Posting mengikut label

Monday, January 2, 2017

Brunei bakal miliki bursa saham


Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) sudah menyiapkan draf peraturan awal bagi Bursa Saham Brunei, melengkapkan fungsi sistem dan keperluan teknikal sebuah bursa saham.

Program latihan relevan untuk kesedaran mengenai bursa saham juga sudah dipersiapkan, menurut pengatur selia kewangan itu dalam kenyataan dasarnya bagi separuh kedua 2016 yang dikeluarkan semalam.

“AMBD merupakan Ahli Jawatankuasa Pandu, Sekretariat dan Kumpulan Kerja bagi penubuhan Bursa Saham Brunei Darussalam. Kumpulan ini terdiri daripada tiga cabang iaitu Kumpulan Kerja bagi Peraturan dan Undang-undang (WGRR), Kumpulan Kerja bagi Operasi dan Infrastruktur (WGOI) dan Kumpulan Kerja bagi Promosi dan Pendidikan (WGPE),” menurut badan yang bertindak sebagai bank pusat negara itu.

“WGRR sudah menyiapkan draf pertama peraturan bursa saham, termasuk peraturan penyenaraian khususnya berkaitan dengan syarikat perdagangan disenaraikan yang memerlukan ia ditetapkan dan disosialisasikan kepada pihak berkepentingan sebaik mungkin sebelum pelancaran bursa itu,” menurut kenyataan dasar itu.

WGOI juga sudah melengkapkan keperluan tender bagi system baru bursa saham termasuk sistem fungsi dan keperluan teknikal.

Dalam pada itu, WGPE juga sudah menyiapkan program latihan relevan bagi menyemai kesedaran mengenai bursa saham.

Dalam Ogos tahun ini, AMBD mengumumkan bahawa bursa saham akan siap sebaik sahaja infrastrukturnya termasuk peraturan dan sistem relevan dan juga sumber-sumbernya lengkap.

“Sama seperti projek skala besar kebangsaan lain, projek bursa saham juga memerlukan bukan sahaja perancangan terperinci malah pelaksanaan yang sempurna dalam usaha mendapatkan keputusan positif yang kekal dan memastikan daya maju dan kemapanannya, menurutnya.

Aspirasi penubuhannya adalah untuk mempunyai ciri-ciri Bursa Saham Brunei Darussalam yang unik kepada negara. Secara asasnya, visi bursa saham adalah mudah dalam terma rekaan namun mempunyai peraturan komprehensif berdasarkan standard dan amalan terbaik antarabangsa, bagi memenuhi produk pelaburan pelbagai. Semua syarikat berpeluang untuk disenaraikan, dengan syarat mereka dapat mematuhi peraturan penyenaraian bursa saham.

Selain itu, objektif teras bursa saham adalah untuk memenuhi keperluan pelabur Islam. Sukuk, menjadi satu daripada saham biasa yang mematuhi syariah, mungkin antara yang disenaraikan dalam bursa saham itu.

Pelancaran bursa saham di Negara Brunei Darussalam dijangka memacu pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perniagaan yang membolehkan laluan alternatif pembiayaan kepada perniagaan usahawan tempatan.

Malah, pasaran saham juga akan membolehkan Brunei Darussalam menyertai bursa-bursa saham ASEAN.

Perkembangan pasaran saham negara bukan sahaja mampu memudahkan pengintegrasian serantau, malah meluaskan platform pasaran modal negara dan memacu peluang pelaburan asing lebih besar dan juga sejajar dengan strategi negara untuk mempelbagaikan ekonominya daripada hanya bergantung kepada industri minyak dan gas.


Sumber - Media Permata

No comments: