Posting mengikut label

Monday, April 4, 2016

PEMBANGUNAN PANTAI TUNGKU JANGAN KUBURKAN SEMANGAT BERDIKARI BANGSA






KENYATAAN RASMI PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP)

MUKADIMAH

Badan Perhubungan NDP Brunei-Muara dibawah pimpinan Naib Presiden Haji Mohiddin DPP Haji Othman telah menganjurkan lawatan kerja ke Pantai Tungku berikutan aduan dan sungutan dari pengusaha pengusaha yang bimbang akan kemungkinan mereka tidak lagi dibenarkan berniaga di kawasan tersebut. Ini kerana kawasan tersebut akan dimajukan oleh Brunei Investment Agency selaku pemilek kawasan tersebut.

TYT Presiden NDP, sdra Malai Hassan Othman juga diundang bersama untuk menyertai lawatan kerja pada hari Ahad 27 Mac 2016 itu. Juga turut serta Setiausaha Agung NDP sdri Hajah Seamah Kefli, Ketua Himpunan Wanita Puan Hajah Kartini, PSUA sdra Mohamad Abdullah Peter, Penolong Ketua Perhubungan NDP Brunei-Muara merangkap Setiausaha Politik Presiden sdra Ahmad Timpus, Ketua Biro Kemajuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Dr Hajah Raiyah dan beberapa ahli-ahli Majlis Tertinggi dan JASA yang lain.

Berikutan lawatan kerja tersebut NDP telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian dan pandangan parti berhubung perkara tersebut seperti berikut:


1- PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat mengalu-alukan dan menyokong penuh sebarang rancangan untuk memajukan dan mencantikan lagi Pantai Tungku yang sudah terkenal dengan keindahanya dikalangan pengunjung pengunjung tempatan dan luar negara sebagai sebuah kawasan riadah dan tempat bersantai-santai dihujung hujung minggu

2- NDP juga menyokong penuh sebarang usaha kearah memajukan kawasan kawasan peranginan dan riadah termasuklah usaha untuk menswastakan pengurusan kawasan kawasan yang akan dikenalpasti sebagai kawasan yang boleh dimajukan selaras dengan perancangan kemajuan sektor pelancongan di negara ini

3- Dalam hal ini adalah menjadi dasar dan pegangan NDP agar pihak yang berwajib sentiasa mengambil kira faktor alam sekitar secara serius dalam sebarang usaha untuk memajukan atau membangunkan negara, di mana kajian secara objektif dan telus perlu diadakan sebelum sebarang projek pembangunan atau projek mega dimulakan, agar kesejahteraan rakyat Kebawah DYMM dan generasi akan datang, serta alam sekitar tidak akan terjejas dan lebih terjamin

4- Namun demikian dalam hal memajukan dan membangun semula Pantai Tungku, NDP juga berharap dan menyeru agar pemilek dan pihak yang berkuasa atas kawasan tersebut serta pihak kerajaan sendiri dapat melaksanakan sebarang rancangan kemajuan Pantai Tungku dengan mempastikan ianya mendatangkan kebaikan dan manfa'at kepada semua pihak termasuklah kepada pengusaha pengusaha kecil yang sudah bertahun-tahun menjadikan kawasan tersebut sebagai sumber rezeki mereka bukan sebaliknya

5- NDP bimbang sejarah akan berulang dalam mana inisiatif pihak kerajaan beberapa tahun yang lalu untuk mengubahsuai Pantai Serasa turut memutuskan mata pencarian beberapa pengusaha pengusaha kecil yang mencari makan dikawasan tersebut tetapi tidak pula mematahkan semangat mereka yang terjejas untuk terus berusaha untuk menyara hidup di kawasan riadah yang lain. Ramai dari kalangan mereka yang terjejas telah berpindah ke Pantai Tungku

6- Setelah lebih dua tahun berlalu mereka sekali lagi berhadapan dengan kemungkinan akan dipapat lagi mata pencarian mereka apabila kawasan Pantai Tungku yang merupakan milek Brunei Investent Agency (BIA) akan dimajukan. Wallahu wa'alam sama ada ia akan dimajukan sebagai kemudahan riadah yang eklusif atau sebaliknya belum dapat dipastikan

7- Apa yang pasti lebih 100 pengusaha pengusaha sekarang tidur tak lena makan tak kenyang memikirkan masa hadapan mereka

8- NDP turut bimbang kemungkinan usaha untuk memajukan Pantai Tungku akan turut menguburkan semangat berdikari, bekarih, bejarih, belurih anak bangsa yang telah terbukti tidak kenal penat lelah untuk mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan untuk hidup

9- NDP juga bimbang jika permasalahan mereka ini tidak diberikan perhatian sewajarnya akan melahirkan kekecewaan dikalangan mereka dan sekali gus boleh menjejaskan keyakinan mereka dan keluarga mereka kepada pihak kerajaan serta boleh menjejaskan kredibiliti usaha kerajaan untuk memudahkan pertumbuhan pengusaha pengusaha kecil dan sederhana yang sedang diuar-uarkan

10- Untuk itu dikesempatan ini NDP mengingatkan pihak pihak berkuasa dan yang berkepentingan agar mengambil ingat akan titah Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam di majlis Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) baru baru ini tentang pentingnya mengambil kira dan kaedah menyelesaikan permasalahan rakyat yang dipetik seperti berikut:

“Pendek kata, apa jua perancangan dan inisiatif adalah perlu untuk mengambil pendekatan delivery atau delivery approach untuk mencapai hasil yang dihasratkan.
Untuk itu, sangat perlu bagi ahli-ahli mempunyai pandangan yang jauh dan cepat ke hadapan. Mereka perlu mengambil langkah-langkah mitigasi dan membuat persediaan sewajarnya sebelum didatangi oleh sebarang persoalan.

Akhir kalam beta menyeru kepada Ahli-Ahli Majlis-Mesyuarat supaya dapat meneruskan serta melipatgandakan usaha masing-masing dalam memeduli permasalahan rakyat dan penduduk negara ini, sama ada mereka yang bermastautin di kawasan bandar mahupun di kawasan-kawasan luar bandar.
Apa jua permasalahan itu perlu ditangani dengan baik dan sempurna dengan jalan berunding. Semoga usaha-usaha yang kita buat akan menghasilkan buah yang baik dan ranum untuk semua.”

11- Dalam hubungan ini NDP menyarankan pihak pihak berkenaan agar mengambil sikap terbuka dan pandangan yang jauh iaitu dengan mengambil kira pengusaha pengusaha kecil yang sudah bertapak di Pantai Tungku dan semangat mereka atas konsep Bekarih, Bejarih dan Belurih untuk berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan sebagai satu aset penting dalam rancangan untuk memajukan kawasan kawasan riadah dan pantai pantai peranginan bukannya satu liabiliti yang hendak dihapuskan dan dikubur di Pantai Tungku yang baru demi kepentingan beberapa pihak sahaja

12- NDP juga berpandangan bahawa pengusaha pengusaha kecil tersebut merupakan satu aset kepada rancangan kemajauan sektor pelancogan negara yang wajar dikembangmajukan

13- Untuk itu pihak pihak berkenaan perlu berlapang dada dan dengan minda terbuka untuk membantu dan memudahkan mereka meneruskan perusahaan mereka masing masing dalam masa sama memajukan dan membangun Pantai Tungku sebagai kawasan peranginan dan riadah yang mesra alam sekitar, selamat dan bertaraf antarabangsa

14- Sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir, NDP juga sukacita mengingatkan akan pentingnya setiap perancangan kemajuan dilandaskan atas konsep keadilan dan ihsan yang merupakan ciri ciri pemerintahan KDYMM

15- Dalam konteks ini NDP meyarankan agar pihak pihak berkenaan berpegang dan mengambil iktibar titah nasihat KDYMM semasa merasmikan perlantikan barisan Menteri kabinet yang baru pada Oktober 2015 yang lalu:

“Allah mengurniakan nikmat, sementara kita berkewajipan mensyukurinya. Syukur itulah pemangkin segala nikmat dan keberkatan. Tanpa syukur, nikmat akan hakis, tidak dapat bertahan lama.

Bagaimanakah caranya bersyukur itu? Di samping mengucapkannya dengan lidah, kita juga dituntut untuk bersyukur melalui ‘urustadbir' di dalam kehidupan. Kerana itulah kita memerlukan kerajaan, dan dalam kerajaan itu pula terdapat jentera yang terdiri daripada para pemimpin dan pegawai-pegawai serta kakitangan di bawah mereka.

Di tangan merekalah, terutama para pemimpin, kewajipan untuk membawa negara ini menjalani amalan bersyukur, iaitu melalui pimpinan dan urustadbir mereka dalam kerajaan.

Salah satu dari ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan. Kerana keadilan adalah segala-galanya. Tanpa keadilan, semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita.

Oleh itu, satu peringatan perlu disebut di sini, bahawa sesiapa jua yang dilantik atau dipilih menjadi pemimpin, mereka itu adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan. Tempat tumpahnya keadilan ialah keatas rakyat, bukan kepada diri sendiri. Adapun untuk kepentingan diri sendiri, itu bukanlah keadilan tetapi kezaliman.

Sebab itulah kadang-kadang, bersedia mendengar suara orang di bawah, atau menerima idea-idea yang baik, atau keluhan atau rintihan mereka dapat dianggap sebagai ciri melaksanakan keadilan”.

16- Semoga pandangan dan saranan NDP ini dapat diberikan perhatian oleh pihak pihak berkenaan demi kepentingan bangsa dan negara dan selaras dengan tanggungjawab semua untuk memelihara negara sebagai sebuah negara yang aman makmur lagi sejahtera serta sentiasa mendapat perlindungan Allah.


Sumber - Laman Aspirasi

No comments: