Posting mengikut label

Monday, October 17, 2011

Mengimbas kembali pandangan NDP mengenai isu Keselamatan Permakanan

Strategi keselamatan permakanan

LIMBARUH HIJAU 09 JULAI 2008 - Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menyambut baik pembaharuan komitmen pihak Kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada isu keselamatan permakanan negara (Food Security) dalam usahanya memajukan bidang pertanian dan perikanan serta sumber-sumber lain di negara ini.

NDP membuat kenyataan ini berikutan satu laporan bertajuk 'Negara perlu sediakan Pelan Sekuriti Makanan' yang di siarkan melalui Media Permata pada 08 Julai 2008.

Menurut laporan tersebut dalam keadaan dunia yang sekarang menghadapi krisis makanan, negara pula semakin terasa terpanggil untuk memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Untuk itu negara sekarang melihat perlunya melaksanakan satu strategi yang bersepadu membabitkan empat tindakan dalam usaha membentuk Sekuriti Makanan Negara.

Pertama meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan, kedua, memiliki pengurusan pembekalan asing yang efisien, ketiga, mengadakan perjanjian antarabangsa mengenai perdagangan komoditi pertanian dan perikanan, dan keempat pengurusan rizab bahan makanan untuk sekuriti makanan negara.

"Keempat-empat tindakan itu perlu direalisasikan segera kerana kita melihat bagaimana keruncingan melanda rakyat dan penduduk sesebuah negara apabila makanan menjadi terhad dan harga komoditi berkenaan melonjak naik," kata pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Pengiran Hajah Mariana Pengiran Haji Abdul Momin yang dipetik sebagai berkata dalam laporan tersebut.

Sehubungan dengan laporan tersebut NDP bertanggapan kenyataan pemangku Setiausaha Tetap tersebut mengambarkan kepekaan pihak kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan negara yang semakin tercabar dikala dunia sekarang berhadapan dengan isu krisis makanan yang membimbangkan.

Ianya juga mengambarkan kepekaan pihak kerajaan terhadap kebimbangan rakyat dan penduduk negara ini yang semakin merasakan bahang krisis makanan yang sedang melanda dunia ketika ini. Kebimbangan rakyat ini sering di surakan oleh NDP sejak ianya di tubuhkan hampir 3 tahun lalu.

Apa yang jelas krisis makanan yang sedang melanda dunia telah membuatkan negara rasa terpanggil untuk menselaraskan semula usaha-usaha memenuhi keperluan ad hoc memajukan bidang pertanian dan perikanan untuk kepentingan PKS semata dengan matlamat yang lebih besar iaitu untuk menjamin keselamatan permakanan negara.

Dalam hal ini NDP melihat strategi yang di telah di rencanakan sangat bertepatan dan selari dengan pandangan NDP.

Justeru parti bertekad untuk terus menyokong dan mendokong segala usaha untuk mempastikan agenda sekuriti permakanan di berikan perhatian serious dalam sebarang perencanaan dan langkah untuk memajukan bidang-bidang pertanian dan perikanan di negara ini.

NDP akan terus mengangkat isu keselamatan permakanan ini sebagai antara agenda teratas seperti mana yang telah dilakukannya sejak Kongres Tahunan pertama pada 2006.

Baru-baru ini NDP telah mengangkat lagi isu keselamatan permakanan ini dalam Kongres Agung Tahunan NDP ke-3 yang berlangsung di Dewan Utama ICC, Berakas pada 21 - 22 Jun 2008.

Menyentuh isu keselamatan permakanan ini, Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy telah menyeru pihak-pihak berkenaan untuk meningkatkan usaha berlipat ganda membangunkan sektor persawahan dan penanaman rumbia yang merupakan makanan asas kedua penduduk negara ini.

Presiden NDP dalam Uacapn Dasar Presiden juga mengingaktkan titah Kebawah DYMM sempena Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kedua Majlis Mesyuarat Negara pada 15 Mac 2006, supaya sektor pertanian dipertingkatkan bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan-bahan makanan import

Beliau juga menekankan sebagai sebuah negara Islam, adalah menjadi kewajipan kerajaan mempastikan bahawa setiap rakyat mendapat bahan makanan yang mencukupi, berkhasiat dan halal sebagai salah satu keperluan asas kehidupan.

Untuk itu katanya, pihak berkenaan hendaklah mewujudkan satu stockpile bahan makanan ruji sekurang-kurangnya untuk satu tahun bagi memastikan bekalan yang terjamin pada masa krisis, pada harga yang berpatutan.

Dalam masa sama Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-3 juga telah menerima usul berhubung isu keselamatan permakanan seperti berikut:.

Menginsafi betapa tingginya risiko keselamatan, ancaman ke atas kedaulatan bangsa dan negara akibat terlalu bergantung kepada negara-negara luar untuk mendapatkan keperluan bekalan makanan asas;

Menginsafi betapa setiap penduduk berhak mendapat bahan makanan terjamin cukup, berkhasiat, halal dan bermutu tinggi;

Menginsafi bahawa usaha menyediakan makanan yang cukup untuk rakyat adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sama ada semasa aman atau semasa krisis;

Menyedari betapa semua pihak perlu lebih inovatif dan agresif mengungkayahkan bidang pertanian dan ternakan bagi penghasilan bahan makanan untuk keperluan Negara sebagai strategi komersial dan keselamatan yang perlu diterokai dan diceburi;

Mengingati akan titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bertitah sempena Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kedua Majlis Mesyuarat Negara pada 15 mac 2006 bersamaan 15 Safar 1427, supaya sektor pertanian dipertingkatkan bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan-bahan makanan import;

Mengingati akan amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai krisis makanan yang dihadapi dunia pada hari ini dan ancaman berterusan kekurangan makanan akibat pengeluaran negara-negara pengeluar yang terjejas dengan perubahan iklim dan bencana alam yang tidak dapat diramal kini;

Mengingati usul mengenai keselamatan permakanan yang dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Pertama pada 22-23 April 2006;

Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-3 yang bersidang pada hari ini 22 Jun 2008 di International Convention Centre (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Keselamatan Permakanan yang telah di luluskan dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 yang mendesak Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama mengambil langkah-langkah strategik bagi menghasilkan bekalan makanan yang cukup, berkhasiat dan bermutu demi keselamatan dan kesejahteraan negara dan rakyat sama ada semasa aman atau krisis; bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-3 pada hari ini menggesa kerajaan merangka dan mambangunkan dasar pertanian makanan yang mantap bagi menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas khususnya beras dan sagu yang mencukupi; bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, disarankan membangun industri asas tani bagi pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan secara komersial dan sekaligus mengurangkan pergantungan negara kepada bekalan import; bahawa pihak-pihak berkenaan menggiatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi pertanian yang berdaya maju bagi memanfaatkan setiap bidang tanah yang ada, serta memacu dan merangsang industri asas tani yang berdaya maju dan menarik untuk diterokai secara komersial melalui usaha-usaha tambah nilai dengan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara pemerosesan dan pengeluaran makanan halal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa; dan membangunkan daerah Temburong dan Lembah Ukong di Daerah Tutong sebagai lembah pertanian dan jelapang bekalan makanan negara dengan menyediakan segala kemudahan infrastruktur, pembiayaan, bantuan pemasaran, galakan, bimbingan dan sokongan logistik yang bertepatan demi menjana inisiatif pertanian perladangan berskala besar ke arah melahirkan generasi petani moden yang dinamik dan berdaya saing.


Rasional

Bersandarkan hujah, semangat Kongres, Visi, Misi dan Objektif Utama Parti, usul ini telah disepakati untuk diketengahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan dengan mengambil kira rasional-rasional berikut:
- bahawa keselamatan negara dan kebajikan rakyat terikat kepada pelbagai faktor yang berubah-ubah (variable) dan amat terdedah kepada pergolakan politik negara pembekal bahan-bahan makanan asasi rakyat justeru nisbah pergantungan import begitu besar;
- bahawa perlunya kepada satu penggubalan dasar keselamatan permakanan dan komoditi sara diri yang menentukan hala tuju negara dalam bidang pertanian;
- bahawa pentingnya dibuat pengolahan dan penentuan nisbah strategik pengeluaran pertanian negara berbanding bekalan luar yang menjamin keselamatan negara dalam apa jua keadaan sama ada waktu aman atau semasa timbul sebarang pergolakan;
- bahawa perlunya keupayaan pengeluaran negara ditingkatkan melalui pembangunan infrastruktur, suntikan modal dan modal insan;
- bahawa negara mempunyai tanah dan potensi untuk penghasilan yang ekonomikal bagi produk-produk yang terpilih melalui pembudayaan pertanian rakyat dan pengeluaran makanan sara diri.

Program dan Pendekatan

- Penggunaan teknologi tertentu akan membantu mempercepatkan pembangunan dan peningkatan pengeluaran hasil pertanian tempatan.
- Kawasan-kawasan baru perlu dibuka dan hendaklah di dukung dengan kemudahan infrastruktur, peraturan dan kemudahan sumber tenaga serta kewangan yang diperlukan bagi menjana pengeluaran.
- Pemberian bantuan dan skim atau grant tertentu perlu dipercepatkan bagi membantu mengembangkan, pembukaan kawasan, pembangunan komoditi dan industri asas tani yang berterusan dan berkekalan.
- Pemajuan R&D dalam bidang komoditi pertanian perlu diteruskan dan mengadakan jaringan kerjasama dengan institusi terlibat sebagai konsultan dan rujukan.
- Memasukkan tenaga mahir dari luar perlu dipermudahkan selagi ia diperlukan bagi menjamin pembekalan/pengeluaran hasil pertanian yang berterusan.
- Mutu hasil dengan “sijil standard” diperakui oleh kerajaan perlu ditawarkan kepada ladang/syarikat.
- Kumpulan sasaran dan bilangan usahawan perlu disasarkan sebagai usahawan perintis dalam bidang terlibat.
- Mempemudahan peraturan dalam penggunaan tanah, tenaga mahir dan pakar, modal atau kewangan bagi menggalakkan lebih ramai lagi usahawan dibidang pembangunan pertanian.
- Menubuhkan Lembaga Pemasaran dan Industri Asas Tani yang boleh menjana perkembangan komoditi untuk eksport.
- Menentukan jenis komoditi hiliran untuk kemudahan eksport melalui agensi atau Lembaga Pemasaran dan Industri Asas Tani.
- Penubuhan pusat-pusat pengumpulan hasil pertanian setempat secara berkumpulan.
- Penubuhan satu lembaga kewangan yang boleh menjana kemudahan keperluan ladang dan pembangunan industri kecil asas tani.
- Menggerak dan menggiat semula pembukaan kawasan-kawasan kemajuan pertanian luar Bandar. Skim ini hendaklah dimajukan semula berpandukan kepada asas dasar Kemajuan Pertanian Luar Bandar (KPLB) sebenar dengan penghasilan disasarkan kepada usaha mengurangkan import semasa.
- Penubuhan Kumpulan Petani Tradisi dan Peladang Subsistem untuk memasarkan hasil mereka secara kolektif dan bersatu kumpul, secara berpusat perkhidmatan yang menawarkan sumber keluaran tempatan. Ia akan bersatu dalam pengeluaran, pengurusan dan memasarkan hasil secara kontrak.
- Pihak kerajaan perlu menimbang supaya pembekalan beras dan gula diperbadankan supaya produk ini boleh dieksport semula ke luar negara melalui nilai tambah. Cara ini akan dapat mengembangkan pembangunan usahawan kecil.

Rumusan

Bahawa isu keselamatan permakanan dan penjanaan komoditi sara diri hendaklah dilihat dan diiktiraf sebagai persoalan strategik dan keselamatan negara dan bangsa bagi menjamin tersedianya makanan yang cukup dan terjangkau oleh rakyat dan menamatkan ketergantungan dari luar negara yang melampau.

Diterbitkan dalam ASPIRASI NDP, Vol 32, Keluaran Julai 2008



BANJIR DI INDOCHINA - KESAN TERHADAP KESELAMATAN PERMAKANAN DI NEGARA-NEGARA ASEAN


Isu keselamatan makanan yang sentiasa menjadi perbincangan hangat di forum-forum antarabangsa kini sekali lagi menjadi perhatian terutama di rantau ASEAN akibat daripada kejadian banjir besar yang sedang melanda Indochina.

Di peringkat global, isu keselamatan makanan telah dilihat sebagai salah satu daripada isu yang memberi ancaman besar kepada keselamatan negara dan individu.

Negara-Negara Indochina, yang terdiri daripada Thailand, Vietnam, Cambodia dan Laos amat terkenal sebagai kawasan penanaman padi, dan merupakan di antara negara pengeluar utama beras di dunia.

Walaubagaimanapun, kejadian banjir besar yang sedang berlaku telah menenggelamkan lebih daripada 1.5 juta hektar (3.7 juta ekar) tanah sawah padi iaitu kejadian banjir yang terbesar sejak beberapa dekad ini, memberi kesan kerugian besar yang mencecah nilaian billion dollar.

Kejadian ini pastinya amat dibimbangi memberikan kesan besar ke atas pengeluaran makanan khususnya beras, sekaligus membawa kepada peningkatan mendadak harga makanan di pasaran antarabangsa. Negara-negara pengimpot dan rakyat dari kelompok miskin pastinya menjadi antara kelompok dan negara yang terjejas teruk.

Barangkali kita kurang menyedari bahawa indeks harga makanan dunia pada tahun 2011 menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Menurut indeks harga makanan global yang dikeluarkan UN Food and Agriculture Organization (FAO) sebelum ini, peningkatan harga makanan mencecah nilai tertinggi dalam sejarah iaitu 238 mata (points) pada bulan Februari 2011, jauh mengatasi indeks harga 213.5 mata ketika krisis kenaikan harga pada tahun 2008 yang lalu.

Angka tersebut kemudian mulai menurun memasuki bulan September 2011 kepada 225 mata, tetapi sebenarnya masih tinggi berbanding indeks harga pada September tahun 2010.

Kesan politik darinya ialah, peningkatan harga keperluan makanan yang melampau, dan inflasi telah dikaitkan menjadi antara penyebab utama kepada beberapa kejadian rusuhan yang menjatuhkan kerajaan di dunia Arab seperti Tunisia dan Mesir, dan kemudian merebak kepada beberapa buah negara lain seperti Syria dan Yaman. Dalam hal ini, rakyat rela menggadaikan nyawa untuk memastikan keperluan makanan mereka terjamin.

Perlu ditekankan bahawa, nilaian indeks ini belum mengambil kira kejadian banjir yang sedang melanda negara-negara Indochina. Susulan kejadian banjir ini, kerajaan Thailand sehingga kini terpaksa menangguh dan mengurangkan ekspot beras kepada negara-negara pembeli ekoran banjir yang telah menjejaskan sawah dan juga kilang padi di beberapa kawasan utama padi di negara tersebut.

Manakala, Vietnam pula gagal membuat penghantaran 520,000 tan setelah syarikat pengekspot gagal mendapatkan sumber dari pasaran domestik disebabkan kenaikan harga yang berlaku. Peningkatan harga beras juga dilaporkan berlaku di mana harga beras kualiti ekspot Thai 100 peratus gred B beras putih naik kepada USD670-USD680 satu tan minggu lalu dari tahap USD650 sebelumnya, manakala keadaan yang sama berlaku terhadap beras keluaran Vietnam yang melonjak kepada tahap tertinggi sejak tiga tahun lalu didorong oleh faktor stok yang semakin berkurangan dan anggaran peningkatan permintaan.

Sehubungan dengan perkembangan ini, pengguna di kalangan negara-negara di rantau ASEAN khususnya di kalangan pengimpot beras secara tidak langsung pastinya akan berdepan dengan situasi yang sukar. Walaupun pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlibat dengan krisis ini telah mengeluarkan kenyataan menjamin tiada kenaikan harga makanan akan berlaku susulan banjir yang melanda negara-negara Indochina, namun ia pasti akan menggusarkan pelbagai pihak.

Filipina sebagai contoh, merupakan negara pengimpot beras terbesar di dunia baru saja berdepan dengan dua bencana taufan yang merosakkan hampir 1 juta tan beras tidak diproses. Sebelum kejadian bencana itu berlaku, kerajaan Filipina mengeluarkan kenyataan untuk menghadkan jumlah impot beras kepada 500,000 tan untuk tahun 2012, dengan jangkaan pengeluaran yang tinggi dari sumber keluaran tempatan. Untuk tahun ini saja, Filipina telah mengimpot 860,000 tan, setelah mengimpot 2.45 juta tan untuk tahun 2010, menjadikannya negara pembeli terbesar di dunia.

Justeru, melihat kepada perkembangan semasa di mana kestabilan pengeluaran makanan dari sektor pertanian sering terjejas oleh pelbagai faktor, adalah tidak mustahil sekiranya untuk tahun-tahun berikutnya bukan sahaja kenaikan harga beras akan terus berlaku malah dikhawatiri komoditi penting ini akan berkurangan dipasaran.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada Indonesia dan Malaysia yang merupakan negara keempat dan ketujuh dalam senarai negara-negara pengimpot terbesar dunia. Dengan Thailand menjadi negara pembekal yang terjejas teruk, kerajaan kedua-dua negara terpaksa mencari alternatif lain untuk menampung keperluan yang masih berkurangan walaupun pada harga pasaran beras semasa yang tinggi dari Pakistan, India atau lain-lain negara.

Keadaan seperti ini memberi gambaran jelas bahawa sebuah negara perlu kepada pendekatan dasar keselamatan makanan yang baik dan mantap untuk memenuhi keperluan capaian makanan dalam pelbagai situasi. Pastinya yang terbaik ialah melalui pendekatan yang sustainable dan tahap kecukupan kendiri (self-sufficiency level) yang tinggi hatta walaupun terpaksa melabur pada kadar paling tinggi dan mahal.

Selain itu, pendekatan melalui kewujudan stok penimbal yang mampu menampung keperluan makanan negara untuk jangkamasa panjang juga perlu diberi pertimbangan seperti yang diamalkan oleh negara Jepun dan Korea. Namun, dalam masa yang sama kaedah penyimpanan selamat hendaklah diberi keutamaan.

Keadaan cuaca yang sering berubah dan tidak menentu hanya akan memburukkan lagi keadaan terutama kepada negara-negara yang sering terjejas dan bergantung kepada sumber impot. Barangkali, Negara kita turut terkesan dari fenomena ini, umpamanya apabila musim hujan dan kemarau yang sukar diramal.

Kejadian banjir besar seperti yang dialami Negara-negara Indocina kini, menunjukkan bahawa perubahan cuaca dan kemerosotan kualiti alam sekitar mampu memberi kesan tidak langsung kepada keselamatan manusia khususnya dengan terjejasnya sektor pertanian makanan dalam negara.

Justeru, dengan pendekatan polisi yang baik, kerajaan sesebuah negara sebenarnya masih mampu mengurangkan kesan krisis sekiranya berlaku atau pada tahap yang optima, mampu meningkatkan tahap keselamatan makanan dalam negara.



Atas rasa keinsafan mendalam itulah, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah menjulungkan usul berkaitan keselamatan permakanan pada Kongres Agung Tahunan parti 2006 dan mengesahkan semula usul berkenaan pada Kongres seterusnya 2007,2008, 2009, 2010 dan 2011.

Bagi memperkukuh gagasan tersebut, NDP telah menjulungkan cadangan Pembangunan Mega Bersepadu Lembah Ukong pada Kongres Agung Tahunan NDP 2009 dan disahkan semula pada Kongres seterusnya 2010 dan 2011 yang akan menjadi pemangkin industri permakanan negara

Alhamdulillah, walaupun diperingkat awal, sesetengah kalangan memandang sinis dan memperkecilkan isu yang diangkat oleh NDP ini, namun tidak demikian pada pandangan Kebawah DYMM. NDP teruja dengan pandangan jauh Baginda yang sanggup turun kesawah merangsang rakyat agar menyambut gagasan kecukupan kendiri makanan asas yang tinggi.

Kebawah DYMM tidak jemu-jemu mengingatkan semua pihak mengenai isu keselamatan permakanan ini umpamanya, Baginda bertitah bersempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-62 Tahun pada Hari Selasa, 12hb Rejab 1429 bersamaan 15hb Julai 2008.

“…… kita juga perlu peka dengan krisis permakanan dunia sekarang. Krisis ini telah benar-benar menimbulkan kebimbangan global apabila pengeluar beberapa jenis bijiran asasi, termasuk beras, telah mendadak susut di negara-negara pengeluar utamanya.

Dan menambah kalut lagi apabila beberapa negara pengeluar terpaksa mengeluar stok simpanan beras mereka untuk diagihkan kepada rakyat masing-masing.

Kebimbangan semakin meningkat apabila Badan Dunia juga turut mendedahkan hasil pertanian terus susut berbanding dengan kepesatan penduduk dunia.

Pertambahan penduduk dunia diramal meningkat dari 6.5 bilion (2006) kepada 7 bilion (2012). Peningkatan ini sudah tentu tidak seimbang dengan penghasilan permakanan yang terus merosot.

Ini ditambah lagi dengan isu perubahan iklim dunia. Pemanasan global membawa impak kepada persekitaran. Ini juga menjadi ancaman baru kepada kehidupan.

Kemudian dimerata tempat di dunia, terjadi pula bencana-bencana alam yang dahsyat, seperti gempa bumi, angin kencang dan banjir besar, yang semuanya itu, turut menjejaskan pula sumber permakanan.

Kerajaan Beta telah meletakkan beras selaku keperluan asas yang telah diberikan subsidi sekian lama.

Sama seperti minyak kenderaan, perbelanjaan subsidi untuk beras juga telah meningkat sekarang. Namun demi kesejahteraan rakyat dan penduduk, harga beras masih saja ditahap biasa.

Tetapi ini bukan bererti kita terlepas dari senario kebimbangan mengenai hasil makanan. Lebih-lebih lagi beberapa buah Negara pengeluar telah dilihat menghentikan eksport makanan bijiran mereka ke negara lain.

Maka dengan sebab itu, Negara Brunei Darussalam tidak dapat lagi semata-mata bergantung kepada ‘ihsan alam’ luar negara untuk mendapatkan beras, walaupun kita mampu mengadakan peruntukan untuk itu.

Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan ini.

Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ketahap 100 peratus mencukupi, mangapakah kita, yang cuma baru setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara?

Pada ingatan Beta, perkara ini telahpun berulang kali Beta timbulkan sejak dari beberapa tahun lagi.

Jadi memang wajar untuk kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya. …”


Harapan kita semua disini ialah, pihak-pihak berkenaan tidak harus leka dan bergerak bagai pahat dengan penukul. Dalam konteks isu keselamatan permakanan ini, pihak berkenaan hendaklah konsisten melakukan penambah baikan prestasi dan system penyampaiannya. Kajian, tindakan dan penilaian (Research, action and evaluation) keberhasilan perancangan pertanian ini hendaklah dilakukan terus menerus bagi menjamin tercapainya hasrat murni Kebawah DYMM dan rakyat ini.
Wallaha'alam - (mmo)




Saturday, October 15, 2011

HUDUD: MALAYSIA PATUT CONTOHI BRUNEI

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Muslimat PAS menyokong penuh titah Sultan Brunei agar pemerintah negara itu melihat keperluan untuk melaksanakan undang-undang syariah dengan segera, serentak dengan undang-undang sivil di negara itu.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof sambil mengucapkan tahniah kepada Sultan Brunei berkata, negara-negara Islam yang lain khususnya Malaysia seharusnya mencontohi Sultan Brunei yang prihatin terhadap tuntutan Islam.

"Saya bagi pihak Dewan Muslimat mengucapkan syabas di atas kesungguhan dan ketegasan Sultan Brunei dan ia seharusnya dicontohi oleh Raja-Raja yang lain," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kelmarin, Sultan Brunei yang bertitah di mesyuarat Majlis Agama Islam di negaranya berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak harus lagi ditangguh lebih lama kerana kelengkapan untuk melaksanakannya sudah ada.

Akta Jenayah Islam jika difahami dengan betul ujarnya, adalah yangterbaik kerana ia datang dan dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa dan tidak manusia. Siti Zailah turut berkata, sekiranya sesebuah negara Islam itu berjaya melaksanakan undang-undang Islam dalam negaranya, ia dengan sedirinya akan memartabatkan golongan istana kerana Sultan merupakan ketua agama Islam.

"Sekiranya terlaksananya undang-undang syariah ini ,ia sebenarnya akan memartabatkan lagi kedaulatan Raja-Raja yang menerima mandat yang besar ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Undang-undang syariah pelihara wanita Sementara itu, menurut Siti Zailah juga, umat Islam khusunya golongan wanita tidak seharusnya ragu-ragu dengan pelaksanaan undang-undang
Islam kerana ianya adil kepada semua.

Katanya, melihat kepada kejadian jenayah yang kebanyakannya melibatkan wanita, dan eolah-olah tidak terbendung lagi, amat sesuai jika undang-undang Islam dilaksanakan ketika ini.

"Undang-undang Islam ini adil dan memelihara maruah wanita itu sendiri.

"Selama ini kita melihat ekspolitasi terhadap maruah wanita, dan purata

dalam sehari 10 wanita dirogol dan kes-kes yang melibatkan rompakan, ragut, simbah asid, kebanyakan mangsanya ialah wanita.

"Dengan adanya undang-undang Islam akan menimbulkan rasa gerun orang untuk melakukan kejahatan," katanya sambil berkata skop Mahkamah Syariah di negara ini sangat kecil iaitu merangkumi hal-hal kekeluargaan dan rumah tangga sahaja.

Di samping itu katanya, orang bukan Islam akan turut berasa selamat dengan keadilan undang-undang syariah ini.

"Secara kasar, golongan bukan Islam banyak memiliki harta kekayaan jadi dengan adanya undnag-undang syariah yang dapat membendung kejadian curi dan rompak, mereka rasa selamat dalam menjaga harta benda," katanya.

petikan dari Harakahdaily.net 14 Oktober 2011


Thursday, October 13, 2011

SEGERA LAKSANA HUKUM ALLAH


Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah di Mesyuarat Khas Majlis Agama Islam di Bangunan Majlis Mesyuarat Negara kelmarin. Berangkat sama mengiringi Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah supaya pelaksanaan kedua-dua Sistem Perundangan dan Kehakiman Syarak dan Sivil secara seiiring, disegerakan.

"Jangan berlambat-lambat dan rebutlah kurnia hidayah itu dengan langkah positif bukan di tunggu lama-lama sampai makanan jadi bangas."

"Apakah lagi yang akan ditunggu, bangunan mahkamah sudah ada tersergam megah, orang-orang pandai pun sudah ramai dan negara juga sudah merdeka. Hendak ditunggu apa lagi. Hakim-hakim syarie sudah ramai diketuai oleh ketua hakim syarie."

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan demikian semasa berkenan mengurniakan titah di Mesyuarat Khas Majlis Agama Islam hari ini.

Titah Baginda, mereka itu semuanya berkelulusan belaka, berbanding dengan era 50an membawa kepada 60an dahulu. Pehin-pehin khatib pun turut jadi Hakim atau pengapit Hakim.

"Beta pernah menyebut tentang penubuhan Mahkamah Syariah sehingga ke tahap yang setinggi-tingginya bagi menangani bukan saja pentadbiran undang-undang keluarga malahan juga jika yang sesuai dan munasabah akan juga mengendalikan kanun jenayah Islam atau Islamic Criminal Act, titah bertarikh 15 Julai 1996 bersempena hari keputeraan Beta yang ke 50 tahun.

"Pada ketika itu fokus orang sangatlah tertumpu pada ungkapan ketika yang sesuai dan munasabah. Lalu macam-macam jangka masa yang disebut seperti ada 10 tahun ada 8 tahun dan seumpamanya," tambah Baginda.

Baginda seterusnya menekankan, sekarang sudah 15 tahun titah itu berlalu tetapi masih saja ada lagi orang yang terus menyebut belum bersedia, belum mampu, masih banyak perkara yang perlu dibuat, persediaan belum cukup masih memerlukan tempoh masa seperti lapan atau lima tahun lagi dan sebaginya.

Nanti apabila sudah cukup lapan atau lima tahun itu tegas Baginda, akan ada pula orang yang akan terus menyebut supaya di tunggu pula lapan atau lima tahun lagi.

"Jadi kalau beginilah keadaan sampai bilakah ia akan berakhir tempoh-tempoh itu untuk disebut. Adakah kita masih saja melihat diri kita ini sama seperti di era 50an atau 60an dahulu.

"Apakah kita lupa bahawa, kita telah pun meminjam sampai sekarang tenaga pakar undang-udang daripada luar semenjak sekian lamanya, berapa lama? 20 tahun," tegas Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mem-persoalkan; "Tidak bolehkan dalam jangka masa selama itu kita menyelesaikan satu akta jenayah syariah.

"Beta tetap yakin jika kita mahu undang-undang Allah ini tidak mustahil untuk dapat dilaksanakan. Jadi kalau belum mampu semua, buatlah mana-mana yang patut didahulukan yang dianggap kita sudah mampu.

"Misalnya, kita ambil sebagai contoh meminum minuman yang memabukkan, jika ini mudah dan boleh dijalankan maka jalankan lah ia dahulu tak perlu tunggu hingga 100 peratus lengkap.

"Mana-mana orang yang meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan jika ada cukup bukti syarak itu disabit kesalahan mengapakan tidak dijalankan hukum hukuman Allah ini dan jika tidak mencukupi atau ada halangan untuk dihukum dengan hukuman syarak itu sedang kes itu masih boleh dikaitkan dengan kes asal maka barulah dihukum dengan takzir atau seumpama takzir.

"Hukuman bagi yang pertama atau yang kedua ini akan menurut timbangan syarak," titah Baginda lagi.

Tidakkah nampak jika kes ini ditangani secara syarak atau seumpama takzir, maka perlu untuk kita dapat membetulkan bentuk dan cara sebatan yang dipakai selama ini akan terbuka luas.

Ada pun sebatan yang dipakai masa ini boleh memengsankan orang walau baru dua, tiga kali sebatan saja berbanding dengan sebatan cara Islam tidaklah mungkin sampai begitu.

Bukankah kalau kita cepat-cepat menjalankan undang-undang syarak ini, kita akan lebih tepat pula dapat menggantikan hukuman yang tidak betul itu dengan hukuman Allah yang penuh dengan rahmat bukan hukuman manusia.

Kalau kita lama-lama juga menunggu, bukankan ini sama ertinya kita seperti saja bersetuju dengan hukuman yang tidak adil itu yang menimpa penderitaan melebihi daripada yang sepatutnya.

Beta yakin, kalau mampu melaksananya, cuma mana aktanya? Kalau orang kata sudah ada, mengapa ia ditahan-tahan, tidak di bincang dan diputuskan segera.

petikan dari mediapermata.com.bn 10 Oktober 2011

Monday, October 10, 2011

ANBIYA HADAPI KEJAHATAN PEMBESAR NEGARA


SETERUSNYA Allah berfirman, bermaksud, “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka lakukan tipu daya di negeri itu” (Surah al-An’am ; 123)

Dalam ayat ini Allah berfirman menjelaskan tentang ujian yang dihadapi oleh setiap rasul sejak zaman berzaman, mereka berhadapan dengan pembesar-pembesar, raja-raja dalam sesebuah negeri itu yang jahat supaya menjadi satu ujian dan cabaran kepada perjuangan mereka dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi.

Begitulah juga apa yang dihadapi oleh Nabi s.a.w., beginda berhadapan dengan pembesar-pembesar Quraisy, Abu Jahal dan Abu Lahab ketika menyebarkan dakwah Islam kepada penduduk Mekkah yang masih jahiliah dan kufur kepada Allah ketika itu.

Pembesar-pembesar Quraisy menentang ajaran Islam yang dibawa Nabi s.a.w. Mereka menghalang perjuangan Nabi s.a.w. untuk menegakkan agama Allah di Semenanjung Tanah Arab ketika itu walaupun mereka mempunyai hubungan darah dengan Nabi s.a.w., walaupun dia mengetahui Nabi s.a.w. tidak pernah berbohong macam mereka.

Ia sebagai satu ujian kepada Nabi s.a.w. untuk Allah menilai sejauh mana iman dan sabarnya Nabi s.a.w. menghadapi ujian penentangan dari pembesar-pembesar Quraisy tersebut.
Begitulah fitrahnya perjuangan Islam di sepanjang zaman. Pejuang-pejuang Islam akan berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jahat yang sentiasa menghalang terlaksananya Islam di Negara masing-masing sebagaimana Allah berfirman dalam ayat yang lain bermaksud “Dan demikianlah Kami jadikan setiap nabi mempunyai musuhnya terdiri daripada orang-orang yang jahat.” (Surah al-Furqan: 31)

Dan firman Allah yang bermaksud, “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan diantara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya.” (Surah al-Isra’: 16)

Ertinya , Allah SWT memerintahkan mereka taat kepada Allah dan perintah Rasul-Nya terlebih dahulu, tetapi mereka ingkar lalu Allah membinasakan mereka selepas itu. Perkara ini berlaku kepada umat zaman dahulu di mana Allah menurunkan balasan atau bala serta-merta selepas mereka melakukan kejahatan dan mengingkari perintah rasul-rasul yang diutuskan Allah untuk membawa petunjuk kepada mereka.

Apa yang diperintahkan Allah itu adalah suatu yang boleh dibuat mereka. Mereka mampu buat tetapi oleh kerana keangkuhan dan kesombongan menebal dalam diri, mereka memilih untuk kufur terhadap perintah Allah itu.

Mereka merasakan mereka gagah, kerajaan mereka kuat, tidak ada jalan untuk sesiapa pun boleh mengalahkan mereka, tiba-tiba ditimpa bala oleh Allah lalu mereka dibinasakan, lenyap dari muka bumi ini dalam sekelip mata.

Allah berfirman yang bermaksud, “ Supaya mereka mengadakan tipu daya di negeri itu.” Surah al-An’am: 123)

Ibnu Abbas r.a. menyatakan bahawa yang dimaksudkan ayat ini ialah Allah menjadikan pembesar-pembesar sesebuah negeri itu bermaharajalela dengan kejahatan dan maksiat di sesebuah negeri berkenaan, maka apabila mereka tenggelam dalam kejahatan itu tiba-tiba Allah membinasakan mereka dengan azab (bala) di dunia ini secara tiba-tiba tanpa disedari mereka.

Ada di kalangan mereka yang Allah lingkupkan negeri seperti kaum Luth, ada yang Allah tenggelamkan dan mati lemaskan mereka dalam lautan seperti Firaun dan pengikut-pengikutnya dan pelbagai-bagai lagi jenis bala yang Allah telah timpakan ke atas mereka yang seumpama itu sebelum ini.

Sementara Mujahid dan Qotadah berkata ini kerana mereka angkuh dan sombong sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Dan Kami tidak mengutus kepada sebuah negeri seorang rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari akan apa yang kamu diutuskan membawanya.”

“Dan mereka berkata lagi: “Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa.” (Surah as-Saba’: 34-35)

Sunday, October 9, 2011

MENJUNJUNG TITAH MEMBANGUN BANGSA

Menyusuri Titah Hari Belia 2011 (5)

MEMBANGUN GENERASI BERWAWASAN

Alhamdulillah, kita sudah sampai dipenghujung perbincagan dan analisis sepintas lalu titah Kebawah DYMM sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan 2011 baru lalu. Bunyi titah ringkas, namun ia tetap mengandungi mesej dan tips-tips penting untuk dijadikan sumber ilham bagi yang berkenaan samada untuk memulai atau meneruskan kerja besar membangun syaksiah generasi belia yang berwawasan sempurna dan mantap.

Apabila kita membicarakan isu membangunkan potensi belia, tumpuan kita secara otomatik menoleh kepada peranan kerajaan atau agensi-agensi penggerak seperti kementerian, jabatan-jabatan berkaitan, Malis Belia, persatuan-persatuan belia, koperasi-koperasi belia dan individu-individu yang berminat dalam pembangunan belia.

Kita seperti menaruh harapan tinggi kepada mereka untuk berperanan sewajarnya. Namun kita selama ini seperti terlepas pandang atau “kurang” memberikan perhatian terhadap peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa/suasana dalam rumah tangga dan persekitaran.

Titah Kebawah DYMM tersebut menyedarkan kita betapa pentingnya genarasi belia ini dibimbing agar mereka boleh menjadi generasi belia maju, berdikiri, berwawasan sempurna dan mantap.

Kearah merialisasikan agenda itu, Baginda telah menitahkan agar semua pihak yang berkenaan didalam kerajaan dan swasta supaya mendepani tugasan tersebut.

Sehubungan dengan itu juga, sebagai pelengkap gagasan tersebut, Baginda telah mengiyistiharkan penubuhan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) yang diharapkan dapat melahirkan kumpulan belia yang mempunyai jatidiri yang tinggi, berwawasan sempurna dan mantap sekali gus berupaya menjadi agen perubahan, berperanan sebagai pemangkin, pembantu proses, penyelesai masalah dan sebagai penghubung sumber dikalangan belia.

Idealisma NDP

Tidak syak lagi, titah Kebawah DYMM sempena Hari Belia Kebangsaan 2011 bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada Hari Isnin, 28 Syawal 1432 / 26 September 2011 disambut baik oleh seluruh warga NDP.

Walaupun kenyataan berikut mungkin tidak digemari, namun NDP tetap bersama Kebawah DYMM, yang telah menzahirkan idealisma yang seiringan dengan titah berkenaan , seperti didalam Manifesto Parti Pembagunan Bangsa (NDP) 2006-2016 yang telah dilancarkan pada September 2006 seperti berikut.

Bahawa NDP Mencadang, menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk :

* Mengisytihar dan melancarkan Hari Belia bagi menghebahkan kejayaan para belia dalam bidang pertanian, perniagaan dan sukan sebagai dorongan dan rangsangan kepada para belia untuk meneroka dengan lebih jauh dalam bidang-bidang tersebut;

* menyediakan peluang dan latihan yang lebih luas dalam bidang teknikal dan kemahiran kepada lepasan sekolah menengah bagi mewujudkan pangkalan tenaga mahir yang ‘reliable’ tanpa terus bergantung kepada kemahiran tenaga kerja asing;

* menyusun dan melaksanakan program belia niaga di setiap kampung dan mukim bagi mencungkil dan memupuk nilai-nilai keusahawanan yang jitu, berwawasan dan beretika dengan menyalurkan bantuan dan bimbingan melalui gerakan koperasi belia dan pergerakan pertubuhan belia setempat;

* merangka program dan modul latihan yang menekankan aspek-aspek pembangunan sahsiah dan potensi diri bagi melahirkan belia yang patriotik, bersemangat waja dan beriltizam tinggi;

* menggembleng penyertaan dan tenaga para belia dalam usaha menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran secara efektif dan berterusan, melalui dasar atau skim nasional yang disusun oleh pelbagai pihak secara bersepadu, seperti skim khidmat negara, skim pemantauan keselamatan kampung dan mukim, dan sebagainya. Pelbagai insentif, termasuk dari segi kewangan juga boleh disediakan untuk memastikan dasar atau skim tersebut mencapai objektifnya;

* mewujudkan satu skim Khidmat Negara untuk para belia demi memupuk semangat patriotik, nasionalisme dan sikap pemedulian rakyat bagi melahirkan warganegara yang berdisiplin;

* menjadikan sukan sebagai salah satu kegiatan utama dan menjuarai setiap bidang sukan dengan matlamat memperkenalkan negara di peringkat antarabangsa melalui pencapaian bertaraf dunia;

* mewujudkan skim latihan dan insentif khas bagi mencungkil dan memupuk bakat-bakat yang menunjukkan potensi kecemerlangan dalam bidang sukan yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa;

* memajukan Sekolah Sukan Negara dengan kemudahan sukan bertaraf dunia untuk membimbing kanak-kanak yang berpotensi dari kecil lagi dalam berbagai bidang sukan agar dapat mewakili negara dan bersaing dengan negara lain secara profesional di peringkat antarabangsa;

* menyusun dan memperbanyakkan program belia dan kemudahan sukan sebagai jalan untuk membebaskan mereka dari kemelut gejala sosial.

Akhirnya semoga Allah SWT melorongkan segala kebaikan dan memudahkan segala urusan kita didalam melaksanakan tugasan - misi hidup untuk memajukan umat dan watan kerana Allah. Wallaha’alam – (mmo).

Thursday, October 6, 2011

MENJUNJUNG TITAH MEMBANGUN BANGSA

Menyusuri Titah Hari Belia 2011 (4)

Di akhir titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada Hari Isnin, 28 Syawal 1432 / 26 September 2011, Baginda telah mengumumkan penubuhan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) yang akan dilancarkan Disember depan bertujuan “untuk mewujudkan satu Program Perkhidmatan Bakti Negara yang terbaik (PKBN)”.

Tidak syak lagi, berdasarkan semangat titah Kebawah DYMM, modul program ini dijangka akan menjurus kearah pembangunan jati diri di kalangan para belia. Baginda bertitah, “Jati diri adalah kekuatan sebenar, sebagai pelengkap dalam menjalankan khidmat”.

Walau Tidur Berlainan Bantal, Mimpi Tetap Sama
Seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) tentunya mengalu-alukan pengumuman Baginda ini, suatu yang telah lama ditunggu oleh NDP. Dalam Manifesto Politik NDP 2006 -2016 yang dilancarkan pada September 2006 ada menyebutkan mengenai idea program seumpama ini dan pengisiannya. Di dalam Manifesto NDP 2006-2016 pada ms 52 antara lain mencadangkan supaya Kerajaan:

• Merangka program dan modul latihan yang menekankan aspek-aspek pembangunan shahsiah dan potensi diri bagi melahirkan belia yang patriotik, bersemangat waja dan beriltizam tinggi;

• Menggembeleng penyertaan dan tenaga para belia dalam usaha menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran secara efektif dan berterusan, melalui dasar atau skim nasional yang disusun oleh pelbagai pihak secara bersepadu, seperti skim khidmat negara, skim pemantauan keselamatan kampung dan mukim, dan sebagainya. Pelbagai insentif, termasuk dari segi kewangan juga boleh disediakan untuk memastikan dasar atau skim tersebut mencapai objektifnya;

• Mewujudkan satu skim Khidmat Negara untuk para belia demi memupuk semangat patriotik, nasionalisme dan sikap pemedulian rakyat bagi melahirkan warganegara yang berdisiplin;

Iktibar Dari Pengalaman Awal Program Khidmat Negara Malaysia
Ada beberapa model program Khidmat Negara yang mungkin boleh dijadikan iktibar oleh kita. Konsep Program Latihan Khidmat Negara di Malaysia (PLKN) umpamannya, bertujuan untuk membentuk modal insan yang menyeluruh mempunyai keseimbangan pembangunan minda, emosi, sosial dan fizikal. PLKN tidak dilaksanakan secara ala tentera. Tempoh latihan PLKN hanya tiga bulan, berbanding Program National Service di Singapura yang berkonsepkan regimental dengan tempoh latihan dua tahun.

Antara pengalaman di peringkat awal yang dilalui PLKN yang boleh kita jadikan iktibar ialah masalah disiplin di kalangan pelatih. Antara masalah berkaitan ialah pergaduhan sesama pelatih, berpuak-puak dan pemugut -merosakkan harta benda di kem-kem latihan

Ada juga kes-kes melibatkan pelatih mengalami tekanan perasaan sehingga histeria atau pelatih mengalami kejutan budaya menyebabkan kemurungan, atau mempamerkan protes dengan tidak memberikan kerjasama kepada jurulatih. Keadaan sedemikian menyebabkan ibu bapa “overreact” dan panik. Kekadang keadaan ini boleh mencetuskan pertelingkahan dengan pengurusan kem dan sebagainya.

Ada juga kes-kes dimana ibubapa yang terlalu memanjakan anak sehingga sanggup menyeludup barang larangan masuk ke dalam kem seperti rokok untuk keperluan anak mereka.

Terdapat juga segelintir jurulatih yang tidak berdisiplin membabitkan kes-kes terpencil. Namun, berkat kepekaan pengurusan JLKN yang sentiasa melakukan penambah baikan, kes-kes seperti ini semakin berkurangan.

Menjaga Kebajikan Pelatih
Oleh kerana program seumpama ini melibatkan pelatih-pelatih remaja yang bakal membentuk keperibadian atau syakhsiah mereka, maka jurulatih-jurulatih yang ditugaskan hendaklah terdiri dari mereka yang pakar di bidang berkaitan termasuk mempunyai tauliah dalam bidang kaunseling.

Lain-lain perkara yang seharusnya turut diambil kira dalam program ini ialah soal kebajikan, antara lain memberikan elaun bersesuaian kepada pelatih, perlindungan takaful, menyediakan klinik kesihatan dalaman beroperasi 24 jam dan membekalkan permakanan seimbang melibatkan diet dan menu yang bersesuaiaan dengan mereka atas nasihat pakar permakanan.

Tempoh Program Yang Ideal
Melalui penilaian kita, program seumpama ini seharusnya mengambil masa yang lebih munasabah, bersesuaian dengan objektif penubuhannya. Dari pengamatan banyak kalangan terhadap PLKN di negara jiran, tempoh tiga bulan belum cukup mantap untuk memberikan impek besar ke atas pelatih-pelatih untuk menukar mind-set, persepsi dan sikap, lebih-lebih lagi untuk membangunkan jatidiri bernegara yang tinggi.

Demikian juga tempoh yang agak lama, dua tahun umpamanya dan regimental orientasinya juga mungkin tidak sesuai lagi buat sementara waktu untuk diikuti, apa lagi ia melibatkan kos yang agak tinggi.

Tempoh program yang dirasakan ideal buat Brunei mungkin satu tahun setengah (18 bulan) dimana pelatih mengikuti program di dalam kem selama setahun dan program akademik di UBD atau mana-mana institusi pengajian tinggi selama enam bulan.

Lepasan program ini kemudiannya bolehlah diberikan sijil bertaraf “diploma” yang boleh membantu pelatih menghadapi masa depan yang lebih meyakinkan mereka melalui latihan dan ilmu yang diperolehi. Sijil yang diperolehi boleh digunakan sebagai bonus tambahan kepada pelatih untuk memohon mendapatkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi dan juga apabila telah beralih ke bidang pekerjaan.

Pengembangan Modul
Modul-modul latihan yang mantap seperti modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembinaan karakter dan modul khidmat komuniti jika diterapkan pada tempoh yang munasabah, pastinya akan banyak menentukan kejayaan program ini.

Modul fizikal yang diterapkan dalam tempoh masa yang munasabah diyakini boleh membentuk watak, disiplin serta semangat petriotisme. Modul yang diolah baik boleh memberi pendedahan awal mengenai konsep ta’ah, kerjasama dan setiakawan di samping menjana semangat patriotisme yang perlu diterapkan di dalam diri setiap pelatih.

Modul kenegaraan adalah antara modul yang perlu diberikan penekanan kerana ia akan mendedahkan peserta kepada konsep dan falsafah Negara. Modul ini seharusnnya mantap dan mampu memecah dan menghurai apa jua persoalan yang meragukan peserta terhadap hala tuju Negara / konsep MIB, justeru ia akan memberi kesan pada penerimaan dan tahap jatidiri peserta yang tinggi.

Modul Pembinaan karakter boleh menerapkan nilai-niai murni, keyakinan diri dan sifat-sifat kepimpinan seperti bertanggungjawab, amanah, bertimbang rasa dan menghormati masa. Di akhir modul ini, pelatih akan lebih rasa bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Melalui modul khidmat komuniti pula jika diolah rapi pastinya boleh menyedarkan peserta mengenai perlunya pemeliharaan alam sekitar, semangat kejiranan, gotong-royong dan semangat kesukarelawanan.

Peringatan Ibnu Khaldun
Seperkara yang boleh dijadikan pertimbangan ialah peringatan Ibnu Khaldun bahawa antara tanda awal kemusnahan sesebuah tamaddun itu ialah apabila kehidupan masyarakatnya penuh dengan hiburan dan perhiasan. Justeru untuk memperkukuh tamaddun bangsa ialah dengan ilmu yang baik. Hanya ilmu yang boleh menolak pengaruh hiburan dan perhiasan yang membawa kerosakan, pembaziran dan khurafat. Masyarakat yang tidak mementingkan ilmu samalah seperti masyarakat yang mengundang kemusnahan dan kerosakan di bumi Allah ini.

Dalam konteks ini, walaupun kita belum jelas lagi akan visi, misi, objektif dan modul-modul yang akan diterapkan di dalam program PKBN ini, namun kita berharap program PKBN ini akan dapat mencapai objektifnya sesuai dengan hasrat Kebawah DYMM. Harapan kita pula ialah semoga pelatih-pelatih itu kelak akan diberikan tarbiyah yang seimbang antara pembinaan jatidiri dengan pengisian ilmu agar boleh menjadi agen pembaharuan generasi mereka yang bukan sahaja mempunyai jatidiri bernegara yang tinggi tetapi juga generasi yang berilmu dan mempunyai syakhsiah terpuji. Wallahu’alam - (mmo).


Tuesday, October 4, 2011

MENJUNJUNG TITAH MEMBANGUN BANGSA

Menyusuri Titah Hari Belia 2011 (3)

Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam didalam titah Baginda sempena Hari Belia Kebangsaan bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada Hari Isnin, 28 Syawal 1432 / 26 Septeber 2011 telah menyentuh mengenai usaha penjenamaan semula Pusat Belia.

Baginda mengalu-alukan usaha pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, melalui Jabatan Belia dan Sukan untuk “menyedikan tempat di setiap daerah bagi para belia berkumpul dan mengadakan aktiviti atau program yang berfaedah”. Baginda melahirkan kepercayaan bahawa “langkah untuk mempertingkatkan lagi kemajuan melalui usaha rebranding atau penjenamaan semula Pusat-Pusat Belia di seluruh negara adalah sebagai tepat pada waktunya”.

Seterusnya Baginda mengingatkan para belia bahawa kemudahan tersebut “bukan saja dimaksudkan untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, tetapi lebih utama akan dijadikannya sebagai tempat mendapatkan khidmat nasihat dan menghasilkan produk karya seni dan kebudayaan yang bermanfaat”.

Justeru Baginda menyeru kaum belia “bagi sama-sama menjayakan matlamat menjadikan Pusat-Pusat Belia tersebut sebagai pusat beriadah, belajar, beramal dan berbakti kepada diri sendiri, ugama, bangsa dan negara”.

Rasanya ini bukan kali pertama Kebawah DYMM bertitah dan menyuntik semangat dayasaing dan dayajuang yang tinggi kepada para belia negara. Demikian, sekerap itulah juga janji pihak berkenaan menyambut titah titah Baginda dengan simbol, tema dan retorek. Kekadang kita tertanya-tanya, kemana perginya segala macam simbol dan tema belia yang diwar-warkan sebelum ini, umpamanya mana perginya program “Belia Cinta Negara” yang dilancarkan pada tahun 2007.

Pernahkah kita membuat kajian terperinci dan menilai prestasi persatuan-persatuan belia diseluruh negara? Apa yang telah dilakukan untuk membantu persatuan-persatuan belia yang sakit? Mana perginya program Belia Masjid yang diungkayahkan oleh (Jabatan Pengurusan Masjid?), dan kemana perginya Sukarelawan Belia ketika tidak ada acara acara keraian atau perayaan perayaan.

Kita sama-sama menginsafi bahawa maksud titah berkenaan mengandung harapan agar potensi para belia dijana, dipandu dan diserlahkan kearah kecemerlangan hidup dunia dan akhirat. Antara lain perkataan rebranding pusat-pusat belia itu hendaklah dijadikan “kilang” memproses dan melahirkan belia yang berwawasan sempurna dan mantap.

Ini bukanlah kerja mudah dan bukan tugasan Jabatan Belia dan Sukan sahaja. NGOs, Parti Politik dan jabatan-jabatan kerajaan berkaitan hendaklah secara bersepadu mendepani tanggungjawab ini. Pendekatan dan pengurusannya adalah kompleks lebih-lebih lagi ianya turut melibatkan pengurusan pelbagai, psykologi, persepsi, sikap dan seumpamannya yang mengarah pembentukan sifat dan budaya baru generasi belia yang maju dan diredhai Allah.

Antara sifat-sifat yang perlu dijana, dipandu dan diserlahkan didalam konsep wawasan yang sempurna dan mantap ialah belia itu hendaklah belia yang bertanggungjawab, dedikasi, amanah, ikhlas, tekun, berdisiplin, berbudi mulia, sederhana, kasih, bekerjasama dan bersyukur (Ezhar Tamam 1994).

Selari dengan nilai-nilai disebutkan diatas, Azimi Hamzah(1992) menyenaraikan sifat-sifat yang perlu dibentuk dalam sanubari para belia khususnya berkaitan moral, maruah dan kecemerlangan diri, iaitu belia yang tidak terpengaruh dengan hidup masyarakat permisif, tidak menjadikan hedonisma sebagai asas penghidupan, tidak menjadikan duit serta kebendaan sebagai matlamat hidup, tidak sombong serta mendabik dada, tidak terlibat dengan perlumbaan melulu,

Belia yang menunaikan hak orang lain tanpa menuntut hak, sentiasa menyedari yang satu hari kita akan mati dan tindak tanduk terhadap diri, orang lain dan makhluk keseluruhannya akan dipertangungjawabkan, bersifat kasih sayang serta hormat menghormati, bersifat ehsan, bersedia menggunakan apa yang ada – diri, masa, harta, ilmu untuk kebaikan orang lain dan akhirnya membuat sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh serta ikhlas.

Namun demikian suatu hakikat yang perlu diakui ialah untuk membina generasi belia yang berwawasan sempurna dan mantap itu ada hubung kaitnya dengan proses sosialisasi. Dalam konteks rebranding yang diwar-warkan ini, kita tanggapi bahawa Jabatan Belia dan Sukan sebagai pengelola agen perubahan mempunyai tanggung jawab besar untuk mengisi proses sosialisasi yang dilalui oleh para belia ini justeru ia harus bertitik tolak dengan memahami matlamat dari mana hendak bertolak dan kemana hendak dituju.

Ibu bapa, rakan sebaya, suasna sekeliling turut memainkan peranan penting kerana ia akan turut berperanan mencorakkan pandangan, pegangan dan matlamat hidup para belia.

Titah Kebawah DYMM yang dipetik diatas tentunya boleh diambil sebagai tips untuk memulai kerja besar ini.

Kearah keberkesanan rebranding pusat-pusat belia yang dihasratkan itu, egen-egen perubahan janganlah mengikut resam perigi yang hanya tercokol menunggu kedatangan orang, tetapi biarlah kita mengikut resam hujan yang boleh turun dimana-mana jua, di lautan, di daratan, di gunung, di lurah, di kota atau di desa bagi menyuburkan bumi Allah. Wallaha’alam – (mmo).

Sunday, October 2, 2011

MENJUNJUNG TITAH MEMBANGUN BANGSA

Menyusuri Titah Hari Belia 2011 (2)

Titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Belia Kebangsaan bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah pada Hari Isnin, 28 Syawal 1432 / 26 September 2011 turut menyentuh pembangunan industri kreatif, suatu industri yang seharusnya telah lama diperkasakan oleh pihak-pihak berkenaan.

Antara lain Baginda bertitah, “Mengenai Industri Kreatif, para belia perlu merebut peluang tersebut, kerana di negara ini, banyak bidang yang dapat diteroka, khususnya bidang seni tradisi budaya. Bidang ini merupakan warisan berharga, yang boleh diketengahkan melalui strategi pemasaran berkesan, sebagaimana dilakukan oleh Negara negara maju. Ini juga akan boleh menarik para pelancong, dan sekali gus akan membuka peluang pekerjaan bagi anak-anak muda kita”.

Kita tidak namapak adanya masalah besar untuk merialisasikan kehendak titah ini. Yang penting kita hendaklah focus dalam apa jua yang kita rancang. Keduanya hendaklah ada political will dan ketiganya hendaklah istiqamah – konsisten dalam apa jua kerja kita.

Bagaimana Malaysia menembusi pasaran batik dunia walhal batik dikaitkan dengan industri kreatif Indonesia yang sudah beratus tahun lamanya. Bagaimana Belanda menembusi pasaran ceramic global dengan jenama “blue delft” walhal seni pembuatan ceremic dikaitkan dengan industri kreatif Cina yang sudah beribu tahun lamanya? Ini adalah contoh yang boleh dijadikan iktibar dan dipelajari oleh kita semua.

Persoalannya bila dan bagaimana kita hendak memulai kerja ini?.

Bagaimana caranya hendak memenuhi harapan Baginda agar setiap pencapaian para usahawan itu “akan menjadi penggalak dan pemangkin kepada para belia yang lain untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan”. Barang sudah tentu sukat-sukatnya ialah kejayaan usahawan itu sendiri.

Kejayaan usahawan itu pula antara lain bergantung kepada adunan resepi seperti yang disebut oleh Kebawah DYMM iaitu “kemahuan kuat daripada pengusaha sendiri”, “memberikan perlindungan undang-undang seperti undang-undang hak milik”, “ menyediakan kemudahan-kemudahan asas dan latihan latihan”.

Kearah itu, seperti yang disebutkan sebelum ini, “leaders” atau para penggerak hendaklah mempunyai inisiatif, inovatif dan kreativiti yang tinggi demi melonjakkan gagasan ini. Umpamannya, berapa banyakkah motif flora yang sudah diterapkan dalam pembuatan songket Brunei sedang ada ratusan malah ribuan motif alami disekeliling kita? Bagaimana India boleh menjadi pengeluar songket terbesar, terhalus dan termahal di dunia sedang pemakainya terdiri daripada orang Melayu sendiri ?. Disinilah letaknya konsep pembinaan keupayaan, kreativiti dan inovatif yang disebutkan oleh Baginda itu.

“Inilah caranya peluasan industri kreatif, ia bergantung kepada penglibatan banyak pihak” titah Baginda. Seterusnya Baginda bertitah, “Jika ini ada, beta percaya, industri kreatif yang telah sedia ada pasti akan bertambah teguh dan maju, sementara dalam masa yang sama pula akan menggalakkan lagi para belia lain yang belum menceburinya akan menceburi bidang yang bermanfaat ini.”

Justeru kerja ini hendaklah dimulai dengan memahami matlamat dan sasaran. Fahamilah apa yang tersirat didalam titah berkenaan kerana titah adalah sebahagian dari dasar.

Seterusnya semua agensi pelaksana seharusnya mengambil langkah-langkah segera melakukan penambah baikan didalam system penyampaian masing-masing. Dalam konteks ini pengukuran prestasi akan membolehkan agensi-agensi pelaksana mengenal pasti tahap prestasi, kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Antara lain perkataan setiap agensi pelaksana hendaklah mewujudkan petunjuk-petunjuk utama prestasi atau “key performance indicators”(KPI) dengan menentapkan matlamat atau sasaran yang hendak dicapai, dan jangan lupa sebaik-baik ukuran ialah yang datang dari pelanggan atau kumpulan sasar sendiri.

Jika perkara pokok ini tidak diambil perhatian serius maka, adalah dibimbangi titah hanya akan tinggal titah dan isu yang sama akan terus dititahkan dari masa kesemasa. Jika ini kerap berlaku sudah tentu persoalan “intergeriti” akan mengambil tempatnya yang boleh mengundang krisis kepercayaan terhadap penguasa.

Demikian juga hal-hal berkaitan undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan, tahap kemahiran anggota-anggota penggerak dalaman dan lapangan, karenah birokrasi dan seumpamanya hendaklah diberi perhatian dan dinilai semula bagi mencari yang terbaik darinya dan membuang apa-apa jua yang boleh menghalang kemajuan.

Sehubungan itu, enam tahun dulu (Sept 2006) Parti Pembangunan Bangsa(NDP) yang mewakili suara pablik telah melancarkan Manifesto Politik 2006-2016 yang mendukung kuat gagasan Kebawah DYMM ini. NDP melihat persoalan ini dari aspek betapa pentingnya “mendidik dan membimbing rakyat khususnya golongan usahawan akan peri pentingnya pengurusan harta, perniagaan dan membudayakan diri dengan nilai-nilai yang positif sebagai prasyarat kepada pembangunan korporat yang berdaya saing diperingkat serantau dan global”( Manifesto NDP 2006-2016 ms 14).

Saran Manefesto NDP lagi supaya pihak berkenaan “merangka Dasar Ekonomi Negara yang disepadukan dengan dasar Kewangan Negara, Dasar Pendidikan Negara dan Dasar Sosial negara dimana antara objektif dan natijah daripadanya ialah pengangguran sifar”.

“Mereka yang kini menganggur dan bakal lepasan sekolah serta institusi pengajian tinggi yang memiliki semangat enterprenuership yang tinggi dan mendalam hendaklah diberi peluang untuk merialisasikan cita-cita mereka membuka perusahaan sendiri dengan bantuan dan inisiatif daripada kerajaan Kebawah DYMM”. Demikan antara saran NDP dalam Manifestonya 2006-2016.

Oleh itu semua pihak hendaklah menjunjung tinggi harapan dan hasrat murni Kebawah DYMM dengan menunduki kerja masing-masing, menilai dan mengkaji semula amalan-amalan pengurusan masakini dan mengadaptasikan yang terbaik darinya demi memenuhi harapan Kebawah DYMM, rakyat dan watan. Wallaha’alam – (mmo).