Posting mengikut label

Friday, May 4, 2012

Titah Kebawah DYMM di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2012



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Al-Qur'an bukanlah untuk dibaca sahaja tetapi juga untuk diikuti segala ajarannya.

Titah baginda, Al-Qur'an itu apabila dibaca dengan suara yang merdu ia membawa pengaruh kepada jiwa. Bukan sahaja mendatangkan ketenangan dan kekhusyukan malahan juga menimbulkan inspirasi yang sihat.

Di samping itu baginda bertitah menyatakan, Al-Qur'an juga boleh merawat dan mengubati segala penyakit.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2012 malam ini di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa di sini.

Baginda bertitah, jika umat Islam benar-benar berpegang dan mengamalkan Al-Qur'an maka Allah akan mengangkat darjat mereka.

"Kerana itu, tidak ada jalan lain untuk umat Islam merebut semula zaman kegemilangan mereka, melainkan hanya dengan kembali kepada Al-Qur'an sahaja dengan menjadikannya sebagai pedoman, panduan dan cara hidup yang lengkap," titah baginda.

Dalam bidang pembangunan fizikal pula menurut titah baginda, Al-Qur'an tidaklah menghalangi umat Islam dari melakukannya asalkan sahaja tidak melangkahi batasan-batasan hukum.

"Pembangunan fizikal dalam Islam di samping untuk menjana kemakmuran ia juga untuk memelihara kesejahteraan serta dengan konsisten menghindari sebarang kerosakan dan kebinasaan di muka bumi selaras dengan peringatan Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud 'Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia'," tegas titah baginda.

Kerana itu baginda menambah titah, di samping pembangunan fizikal di dalam Al-Qur'an juga banyak membincangkan tentang pembangunan insan kerana pembangunan insan itu adalah merupakan tonggak kepada pembangunan fizikal yang sempurna seperti telah dijelaskan oleh Allah bahawa kemusnahan manusia itu sendiri adalah berpunca dari maksiat dan penyelewengan yang mereka lakukan.

"Sebaliknya jika mereka itu beriman dan bertaqwa Allah pasti membalasnya dengan kebajikan sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A'raf ayat 96 yang bermaksud 'Dan jika penduduk di suatu negeri itu beriman dan bertaqwa nescaya Kami limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi'," jelas titah baginda.

Menyentuh mengenai tema baginda bertitah, tema Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah 'Al-Qur'an Panduan Kesempurnaan Insan'.

Tema ini tepat titah baginda, kerana Allah Subhanahu Wata'ala memang menurunkan Al-Qur'an itu sebagai panduan. Barangsiapa yang mengikuti petunjuknya maka orang itu akan beroleh kesejahteraan dan kebahagian. Sebaliknya orang yang enggan akan kecewa dan binasa.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: