Posting mengikut label

Monday, August 18, 2014

KDYMM: Negara berkembang dengan baik atas faktor 'keberkatan'



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke- 68 Tahun 1435H/2014M pada hari Khamis 18 Syawal 1435 bersamaan 14 Ogos 2014

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu'
Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

ALHAMDULILLAH, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, dapatlah kita meraikan Hari Keputeraan beta pada tahun ini, dalam suasana aman dan sejahtera.

Terlebih dahulu, beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada tetamu-tetamu khas beta yang sudi hadir ke istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada beta serta keluarga, bersempena dengan perayaan ini.

Sekali lagi pada tahun ini, istiadat perayaan diadakan selepas umat Islam di negara ini selesai menyempurnakan ibadat puasa Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Alhamdulillah, dengan menyedari akan keberkatan berpegang teguh kepada ugama, maka kita telah dapat meneruskan lagi kehidupan ini dengan penuh selesa serta dengan rancak dapat membangun di bidang-bidang yang diperlukan.

Beta sangat meyakini akan faktor keberkatan itu, yang menjadikan Negara Brunei dapat berkembang dengan baik. Di bidang ekonomi, penumpuan adalah sedang diberikan kepada, mempelbagai dan menaikkan lagi kadar pertumbuhan ekonomi. Ini, termasuklah antara lain, dengan memudahkan kemasukan Pelaburan Langsung Asing dalam pelbagai sektor, memajukan sektor swasta, memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan iklim pro-business.

Dalam usaha mempelbagaikan ekonomi, beta sangat gembira mengetahui, adanya inisiatif untuk menarik Foreign Direct Investment (FDI) yang berkualiti ke negara ini, yang sudah pun menampakkan tanda-tanda pencapaian awalnya yang positif.

Di sektor hiliran minyak dan gas pula, Pulau Muara Besar kini telah pun mula dimajukan bagi penyediaan tapak projek pembinaan kilang penapisan minyak bersepadu atau integrated oil refinery dan industri-industri berkaitan yang menjanjikan banyak peluang pekerjaan.

Sementara itu, sebuah kilang pembuatan ubat atau pharmaceutical manufacturing plant, yang bertaraf dunia telah pun siap dibina dan kini sudah mula beroperasi.

Selain itu, sebuah syarikat terkemuka antarabangsa di bidang simulation training juga, telah membina Multi-Purpose Training Centrenya di Brunei Darussalam, sebagai pusat latihan utamanya di rantau ini. Ia juga sudah mula beroperasi.

Bio Innovation Corridor (BIC), seluas 500 hektar untuk menarik pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan, R&D, pembuatan dan komersial, adalah merupakan satu lagi sektor berpotensi untuk memantapkan lagi ekonomi serta mampu bagi membuka peluang-peluang pekerjaan secara lebih meluas.

Dalam ekonomi, objektif negara ialah untuk menjadi sebuah 'kuasa ekonomi' yang dinamik, yang mampu untuk menduduki tempat ke sepuluh teratas di dunia dari segi pendapatan per kapita.

Ini bererti, kita adalah dikehendaki untuk meningkatkan pendapatan negara ke tahap BND80 bilion menjelang tahun 2035, berbanding hanya BND20 bilion sahaja ketika ini. Ini juga turut merujuk kepada ekonomi negara supaya ia dapat tumbuh sekitar 5 ke 6 peratus setahun.

Oleh yang demikian, beta berharap supaya semua pihak, sama ada kerajaan mahupun swasta, akan dapat melipatgandakan usaha masing-masing untuk mencapai sasaran ini.

Khusus mengenai peluang pekerjaan pula, mengikut Banci Awal Majikan dan Pekerja 2013, dari seramai 140,000 tenaga kerja di dalam kira-kira 10,000 buah syarikat yang aktif, kira-kira 65 peratus adalah terdiri daripada pekerja asing. Maka sehubungan ini, dengan mengambil kira kadar pengangguran yang ada, kita adalah wajar untuk mempunyai satu dasar pengisian pekerjaan yang seimbang.

Alhamdulillah, sejauh ini kita sudah dapat memenuhi sebahagian dari sasaran untuk mengurangkan pengangguran. Di sektor minyak dan gas sahaja misalnya, sasaran sehingga 2014 untuk memberikan 3,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan telah pun hampir tercapai.

Namun begitu, kita juga tidak boleh lepas pandang terhadap peluang-peluang pekerjaan di sektor bukan minyak dan gas. Ke arah ini, kerajaan beta telah memperkenalkan satu dasar baru untuk dilaksanakan secara berperingkat. Dasar itu pada asasnya adalah bertujuan untuk menyeimbangkan di antara pengambilan pekerja tempatan dan pekerja asing, melalui kaedah-kaedah pengawalan tertentu.

Di bidang pendidikan, kerajaan beta sangatlah prihatin terhadap semua sektor pendidikan bagi memenuhi keperluan sosioekonomi dan kesejahteraan di negara ini.

Di antara langkah yang telah dibuat ialah menyediakan satu skim, yang dipanggil Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam, bagi tujuan untuk menarik minat sumber tenaga manusia dari kalangan tenaga akademik yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Beta juga telah memperkenankan satu Perintah Penubuhan Institut Pendidikan Teknikal Brunei selaku peneraju kepada kemajuan pendidikan teknikal dan vokasional.

Ini penting, bagi melahirkan golongan berpendidikan mahir lagi marketable sebagai persiapan kita menghadapi cabaran-cabaran ekonomi yang bersifat global yang berteraskan knowledge-based.

Satu langkah untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu memenuhi syarat menerima biasiswa, supaya mereka itu dapat melanjutkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara, maka beta juga telah memperkenankan satu Skim Kemudahan Pinjaman Pendidikan. Skim ini akan memberikan kemudahan pinjaman kewangan yang affordable kepada pelajar-pelajar berkenaan bagi menampung kos pengajian dan sara hidup mereka.

Untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tertentu, khasnya bagi mata-mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik, beta jugatelah memperkenankan satu peruntukan tambahan berjumlah BND220 juta untuk tempoh selama tiga tahun, bagi menampung kos mendatangkan tenaga pengajar daripada luar negara bagi mengajar mata-mata pelajaran berkenaan.

Di bidang infrastruktur perhubungan pula, Pelan Induk Pengangkutan Darat telah pun siap disediakan. Selain menyediakan jaringan perkhidmatan jalan raya yang efisien, pelan ini juga mengandungi blueprint kemajuan ekonomi di bawah sektor ini.

Projek meningkatkan infrastruktur pelabuhan dan memodenisasikan lapangan terbang yang sedang berjalan pada masa ini, akan membuka luas pengkomersialan perkhidmatan-perkhidmatan di bawahnya, bagi menjana lebih banyak lagi peluang perniagaan dan pekerjaan.

Di bidang kesejahteraan, perhatian adalah terus diberikan untuk menangani jenayah. Dalam hal ini, beta ingin mengingatkan mengenai ancaman siber yang berbahaya terutama kepada kanak-kanak.

Kementerian Perhubungan adalah sedang giat merangka kerja-kerja untuk 'Child Online Protection' bagi melindungi kanak-kanak yang menggunakan internet, daripada terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif dan ancaman cybercrime.

Mengenai Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), insyaaAllah, tidak lama lagi ia akan mempunyai fasiliti khemahnya sendiri di Daerah Temburong. Satu struktur organisasi baru untuknya telah pun beta perkenankan bagi memperkasakan lagi program ini.

Untuk memantapkan segala agenda pembangunan, beta telah memperkenankan penubuhan Majlis Wawasan 2035 yang akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara dan Unit Penggerak di Jabatan Perdana Menteri. Peranan utama majlis ini ialah untuk membantu secara insentif dan sistematik pelaksanaan usaha-usaha agensi-agensi kerajaan beta dalam merealisasikan hasil pencapaian objektif-objektif Wawasan 2035.

Di arena antarabangsa, negara kita akan terus mengekalkan dasar berbaik-baik dan saling hormat-menghormati dengan negara-negara sahabat, di samping mengukuhkan kerjasama di pelbagai bidang dan peringkat, bagi keamanan dan kesejahteraan bersama.

Menyebut perkara keamanan dan kesejahteraan ini, Negara Brunei Darussalam adalah sangat bersimpati terhadap rakyat dan negara Palestin yang sedang diragut keamanan dan kesejahteraan mereka oleh musuh yang tidak berperikemanusiaan. Musuh ini begitu tergamak membunuh kanak-kanak, kaum perempuan, orang tua dan lain-lain warga awam yang tidak berdosa. Mereka juga memusnahkan bangunan, tempat kediaman dan tidak terkecuali rumah ibadat dan sekolah, tanpa mengambil kira, jenayah ini dilakukan dalam bulan suci Ramadan, di mana orang-orang Islam sedang melaksanakan ibadat puasa.

Akhirnya, beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan beta.

Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha untuk menjayakan perayaan ini.

Beta berdoa semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan dengan limpah rahmat dan perlindungan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments: