalkan puasa, tentu baginda s.a.w akan menerangkannya. Juga tentu para sahabah akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa. Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.

Maka menggunakan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.

Tidak Mandi Junub

Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu subuh telah masuk. Ada yang menganggap puasa itu tidak sah. Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)” (Riwayat al-Bukhari).

Muntah

Antara lain ada yang menganggap sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah. Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban).

Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.

Imsak

Antara lain menganggap sesiapa yang makan ketika hampir subuh iaitu bukan pada waktu imsak yang difahami oleh sesetengah pihak, maka puasanya tidak sah. Ini kerana mereka menganggap puasa bermula beberapa puluh ataupun belasan minit sebelum subuh. Padahal waktu puasa bermula apabila masuknya waktu subuh. Firman Allah: (maksudnya)
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Sabda Nabi s.a.w pula: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Musafir

Antara anggapan lain bahawa seseorang yang bermusafir jika berkemampuan wajib berpuasa, jika tidak dia berdosa. Ini berlainan dengan ayat Allah dalam al-Quran: (maksudnya)
“...dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya (tidak berpuasa ketia musafir) maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim).

Tidak Sengaja

Perbuatan yang tidak sengaja, dipaksa ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak membatalkan puasa. Sekalipun seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak sekali. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan minum” (Riwayat al-Bukhari).

Demikianlah semua perbuatan yang tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani disebabkan mimpi atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama menyatakan tidak batal puasa. Di samping di sana wujudnya pendapat minoriti ulama Ibn Hazm, al-San’ani, as-Syaukani dll yang berpendapat keluar mani walaupun dengan sengaja ia tidak membatalkan puasa sebab tiada dalil mengenai hal itu. Adapun majoriti ulama berpendapat batal.

Apapun, sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa. Termasuklah tertelan air semasa mandi ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa makanan ketika masak lalu memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan puasa.

Di sana ada lagi beberapa anggapan yang perlukan penelitian sebelum diterima sebagai suatu keputusan agama.

Dipetik dari - Minda Tajdid DrMAZA.com

Thursday, July 26, 2012

MEMELIHARA KEMUFLISAN PAHALA RAMADAN


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Puasa sebenarnya satu latihan (tarbiyah) dalam hidup muslim. Ia seperti sebuah institusi (madrasah) latihan yang bertujuan membentuk disiplin para peserta. Bukan sekadar untuk diamalkan ketika berkursus sahaja, tetapi untuk dibawa ke dalam kehidupan sebenar selepas kursus. Demikian juga haji dan umrah. Seseorang yang sedang berada dalam ibadah-ibadah ini disuruh mematuhi pantang larang (taboo) tertentu. Maka seseorang yang berpuasa, ataupun berada dalam ihram haji dan umrah tidak boleh bertengkar dalam perkara yang sia-sia, tidak boleh mencerca, tidak boleh mengucapkan perkataan yang buruk dan lain-lain.

Mendisiplin Diri

Walaupun perkara-perkara itu sememang tidak sepatut dilakukan dalam semua keadaan, namun oleh kerana ramai manusia yang gagal mematuhi arahan Allah tersebut, maka setiap tahun dalam bulan Ramadan muslim dimasukkan ke dalam pusat latihan (tarbiyah) Ramadan untuk mereka kembali menghayati disiplin tersebut. Ia satu program latihan ilahi (tarbiyah rabbaniyyah/divine training). Demikian juga bagi mereka yang menunaikan haji dan umrah. Namun, tempoh Ramadan lebih panjang dari haji dan umrah. Satu latihan Ilahi selama sebulan bagi membolehkan muslim berdisplin dalam menjalani kehidupan sebelas bulan yang lain. Muslim diajar dalam tempoh latihan ini untuk menjaga tindakannya demi memelihara pahala ibadahnya. Jika dia gagal, dia akan kehilangan pahala dan kehalusan jiwa mendekati Allah.

Sabda Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad ditangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kehilangan Pahala

Kehilangan pahala adalah sesuatu yang amat merugikan. Jika kita faham betapa berertinya pahala bagi seorang insan yang akan bertemu Tuhan, kita akan dapat menilai besarnya erti pahala. Pahala membawa ke syurga, sementara dosa membawa ke neraka. Jika puasa itu diandaikan sebagai satu pekerjaan dan pahala sebagai gajinya, maka perlanggaran pantang larang itu sebagai pengurangan atau pemotongan gaji. Namun pahala lebih bererti dari gaji dalam kehidupan duniawi ini. Ramai orang yang beramal dalam dunia ini pulang kepada Allah pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan muflis kerana kehabisan pahala amalan disebabkan dosa-dosanya kepada orang lain.

Nabi s.a.w bersabda:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Pelihara Lidah

Lidah adalah punca terbesar kita kehilangan pahala. Puasa jika dapat mendidik lidah kita dari mencerca, dusta, menuduh dan memaki hamun orang lain, maka itu satu kejayaan yang besar. Manusia yang beradab tidak mengeluarkan kata-kata kesat dari mulutnya. Dia mungkin tegas, pedas dan tajam penghujahannya, tetapi tidak dusta, kesat dan buruk perkataan. Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, samada pada bulan Ramadan, ataupun selain Ramadan. Lebih buruk lagi jika ada yang memakai ‘jenama ustaz’ memaki orang dalam ceramahnya. Apatahlagi dalam masjid ataupun di bulan Ramadan. Sangat hina dan jelek sekali. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.

Ramadan mendidik kita menjaga perkataan. Ini termasuklah antara pasangan suami isteri. Ada orang yang memelihara lidahnya dari memaki orang lain, tetapi tidak kepada isterinya. Padahal kepada isteri lebih patut dijaga perkataan kerana dia seorang muslimah dan ada perintah-perintah khusus dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk menjaga hubungan dengannya. Maka peliharalah pahala kita dalam Ramadan dan luar Ramadan!

Dipetik dari - Minda Tajdid DrMAZA.com

Wednesday, July 25, 2012

PUASA MENDIDIK KEIKHLASAN JIWA


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Penyakit yang terbesar dalam jiwa insan ialah hati nurani yang tidak ikhlas dengan perbuatannya. Dalam dunia yang penuh kepura-puraan, tujuan asal perbuatan seseorang sering tidak sama dengan apa yang zahir dari tindakannya. Jika dia bersedekah, zahirnya dia ingin membantu mereka yang keperluan, tetapi di sudut jantung hatinya kadang-kala dia inginkan pujian ataupun balasan tertentu. Jika dia seorang pemimpin, maka keadaan itu lebih buruk apabila amalan baik seperti derma dan pemberian itu mempunyai hasrat yang tersembunyi seperti mengharapkan undi ataupun sokongan.

Hasilnya, hubungan jiwanya dengan Allah yang mensyariatkan amalan yang baik itu terputus. Ia kemudiannya boleh bertukar menjadi satu penyakit jiwa yang parah jika hasrat yang diingini iaitu pujian ataupun sokongan manusia itu gagal diperolehi. Di sebalik itu, ia juga menjadi kerugian besar kepada dirinya kerana amalan yang baik itu yang kadang-kala memerlukan usaha yang kuat seperti amalan derma, tidak memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.

Riyak

Oleh kerana itu ikhlas amatlah penting dalam setiap amalan. Bahkan ia menjadi penentu utama sesuatu amalan itu diterima ataupun ditolak di sisi Tuhan. Tanpa ikhlas, manusia akan memanipulasikan amalan baik dengan tujuan yang tidak baik. Bahkan betapa banyak orang yang menzahir keikhlasan, ketaqwaan dan kezuhudan tetapi mereka sebenarnya tidak ikhlas, tiada taqwa dan tidak bertujuan zuhud.

Apa yang tersemat dalam jantung hati mereka tidak sama dengan apa yang mereka zahirkan. Sehingga sesetengah golongan sufi yang berpakaian selekeh untuk menzahirkan sifat zuhud tetapi itu sebenarnya untuk menunjuk-nunjuk. Inilah yang dikritik oleh al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) dengan menyatakan:

“Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Justeru itu, Islam memberikan pelbagai peringatan agar insan jujur dengan amalan baiknya. Firman Allah (maksudnya):

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar” (Surah al-Baiyyinah: 5).
Islam juga mengingatkan bahawa ketidak ikhlasan adalah sejenis syirik yang tersembunyi. Sedangkan syirik itu adalah dosa yang paling besar dalam agama. Jika sampai mempersekutukan kebesaran Allah, boleh merosakkan akidah seseorang muslim. Nabi s.a.w menyebut:

“Syirik yang tersembunyi itu ialah apabila seseorang beramal untuk dilihat oleh orang lain” (riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis hasan).
Penawar

Untuk mengubati penyakit jiwa ini, maka Allah mensyariatkan pelbagai penawar. Antara penawar yang paling hebat ialah puasa. Ini kerana amalan puasa sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Ia bukan satu perbuatan yang dapat dikesan melalui pergerakan insan seperti solat, sedekah dan selainnya. Seseorang mungkin bersolat ataupun bersedekah ataupun selainnya dengan kelihatan penuh ikhlas, tetapi tidak. Sedangkan puasa pula satu amalan tanpa satu pergerakan khusus, di mana seseorang menahan diri dari makan, minum dan perbuatan yang membatalkan puasa. Ia tidak kelihatan di mata manusia. Ramai orang kita lihat tidak makan di hadapan kita, tetapi itu bukan semestinya menunjukkan dia berpuasa. Kita tidak tahu seseorang itu berpuasa ataupun tidak, melainkan jika dia sendiri yang memberitahu. Kita juga tidak tahu apakah dia bercakap benar ataupun bohong bahawa dia berpuasa. Seseorang mungkin boleh menyatakan dia berpuasa tetapi sebenarnya dia tidak berpuasa. Dia mungkin makan, minum secara sembunyi. Hanya Allah Yang Maha Tahu.

Justeru, tiada siapa pun tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa dengan segala kepatuhannya melainkan Allah sahaja. Mungkin kita sangka seseorang tidak berpuasa dilihat pada zahir tenaganya, tetapi dia sedang berpuasa dengan penuh kepatuhan. Mungkin seseorang yang lain datang berbuka puasa bersama kita, sedangkan dia tadi makan secara sembunyian. Ternyata, tiada siapa yang boleh menilai puasa seseorang melainkan Allah. Untuk itu Allah berfirman dalam hadis qudsi:

“Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Inilah antara hikmah besar berpuasa. Ia mendidik ikhlas. Jangan hairan jika ada orang yang jahat perangai lagi enggan berubah, tetapi memberitahu kita dia berpuasa. Kita tidak tahu dia berpuasa ataupun tidak. Setiap orang boleh mendakwa. Sukar untuk kita nilai dakwaannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Namun, jika seseorang itu benar-benar berpuasa kerana Allah, itu adalah gambaran kepada keikhlasan yang ada dalam hidupnya. Jika dia boleh berdisiplin dengan puasanya, ertinya perasaan takutkan Allah itu ada dalam jiwanya. Puasa yang ikhlas akan melahirkan manusia yang ikhlas dalam kehidupannya.

Dipetik dari - Minda Tajdid DrMAZA.com