Posting mengikut label

Wednesday, October 3, 2012

Busut 'jin Islam' dimusnah


Busut yang menjadi tempat pemujaan sedang dimusnahkan



Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt - Pegawai dari Bahagian Kawalan Akidah, Jabatan Hal Ehwal Syariah mengadakan serbuan ke sebuah rumah di Kampung Sengkurong 'A' dan memusnahkan sebuah busut yang dipercayai digunakan untuk upacara pemujaan.

Operasi meroboh pada kira-kira pukul 9.30 pagi, melibatkan 11 pegawai dari Bahagian Kawalan Akidah Bandar Seri Begawan dan cawangan daerah Tutong dan disertai sama oleh seorang pegawai dari Pusat Da'wah Islamiah dan ketua Kampung Sengkurong 'A.' Ia dilakukan ke atas sebuah busut yang terletak di dalam sebuah pondok beratap yang terjaga bersih di bahagian halaman belakang sebuah rumah.

Media Permata difahamkan sewaktu pegawai dari Bahagian Kawalan Akidah Jabatan Hal Ehwal Syari'ah mengadakan pemeriksaan mengejut ke premis yang sama sejurus menerima aduan daripada orang ramai kira-kira seminggu lalu, di dalam pondok yang menempatkan busut pemujaan itu turut tergantung sehelai jubah putih, tasbih, songkok haji, sejadah sembahyang, makanan serta buah-buahan.


Jubah putih kelihatan tergantung di dalam pondok
Ekoran penemuan itu, penghuni yang mendakwa sebagai penyewa rumah berkenaan diberi amaran supaya merobohkan pondok pemujaan yang juga dihiasi dengan lampu warna-warni itu, namun amaran dan nasihat yang diberi tidak diendahkan dan pondok pemujaan itu masih berdiri di situ.

Siasatan lanjut mengenai jubah putih, songkok haji, sejadah sembahyang dan barang makanan yang diletakkan dalam pondok dibina bersebelahan sebatang pokok ara besar mendapati bahawa mereka yang sering mengunjungi pondok itu untuk pemujaan percaya busut itu didiami oleh 'jin Islam'.

Operasi memusnahkan busut dan pondok itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, doa dan membaca beberapa surah Al-Quran tertentu diketuai oleh pegawai dari Pusat Da'wah Islamiah, yang kemudian disusuli dengan merenjis air Yasin ke atas busut, kawasan persekitarannya, pondok serta bahagian tangan kedua-dua pekerja yang ditugaskan untuk mencangkul busut dan merobohkan pondok terbabit.


Pegawai dari Pusat Da'wah Islamiah merenjis air Yasin ke atas busut
Ketua Bahagian Kawalan Akidah yang ditemui selepas operasi berkenaan berkata pemusnahan busut itu berjaya dilakukan hasil maklumat yang diterima daripada orang ramai yang mempercayai menggunakan busut itu untuk tujuan pemujaan.

Katanya, perbuatan menyembah busut seperti itu adalah satu perbuatan syirik dan khurafat serta menjadi kesalahan di bawah Perenggan 186 Penggal 77 Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah Kadi, dan unsur-unsur pemujaan yang dijalankan itu seolah-olah menggambarkan satu perbuatan pemujaan "dalam bentuk Islam" berdasarkan barang-barang yang dipamerkan di dalam pondok terbabit.

Beliau berkata, sebaik menerima aduan mengenainya, Bahagian Kawalan Akidah segera menjalankan beberapa pemantauan, termasuk mengenal pasti dan mendapatkan kepastian daripada pemilik tanah yang mengakui tidak tahu-menahu mengenai binaan itu dan aktiviti yang dijalankan di atas tanahnya.

Langkah seterusnya ialah mengadakan rundingan bersama penghulu dan ketua kampung Sengkurong 'A' mengenai tindakan selanjutnya yang mana bahagian berkenaan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak sebelum mengambil tindakan itu, ujarnya.

Beliau seterusnya menyeru orang ramai supaya tampil ke hadapan dengan menghubungi Bahagian Kawalan Akidah melalui talian Hotline 8980055 atau datang sendiri ke pejabat Bahagian Kawalan Akidah di Bandar Seri Begawan sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan pemujaan yang dirasakan menyalahi ajaran ugama Islam.

"Kerjasama orang ramai untuk tampil memerangi kesalahan-kesalahan akidah seperti ini sebelum ia menjadi lebih banyak lagi adalah sangat-sangat kami alu-alukan kerana bagi Bahagian Kawalan Akidah mempunyai pegawai dan kakitangan yang terhad dan tidak dapat memantau keseluruhan perbuatan-perbuatan khurafat di negara ini," beliau berkata.

Beliau juga berjanji bahawa pihaknya akan merahsiakan sebarang maklumat dan butir-butir peribadi setiap pengadu yang tampil untuk memberi aduan dan maklumat.

Dipetik dari - Media Permata


Di Brunei air Yasin untuk memusnahkan busut, di Malaysia untuk melancarkan kapal?

Rosmah melepaskan botol berisi air Surah Yasin ke kapal selam Scorpene?

KD Tunku Abdul Rahman lakar sejarah, masuki perairan negara pada 2009
Khamis, 25 October 2007 - KAPAL selam pertama Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman yang dinamakan sempena Perdana Menteri pertama, dilancarkan secara rasmi dengan penuh tradisi tentera laut di Limbungan DCNS, Cherbourg, dekat sini semalam. Majlis disempurnakan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan memecahkan botol berisi air Surah Yasin ke kemudi kapal selam selepas lagu Negaraku dinyanyikan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, nama Tunku Abdul Rahman dipilih bagi mengenang jasa dan sumbangannya memimpin negara menuntut kemerdekaan dan meletakkan asas kukuh sehingga mampu memiliki kapal selam selepas 50 tahun merdeka. "Dalam tempoh 36 jam kita melakarkan dua kejayaan. Pertama apabila angkasawan pertama (Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha) mendarat di bumi dan kini kapal selam pertama negara yang dirancang hampir 20 tahun lalu dirasmikan. "Kapal selam ini mampu mengawal perairan negara dan memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan sentiasa diberikan keutamaan, khususnya di Selat Melaka," katanya pada majlis menamakan dan merasmikan kapal selam pertama di limbungan kapal DCNS, di sini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Perancis, Herve Morin; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamad Ali dan Duta Malaysia ke Perancis, Datuk S Thanarajasingam. Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter. Dibina di Cherbourg oleh DCNS Perancis dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia dulunya dikenali Izar di Cartagena, Sepanyol, kapal selam pertama yang dibina di Cherbourg akan mula diuji selepas dirasmikan, manakala yang dibina di Sepanyol dijangka siap pada 2008. Najib berkata, KD Tunku Abdul Rahman yang akan memasuki perairan Malaysia pada 2009 dapat memastikan perairan khususnya Selat Melaka menjadi kawasan selamat untuk laluan kapal perdagangan antarabangsa. Beliau berkata, pembelian Scorpene adalah hasil kerjasama strategik kerana pegawai dan anggota TLDM dilatih mengendalikan dan menyelenggara kapal selam dengan selamat dan profesional.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak, peluru berpandu antikapal permukaan dan torpedo antikapal selam. Ia berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya. Tekanan udara, sistem penyejukan air dan kuasa elektrik dibekalkan empat jana kuasa diesel Izar/MTU 396 12V SE84 atau 360 elemen bateri plumbum. Mekanisme sistem pendorongan dan elemen sokongan dibina dalam dua kebuk berasingan dengan sistem pautan elastik bagi menghilangkan kesan bunyi dan gegaran. (Berita asal: Berita Harian)

Dipetik dari - al-ahkam.net

No comments: