Posting mengikut label

Saturday, May 3, 2014

NDP PERKUKUH SOKONGAN KEPADA KDYMM SULTAN ATAS PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH


LIMBARUH HIJAU 1 MEI 2014: HARAPAN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) agar umat Islam di negara ini diberikan hak mereka untuk diadili sepenuhnya secara saksama mengikut Al-Quran dan As-Sunnah akhirnya menjadi kenyataan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sulltan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin menitahkan pengisytiharan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 di satu majlis yang bersejarah di Pusat Persidangan Antarabangsa Brunei.

Detik bersejarah tersebut merupakan satu pencapaian besar dan kemenangan bagi negara dalam mengembalikan kedaulatan negara yang tercemar gara-gara penjajah menyasar sistem keadilan Islam dengan memperkenalkan sistem keadilan mereka sebagai satu keutamaan dalam kehidupan rakyat dan penduduk jajahannya.

Justeru, NDP sebagai sebuah pertubuhan politik yang berasaskan Islam dalam perjuangan menegakkan keadilan dalam semua bidang kehidupan tumpang gembira dengan pencapaian tersebut. Dalam hal ini, kejayaan negara merupakan kejayaan NDP juga yang telah memulakan langkah di persada politik negara pada 2005 dengan seruan agar negara;

“Mewujudkan pendemokrasian keadilan di Negara Brunei Darussalam di mana rakyat Kebawah DYMM serta penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam diberikan hak mereka untuk diadili sepenuhnya secara saksama mengikut Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW atau Syariat Islam di dalam semua aspek perundangan, termasuk sivil, jenayah dan lain-lain, melalui kaedah berperingkat-peringkat (tadarruj)”.

“Menjamin kebebasan kehakiman dan pelaksanaan keadilan, serta berpegang kepada prinsip: Kesilapan membebaskan pesalah adalah lebih baik dari menghukum orang yang tidak bersalah dan bagaimana hendak membebaskan yang dituduh dan bukannya bagaimana hendak menghukum yang dituduh” (RUJ: MANIFESTO PARTI PEMBANGUNAN BANGSA 2006-2016).

“Kita bersyukur kehadrat Allah (SWT) atas limpah kurniaNya memberikan kekuatan, taufik dan hidayah kepada baginda Sultan dan rakyat sehingga terlaksana Perintah Kanun Jenayah Syariah 2013”, ujar Presiden NDP Sdra Haji Mahmud Morshidi Othman.

“NDP akan terus memberikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada baginda Sultan dan Kerajaan dalam mempastikan sistem keadilan Islam akan terus berkembang dan bertambah mantap dalam memelihara keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan negara dan bangsa”.

“Dengan ini, NDP akan menentang sekeras-kerasnya sebarang campurtangan mana-mana pihak, dari dalam mahu pun dari luar, dalam urusan negara”, tegas sdra Morshidi.

Beliau juga menegaskan sokongan NDP terhadap titah baginda Sultan terutama dalam bidang perlaksanaan Perintah Kanun Jenayah Syariah ini.

Baginda, kata sdra Morshidi, telah menekankan bahawa kewajipan kita semua dihadapkan Allah dalam perkara perundangan, sudahpun kita sempurnakan. Tinggal sahaja lagi peranan masing-masing, terutama agensi-agensi yang berkaitan, hendaklah melaksanakannya dengan penuh tanggungiawab, amanah dan berhemah. Ingatlah, fokus kita hanyalah kepada Allah jua untuk mencari redha-Nya semata-mata bukan melihat kekiri atau kekanan untuk mencari-cari siapa yang suka atau tidak, titah baginda.

“Harapan NDP agar semua pihak yang berkenaan akan menjadikan nasihat baginda ini sebagai azimat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab nanti. Kejayaan atau kegagalan melaksana hukum Allah itu setentunya terletak atas bahu mereka yang memikul tanggungjawab yang berat dan mencabar ini, ujarnya lagi.

“Selaras dengan harapan baguinda Sultan, izinkan saya mengulangi saranan NDP yang termaktub dalam Manifesto NDP 2006-2016 iaitu agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan satu Jawatankuasa Tetap (Kehakiman dan Undang-undang) di dalam Majlis Mesyuarat Negara.

Jawatankuasa Khas ini, katanya akan bertindak memantau sistem kehakiman dan keadilan di Negara Brunei Darussalam, serta memantau penerapan kesaksamaan  di dalam keadilan dan kesaksamaan di bawah undang-undang, dan pengukuhan serta pelaksanaan peraturan undang-undang  (rule of law) dengan penuh ketelusan yang berteraskan sistem keadilan Islam.

“Kita juga berharap agar akan ada usaha menubuhkan sebuah panel guaman untuk memberi nasihat guaman dan membantu ahli-ahli dan orang awam yang menghadapi masalah perundangan”.

Dengan izin Allah, NDP akan terus mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan sebarang pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa untuk membantu mempastikan perjalanan sistem dan roh keadilan menepati kehendak keadilan Islam, yang mutlak dan sejagat.


Sumber - Laman Aspirasi NDP

No comments: