Posting mengikut label

Wednesday, March 4, 2009

PUTERI NDP DI AL-ISLAH


SEROMBONGAN seramai lebih dua puluh ahli-ahli Pergerakan Puteri Pembangunan (3P) Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Al-Islah di Jalan Muara Selasa lalu, 24hb Februari 2009.

Mengetuai rombongan tersebut ialah Pengerusi Pergerakkan Puteri NDP Dyg Dr Hajah Raiyah binti Haji Mohd Ali, dan Ketua Pergerakan Puteri Pembangunan Dyg Suriahani binti Haji Ismail. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ketua Himpunan Wanita Pusat Dyg Hjh Sa’emah Hj Kepli, Pengerusi KeKIN Dyg Hjh Armah Othman dan Ketua Himpunan Wanita Daerah Tutong Dyg Hjh Asmah binti Pulut.

Rombongan telah disambut dan dialu-alukan oleh Pegawai Komandan Pusat Al-Islah bagi pihak Pemangku Pengarah Biro Kawalan Narkotik Awang Haji Sani bin Haji Bakir.

Sejurus sebelum di bawa meninjau secara lebih dekat lagi beberapa kawasan pusat termasuk bengkel-bengkel latihan kemahiran penghuni lelaki dan wanita rombongan juga telah diperdengarkan dengan taklimat mengenai dengan fungsi dan peranan pusat tersebut yang disampaikan oleh Awang Haji Sani bin Haji Bakir.




Menurutnya Pusat Al-Islah yang terletak di Jalan Pelompong Jalan Muara itu telah diserahkan untuk dikendalikan dan ditakbir oleh Biro Kawalan Narkotik pada awal bulan Februari 2008 dengan struktur pengendalian diketuai oleh Pemangku Pengarah BKN Awang Haji Roslan bin Suhaili.

Pusat tersebut yang dulunya dikenali sebagai Pusat Pemulihan dan Rawatan Al-Islah telah ditubuhkan pada 1hb Nov 1987 di bawah pengurusan dan pentadbiran Jabatan Kebajikan Belia dan Sukan, kemudian pengurusan dan pentadbiran diambil alih oleh Jabatan Penjara di bawah Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri pada 15hb Mac 1990.

Sistem yang digunakan sejak tahun 1990 hingga 2008 adalah berkonsepkan sistem tahanan, apabila lawatan ke atas penghuni adalah terhad, dan mereka sentiasa di periksa jika keluar dan masuk serta makan di blok masing-masing dan terus di awasi oleh pegawai bertugas.

Bagaimanapun setelah pusat yang kini dikenali dengan Pusat Al-Islam diserahkan kepada BKN ianya ditukar kepada konsep sistem rawatan pemulihan dilakukan secara berkumpulan, mendorong ke arah perubahan tingkah laku dan pembentukan yang positif di bawah kendalian Mayor (mereka yang pernah dirawat tetapi telah mendapat kebebasan sepenuhnya dan sudah berubah sepenuhnya). Kini lawatan keluarga kepada penghuni juga terbuka dan penghuni juga berpeluang secara terbuka berbincang dengan Mayor mereka masing-masing.

Pusat Al-Islah adalah daripada perkataan Arab yang bererti pemulihan kepada memulihkan.

Terdapat seramai 50 orang penghuni pada masa ini terdiri daripada seramai 47 orang lelaki dan tiga orang wanita.

Usia yang paling rendah pernah di rawat di pusat ini ialah 14 tahun dan pada masa ini terdapat seorang penghuni lelaki yang berusia 60 tahun mendapatkan rawatan pemulihan kerana terlibat menghisab syabu.
Menurut Awang Haji Sani lagi pusat itu dijangka akan berpindah bulan September ini, ke bangunan pusat yang baru siap dibina pada Jun lalu, di Kerakas Payau Kampung Kupang Tutong.

Perbelanjaan membina pusat tersebut bernilai kira-kira $18 juta termasuk berbagai kelengkapan dan kemudahan yang disedikan untuk menggantikan pusat yang ada pada masa ini yang telah menggunakan bangunan perumahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang dipinjamkan sejak pusat ditubuhkan.

Pusat Al-Islah mempunyai seramai 114 orang kakitangan terdiri daripada seramai 84 orang di kalangan bekas pegawai Jabatan Penjara, lima orang kakitangan BKN, tujuh orang Mayor dan 14 orang kakitangan daripada Jabatan Penjara.

Setiap keputusan bagi penghuni akan dihadapkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Penasihat Pusat Al-Islah yang telah ditubukan pada 1hb Julai 2008 sehingga 30 Julai 2009 di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan dipengerusikan oleh Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud dan Timbalan Pengerusi Datin Hajah Masni bin Haji Mohd Ali.

Tatacara kemasukan menjadi penghuni pusat tersebut adalah di kalangan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah (Penggal 27) dan Akta bahan-bahan yang membahayakan (Penggal 116) atas perintah mahkamah, perintah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, kemasukan sukarela apabila di bawa sendiri oleh ibubapa dan penjaga dan melalui ujian air kencing yang positif.

Antara kandungan program yang dilakukan di pusat berkenaan adalah program agama, therapeutic community, kaunseling, vokasional, program kawad dan latihan jasmani, aktviti sosial dan sukan.
Belajar Al-quran, sembahyang, Ratib Al-Attas, Dikir Syarafil Annam, kuliah subuh, ceramah agama dan aktiviti keagamaan adalah antara program agama yang diberikan kepada penghuni setiap hari secara induksi selama enam bulan.

Di samping program kaunseling untuk pembentukan semula tingkah laku, pengendalian emosi dan psikologi, perkembangan pemikiran dan kerohanian, serta program kemahiran vokasional dan kemahiran bersosial juga adalah yang diberikan sepanjang masa.

Setelah dibebaskan penghuni akan terus membuat laporan kepada bahagian pengawasan BKN selama dua tahun dan pemeriksaan ujian air kencing di ambil setiap dua minggu sekali bagi memastikan mereka tidak lagi terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Rombongan kemudiannya di bawa melawat ke beberapa kawasan termasuk kawasan pertanian dan ternakan, kawasan bengkel pembaikan kereta, menyaksikan pameran kegiatan penghuni pusat dan melawat kawasan kemahiran vokasioanal dan kraftangan penghuni pusat sebelum mengakhiri sesi lawatan tersebut.(HSK).

No comments: