Posting mengikut label

Showing posts with label UCAPAN. Show all posts
Showing posts with label UCAPAN. Show all posts

Wednesday, November 16, 2016

Tuesday, January 19, 2016

Kearah Memperkasa NDP




LIMBARUH HIJAU, 1 RABIULAWAL 1437/11 Jan 2016 -  Sebagai sebuah pertubuhan politik, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) perlu bergerak dengan lebih aktif dan berkesan jika mahu benar-benar diterima dan diyakini oleh semua lapisan rakyat sebagai pembela kebenaran, keadilan dan ihsan yang merupakan modal perjuangannya.

Ke arah itu NDP perlu kepada struktur organisasi, sistem pengurusan dan pentadbiran serta sistem delivery yang mantap. Dasar, proses dan prosedur dalam membuat keputusan, sistem komunikasi dan keupayaan sumber tenaga kerja juga merupakan elemen-elemen yang sama penting perlu diperkukuh dalam usaha mempastikan kehadiran NDP dapat dirasakan sebagai satu rahmat kepada bangsa dan negara.

TYT Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Malai Hassan bin Malai Haji Othman, menekankan perkara tersebut semasa berucap sebagai mendahului agenda permesyuaratan pertama bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi bagi sesi 2015 hingga 2018 berlangsung di Anjung Syura, Markas Limbaruh Hijau Jalan Jerudong di sini.

Seramai dua puluh enam orang terpilih sebagai ahli-ahli Majlis Tertinggi, bagi sesi 2015 hingga 2018 setelah menjalani proses eliminasi dengan keputusan Menang Tanpa Bertanding oleh pihak Suruhanjaya Pemilihan Umum (SPU) NDP bermula 31hb Ogos lalu.

Berikutan itu kepimpinan NDP bagi sesi 2015 hingga 2018 adalah terdiri daripada Awang Haji Abd Rahman bin Yusuf selaku Pengerusi Tetap, manakala Presiden NDP ialah Malai Hassan bin Malai Haji Othman, Timbalan Presiden Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Taib, Setiausaha Agung Hajah Sa'emah binti Haji Kepli, Bendahari Agung Awang Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Yusuf, Penolong Setiausaha Agung Awang Muhammad Abdullah Peter bin Abdullah Saging.

Manakala Naib-Naib Presiden terdiri daripada Awang Haji Muhiddin bin PDP Hj Othman bagi Daerah Brunei Muara, Awang Haji Metali bin Ibrahim bagi Daerah Belait, Awang Haji Jefri bin Hj Md Daud bagi Daerah Tutong dan Awang Haji Zaini bin Bakar bagi daerah Temburong.

Dan ahli-ahli Majlis Tertinggi lainnya, terdiri  Awang Haji Mohammad bin Haji Mohd Yassin, Awang Haji Hamid bin Hussin, Awang Haji Azahari bin Jais, Awang Jumat bin Sulaiman, Dayang Hadijah binti Haji Dollah dan Dr Hajah Rayah binti Haji Ali bagi Daerah Brunei Muara.

Sementara itu ahli-ahli Majlis Tertinggi Daerah Belait terdiri daripada Awang Haji Sulaiman bin Duraman, Dayang Rosiah binti Alah, Awang Mohammad bin Tuah, dan Dayang Halimah binti Janai, seterusnya bagi daerah Tutong, Awang Haji Ratu bin Tahir , Awang Tahir bin Radin dan Dayang Puspalinda bin Abiddin.

TYT Presiden dalam ucapannya seterusnya turut berkata menyarankan kepada semua ahli-ahli Majlis Tertinggi untuk sentiasa mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan melalui program muzakarah dengan ahli-ahli di akar umbi, terutama sekali mendekati ahli-ahli di ranting-ranting di seluruh daerah, kerana tambahnya ahli-ahli perlu diperkasa melalui kefahaman yang betul, supaya mereka mengetahui kenapa sebenarnya mereka menjadi ahli NDP.

TYT Presiden NDP kemudiannya turut membentangkan perancangan, perlaksanaan kearah memperkasa NDP, antaranya ialah perlu memantapkan struktur organisasi, kepimpinan/sumber daya manusia, sistem pengurusan dan pentadbiran, sistem komunikasi parti, kewangan dan dana serta sistem delivery.

“Dalam perancangan mengemaskinikan struktur NDP akan melibatkan pemodenan JASA dari semua segi termasuklah dari segi fizikalnya. Kita juga berhasrat untuk menjadikan markas sebagai kemudahan yang boleh digunakan oleh semua ahli-ahli di seluruh daerah, kita tidak mahu markas hanya untuk tempat bermesyuarat sahaja, tetapi bagaimana ia boleh memudahcara ahli-ahli dan barisan kepimpinan untuk menggunakannya, ianya adalah demi kebaikkan dan kemajuan parti, ini antara perkara yang perlu kita usahakan di mana kita mahu memanafaatkan markas sebaik-baiknya demi untuk perjuangan kita membina bangsa dan negara” katanya.

Antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama sesi 2015 hingga 2018 tersebut adalah Laporan Setiausaha Agung, Laporan Bendahari Agung, Membentangkan Gerak Kerja 100 hari, Taklimat penubuhan jawatankuasa dan biro-biro dan hal-hal lain yang turut membincangkan persiapan menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan Negara, persiapan menghadapi MPPD dan sebagainya.

Mesyuarat tersebut telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa mesyuarat yang dipimpin oleh TYT Presiden NDP Malai Hassan bin Malai Othman, diikuti kemudiannya membaca ikrar setiap daripada Presiden serta ahli-ahli Majlis Tertinggi dan diakhiri dengan bergambar ramai.


Sumber - Laman Aspirasi

Friday, December 4, 2015

Ucapan Presiden NDP sempena Ulang Tahun Istiadat Penaikan SANG SETIA ke-11


UCAPAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) SEMPENA
ULANG TAHUN ISTIADAT PENAIKAN BENDERA ‘SANG SETIA’ KALI KE-11
DI LIMBARUH HIJAU MARKAS NDP PUSAT  JALAN JERUDONG,
KAMPONG JERUDONG DAERAH BRUINEI-MUARA
 PADA 18 SAFAR 1437 BERSAMAAN 1 DISEMBER 2015


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين 


Yang Berusaha Pengerusi JK Penaikan Bendera Sang Setia Ke 11 2015,
Yang Di kasihi Ayahnda Haji Mahmud Morshidi Othman, Mantan Presiden NDP dan Pengasas Utama NDP
Yang Di Hormati TYT Timbalan Presiden,
Yang Berbahagia Setiausaha Agung
Yang Berbahagia Naib-Naib Presiden,
Yang Di Hormati Tuan Pengerusi Tetap dan
Ahli-Ahli Lembaga Penasihat,
Ketua Himpunan Non-Muslim,
Ketua Himpunan Wanita,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Pemimpin-Pemimpin Parti diperingkat Perhubungan dan Ranting,
Ahli-ahli NDP,
Hadirin dan Hadirat Sekalian.


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
DAN SALAM SEJAHTERA




1. Syukur kehadrat Allah (swt) kerana dengan limpah kurnia dan izinNya jua kita dapat bersama-sama menjayakan majlis yang berbahagia ini

2. Selawat dan salam kesejahteraan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad (s.a.w) yang telah diutus untuk memimpin dan menunjuk kearah jalan kejayaan dunia dan akhirat

3. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Majlis, saudara Abdullah Peter Saging dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur yang telah berusaha gigih menjayakan majlis yang penuh bermakna ini




 Saudara, saudari yang saya hormati,

4. Alhamdullilah, majlis hari ini merupakan majlis memperingati istiadat penaikan bendera Sang Setia buat kali ke-11

5. Majlis istiadat penaikan bendera Sang Setia kali ini agak istemewa,  kerana hari ini merupakan lembaran baru bagi NDP setelah satu dekad berlalu menanai perjuangan rakyat menjunjung titah membangun bangsa

6. Dalam lain perkataan, istiadat hari ini seumpama membuka lembaran baru fasa perjuangan NDP untuk sepuluh tahun kehadapan, in sya Allah

7. Dalam masa yang sama, majlis hari ini turut menyaksikan masa hadapan NDP dipikulkan di bahu saya dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan baru bagi tahun 2015 – 2018

8. Saya merasakan, ini satu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul apatah lagi, sejujurnya saya merasakan bahawa diri saya ini bukanlah yang terbaik dikalangan saudara saudari sekalian

9. Bagaimanapun, jika ini merupakan kehendak Allah (swt) maka saya redha dan In Syaa Allah, akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menerajui NDP sebaik mungkin, dengan mengikut petunjuk syariah terutama dalam konteks memenuhi tuntutan ‘Maqasid Syariah’, serta akan  terus berpegang kepada perlembagaan, dasar, visi dan misi serta objektif parti, in sya Allah

10. Untuk itu saya berseru kepada saudara dan saudari sekalian, jika saya berbuat yang betul maka ikutilah saya sebaliknya jika saya berbuat kesilapan maka janganlah biskita teragak-agak untuk membuat teguran bagi mengelakkan saya tersasar lebih jauh

11. Marilah kita memanjatkan do’a kehadrat Allah (swt) semoga saya dan barisan kepimpinan yang baru akan dikurniakan taufik dan hidayat serta kekuatan dan kesungguhan untuk memimpin atas landasan dan ciri-ciri kepimpinan Rasullullah (saw) iaitu dengan sifat-sifat SIDIQ, AMANAH, FATANAH DAN TABLIGH, in sya Allah

12. Bersama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga dalam perjalanan kita yang penuh ranjau dan duri ini,  kita akan sentiasa berusaha menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah, iaitu sifat riyak, sombong, ujub, hasad dengki, beburuk sangka mengadu domba dan lain-lain yang boleh membawa kita kepada persengketaan dan kehancuran

13. Kita juga memohon ke hadrat Allah SWT semoga kita semua diberikan kekuatan dan istiqamah dalam menlaksanakan tugas dan amanah bagi mengalas perjuangan rakyat ini dengan berpegang teguh kepada konsep JEMAAH, UKHUWAH, SYURA DAN TA’WUN (J.U.S.T)

14. Izinkan saya menyentuh surah ‘Ali-Imran ayat 104 di mana Allah berfirman maksudnya, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan menyeru kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang munkar mereka, itulah orang-orang yang  beruntung”

15. Firman Allah lagi dalam surah ‘Ali Imran ayat 159 yang maksudnya; “Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan BERMUSYAWARATLAH dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”

16. Dalam sebuah hadis, Nabi (saw) bersabda, “Belalah saudaramu, baik ia berlaku aniaya, maupun teraniaya. Ketika beliau ditanya seseorang, bagaimana cara membantu orang yang menganiaya, beliau menjawab, Engkau halangi dia agar tidak berbuat aniaya. Yang demikian itulah pembelaan baginya” (HR Bukhari melalui Anas bin Malik)

17. Dan Dalam surah   Al-Maidah ayat 2 pula Allah (swt) berfirman maksudnya, ”Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”




Saudara dan saudari yang saya hormati,

18. Seperti yang saya katakan tadi  pada tahun ke 11 ini,  tanggungjawab menjayakan majlis istiadat penaikkan bendera Sang Setia diserahkan kepada barisan kepimpinan yang baru bagi tahun 2015 ke 2018.

19. Hari ini merupakan hari yang penuh bermakna kepada perjuangan kita selaku anggota Parti Pembangunan Bangsa, satu-satunya pertubuhan politik yang masih berdiri tegak waima pun suasana politik negara kurang memberangsangkan untuk ianya berkembang dengan baik.

20. Dalam konteks ini saya rakamkan ucapan tahniah kepada semua yang berada di majlis ini, ahli-ahli NDP yang tidak dapat menghadirkan diri serta penyokong-penyokong setia NDP atas keteguhan semangat untuk terus menanai perjuangan NDP

21. Tanpa sokongan dan tanpa komitmen yang jitu dari saudara saudari, mungkin saja hari ini hanya tinggal menjadi kenangan dan menjadi ristaan sejarah tentang kegagalan rakyat untuk memainkan peranan dalam proses pembaharuan politik yang dihasratkan

22. Akan tercatat dalam lipatan sejarah bahawa orang Brunei walaupun hidup selesa tetapi miskin politik, miskin semangat untuk mengelinga maslahah bangsanya dan tidak peduli akan politik bangsanya

23. Makanya kita bersyukur, NDP masih bertahan dan dengan izin Allah NDP akan terus bertahan atas landasan perjuangan yang diasakan atas keinsafan dan kesedaran rakyat untuk terus memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang demokratik seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara

24. Bendera Sang Setia, dengan izin Allah, akan terus berkibar sebagai lambang perjuangan NDP mempertahankan sistem pemerintahan yang berasaskan keadilan dan berihsan yang merupakan ciri-ciri kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

25. Sistem pemerintahan yang berpaksikan keadilan dan ihsan ini akan kita terus pertahankan agar rahmat keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati dapat sama dirasai oleh anak cucu dan zuriat-zuriat kita hingga ke akhir zaman. In sya Allah          

26. Sang Setia, dengan izin Allah, akan terus berkibar sebagai simbol perjuangan rakyat dalam  melaksanakan tanggungjawab memelihara Negara Brunei sebagai ‘Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghaffur’  iaitu negara yang baik, yang aman makmur serta sentiasa mendapat perlindungan Allah (swt)

27. Pada pemahaman NDP, negara yang baik itu ialah negara yang bahagia dan sejahtera, negara dimana keadilan ditegakkan, yang berhak, tidak kira kedudukan pangkat, ningrat atau marhaen, puak majoriti atau puak minoriti akan mendapat haknya tanpa diskriminasi dan pilih kasih, pihak yang berkewjipan akan menjalankan kewajipannya dengan adil dan berihsan, dengan amanah, jujur dan bersih. Tidak ada lagi kezaliman didalamnya.

28. Sang Setia juga akan terus bekibar sebagai simbol perjuangannya menyokong dan membantu menjayakan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar konsep ‘Negara Zikir’ terus diamalkan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.

29. Dalam konteks ini NDP melihat pengertian al-zikr sebagai Al-Quran.

30. Bersandarkan pemahaman ini konsep negara zikir membawa maksud negara Al-Quran, yakni, Negara Islam atau Negara Kebajikan, negara yang aman makmur yang mendapat keampunan Allah SWT.

31. Dalam lain perkataan, Brunei sebagai ‘Negara Zikir’ merupakan  sebuah negara Islam yang menterjemahkan seluruh tuntutan Al-Quran dan Al-Sunnah dalam segala aspek kehidupan, meliputi kepimpinan, pemerintahan, pentadbiran, politik, undang-undang, keadilan dan kesaksamaan sistem sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

32. Pegangan NDP ini adalah bersandarkan kepada tuntutan Surah Al An’aam, ayat 155, yang bermaksud: Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

33. Untuk itu marilah kita manfaatkan hari yang penuh bermakna ini dengan memperbaharui kesetiaan kita kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku ulil amri yang tidak goyah memperjuangkan keadilan dan memperjuangkan Islam sebagai cara hidup yang syumul yang memberikan jaminan jalan kearah kejayaan dunia dan akhirat

34. Marilah kita kibarkan Sang Setia hari ini sebagai simbol perjuangan dan keikhlasan kita untuk terus menyokong dan membantu baginda sultan dan kerajaan dalam apa jua usaha membangun negara dan bangsa atas landasan yang betul iaitu landasan keadilan dan ihsan, landasan ‘Negara Zikir, dan ‘Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghaffur’ dalam menuju kearah merealisasikan Wawasan 2035

35. Diperhimpunan ini kita juga perbaharui ikrar taat setia kita yang tidak berbelah bahagi kepada nusa bangsa dan kecintaan kita kepada kehidupan sejagat yang aman damai dan harmoni.




Saudara dan saudari yang saya hormati,

36. Hari ini kita menjayakan majlis yang penuh bermakna ini dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan suasana ekonomi dan politik dunia yang amat mencabar. Harga minyak mentah antarabangsa, contohnya, telah jatuh ke paras yang paling rendah dan ini telah menjejaskan dengan teruknya hasil pendapatan negara yang bergantung penuh kepada hasil minyak dan gas

37. Konflik antara negara semakin menjadi-jadi, perubahan cuaca ekstrim bukan lagi satu andaian, pengganguran dan bencana alam semakin menjadi-jadi, keadilan sudah dijual beli dan kezaliman semakin berleluasa

38. Dalam suasana yang membimbangkan ini, negara juga belum berhasil mempelbagai sumber ekonomi agar tidak terus bergantung hidup kepada hasil minyak dan gas

39. Menurut laporan terkini 75 peratus struktur ekonomi masih berpaksikan kepada sektor minyak dan gas, 24 peratus kepada sektor perkhidmatan dan hanya 1 peratus ditanai oleh sektor pertanian

40. Keadaan ini membawa makna bahawa usaha untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan turut terencat, serta usaha untuk mempelbagai sumber pendapatan negara masih belum tercapai

41. Dari sudut kestabilan politik negara, sesetengah pihak melihat ianya masih lagi didudukan atas kuasa mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan selaku Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdaggangan serta Menteri Kewangan

42. Keadaan ini turut juga meletakkan NDP dalam suasana yang sangat mencabar kredibiliti dan yang boleh saja mempersoalkan relevansi kewujudannya dan perjuangannya.

43. Dalam hal ini peranan NDP untuk menegakkan keadilan dalam keadaan ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu dan dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan cabaran pertumbuhan ekonomi yang malap sudah tentu semakin ditagih-tagih

44. Baru-baru ini Brunei diletakkan ditangga teratas dalam ranking negara-negara ASEAN yang mempunyai angka pengganguran yang terbanyak mengikut nisbah jumlah penduduknya

45. Dalam isu pengganguran ini keresahan dan kegelisahan rakyat tentangnya dapat dirasakan dan NDP selalu disarankan untuk berbuat sesuatu agar pihak berwajib lebih kehadapan menanganinya

46. Perkara yang sering dibagkitkan ialah isu kemaslahatan para penggangur yang belum berjaya mendapat pekerjaan. Menggangur bermakna tidak ada pekerjaan, tidak ada pekerjaan bererti tidak ada pendapatan untuk keperluan hidup seharian. ertinya golongan penggangur in termasuklah kedalam  golongan fakir miskin yang berhak menerima zakat asnaf fakir miskin

47. Isu pengganguran ini juga dikaitkan dengan isu pendatang asing yang mengecilkan lagi peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan serta isu majikan di sektor swasta yang lebih cendrung mengelinga maslahah pekerja asing berbanding anak tempatan

48. Banyak lagi isu keadilan sosial dan ekonomi yang sering menjadi rungutan terutama dikalangan masyarakat yang terhambat oleh dasar yang tidak memihak kepada kepentingan golongan berpendapatan rendah dan juga yang berpunca dari ketirisan dalam sistem delivery kerajaan

49. Semua ini merupakan petanda atau bunga-bunga kepada masalah yang paling pokok yang berkemungkinan bercabang atau berpunca dari dasar pembangunan negara serta sistem pengurusan dan pentadbiran kerajaan yang kurang mantap dan tidak selaras dengan tuntutan objektif syariah

50. Kita berharap agar masalah-masalah ini dapat dikurangkan dan terkawal dari keadaan yang boleh menjejaskan kebahagiaan dan kesejhateraan rakyat, negara dijauhi dari perbuatan-perbuatan mungkar dan zalim yang boleh mehilangkan rahmat Allah dari negara yang tercinta ini

51. Dikesepmatan ini marilah kita mengambil ingatan akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan pelantikan-pelantikan baru pada 9 muharram 1437 / 22 oktober 2015 yang lalu

52. Izinkan saya memetik dan membacakan titah yang dimaksudkan;

“Allah mengurniakan nikmat, sementara kita berkewajipan mensyukurinya. Syukur itulah pemangkin segala nikmat dan keberkatan. Tanpa syukur, nikmat akan hakis, tidak dapat bertahan lama.

Bagaimanakah caranya bersyukur itu? Di samping mengucapkannya dengan lidah, kita juga dituntut untuk bersyukur melalui ‘urustadbir’ di dalam kehidupan. Kerana itulah kita memerlukan kerajaan, dan dalam kerajaan itu pula terdapat jentera yang terdiri daripada para pemimpin dan pegawai-pegawai serta kakitangan di bawah mereka.

Di tangan merekalah, terutama para pemimpin, kewajipan untuk membawa negara ini menjalani amalan bersyukur, iaitu melalui pimpinan dan urustadbir mereka dalam kerajaan.

Salah satu dari ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan. Kerana keadilan adalah segala-galanya. Tanpa keadilan, semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita.

Oleh itu, satu peringatan perlu disebut di sini, bahawa sesiapa jua yang dilantik atau dipilih menjadi pemimpin, mereka itu adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan. Tempat tumpahnya keadilan ialah keatas rakyat, bukan kepada diri sendiri. Adapun untuk kepentingan diri sendiri, itu bukanlah keadilan tetapi kezaliman”




Saudara, saudari yang dihormati,

53. Dalam senario ini, persoalannya yang perlu diberikan perhatian ialah kesediaan NDP dan anggota-anggotanya melaksanakan janji untuk rebah bangun bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

54. Janji kita untuk bersama rakyat dalam menegakkan keadilan sedang ditagih

55. Apakah kita sudah siap untuk terus memperjuangkan visi, misi dan objektif parti dengan penuh kedewasaan dan kematangan sesuai dengan imej hebat yang wajar terpancar dari sebuah parti politik yang sudah berusia lebih satu dekad?

Saudara, saudari yang saya hormati,

56. NDP, sebagai sebuah pertubuhan politik telah dipersiapkan dengan struktur organisasi dan sistem pentadbiran serta pengurusan yang cukup lengkap untuk mengatur perjalanannya kearah mencapai matlamat yang dicita-citakan.

57. NDP mempunyai struktur organisasi serta sistem pengurusan dan pentadbiran yang cukup mantap untuk ianya benar-benar dapat berperanan sebagai penyambung lidah rakyat dan wadah untuk rakyat ikut serta menjayakan sistem pemerintahan yang demokratik dan inklusif seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

58. NDP juga mempunyai perlembagaan yang mengariskan secara komprehensif dasar, misi, visi dan objektif parti, sebagai buku peraturan, tata cara dan garis panduan pengurusan, pentadbiran serta amalan-amalan urustadbir yang baik.

59. Dan kita juga ada bendera ‘Sang Setia’ yang kita kibarkan dengan megahnya sebagai simbol kesetia’an kita kepada raja, bangsa dan negara. Ia kita tabik, kita sanjung tinggi kerana ia melambangkan dan memancarkan semangat perjuangan kita menegakkan dan mengagungkan syiar Islam, simbol perjuangan kita menegakkan dan menanai konsep Melayu Islam Beraja sebagai peggangan kita berbangsa dan bernegara dan sebagai tunggak keamanan dan kestabilan negara.

60. Dalam lain perkataan, dari aspek teknikal nya, NDP umpama sebuah bahtera yang sudah lengkap dengan kelengkapan-kelengkapan dan peralatan-peralatan canggih, buku-buku manual, peta serta kompas. tinggal lagi ianya perlu dilayarkan dan dikemudi dengan baik agar samapai ke destinasi yang dicita-citakan.

61. Dalam hal ini, NDP perlu bergerak sebagai sebuah pasukan. Ia tidak mampu bergerak dengan baik jika ia sarat dengan penumpang yang hanya pandai mengeluh dan mengadu akan setiap kekurangan tetapi tidak bersedia untuk sama-sama meyumbang kearah usaha mempastikan pelayaran kita lancar dan berjaya.

Saudara, saudari yang saya kasihi,

62. Dalam masa sama, NDP perlu terus melontarkan pandangan dan saranan agar keadilan sosial, yang merupakan keutamaan dalam tuntutan perlaksanaan hukum hudud, terus ditegakkan.

63. Dengan kata lain, sistem dan proses yang menyokong keadilan sosial harus diperbaiki. Sistem pemungutan dan pengagihan zakat untuk meringankan bebanan hidup asnaf-asnaf fakir miskin, al gharimin dan lain-lain perlu terus dimantapkan hingga mereka yang menghadapi kesemptian hidup jauh dan terhindar dari kekufuran.

64. Begitu juga dengan dasar kemajuan perumahan negara serta sistem dan proses perlaksanaannya. NDP mempunyai tanggungjawab politik dalam mepastikan bukan sahaja semua rakyat terutama golongan miskin dan kurang kemampuan tidak dinafikan hak mereka, tetapi lebih dari itu mestilah disediakan dengan bangunan rumah yang mesra syariah, mesra pengguna yang dapat menjauhakn keluarga dari jenayah sumbang mahram dan mendekatkan mereka pula kepada kehidupan beragama.

65. Persoalannya, apa NDP boleh sumbangkan dalam sama-sama menyahut seruan Baginda Sultan tersebut dan dalam sama-sama berhadapan dengan cabaran-cabaran yang telah digariskan

66. Sehubungan dengan itu, NDP perlu menterjemahkan kebimbangan ini dalam bentuk gerak kerja yang boleh menyumbang kearah mengurangkan ancaman ini

67. Bagi melaksanakan tugas tersebut, NDP memerlukan anggota-anggota parti yang komited kepada tema perjuangan ‘menjunjung titah membangun bangsa’ dan komited dalam usaha menjayakan misi, visi dan objektif NDP.

68. Kesimpulannya, NDP mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dalam sama-sama membangun bangsa dan negara ini atas landasan pemerintahan yang baik, amalan urustadbir yang baik serta sistem delivery yang adil dan berehsan.

69. Tugas dan tanggungjawab NDP, sebagai sebuah pertubuhan politik, sangat luas merangkumi semua aspek kehidupan.

70. Kita dapat simpulkan bahawa tugas dan tanggungjawab politik NDP selaras dengan tuntutan ‘Maqasid syariah’ iaitu untuk memelihara ugama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Justeru, tidak ada yang boleh terlepas dari perhatian NDP.

71. Makanya dalam isu pembangunan infrastruktur negara, contohnya, NDP juga berperanan agar dasar dan perlaksanaannya menjurus kearah memlihara kesejahteraan bangsa dan negara.

72. Kita tidak mahu melihat perlaksanaan projek-projek mega yang membanggakan sahaja, tetapi dalam masa sama masalah banjir, jalan rosak, projek perumahan negara lambat disiapkan, keadaan rumah yang kecil, isu tanah TOL dan lain-lain masih belum dapat ditangani dengan baik, adil dan berehsan.

73. Seperti juga isu-isu yang lain, NDP turut bertanggungjawab dalam hal ini.

74. Ini kerana NDP merupakan sebuah pertubuhan politik yang berdaftar. Ia merupakan sebuah pertubuhan politik yang berdakwah dan pergerakkan dakwah yang berjalan atas landasan politik yang sah.

75. Perlembagaan menghendaki kita melaksanakan tuntutan agama ‘amal makruf nahi mungkar’ dalam sama-sama menegakkan keadilan dan ehsan dalam berbangsa dan bernegara.

76. Jika kita gagal melkaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, maka NDP akan dilihat gagal sebagai sebuah pertubuhan politik.

77. Walaupun ia sudah berusia 11 tahun, tetapi ia akan masih dianggap belum dewasa dan matang

78. Dari itu, di majlis yang penuh bermakna ini saya sekali lagi berseru…marilah kita sama-sama memperbaharui tekad kita untuk terus komited dan ikhlas membangun dan memajukan Parti Pembangunan Bangsa sebagai rakan strategik kepada Kebawah Duli yang Maha mulia Paduka Seri Baginda Sultan.

79. Marilah kita perbaharui tekad untuk terus mara kehadapan dalam perjuangan membela untung nasib masa depan negara.

80. Marilah kita terus membantu raja dalam usaha mempastikan negara Brunei berkekalan menjadi sebuah negara Melayu, Islam, Beraja yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman, damai dan sejahtera serta sentiasa mendapat keampunan Allah jua.

81. Marilah kita perbaharui komitmen kita kepada perjuangan NDP untuk menegakkan konsep keadilan dan ehsan yang menjadi teras pemerintahan Baginda Sultan.

82. Marilah kita insafi bahawa rebah bangun NDP terletak kepada kesediaan dan komitmen kita untuk menanai perjuangan yang dibawanya

83. Bercakap tentang komitmen, in sya Allah, dibawah kepimpinan baru ini kita akan meneruskan mana-mana kerja yang belum selesai dibawah kepimpinan sebelum ini seperti yang diamanahkan oleh ayahnda Haji Mahmud Morshidi Othman, mantan Presiden yang juga merupakan mentor kita.

84. Saya selaku Presiden yang baru juga berhasrat untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai dengan kemampuan kita kearah mempertingkat lagi keupayaan barisan kepimpinan pusat, daerah dan peringkat ranting dalam bidang-bidang yang perlu seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan lain-lain yang boleh menyumbang kearah memantapkan lagi kesatuan dan kewibawaan NDP

85. Saya juga berpendapat perlunya NDP memperkasa Lembaga Penasihat NDP dengan mempastikan ahli-ahli jemaah terdiri dari mereka yang benar-benar memahami semangat dan dasar perjuangan NDP

86. Pemimpin datang dan pergi, Senario politik dunia semakin hebat dan mencabar, makanya Lembaga Penasihat saya lihat sangat mustahak diperkasakan dan berperanan selaku sebuah badan syura yang memegang amanah dalam memelihara keutuhan NDP, mengawasi dan memelihara perlembagaan, dasar dan peraturan NDP yang wajib dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran NDP

87. Saya juga melihat perlunya badan Lembaga Penasihat diperkukuh sebagai pemangkin usaha kearah merealisasikan hasrat untuk menjadikan Limbaruh Hijau sebagai institusi pendidikan politik ke arah matlamat melahirkan kepimpinan pelapis dan kader-kader politik yang berkaliber

88. Ahli-ahli jemaah dewan syura Lembaga Penasihat ini saya lihat perlu terdiri dari golongan yang lebih berpengalaman luas dalam bidang politik, memahami Islam dan semangat penubuhan NDP sebagai sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya

89. In sya Allah perkara ini, dengan izin, akan saya bincangkan dengan ayahnda mantan Presiden untuk mendapatkan pandangan beliau selaku pengasas utama parti dan selaku orang yang memahami semangat penubuhan NDP

90. Agenda ini juga akan saya bentangkan di mesyuarat Dewan Harian dan Mesyuarat Majlis Tertinggi nanti, in sya Allah

91. Untuk akhirnya marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil iktibar dari firman Allah s.w.t mengenai ‘orang cakap tidak serupa bikin….’

92. Dalam surah al-baqarah ayat 44 Allah berfirman, “patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

93. Dan dalam surah al-saf ayat 2 dan 3 Allah berfirman, “wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan”.

94. Sekian wabillah hi taufik wal assalamualaikum wa rahmatuulahi wa barakatuh.

95. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.


Tuesday, December 1, 2015

PRESIDEN: SOKONG IDEA TRANFORMASI KEBAWAH DYMM




LIMBARUH HIJAU, 27 November 2015 : Majlis Penyampaian Anugerah Jasawan NDP di Markas Pusat NDP Limbaruh Hijau pada 25 November 2015 merupakan majlis rasmi TYT Presiden yang terakhir.

Di Majlis tersebut Presiden telah memberikan ucapannya antara lain dipetik:

“Kepada bangsaku, hanya NDP yang ada pada hari ini sahajalah yang upaya kami tanai dan pertahankan sebagai pesembah Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan rakyat. Maka telah sampai masanya, obor perjuangan ini saya serahkan kepada Presiden menunggu meneruskan kelangsungan perjuangan ini.

Saya yakin, dengan adanya barisan kepimpinan baru NDP 2015-2018 di bawah pimpinan Presiden baru, NDP akan terus mengorak langkah ke hadapan bersama imej, pendekatan dan gaya politik baru yang boleh meraih keyakinan ahli, rakyat amnya, dan juga pihak kerajaan. Insyaa Allah. Yakinlah, walau betapa gelap dan betapa panjangnya malam, namun fajar pasti menyingsing. Ini adalah sunatullah.

Saudara saudari sekalian,

Dalam kesempatan ini juga, bertepatan dengan kedudukan NDP yang berada di peringkat akhir pelaksanaan Manifesto 2006-2016, ingin saya mengongsikan sedikit pandangan mengenai senario masa depan pembangunan politik tanah air.

Pada tahun 2004, Kebawah DYMM telah menzahirkan hasrat baginda untuk melakukan transformasi ke arah memberi keutamaan bagi meningkatkan peluang orang ramai melibatkan diri dan memberi sumbangan membina kepada kemajuan negara. Antara lain, sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-58 tahun pada 15 Julai 2004, Kebawah DYMM menitahkan:

“Oleh itu, sebuah Jawatankuasa untuk Mengkaji Semula Perlembagaan 1959 telahpun ditubuhkan.
Jawatankuasa berkenaan telah meneliti semula Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, 1959 bagi mengenal-pasti pindaan-pindaan yang perlu dibuat untuk membolehkan kita terus melindungi negara serta kepentingan rakyat, iaitu dengan mengambil kira keadaan sekarang dan juga masa akan datang.”
Untuk merealisasikan wawasan transformasi tersebut, baginda telah memperkenankan pindaan-pindaan perlembagaan dengan memasukkan peruntukan-peruntukan berikut:

Perkara 24(1) - Keanggotaan Majlis Mesyuarat Negara dan Ahli-Ahlinya.

1. Majlis Mesyuarat Negara hendaklah mengandungi tidak lebih daripada 45 orang Ahli seperti berikut –

(a) sehingga 30 orang yang akan dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dari kategori-kategori yang berikut...

(b) sehingga 15 orang wakil, bilangan sebenarnya hendaklah ditentukan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, dari Daerah Brunei Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong yang akan dipilih menurut undang-undang berkenaan dengan pilihanraya yang berkuatkuasa di dalam Negara Brunei Darussalam.

Ini bermakna, Kebawah DYMM telah meletakkan asas yang kukuh ke arah mengembalikan hak kepada rakyat untuk memilih wakil mereka melalui pilihan raya. Pindaan tersebut adalah bukti yang jelas bahawa baginda sesungguhnya amat memahami akan amanah dan tanggungjawab menunaikan hak rakyat untuk bersuara. Ini jelas melalui titah baginda supaya diwujudkan “satu struktur penglibatan rakyat yang lebih formal…”

Dalam titah tersebut juga, Kebawah DYMM turut menekankan: “Perubahan ini kita laksanakan dengan penuh berhati-hati, demi untuk terus menjamin keamanan dan kestabilan, serta penghormatan dan kemakmuran yang kita nikmati selama ini.”

Persoalan yang berbangkit ialah berapa lama lagikah kita akan tersekat di peringkat ‘penuh berhati-hati’ tersebut sebelum transformasi yang diilhamkan oleh baginda itu terlaksana? Sekarang ini kita telahpun melangkaui lebih sepuluh tahun, namun masih tidak menampakkan sebarang perkembangan yang positif ke arah memenuhi sepenuhnya pindaan perlembagaan yang telah diperkenankan itu.

Apa yang berlaku di negara kita adalah bersifat regresif berbanding dengan perkembangan politik terkini di Myanmar. Negara tersebut yang selama ini dianggap sebagai ‘pariah’ justeru tindak tanduk rejim tentera pimpinan Presiden Thein Sein yang menindas dan menyekat kebangkitan suara rakyat telah mengambil langkah yang begitu berani ke arah mengikis reputasi buruk mereka.

Langkah reformasi yang diterajui oleh Thein Sein pada 13 Disember 2011 dengan meluluskan pendaftaran semula parti NLD yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi telah menyuburkan kembali persaingan sihat dalam demokrasi yang lebih terbuka.

Secara realiti, banyak sekali halangan dan sekatan terhadap NLD, khususnya Suu Kyi yang hilang kelayakan untuk bertanding berikutan pindaan perlembagaan sejak 2008 lagi. Namun begitu, langkah reformasi rejim tentera Myanmar telah memperlihatkan kepada dunia bahawa demokrasi telah dihidupkan semula di negara itu.

Kronologi ini, meskipun dengan mengambil kira keputusan parlimen Myanmar pada 25 Jun 2015 yang menolak pindaan perlembagaan untuk melayakkan Suu Kyi bertanding dalam pilihanraya, tetap membuktikan kesungguhan rejim tentera untuk mengotakan janji mereka ke arah reformasi politik yang diterima masyarakat antarabangsa.

Rejim tersebut yang amat terkenal dengan pencabulan hak-hak asasi rakyat dan dicemuh sebagai ‘pariah’ di mata dunia pastinya merancang pelbagai strategi yang teliti dan berhati-hati untuk memastikan dominasi mereka berterusan. Namun mereka tidaklah mengambil masa yang begitu lama untuk merealisasikan reformasi yang dijanjikan. Dalam tempoh empat tahun sahaja rejim tersebut telah berjaya mengadakan pilihanraya yang terbuka dan adil.

Kita sewajarnya mengambil ikitbar betapa Myanmar yang berlatarkan pelbagai pergolakan politik, pertempuran etnik dan krisis ekonomi akibat sekatan antarabangsa, masih mampu dan berjaya mengorak pembaharuan politik. Sedangkan negara kita yang jauh lebih aman dan mewah, masih takut untuk bergerak kehadapan sedangkan pindaan perlembagaan bagi tujuan tersebut telah diluluskan lebih sepuluh tahun yang lalu.

Andainya agensi pelaksana benar-benar ikhlas, berani dan bersedia untuk merealisasikan transformasi yang diilhamkan oleh Kebawah DYMM, pastinya baginda jauh lebih layak berbanding Thein Sein untuk digelar sebagai tokoh reformis. Tetapi malangnya, akibat daripada tafsiran pelaksanaan perubahan ‘penuh berhati-hati’ itu yang dipengaruhi oleh ‘paranoia’ yang tidak berasas, sehingga kini kita masih jauh ketinggalan.

Senario ini dilatari pula oleh penguatkuasaan perintah darurat yang telah pun melangkaui usia ‘jubli emas’. Perintah ini telah dijadikan satu instrumen bagi maksud mengekalkan keamanan dan kesejahteraan rakyat, justeru itulah perintah tersebut diperbaharui setiap dua tahun sehingga kini. Soalnya, mampukah kita membuat jangkaan berapa lama lagikah perintah darurat ini akan dilanjutkan?

Mungkinkah ketidaklaksanaan pilihanraya yang diperuntukkan melalui Perkara 24(1)(b) yang saya sebutkan sebelum ini, sebenarnya adalah implikasi daripada pengekalan perintah darurat sehingga kini? Jika demikian, maka sampai bila-bila pun perlaksanaan Perkara 24(1)(b) itu tidak akan menjadi realiti. Bolehkah kita simpulkan bahawa Perkara 24(1)(b) itu sebenarnya adalah satu peruntukan yang bersifat non starter? Sebab itu, tidaklah pelik mengapa selepas lebih sepuluh tahun masih belum terdapat sebarang petunjuk yang positif.

Gambaran ini seolah-olah segala ruang yang memungkinkan bercambahnya pembaharuan politik telah ditutup serapat-rapatnya. Kita teruja dengan pindaan perlembagaan pada 2004 itu, yang seolah-olah membuka jendela baru yang memungkinkan rakyat memandang jauh ke arah reformasi politik.
Tetapi sayangnya, ia tidak ubah sebagai fatamorgana sahaja yang memperdayakan. Pandangan mereka tidak sampai ke mana pun dek terhadang oleh perintah darurat.

Berdepan dengan situasi semasa yang saya gambarkan ini, apakah kehadiran NDP ini masih relevan dalam misi membawa transformasi politik di Brunei? Bagi menjawab persoalan ini, suka saya galurkan pandangan berikut:

Pertama, jika diamati kepada wawasan penyertaan rakyat secara formal seperti yang dapat difahami melalui titah keputeraan ke-58 Kebawah DYMM, jelas memperlihatkan keterbukaan dan kesediaan baginda. Bagindalah yang menitahkan supaya diteliti dan dikenalpasti pindaan-pindaan perlembagaan yang perlu dibuat.

Berdasarkan perakuan jawatankuasa penelitian tersebut, bagindalah juga yang telah memperkenankan supaya dimasukkan peruntukan Perkara 24(1)(b). Justeru adakah munasabah untuk disimpulkan bahawa bagindalah juga yang menghalang pelaksanaan perkara tersebut?

Jika difikirkan secara rasional, tentulah kita menolak kesimpulan demikian. Pada kefahaman kita, kejayaan implementasi sesuatu dasar atau undang-undang bergantung kepada agensi-agensi pelaksana yang berkenaan dan bukannya terletak di bahu pembuat dasar. Ini bermakna setelah lebih satu dekad, satu kemungkinan ialah wawasan keterbukaan dan kesediaan baginda itu masih belum terlaksana kerana kegagalan agensi pelaksana. Andaikata agensi-agensi tersebut sependirian dengan baginda, tentunya mereka telah menyediakan infrastruktur dan persekitaraan yang kondusif ke arah merealisasikan wawasan tersebut.

Kemungkinan kedua ialah, agensi-agensi tersebut dengan sengaja menggelincirkan pelaksanaan wawasan Kebawah DYMM itu justeru bimbang ianya boleh menjejaskan kedudukan, kuasa dan pengaruh mereka. Andaikata inilah senarionya, maka tepatlah perumpamaan ‘harapkan sokong, sokong membawa rebah’.

Di dalam Perlembagaan Negara, Bahagian XI 84B(1) termaktub bahawa: “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan tidak pandai berbuat salah sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda.”

Berdasarkan premis itu siapakah yang seharusnya memikul ‘kesalahan’ kerana gagal menunaikan tanggungjawab yang telah dititah dan diperkenankan oleh baginda?

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Muslim, maksudnya: “Hendaklah orang-orang yang memiliki budi dan akal yang duduk mendampingiku,...”.

Ini bermaksud mereka yang duduk dalam ‘inner circle’ seseorang pemimpin mestilah terdiri daripada golongan yang memiliki budi dan akal, supaya segala wawasan pemimpin terlaksana seperti yang dihasratkan.

Kedua, jika NDP mahu dilihat sebagai relevan dalam senario yang digambarkan itu, kepimpinan parti hendaklah berusaha untuk meyakinkan pimpinan negara dan rakyat akan keabsahan konsep penglibatan rakyat secara formal.

Pimpinan negara perlu sedar bahawa konsep diajukan oleh Kebawah DYMM itu sama sekali tidak membawa implikasi bahawa kuasa dan pengaruh mereka akan terhakis. Malah sebaliknya, mereka akan lebih dihormati oleh rakyat, sekiranya mereka juga mengiktiraf dan menghormati hak dan aspirasi rakyat.

Sementara itu, rakyat pula mesti ‘dikejutkan dari lena yang berpanjangan’ supaya mereka sedar akan hak dan tanggungjawab mereka sebagai stakeholder yang terbesar dalam negara ini. Rakyat juga perlu memahami hakikat bahawa ‘tuntutan’ untuk mendapat pengiktirafan dan penghormatan ke atas hak mereka bukanlah bermakna merampas hak pihak yang lain, dan jauh sekali dari sebarang unsur penderhakaan.

Di bawah konsep penglibatan dan partisipasi, setiap pelaku bertindak dan begerak di dalam skop dan parameter masing-masing berdasarkan perlembagaan dan undang-undang negara. Justeru di bawah konsep ini tidak timbul soal campur tangan, pertembungan, atau pertindihan kuasa dan pengaruh antara rakyat dengan pemerintah.

Sebab itulah sekali lagi ditegaskan, tidak akan berbangkit isu persaingan di antara rakyat dengan pemerintah. Masing-masing dengan tugas dan peranannya di dalam membangunkan Negara.
Ketiga, NDP mengakui bahawa Kebawah DYMM telah meletakkan satu standard yang tinggi, termasuklah daripada segi wawasan pembaharuan politik, yang ada kalanya tidak tercapai oleh pelaksana dasar. Sebab itulah kita dapati beberapa dasar reformasi yang diilhamkan oleh baginda tidak terlaksana seperti yang dihasratkan.

Secara jujur, yang paling dibimbangkan ialah, mampukah generasi pemimpin yang akan datang mengikut jejak langkah Kebawah DYMM dalam soal kepimpinan, wawasan, kedinamikan dan keprihatinan baginda demi kesejateraan negara dan rakyat. Sebenarnya, pada pandangan NDP, kemungkinan akan wujud suatu hari nanti, lompang yang besar ke arah melestarikan jejak langkah baginda.

Oleh yang demikian, kita beranggapan bahawa, jurang tersebut hanya akan dapat ditampung melalui penglibatan dan partisipasi rakyat yang sihat. Ini bermakna kerajaan perlulah dari sekarang mendedahkan rakyat kepada praktik politik yang sihat demi melahirkan generasi yang matang dan berketrampilan dengan penuh tanggungjawab mendukung wawasan Negara dan kepimpinan mendatang.

Kita tidak mahu mendengar alasan bahawa pelaksanaan pindaan perlembagaan itu tidak dibuat kerana rakyat belum bersedia. Kita akui, sehingga kini tahap kesedaran politik di kalangan majoriti rakyat agak rendah. Ini terjadi kerana langkah-langkah yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sendiri, terutamanya perintah darurat, yang menyebabkan rakyat fobia dengan istilah ‘politik’ itu sendiri, apatah lagi untuk terlibat secara aktif.

Mungkin ada segolongan kecil rakyat yang sedar akan hak dan tanggungjawab politik mereka, namun mereka juga bimbang untuk menzahirkan kesedaran tersebut. Disebabkan hambatan dan halangan undang-undang, kelompok kecil ini tidak berupaya untuk membawa kesedaran tersebut kepada rakyat secara menyeluruh.

Saudara saudari sekalian,

Oleh itu, NDP sebagai pelopor mestilah bersedia menghadapi apa jua rintangan dan cabaran jika kita ingin terus menyumbang kepada pembaharuan politik demi kesejahteraan dan kemajuan negara. Kita mesti senantiasa bersabar dan bersikap husnuzhan bahawa satu hari nanti kerajaan akan menunaikan tanggungjawabnya dalam mengembalikan hak dan suara kepada rakyat yang selayaknya.”



Wednesday, September 2, 2015

Saturday, December 6, 2014

UCAPAN TYT PRESIDEN SEMPENA ISTIADAT PENAIKAN BENDERA SANG SETIA KE-10


UCAPAN TYT MAHMUD MORSHIDI OTHMAN, PRESIDEN NDP
SEMPENA ISTIADAT PENAIKAN BENDERA SANG SETIA KE-10
PADA 8 SAFAR 1436 BERSAMAAN 1 DISEMBER 2014,
DI DATARAN LIMBARUH HIJAU, MARKAS PUSAT NDP, JERUDONG







Yang Berusaha Saudara Pengerusi Majlis,
Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden,

Yang Di Hormati Tuan Pengerusi Tetap dan Timbalan,
Naib-Naib Presiden,
Setiausaha Agung,
Ahli-Ahli Lembaga Penasihat,
Pengerusi Jawatan Kuasa Sambutan Istiadat Pengibaran Bendera Sang Setia ke 10,
Para Jemputan dan seluruh warga NDP.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Selamat Sejahtera.

Saudara Saudari Sekalian,

Sebelum saya meneruskan ucapan ini, ingin saya sejenak mengajak Saudara Saudari sekalian yang beragama Islam untuk menghadiahkan bacaan Al Fatihah ke atas roh Almarhum Ayahanda Presiden pertama kita Awang Hj Muhammad Yassin Abd Rahman @Yasin Affandy, para pemimpin dan anggota NDP yang telah kembali kerahmatullah.

Bacaan Ummul Quraan ini juga kita khususkan buat Almarhum Ayahanda Sh Salleh bin Sh Mahmud seorang pejuang kemerdekaan Brunei yang pernah ditahan selama 10 tahun di Khemah Tahanan Berakas 1963-1973 dan berada dalam buangan selama 41 tahun 1973-2014 hingga akhir hayat beliau. Almarhum baru kembali kerahmatullah di Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.

Alfatihah...

Saudara Saudari sekalian,

SANG SETIA

Tanggal 1 Disember, di pagi nan ceria dan indah ini adalah Hari Ulang Tahun Perasmian Pengibaran Sang Setia, nama jolokan kepada bendera dan panji Parti Pembangunan Bangsa (NDP).

Pertama kali Sang Setia dikibarkan dan dipamerkan buat tatapan umum oleh Ayahanda Yassin Affandy pada 14 September 2005 di dataran Limbaruh Hijau ini. Pada tahun berikutnya iaitu 1 Disember telah diisytiharkan sebagai hari Sang Setia dan sambutannya diperingati pada setiap tahun hingga ke hari ini.

Di awal-awal sambutan pengibaran Sang Setia dataran Limbaruh Hijau ini begitu ceria dan bersemangat dipenuhi oleh ratusan ahli dan bukan ahli, serta barisan diplomat-diplomat asing. Semua hadirin berdiri tegak dan turut sama memberikan tabik hormat apabila Sang Setia dinaikkan perlahan-lahan sambil menyanyikan lagu rasmi Sang Setia yang dicipta khas oleh Ayahanda Hj Mahdi Hj Suhaili.

Hari ini walaupun tanpa ketiadan Ayahanda Yasssin Affandy, ketidak hadiran barisan diplomat asing, tiadanya ratusan pemimpin, ahli dan bukan ahli, Istiadat Pengibaran Sang Setia tetap juga disempurnakan dengan penuh istiadat. Ini adalah berkat pegangan kita agar melakukan apa jua tugasan yang diamanahkan itu sebaiknya dan sedayanya. Ada seribu orang buat cara ada seribu, ada seratus buat adanya cara seratus dan jika cuma ada sepuluh orang pun, buatlah cara adanya sepuluh. Alhamdulillah pagi ini kehadiran lebih sepuluh orang.

Sepuluh tahun dahulu Ayahanda Presiden berucap di atas tapak saya berucap ini, iaitu pada Majlis Perasmian Limbaruh Hijau, Markas Pusat NDP dan Perasmian Penaikan Bendera Sang Setia.

Markas Pusat NDP telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Negara, Ahli Majlis Diraja dan Ahli Majlis Mengangkat Raja.Sementara, Ayahanda Yasin Affandy telah menyempurnakan penaikkan pertama kalinya bendera Sang Setia.

Dalam ucapannya, beliau telah menyuntik semangat kita, antara lain beliau berkata "...secara simboliknya, saya berharap apabila bendera rasmi parti berkibar megah sebentar lagi, maka rasa kemegahan yang sama harus menyerapi seluruh sanubari kita justeru kerana kita berada dalam satu harakah perjuangan yang sama. Setiap kibaran bendera itu hendaknya menjadi kipasan yang memerahkan bara perjuangan dan menyemarakkan semangat setiap ahli dan penyokong Parti Pembangunan. Jadi bendera dan logo ini hendaklah sentiasa segak berkibar dan jangan sekali-sekali dibiar tersungkur menyembah bumi."

Saudara Saudari Sekalian,

PERSEPSI YANG SALAH

Kibaran Sang Setia yang menyemarakkan perjuangan kita untuk membantu Kebawah DYMM, menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran, memperjuangkan keadilan dan memerangi kezaliman itulah yang tidak disenangi oleh banyak kalangan lantaran persepsi yang salah. Tidak berhenti disitu, lalu dirancanglah agenda terusun rapi untuk membatasi pergerakannya dan melemahkanya dengan dendangan nada-nada sumbang ke cuping telinga warga parti dan khalayak agar mereka menjauhkan diri dari pergerakan politik.

Ketidakmampuan kita untuk menepis serangan yang bertali arus itu, telah menatijahkan keberhasilan agenda besar mereka yang sekian lama membenci dan memusuhi NDP. Kini NDP longlai seperti tiada bermaya bak tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang membuat kita terbuai lena olehnya. Walau apa pun keadaannya, warga yang masih setia ini tidak seharusnya turut terbuai malah sewajibnya hendaklah menyalakan obor perjuangan menjunjung titah membangun bangsa sesuai makna warna dan bentuk bendera dan panji parti kita.

Saudara Saudari Sekalian,

BENDERA DAN PANJI DALAM PERLEMBAGAAN NDP

Sekadar kita ingat mengingatkan bahawa,

Menurut Perlembagaan NDP, Artikel 6: Bendera Parti Pembangunan

Warna latar belakang bendera Parti Pembangunan ialah hijau pucuk pisang, sebagai simbol kecintaan Parti Pembangunan dan seluruh anggota-anggotanya kepada keharmonian, keamanan dan kedamaian sejagat sesuai dengan visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan;

Garis kuning yang mengelilingi bendera tersebut melambangkan ketulusan dan keikhlasan Parti Pembangunan dan anggota-anggotanya mendukung konsep Ketuanan Kesultanan Melayu Brunei dan tanpa berbelah bahagi menyokong Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha Baginda untuk membangun negara dan membina keutuhan bangsa;

Logo dalam bendera ini adalah tulisan Jawi bentuk khat dari huruf-huruf pertama pada perkataan "Parti" dan perkataan "Pembangunan" (Fa Fa) yang terletak di tengah bendera;

Lebar bendera ialah dua kali ganda dari ukuran tingginya.

Artikel 7: Lambang Parti Pembangunan menerangkan bahawa,

Tulisan Jawi bentuk khat dari huruf-huruf pertama pada perkataan "Parti" dan perkataan "Pembangunan" (Fa Fa) yang dibentuk seperti setitik minyak adalah menjadi simbol kepada sumber pembangunan negara;

Latarbelakang bulatan berwarna hijau pucuk pisang itu adalah simbol kecintaan Parti Pembangunan dan seluruh anggota-anggotanya kepada keharmonian, keamanan dan kedamaian sejagat sesuai dengan visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan;

Bulatan kuning disekeliling latar berwarna hijau pucuk pisang adalah simbol kepada tekad yang bulat dan tulus ikhlas Parti Pembangunan dan seluruh anggota-anggotanya dalam mendukung konsep Ketuanan Kesultanan Melayu Brunei dan tanpa berbelah bahagi menyokong Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha Baginda untuk membangun negara dan membina keutuhan bangsa.

Saudara Saudari sekalian,

HARGA SEBUAH PANJI

Dalam sejarah Cina semasa pemerintahan dinasti-dinasti yang termasyhur misalnya, kita akan temui panglima tertinggi ketenteraan membawa panji-panji atau bendera dalam peperangan. Selagi panji-panji itu tertegak, maka selama itu para anggota tentera akan terus berjuang bermati-matian, dan perjuangan itu akan berakhir apabila panji-panji tersungkur menyembah bumi.

Semangat juang yang ada bersama bendera dan panji dinasti-dinasti tersebutlah yang menyemarkkan perjuangan merayakan negeri Cina menjadi sebuah empayar yang besar dan luas hingga ke hari ini.

Dalam sejarah perjuangan Islam juga tidak terkecuali, bendera dan panji digunakan sebagai pembakar semangat para perjuang untuk mengejar dua kejayaan, gugur sebagai syahid atau kemenangan mengalahkan musuh.

Marilah kita renungkan sejenak satu peristiwa di zaman kegemilangan Islam iaitu ketika peristiwa perang Mu'tah pada tahun 8H/629M. Dalam peristiwa itu, kepimpinan tentera Islam telah diserahkan kepada Zaid bin Harithah ra.

Rasulullah SAW berpesan - sekiranya Zaid gugur maka Jaafar mengambil tempatnya dan seandainya Jaafar turut gugur syahid, maka Abdullah bin Rawahah pula tampil mengambil teraju kepimpinan tentera Islam.Rasulullah seterusnya menyerahkan sebuah bendera putih ke tangan Zaid.

Di bumi Mu'tah kedua-dua kumpulan bertemu dan peperangan sengit pun bermula - 3,000 tentera Islam menghadapi serangan 200,000 tentera musuh. Panji peperangan dipegang oleh Zaid, beliau merempuh serangan musuh dengan penuh keberanian dan terus mengasak hinggalah beliau terkena tikaman musuh, lalu terkorban sebagai seorang syahid.

Dengan itu panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib ra. Beliau juga segagah Zaid, hingga apabila beliau terasa berat bertempur diatas kuda, beliau melompat dari kudanya dan terus bertempur di bawah, hinggalah tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya.Setelah kehilangan tangan kirinya pula, diapit bendera itu dengan dua belah lengannya.Dalam keadaan begitu beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa setelah Jaafar syahid, di badannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.

Setelah Jaafar gugur maka bendera Islam diangkat pula oleh Abdullah bin Rawahah ra. Dengan itu beliau pun memecut kudanya mara ke hadapan sambil menghunus pedangnya dan terus bertarung hingga akhirnya gugur sebagai syahid.

Kemudiannya tentera Islam dipimpin pula oleh Khalid bin Al-Walid ra. Dengan memegang bendera beliau terus mengharungi kancah pertempuran yang sedang sengit. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa sembilan bilah pedang telah terpatah di tangan Khalid dalam pertempuran tersebut.

Perang tersebut telah membawa kesan yang amat signifikan, kerana para pejuang Islam yang hanya seramai 3,000 anggota berjaya mencabar musuh berjumlah 200,000 orang itu tanpa mengalami korban yang besar. Peristiwa ini menunjukkan betapa hebat dan hangatnya semangat bendera yang dijulang. Sesungguhnya tentera Islam telah mendapat bantuan Allah SWT, dan ia juga membuktikan kedudukan Muhammad SAW sebagai RasulNya yang benar.

Hadis Nabi SAW merakamkan:

"Bendera perang dipegang oleh Zaid lalu dia terbunuh kemudian dipegang oleh Jaafar lalu dia terbunuh kemudian dipegang oleh Abdullah bin Rawahah namun diapun terbunuh, dan nampak kedua mata Rasulullah SAW berlinang. Akhirnya bendera dipegang oleh Khalid bin Al Walid tanpa menunggu perintah, namun akhirnya kemenangan diraihnya." (Riwayat Bukhari)

Saudara Saudari sekalian,

CABARAN SANG SETIA

Demkianlah nilai dan harga sebuah bendera dan panji...yang kita istiadatkan pengibarannya pada pagi ini. Sang Setia adalah harga sebuah perjuangan NDP dan demikian juga, bendera rasmi Negara, adalah dinilai harga sebuah Negara.

Dalam konteks parti kita, bendera dan panji parti dirangkum ke dalam sebuah perlembagaan, justeru membawa makna besar, tuntutan komitmen yang besar, tanggungjawab yang berat dan amanah teramat berat yang wajib ditanai, dipertahan dan diberigakan oleh sekalian ahli parti.

Hari ini kita membaharui ikrar bahawa Sang Setia akan terus membantu Kebawah Duli dan Kerajaan Baginda, "mewujudkan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan yang adil dan saksama, telus, bersih, cekap, amanah, penuh ihsan dan kebajikan"seperti di dalam objektif utama parti Artikel 5:3.

Hari ini juga kita membaharui ikrar untuk bersama-sama Baginda dan Zuriat Baginda, "mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan Negara Brunei Darussalam" Artikel 3:5.

Mungkin pada pandangan awam, apa yang kita sentuh ini bukannya masalah, jauh sekali ancaman kepada survival Negara. Namun hakikatnya yang kita peringatkan ini adalah mengungkap kembali akan bai'ah yang pernah kita lafazkan.

Ini perlu bagi menyedarkan ahli-ahli parti bahawa, sekarang ini kita berada dalam suasana politik dunia yang gawat sekali gus turut mencabar kekuatan, perpaduan dan kerjasama serantau. ASEAN berhadapan cabaran dan ujian ketulusan dan keikhlasan kerjasama di kalangan anggota terutama sekali di bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan keselamatan.

Brunei yang berada di tengah-tengah ASEAN tidak mungkin dapat meminggirkan diri dalam isu keselamatan misalnya, bagi menghadapi ancaman keselamatan berbagai bentuk yang datang dari berbagai arah, antaranya, kemunculan kumpulan-kumpulan ekstrimis, jenayah rentas sempadan, kegawatan ekonomi, dan kerancakan politik demokrasi yang mempunyai takrif dan keperluan berbeza-beza.

Kita perlu berhati-hati dan cermat menyambut kedatangan komuniti ASEAN 2015, terutama sekali komuniti ekonomi ASEAN. Kita bimbang, pada hakikatnya kita tidak ada apa-apa persiapan pun untuk menghadapi agenda-agenda komuniti ASEAN baru, jangan sampai kita menjadi mangsa keadaan dan kejahilan sendiri.

Saudara Saudari Sekalian,

DATA KRITIKAL

Isu serius dalam negeri yang juga mungkin bukan ditanggapi sebagai isu atau masalah bagi sesetengah kalangan ialah isu kemiskinan, isu yang kita lihat seperti tidak berkesudahan bak ombak mengejar ombak.

Menurut Ustazah Hjh Rose Abdullah, pensyarah di UNISSA, ketiadaan garis kemiskinan yang ditetapkan adalah penghalang kepada usaha pihak kerajaan dalam membasmi kemiskinan. Kata beliau, tanpa kewujudan garis kemiskinan, kita tidak dapat mengenalpasti siapa yang hendak dimasukkan dalam data kemiskinan, justeru bagaimana pula kita mengetahui siapa yang layak mendapat bantuan?

Kajian yang dijalankan di Kg Ayer mendapati 46 peratus penduduk berpendapatan di bawah $1,000 manakala 43 peratus tidak mempunyai pendapatan tetap. Faktor utama kemiskinan merupakan pengangguran dan tahap pendidikan yang rendah.

Antara masalah serius yang dikenalpasti dalam kajian tersebut ialah kesukaran menghantar anak-anak ke sekolah, di mana 71 peratus penduduk meluahkan kesukaran yang berpunca daripada ketiadaan kenderaan dan kekurangan wang.

Didorong oleh pelbagai masalah, 15 peratus terpaksa berhenti pada peringkat sekolah menengah. Secara langsung, keadaan ini tentunya memberi kesan negatif ke atas gagasan membangunkan modal insan dan rakyat berpendidikan tinggi sesuai kehendak negara maju.

Pada tahun 2010, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mengklasifikasikan 1,457 penduduk Kg Ayer, iaitu 12.5 peratus dari jumlah keseluruhan sebagai asnaf fakir miskin. Manakala data daripada JAPEM dan MUIB pula memaparkan sejumlah 20,790 orang miskin pada 2012.

Saudara saudari sekalian,

PAPARAN STATISTIK

Oleh kerana statistik yang digunapakai oleh badan-badan kebajikan di negara ini berbeza dalam menentukan definisi kemiskinan, satu kajian oleh pihak berkenaan telah dilakukan pada tahun 2011, antara lain mendapati, sejumlah 27,360 orang daripada 5,472 keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan.

Warga Emas

Dalam isu berkaitan, kerajaan dijangka akan membelanjakan $80 juta untuk pembayaran pencen tua kepada 27,166 warga emas tahun ini. JPKE menganggarkan bilangan warga emas akan meningkat dari seramai 25,900 pada 2013 (6.4 peratus penduduk) kepada 64,158 pada 2030.

Kebarangkalian, sebahagian besar penerima pencen tua ini terdiri dari kalangan berpendapatan rendah dan mereka yang tiada mempunyai sebarang sumber pendapatan tambahan. Justeru barang sudah tentu sebahagian besar mereka itu juga jatuh dibawah asnaf fakir miskin.

Penggangguran

Menurut sumber JPKE, jumlah penganggur pada bulan Ogos sebanyak 12,275 orang meningkat 0.8 peratus berbanding 12,173 pada Julai tahun ini, mengikut laporan itu, 58 peratus daripada jumlah tersebut merupakan wanita iaitu golongan pendidik awal kanak-kanak, yang membentuk syaksiah anak-anak.

Pecahan berdasarkan umur menunjukkan jumlah penganggur yang teramai adalah mereka yang berusia di antara 20 - 29 tahun iaitu sebanyak 50.7 peratus; suatu peratusan besar yang berpotensi memainkan peranan utama dalam menggulingkan kerajaan, seperti yang sudah termaktub dalam sejarah di sebilangan negara dunia!

Dalam konteks lain, sejumlah lebih 12,000 pengganggur ini selayaknya menerima bantuan kewangan sara diri atau "unemployment benefit" seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju bagi meringankan tekanan dan bebanan kehidupan mereka dan keluarga.

Dari segi pengagihan zakat, mereka sewajarnya dikatagorikan sebagai "miskin" kerana mereka tidak mempunyai pendapatan sara diri yang cukup. Ada ulama' mengkategorikan pengganggur, terutama lepasan sekolah dan pengajian tinggi tergolong di bawah asnaf misikin yang berhak menerima zakat. Di samping itu, kita tidak tahu pula berapa jumlah mereka dibawah asnaf al gharimin (mereka yang menanggung hutang yang membebankan).

Saudara Saudari Sekalian,

KEHIDUPAN DHAIF DAN KEBANGKITAN MASSA

Keadaan ini mengingatkan kita akan dapatan sebuah teori yang telah diuji, iaitu berlaku korelasi antara kehidupan yang dhaif dengan kebangkitan massa. Antara lain perkataan, telah teruji bahawa kadar pengganguran dan kemiskinan yang tinggi adalah punca utama kebangkitan massa.

Sejarah telah merakamkan bahawa kejayaan PRB meraih sokongan massa ketika zamannya ialah kerana keadaan masyarakat Brunei yang rata-rata dalam keadaan susah dan dhaif ketika itu, justeru kehadiran PRB dengan agenda kemerdekaan, membawa harapan baru bahawa kehidupan rakyat akan berubah kepada lebih baik.

Adalah benar, dalam konteks kemerdekaan Brunei, Negara merdeka ini telah berjaya mengangkat taraf hidup rakyat berbanding kehidupan generasi terdahulu, namun tahap kemiskinan dan ketidakcukupan yang dirasai oleh sebahagian rakyat itu sama saja, cumanya berlainan wajah.

Kita bimbang, jika pengisian kemerdekaan dan pengurusan khazanah Negara merdeka terus lemah seperti yang dirasai pada hari ini, tidak mustahil sejarah kebangkitan massa akan berulang, mungkin protes dalam bentuk yang lain.

Saudara Saudari Sekalian,

PERINGATAN ALLAH DAN RASUL

Semua isu ini bak buah yang hampir ranum yang menunggu masak dijulok gugur. Apa yang kita luahkan ini pastinya didengar pahit, tapi Islam mengajar kita supaya berkata benar walaupun pahit. Kita kongsikan kebimbangan ini atas dasar politik Islam yang didorong oleh keimanan yang menuntut untuk menjalani kehidupan aman, baik dan selesa yang tidak hanya untuk dirinya sendiri tetapi juga mengambil berat terhadap permasaalahan dan kesukaran yang dialami oleh orang lain terutama sekali di kalangan orang orang mukmin.

Allah SWT berfirman, "innamalmukminuna ikhwah", maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara."

Dalam satu hadith, Baginda SAW bersabda maksudnya, "Sesiapa yang tidak memperdulikan masalah kaum muslimin maka dia tidak termasuk dalam golongan mereka, sesiapa yang tidak memberi nasihat untuk Allah, Rasulullah, para pemimpin kaum muslimin dan kalangan awamnya maka dia tidak termasuk dalam golongan mereka. Sesiapa yang tinggal di satu kawasan perumahan dan terdapat di dalamnya seseorang yang kelaparan, maka dia telah terlepas daripada perlindungan Allah dan RasulNya." (Riwayat at-Tabrani)

Ini membawa maksud bahawa para penguasa Negara Zikir, mesti menunaikan keperluan rakyat dan mengutamakannya ketika mereka memerlukan, dengan tidak mengelak daripada menunaikan permintaan mereka. Jika tidak berbuat sedemikian, boleh saja membawa kepada keruntuhan Negara.

Penguasa dan penjawat awam yang diamanahkan oleh Kebawah Duli hendaklah merubah segera mindset dan paradigma dari "malas tah ku ingau" kepada lebih pemedulian dengan rasa takut akan seksaan Allah dan kebencian Baginda Rasulullulah.

'Amru bin Murrah telah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW maksudnya: "Sesiapa yang diberikan tugas memimpin sesuatu urusan kaum muslimin oleh Allah SWT tetapi dia mengelak daripada membantu mereka, tidak menunaikan hajat mereka serta tidak menghapuskan kemiskinan, maka Allah tidak akan menunaikan hajat keperluannya serta tidak membantunya menghadapi kemiskinan." (Hadith sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan At-Tabrani)

Saudara Saudari Sekalian,

KEMISKINAN ANCAMAN KESELAMATAN

Bagi kita, isu kemiskinan, penggangguran dan tidak kecukupan rakyat ini adalah ancaman keselamatan nombor satu ke atas survival Institusi Kesultanan, Negara dan Bangsa. Isu yang mungkin dipandang remeh oleh sesetengah kalangan ini sebenarnya amat membimbangkan kita kerana ia sudah berada ditengah-tengah kita.

Pejuang-pejuang kemerdekaan yang masih terbuang bukannya ancaman keselamatan kepada Negara. Sh Salleh yang ternafi haknya untuk menghidu kemerdekaan sehingga mengakhiri hayatnya dalam buangan bukannya ancaman keselamatan, demikian juga Othman Latif, Yusof Ibrahim, Jais Abbas dan Sh Adnin Sh Azahari bukannya ancaman keselamatan, dan NDP juga bukannya ancaman keselamatan Negara tetapi adalah rakan strategik pembangunan negara.

Saya berseru kepada sekalian yang ada kuasa membuat keputusan, penjawat awam dan rakyat untuk saling menunaikan tanggungjawab untuk membantu Kebawah DYMM. Ingatlah akan peringatan dalam doa Rasulullah untuk para umara' dengan bersabda maksudnya:

"Ya Allah! Barangsiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk ummatku dan dia menyusahkan mereka maka Engkau sukarkanlah urusan mereka, tetapi sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk ummatku dan dia memudahkan mereka maka Engkau mudahkanlah urusannya." (Riwayat Muslim)

Takutilah akan doa Baginda Rasulullah SAW dan kutukan Allah SWT keatas kita...

Semoga kita semua termasuk dalam doa kategori orang-orang yang bekerja untuk memudahkan urusan kehidupan Ummat Nabi Muhammad dan bukannya untuk menyusahkan dan menzalimi mereka, Allah berjanji akan memudahkan urusan kita pula.

Saudara Saudari Sekalian,

KECELARUAN FIKIRAN

Dalam konteks yang lain, pada pengamatan kita, pemikiran rakyat tampak seperti celaru, ada yang bertanya kepada kita, ke mana sistem pemerintahan, pelbagai dasar dan peraturan yang dimuntahkan hendak membawa mereka seperti dasar pendidikan, dasar pembangunan hartanah, pembangunan usahawan, dasar keselamatan permakanan, kesamaran pada beberapa bahagian perundangan, apa dia dasar dan program membasmi kemiskinan, apa dia program ekonomi bagi membela peniaga di tepi jalan dan di pasar-pasar tamu, dan banyak lagi...

Kita bimbang, rakyat sudah seperti pasrah, bersyukur saja apa yang ada padanya, jika tidak kecukupan boleh meminta, lalu diberi. Fikiran rakyat sudah seperti tersekat (mental block), tidak kritis, nilai-nilai jati diri bernegara sudah pudar, masyarakat seperti longlai tidak lagi bermaya untuk mengangkat darjat diri.

Betapa sedihnya kita, masyarakat "sakit" inilah yang sentiasa berada di barisan hadapan untuk mengahadapi agenda cabaran-cabaran Negara maju 2035 dan agenda besar ASEAN komuniti bermula 2015 yang amat mencabar. Kalau kita lalai dan tidak ambil perhatian serius dan segera untuk memperbaiki keadaan pada umumnya, nescaya kita akan laboi-laboi ditengah-tengah 600 juta rakyat ASEAN.

Saudara Saudari Sekalian,

PERANAN NDP

Sebagai sebuah organisasi politik, seharusnya kita diberi ruang berperanan sewajarnya di dalam membantu Kebawah DYMM dan kerajaan, malangnya untuk memegang jawatan sebagai ahli JK MPK/MPM pun kita dihalang.

Walaupun demikian, sebagai ahli parti, hendaklah terus istiqamah dalam mendukung perjuangan parti seperti termaktub dalam perlembagaannya sambil membangunkan keupayaan kita sesuai dengan kehendak perjuangan semasa.

Parti menuntut komitmen semua ahli. Semua daripada kita mesti berkerja keras ke arah itu dan bukannya sebahagian bekerja keras sebahagian lagi jadi penonton dan pengkritik semata-mata.

Begitu juga, kita berharap dan berseru, kerja besar di hadapan kita ini akan turut mendapat suntikan semangat dari teman-teman di luar sana, terutama sekali para elit dan cendekiawan. Insya Allah jika semua pihak menyedari akan keperluan pembangunan politik sebagai kuasa ketiga yang boleh membantu Kebawah Duli, Kerajaan dan rakyat, selama itulah Sang Setia akan terus berkibar megah di bumi tercinta ini.

Saudara Saudari Sekalian,

PESANAN

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan seluruh ahli-ahli parti supaya bersiap sedia menghadapi Konges Agung Tahunan yang ada pemilihan pada tahun 2015 mendatang ini. Kemaskinikanlah organisasi di semua peringkat, lakukanlah kerja-kerja pemutihan keahlian, siapkan laporan-laporan kongres dan mesyuarat agung. Yang terpenting, rapatkan saf-saf makmum di belakang sesuai dengan bai'ah yang telah di lafazkan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini sekalong tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi JK Istiadat Pengibaran Sang Setia ke 10 dan seluruh keluarga JASA di atas kerjasama menjayakan majlis kita pada hari ini. Terima kasih juga kepada semua yang hadir.

Tidak lupa setinggi-tinggi penghargaan kepada kekanda TYT Timbalan Presiden yang selama ini menjalankan tugas-tugas Presiden sewaktu Presiden berhalangan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahhilhamd



Teks Ucapan TYT Timbalan Presiden NDP di MPPD ke-2 2014


Teks Ucapan Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden
di Majlis Perasmian Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah
Kali Kedua Tahun 2014 pada 29 November 2014.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarkatuh
Salam Sejahtera.

Yang Dihormati,
Saudara Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman
Pengerusi, MPPD Kali Kedua 2014

Yang Dihormati
Pengerusi Tetap,
Saudara Haji Abd. Rahman bin Mohd. Yusof
Ahli-Ahli Lembaga Penasihat

Yang Dihormati,
Naib Presiden- Naib Presiden

Yang Dikasihi
Saudara Hj. Mohd. Jefry bin Haji Md. Daud
Setiausaha Agung, Parti Pembangunan Bangsa (NDP)

Yang Dihormati,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Ketua-Ketua Ranting dan Jawatankuasa Perhubungan Senegara,

Kita bersyukor ke hadrat Allah swt kerana dengan hidayat dan inayahNya kita dapat bertemu dalam Majlis Permesyuratan Perhubungan Daerah pada pagi ini. Selawat serta salam buat nabi Muhammad saw, para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga ke akhir zaman.

Pada kesempatan ini, saya tidak lupa mengucapkan tahniah dan terima kasih yang setingginya kepada Pengerusi dan Jawatankuasa MPPD ini. Saya dimaklumkan bahawa jawatankuasa MPPD kali ini dianggotai secara langsung dan melibat semua Naib Presiden yang bersatu secara bersepadu.

Kesepakatan ini sesuatu yang positif untuk parti kerana Badan Perhubungan adalah nadi dan sumber kekuatan NDP dalam menggerakkan dan mengadakan sesuatu aktiviti bukan sahaja MPPD ini malah aktiviti lain saperti Perbarisan Ulang Tahun Hari Kebangsaan, Junjung Ziarah Ke Istana, Mesyuarat Ranting-Ranting, Memaduli Hal Ehwal Masyarakat di daerah masing-masing seumpama kejadian banjir, bantuan kepada mereka yang memerlukan dan aktiviti lainnya

Semoga usaha dan cara ini sebagai satu permulaan kepada semua Naib Presiden untuk sentiasa bekerjasama dan saling membantu bagi menjalankan semua aktiviti. Saling bertukar maklumat dan mengadakan perjumpaan sesama Naib Presiden untuk menyusun, merancang dan memikir langkah dan gerak kerja bagi memajukan parti di daerah masing-masing dan parti keseluruhannya.

Majlis pagi ini adalah majlis kedua yang serupa kita adakan bagi tahun 2014 ini. Hari Isnin depan kita akan berhimpun lagi di majlis yang lebih besar iaitu Sambutan Istiadat Ulang Tahun Penaikkan Bendera Sang Setia Kali Ke-10 dan sekaligus menandakan telah sepuluh tahun juga markas ini dirasmikan. Tidak terasa rupanya sudah sepuluh tahun parti ini wujud. Selepas itu sebulan seterusnya kita akan berada dalam tahun 2015.

Saudara Saudari sekalian,

MPPD ini adalah manifestasi penerusan usaha kita menterjemahkan makna berparti dalam mendidik dan memimpin kepimpinan dari semua peringkat, kerana itu MPPD kita namakan sebagai Mini Kongres. Sebagai pemimpin dari semua peringkat saya percaya biskita akan menggunakan sepenuhnya peluang hari ini untuk menampilkan diri dengan hujah dan pandangan politik yang luas dan penuh dengan maklumat yang benar, bersedia untuk mengeluarkan pandangan dan cadangan demi kebaikan parti. Bersedia mendengar kritikan dan teguran dengan sabar dan penuh rela kerana ianya seumpama zadam walaupun pahit masih jadi penawar.

Saudara Saudari sekalian.

Atas semangat nasionalisme marilah kita menyatukan diri dalam satu kumpulan manusia yang mempunyai perasaan yang sama demi untuk membela kepentingan bangsa dan agama dan raja dengan meletakkan kesetiaan yang bulat daripada setiap ahli.

Semasa dijajah, nasionalisme kita adalah satu gerakan untuk menentang penjajah dalam usaha untuk memerdekaan negeri dan bangsa daripada cengkaman dan penindasan dalam segala bentuk sama ada dalam hal ehwal politik, kebudayaan, ekonomi, pendidikan, agama, kemiskinan dan sebagainya.

Sekarang kita sudah merdeka, siapa dan apa yang perlu kita isikan, siapa dan apa yang mencengkam dan menindas yang perlukan kita lihat. Cengkaman dalam bentuk apa yang harus kita buka dan leraikan.
Oleh kerana MPPD ini adalah Mini Kongres Agung mungkin saja kita boleh gunakan memikir dan mencari bagi mengisi kemerdekaan yang sudah ada dalam dakapan kita. Penjajahan itu ada dalam berbagai bentuk dan cara

Saudara Saudari sekalian,

Pada kesempatan ini, izinkan saya mengulangi Ucapan Dasar Presiden katani pada Kongres Agung Tahunan Ke- 2 pada 23 Aapril 2006 yang menyebut "Hari ini kita boleh saksikan pelbagai bentuk penjajahan baru sedang menggila. Kita boleh saksikan sendiri bagaimana kesan asakan globalisasi itu membawa berbagai bentuk pemikiran dan tindakan yang jelik. Dengan sokongan sokongan teknologi dan dasar perluasan pengaruh oleh kuasa-kuasa besar dunia terutama dunia Islam dalam kegawatan dan setengahnya berada diambang kehancuran"

Mengingati akan petikan Ucapan Dasar berkenaan, saya teringat satu tulisan mengenai pembinaan Tembuk Besar Negeri Cina. Tembuk tersebut dibina bagi menghalang serangan daripada musuh-musuh luar. Tanpa mengira keperitan, kesusahan dan kesengsaraan rakyat yang membinanya, akhirnya tembok itu berjaya disiapkan, namun malang pada masa yang sama sambung tulisan itu, mereka lupa membina jati diri rakyatnya, maka apabila ada serangan luar, para pengawal yang mengawal tembuk itu membiarkan saja musuh-musuh mereka masuk ke negaranya.

Saudara Saudari sekalian,

Sambil kita melihat di luar saya mengajak anda semua termasuk diri saya untuk melihat dalaman kita NDP ini sendiiri kerana untuk mengusai yang lebih besar dan luas mari tah katani sama-sama mengusai parti katani ani. Sebagai langkah permulaan mari lah kita ajak ahli-ahli katani hadir hari Isnin ini bagi meraikan Istiadat Ulang Tahun Menaikkan Bendera Sang Setia. Kehadiran atu mungkin saja boleh katani fahami sebagai satu petanda positif untuk NDP selain mendengar amanat TYT. Presiden yang kebetulan sepuluh tahun jua NDP ditubuhkan.

Saudara Saudari sekalian,

Pengangguran di kalangan siswazah, pemegang diploma bukanlah suatu isu yang dapat ditapuk-tapuk lagi. Semakin bertambahnya penubuhan Isntitusi Pengajian Tinggi semakin ramailah orang-orang katani berpelajaran tinggi dalam pelbagai bidang. Pada 5 November lepas seramai 2,342 orang graduan telah menerima diploma dan sijil mereka. Sementara di pihak Universiti dan Institut Teknologi Brunei juga mengeluarkan graduan yang sama.

Kita tidak nafikan kepentingan institusi berkenaan malah ia amat perlu bagi sesebuah negara untuk mempunyai rakyatnya yang berilmu pengetahuan, namun pada masa yang sama ia menyumbang peningkatan pengangguran dikalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Kemana mereka harus menuju dan mengadu apabila tiada peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. Apakah usaha pihak berkenaan bagi mengurangkan jumlah berkenaan sebelum ia parah dan boleh mendatangkan masalah kepada negara.

Saudara Saudari sekalian,

Apabila kita membaca akhbar-akhbar sepanjang bulan dan minggu ini, kita akan terbaca berita mengenai bazaar dan jualan amal di sana sini yang melibatkan peniaga kecil dan sedarhana. Mengikut lapuran berkenaan kebanyakan daripada mereka adalah peniaga-peniaga muda yang berniaga melalui talian dengan menawarkan produk masing-masing dalam pelbagai jenis.

Keghairahan dan sambutan mereka adalah satu petanda baik bahawa orang-orang muda katani sudah pun mampu berdikari untuk menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Namun, akktiviti bazaar dan jualan amal yang berkala itu setentunya belum dapat menjamin pendapatan yang sewajarnya, apa tah lagi kalau mengambil kira setengah penganjur mengenakan sewa yang tinggi, akibatnya pendapatan jualan sebahagian besarnya habis untuk membayar sewa sahaja.

Apakah pihak-pihak berkenaan boleh melihat dan menangani apa yang mereka hadapi itu dengan memberikan bantuan dan kemudahan seumpamanya menyediakan tapak khas bazaar untuk mereka dengan sewa yang berpatutan. Menurunkan sewa bulanan e-speed bagi mereka yang menggunakan perniagaan secara talian atau 'on-line'. Murahkan bayaran penghantaran perkhidmatan pos; dan yang penting juga ialah memberikan mereka kredit dalam satu jumlah yang munasabah sebagai modal bagi mereka memulakan perniagaan tanpa cagaran dan bayaran dengan pengawasan pihak yang berkenaan.

Kita sering mendengar bahawa anak-anak tempatan katani memilih pekerjaan dan tidak suka berkhidmat di sektor swasta. Berita-berita mutakhir ini menunjukkan peningkatan penglibatan anak-anak katani dalam berbagai sektor seumpamanya dalam sektor minyak dan gas. Orang tempatan tidak memillih pekerjaan, di gedung-gedung perniagaan sudah kelihatan ramai anak-anak muda katani berkerja di situ. Kita mahu penglibatan itu dilaratkan ke sektor-sektor lain saperti sektor pembinaan, bengkel-bengkel kenderaan dan lainnya.

Dalam hal ini kita masih memerlukan pengawasan dan bantuan kepada pekerja-pekerja berkenaan terutama mengenai kebajikan mereka supaya mereka boleh bertahan berkhidmat di situ.

Saudara Saudari sekalian,

Kita tidak dapat menafikan bahawa sebilangan besar daripada ahli katani adalah warga emas. Mengikut lapuran pihak berkenaan pada September 2014 terdapat seramai 27,166 orang penerima pencen tua yang saya dapat bahagikan kepada dua golongan. Golongan pertama mereka yang juga menerima pencen bulanan kerana tamat perkhidmatan dengan kerajaan, dan golongan kedua mereka yang tidak menerima pencen bulanan berkenaan.

Suatu ketika nanti akan hanya tinggal satu golongan sahaja akibat pengenalan Tabung Amanah Pekerja (TAP).Bayangkan kehidupan mereka nanti yang hanya menerima pencen tua sahaja sedangkan inflasi semakin meningkat.

Jasa dan pengorbanan warga emas tidak dapat kita nafikan, yang paling dekat dengan kita ialah kedua ibu bapa katani yang bersusah payah membesar, mendidik kita sehingga dewasa.

Dalam hal ini, kita mengalu-alukan langkah kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan merancang dan membuat Plan Tindakan Menangani Isu Warga Emas dengan menggariskan sembilan perkara:

  • Dasar dan perundangan
  • Kesihatan
  • Penyertaan dalam masyarakat
  • Pendidikan
  • Pekerjaan
  • Pengangkutan
  • Bangunan atau insfrastruktur
  • Sosial
  • Rekreasi dan penyelidikan

Saudara Saudari sekalian,

Kita amat perihatin akan nasib yang menimpa rakyat Palestine yang ditindas dan dicerobohi oleh pihak zionis. Beberapa bulan yang lepas kita telah memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyelaras kutipan Tabung Kemanausiaan Rakyat Palestine. Permohonan telah kita hadapkan kepada pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai tatacara atau prosedur penubuhan tabung berkenaan, dukacita permohonan kita telah ditolak dan kita diarahkan untuk berhubung dengan pihak Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan kerana ianya melibat penyaluran derma kepada pihak luar. Kita juga menghadapkan surat yang sama dan dukacita juga sehingga kini masih belum berjawab.

Kita telah berbuat sesuatu bukan untuk kepentingan kita tetapi untuk kepentingan rakyat dan umum namun usaha kita ditolak. Ini bukan perkara baru dalam kita berurusan dengan pihak pemerintah.

Saudara Saudari sekalian,

Saya berdoa semoga biskita di dalam dewan ini dan juga semua ahli NDP sentiasa sehat dan sejahtera dengan dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah swt. Saya memohon ampun dan maaf kepada biskita semua sekiranya terdapat kesilapan, kesalahan dan kekasaran yang menyinggung, mengusik perasaan biskita sama ada secara sedar atau tidak saya lakukan. Saya juga dengan penuh ikhlas dan penuh kasih sayang memaafkan dan mengampun apa-apa jua kesilapan, kesalahan sekiranya ada terhadap saya.

Biarlah kita damai dan tenang bersama hari esuk yang belum tahu kemana kita berada dan mengapa.

Dengan melafazkan kalimah Bismillah Hirrahman Nirrahim serta bertawaqal kepada Allah SWT saya sukacita merasmikan Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah Senegara Kali Kedua Tahun 2014.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.

Wednesday, June 18, 2014

Ucapan Dasar Presiden NDP di Kongres Agung Tahunan ke-9 2014


Baca atau muat turun teks penuh ucapan (format pdf) di pautan berikut,
https://drive.google.com/file/d/0B0U9i7Mc59j-VHFEdTdieHVxNkE/edit?usp=sharing


NDP sokong Perintah Kanun Syari’ah


Oleh Hajah Saemah Zulkefli

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Parti Pembangunan Bangsa (NDP) mewakili seluruh anggotanya amat bersetuju dan menyokong penuh pengisytiharan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah 2013 di Negara Brunei Darussalam yang telah berkuat kuasa pada bulan Mei lalu, dan justeru itu Kongres Agung Tahunan NDP ke-9 tahun ini membawa tema “NDP Menyokong Pelaksanaan Kanun Jenayah Syari’ah.”

Perkara tersebut antara yang telah ditekankan dalam ucapan perasmian, Presiden NDP, Awang Haji Mahmud Morshidi bin Othman selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Kongres Agung Tahunan NDP ke-9 Tahun 2014 yang berlangsung di Tingkat 4 Bangunan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam Gadong dekat sini, hari ini.

Beliau menambah, biarpun segala bentuk kecaman dan tekanan ia tidak seharusnya melemahkan semangat kita dalam mencari keredhaan Allah, dan menekankan bahawa beliau yakin keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syari’ah adalah bertepatan dengan Firman Allah Swt yang bermaksud “Dan di antara orang-orang yang kami ciptakan, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan”.


Presiden NDP Awg Mahmud Morshidi Othman semasa
menyampaikan ucapan perasmian Kongres Agung ke-9 NDP 2014

Selain itu beliau menyentuh Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Akan sentiasa ada dari umatku ummah yang berdiri tegak di atas perintah Allah, tidak memudaratkan orang-orang yang menghinakan mereka, juga orang yang menentang mereka sehingga tiba urusan Allah dan mereka tetap dalam keadaan demikian (tidak berubah).” Riwayat Bukhari dan Muslim).

Beliau dalam memulakan ucapan turut menekankan bahawa Kongres Agung Tahunan NDP adalah wadah bagi seluruh anggota ahlinya membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi dan kecintaan yang setulusnya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri bagi Negara Brunei Darussalam.

Kongres berkenaan, tambahnya, juga adalah wadah bagi semua anggotanya membaharui ikrar yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Parti iaitu untuk menyokong dan membantu Baginda dan Kerajaan Baginda dan memberikan makna sebenar kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja di dalam kehidupan bernegara.

Lebih 200 ahli pertubuhan parti politik itu telah menghadiri majlis berkenaan yang telah dimulakan dengan perarakan masuk pengerusi tetap berserta dengan alat-alat kebesaran kongres diiringi oleh presiden, timbalan presiden dan ahli-ahli majlis tertinggi pertubuhan tersebut.


Sumber - Media Permata

Saturday, February 22, 2014

UCAPAN SDRA. MAHMUD MORSHIDI OTHMAN, PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) SEMPENA MENYAMBUT PERAYAAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-30 TAHUN 2014


Alhamdulillahi Rabbail ‘Alamin, Wabihee Nasta’eeenu ‘Ala Ummuriddunya Waddeen Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen. Sayidinna Muhammadin Wa’alaa’
Alihee Wasahbihee Ajma’een Waba’du.

Assallamualaikum Wbr dan selamat sejahtera.

Saudara Saudari Sekalian,

Izinkan saya mewakili seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) untuk mengucapkan setiggi-tinggi syukur kehadrat Allah SWT dan tahniah setulusnya kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 30 tahun 2014 ini.

Semoga Allah SWT akan terus mengurniakan keamanan dan melimpahkan nikmat kesejahteraan yang berterusan kepada kita semua, Amin Ya Rabbal Alamin.

Pada tahun ini sambutan kemerdekaan negara kita merupakan satu sambutan yang paling bermakna dan istimewa kepada seluruh rakyat negara ini yang cintakan kepada keadilan sejati.

Ini adalah kerana pada bulan April yang mendatang, akan bermulalah satu sejarah baru di dalam gagasan negara mencari keredhaan Ilahi – Baldatun Thayyibatun Warrabbun Ghafuur, justeru pada tanggal April itu akan berkuatkuasanya perlaksanaan fasa pertama Kanun  Jenayah Syariah.

Insya Allah, tahap ubudiyyah dan ketaqwaan Paduka Seri Baginda Sultan Hj Hassanal Bolkiah Mui’zzadin Waddaulah Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam,  yang kental dan jitu menongkah arus sesungguhnya, mendatangkan rahmat Allah SWT yang akan kita rasai bersama.

Kalau kita teliti dalam Al-Quran, Allah SWT dengan jelas memberi amaran, barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan olehNya, maka mereka itu akan berada pada kedudukan  sama ada  menjadi kafir, zalim atau fasiq.

Allah berfirman:


Maksudnya:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir. (Surah al-Maidah, ayat 44)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:


Maksudnya:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al-Maidah, ayat 45)


Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:


Maksudnya:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (Surah al-Maidah, ayat 47)

Dalam hal ini, kita amat bersyukur kerana ulil amri kita telah memilih untuk ‘memerdekakan’ kita sepenuhnya dari terjerumus ke lembah kekafiran, kezaliman dan kefasiqan sebagaimana yang disifatkan dalam firman Allah sebelum ini.

Alhamdulillah, Tahun ini Insyaallah, kita berjaya membebaskan pemikiran dan jiwa kita dari undang-undang keberhalaan ciptaan barat dan kembali kepada undang-undang dan keadilan yang hakiki.

Pewartaan Kanun Jenayah Syariah itu, sesungguhnya telah membawa satu aspirasi baru buat rakyat Brunei seluruhnya. Sejak kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di nusantara dan bermulanya penjajahan, kesyumulan Islam sebagai ad-din telah dihakis dari pemikiran umat Islam secara bersistematik. Akibatnya kefahaman umat Islam terhadap syariat tidak lagi secara ijmal dan tafsil.

Justeru apabila negara-negara umat Islam ini memperolehi kemerdekaan, sistem pemerintahan yang diamalkan adalah sistem sekular yang diwarisi dari penjajah, yang memisahkan antara agama dan negara. Sistem yang diwariskan oleh penjajah ini sebenarnya telah menafikan hak umat Islam untuk berhukum dengan syariat Allah SWT.

Sauidara saudari sekalian,

Dengan perlaksanaan hukum Kanun Jenayah Syariah tersebut, bukan sahaja 280 ribu umat Islam negara ini berasa lega dan terubat kerinduan mereka terhadap kesyumulan Islam. Akan tetapi, rasa lega dan kerinduan ini turut dikongsi di kalangan 240 juta umat Islam di nusantara.

Dalam konteks ini kerajaan dan rakyat Brunei kini memikul tanggungjawab sebagai perintis dan model yang akan mencerminkan kesyumulan dan kesempurnaan syariat Islam.

Kerajaan dan rakyat Brunei memikul amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi untuk menjunjung syariat Islam sebagai sebuah sistem yang adil yang tidak ada taranya. Namun demikian, jika kita gagal maka akan terbuka luaslah pintu-pintu fitnah dan cemuhan ke atas Islam dikeranakan kita membawa bersama imej Islam itu sendiri

Dalam konteks ini saya turut berseru kepada seluruh gerakan islam dan individu muslim yang memperjuangkan Islam di rantau ini, supaya sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap keputusan Kebawah DYMM untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan menjadikannya sebuah realiti yang boleh menjadi teladan kepada seluruh umat Islam umumnya.

Saudara saudari sekalian,

Allah SWT telah memperingatkan kita umat Islam, melalui firmanNya:


Maksudnya:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan berpuas hati kepadamu sehingga engkau menurut ugama mereka. (Surah al-Baqarah, ayat 120).

Dalam ayat yang lain Allah berfirman:


Maksudnya:
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. (Surah al-Anaam, ayat 112).

Justeru melalui peringatan ayat-ayat yang saya sebutkan itu, maka bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila muncul sanggahan dan tentangan daripada kelompok-kelompok yang sentiasa berusaha untuk menyekat kebangkitan dan kesedaran Islam.

Dalam ayat 120, surah al-Baqarah itu, Allah menggunakan kalimah ‘lan tardha’. Perkataan ‘lan’ di sini membawa makna TIDAK yang pasti selama-lamanya, sama ada dahulu, sekarang atau akan datang. Oleh itu, kita sama-sekali janganlah menaruh harapan akan mendapat persetujuan atau pengiktirafan ke atas apa jua tindakan yang diambil oleh kerajaan Kebawah DYMM dalam isu ini.

Dalam ayat 112, surah al-Anaam itu pula, Allah SWT menggelarkan golongan manusia yang menentang syariat Islam yang dibawa oleh para Nabi ‘alayhimussalam sebagai syaitan! Penghinaan itu membuktikan betapa kejinya golongan manusia tersebut sehinggakan Allah menyifatkan mereka sebagai syaitan. Sedangkan kita maklum bahawa syaitan merupakan makhluk yang paling derhaka kepada Allah SWT dan tidak pernah sama sekali melakukan ketaatan.

Strategi kontemporari yang digunakan sesetengah golongan yang kononnya memperjuangkan hak-hak asasi bolehlah dikategorikan sebagai ‘zukhruf al-qaul’. Ia hanyalah kata-kata indah yang tujuannya semata-mata untuk memperdayakan dan mempengaruhi umat Islam supaya tidak berhukum dengan syariat yang ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah.

Oleh yang demikian, seluruh rakyat negara ini hendaklah bersedia menghadapi dakyah-dakyah musuh Islam untuk mewujudkan krisis keyakinan ummah terhadap Syariat Islam ini yang kemudiannya akan dijadikan justifikasi untuk mengambil tindakan melemahkan negarabangsa dan Islam yang kita cintai ini.

Tidak mustahil, disuatu masa nanti Amerika dan sekutu-sekutunya akan mempengaruhi Badan Dunia untuk mengambil tindakan sekurang-kurangnya sekatan ekonomi keatas Brunei dan, atau membekukan semua harta pemerintah di luar negara.

Sedar atau tidak, strategi musuh-musuh Islam ini sudah pun bermula dengan laporan Global Financial Integrity (GFI) pada bulan Disember 2013 yang meletakkan Brunei pada kedudukan ke 23 dari 150 buah negara yang menjadi pusat pengedaran wang haram atau “dirty money”.

Mereka mendakwa, dari tahun   2002 sehingga 2011  pengedaran wang haram di Brunei membabitkan lebih kurang US38.37 billion atau pada nisbah purata US3.8 billion per tahun.

Selepas itu terdapat pula  laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Brunei dikelaskan berada pada ‘Tingkat Kedua’ (Tier 2) sebagai destinasi persinggahan urusan pemerdagangan manusia atau “human trafficking”. Dalam laporan itu, Brunei dituduh sebagai tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minima penghapusan pemerdagangan manusia ini (TVPA).

Kemudian, belum sampai pun 24 jam Kebawah DYMM mengumumkan pewartaan Kanun Jenayah Syariah Oktober lalu, telah disambut pula dengan kenyataan keras yang amat biadap oleh Phil Robertson, Timbalan Pengarah Human Rights Watch division Asia yang menyeru Britain supaya menarik balik pingat-pingat kebesaran yang telah dikurniakan kepada Kebawah Duli dan juga menggesa Universiti-Universiti di Britain supaya menarik balik ijazah-ijazah kehormat yang diberikan kepada Paduka Seri Baginda.

Terkini, Suruhanjaya Kehakiman Antarabangsa (ICJ) juga telah menulis surat bantahan kepada Kerajaan Brunei  mengenai perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah  yang mereka anggap sebagai bertentangan dengan undang-undang antarabangsa mengenai hak-hak asasi manusia. Malah mereka turut mengedarkan surat bantahan itu dikalangan negara-negara anggota ASEAN.

Sebenarnya banyak lagi suara-suara bantahan dan kritikan dilontarkan oleh berbagai kalangan di peringkat antarabangsa mengenai isu Kanun Jenayah Syariah ini.

Semua dakwaan ini seperti  permulaan kepada usaha untuk melabelkan Brunei sebagai ‘rogue state’ yang kononnya merujuk kepada negara-negara yang ditadbir secara authoritarian, melanggar atau menghadkan hak asasi, menjadi pangkalan terrorist antarabangsa dan sebagainya yang dilihat bakal menggugat kepentingan mereka di rantau ini.

Terminologi ‘rogue state’ juga hakikatnya adalah satu istilah politik yang kerap digunakan untuk mewajarkan strategi untuk campur tangan dan menumbangkan banyak kerajaan di seluruh dunia, seperti yang pernah disaksikan berlaku di Iraq, Mesir, dan lain-lain lagi. Dalam bahasa yang mudah, menurut Noam Chomsky, seorang sarjana terkenal, "rogue state" is not simply a criminal state, but one that defies the orders of the powerful—who are, of course, exempt (Chomsky,1998).

Inilah strategi dan matlamat sebenar musuh yang cuba dikenakan ke atas Brunei kerana usaha mencari kebenaran dan menegakkan syariat Allah.

Saudara saudari sekalian,

Bantahan-bantahan tersebut bukanlah sesuatu perkara aneh yang sepatutnya membimbangkan umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Mustahil kita boleh terpedaya atau tergugat dengan penentangan mereka, sedangkan Allah SWT telah memberikan peringatan kepada kita perihal kemunculan dan tindak-tanduk golongan ini sejak lebih 1400 tahun dahulu.

Sepatutnya perkara ini boleh  membakar semangat dan iltizam kita untuk terus berdiri teguh demi menyokong dan membantu Kebawah DYMM dalam gagasan dan usaha murni Baginda untuk memperkasa Syariat Islam. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Bagi pihak NDP, dengan tegas saya ulangi sekali lagi bahawa:

“NDP mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan dari mana-mana pihak sama ada dari dalam atau luar negara bertujuan campur tangan di dalam urusan Agama Islam di Negara Brunei Darussalam.”

Saudara saudari sekalian,

Matlamat akhir syariat Islam ialah untuk menegakkan keadilan justeru melaksanakan keadilan itu bukanlah satu pilihan tetapi adalah satu kewajipan.

Keadilan yang dimaksudkan pastinya adalah keadilan yang disyariatkan oleh Islam iaitu keadilan yang syumul, menyeluruh dan menyentuh segala aspek kehidupan rakyat jelata. Ianya bukan hanya terhad kepada aspek perundangan yang akan berkuatkuasa pada April nanti.

Kita memandang kehadapan agar keadilan itu  dilestarikan ke dalam semua aspek pentadbiran kerajaan, pengurusan dan pengagihan hasil negara, aturan-aturan keselamatan, sistem penyampaian dan kebajikan rakyat, pendidikan, pembangunan negara dan ekonomi dan segala aspek lain sama ada fizikal atau pun sosial.

Keadilan yang kita sebutkan itu mestilah dirasai dan dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat. Kita mahukan ketelusan supaya keadilan itu bukan sahaja terlaksana tetapi mesti tampak jelas kepada rakyat bahawa ianya dilaksanakan. Ini bermakna, perlaksanaan keadilan itu tidak sewajarnya dikaburi atau dicemari dengan unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip keadilan itu sendiri.

Saudara saudari sekalian,

Sesungguhnya, kita berkewajipan memelihara bumi Allah ini  dan memperkasa Syariat Islam dengan hanya satu niat iaitu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Justeru jika ada sebarang niat-niat yang terkalis di hati nubari kita selain dari menuju keredhaan Allah itu hendaklah diketepikan supaya Allah tidak memurkai kita dengan  mencabut nikmat dan keberkahannya dari kita.

Ibnu Katsir rhm menjelaskan bahawa suatu amalan itu hanya dikira sebagai ibadah jika ianya menepati dua syarat: pertama, ikhlas kerana Allah SWT; dan kedua, menepati sunnah Rasulullah SAW. Tanpa keikhlasan, lahir nifaq, dan jika menyalahi Sunnah, lahir bid’ah. Saya berdoa kepada Allah SWT supaya kita semua terpelihara dan dilindungi daripada sifat-sifat munafiq mahupun tergolong sebagai ahlul bid’ah.

Sekian sekali lagi, bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga Parti Pembangunan  Bangsa (NDP) mengucapkan Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke 30 Negara Brunei Darussalam.


Allahhu Akbar! Allahhu Akbar! Allahhu Akbar!

Wabillahi Taufeq walhidayah wassalaamualaikum WBR

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!