Posting mengikut label

Thursday, February 14, 2013

Hayati patriotisme



Oleh Sim Y. H.

TUTONG, 12 Feb - Mengibarkan bendera kebangsaan di hari-hari kenegaraan yang tertentu bukan seharusnya menjadi satu bebanan atau perkara yang menyukarkan tetapi harus menjadi satu tanggungjawab yang perlu dilakukan serta menjadi satu panggilan yang dinanti-nantikan dan untuk disemarakkan.

Perkara penting yang harus diingat ketika mengibarkan bendera adalah untuk dilakukan dengan sepenuh jiwa raga, menghormati dan menghayati keistimewaan status dan kedudukan bendera kebangsaan sebagai simbol bangsa serta negara yang merdeka dan berdaulat yang mempunyai kegemilangan serta kecemerlangan.

Ini ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair Haji Abdullah ketika berucap di Majlis Utama Pengagihan Bendera Kecil (Meja) Bagi Penuntut-Penuntut Sekolah Rendah, Menengah dan Institusi Pengajian Islam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-29 bagi Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara (PKN), Bukit Beruang, Tutong, hari ini.

"Apabila bendera kebangsaan berkibar di halaman rumah kita dan di merata tempat serta pelosok negara, ia hendaklah dilihat melebihi daripada sebatang tiang yang tersangkut padanya secebis kain akan tetapi sebagai sebatang tiang yang terpacak gagah yang mengibarkan lambang dan identiti bangsa dan negara yang berdaulat dan merdeka.

"Apabila tiang dan bendera tersebut dipandang, akan menyentuh perasaan hati dan jiwa kita yang mencetuskan semangat sebagai rakyat yang cintakan kepada raja, bangsa, negara dan ugama."

Yang Berhormat Pehin berkata, para penuntut selaku pewaris kepada bangsa dan negara harus menanamkan dari awal lagi semangat mempertahankan, memartabatkan serta menjaga kemuliaan dan kehormatan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang merupakan maruah bangsa dan negara.

Beliau percaya bahawa dengan pengagihan bendera kecil meja itu, dapat meningkatkan lagi semangat para penuntut cintakan raja, bangsa, negara dan ugama.

"Ia akan dapat menanamkan semangat patriotisme di kalangan murid-murid dan penuntut-penuntut dan rasa cinta kepada Bendera Negara, menghormatinya dan menjaga kemuliaannya sebagai lambang dan bukti kebebasan yang kita nikmati selama ini."

Hadir sama di majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Awangku Abdullah bin Pengiran Tengah, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan, penghulu mukim serta jemputan khas.

Di majlis berkenaan, lagu Kibarkan Bendera dan Tekad Kemerdekaan telah dipersembahkan oleh murid-murid dari Sekolah Rendah PKN Bukit Beruang dan Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang dan diikuti dengan pengagihan bendera kecil meja yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Hazair.

Sebanyak 330 bendera kecil meja telah diagih-agihkan kepada Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara dan sebanyak 200 bendera lagi diagihkan kepada Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang.

Majlis yang serupa turut diadakan di seluruh negara di mana, lebih daripada 30,000 murid dan penuntut di semua daerah di seluruh negara dijangka akan menerima bendera-bendera kebangsaan kecil di bawah inisiatif untuk menyemai perasaan cintakan negara dan patriotisme di kalangan golongan tunas bangsa iaitu murid-murid dan penuntut-penuntut sekolah.

Pengagihan bendera kecil meja itu merupakan acara yang diadakan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan adalah kesinambungan majlis-majlis sambutan menaikkan bendera besar.

Ia juga dihasratkan untuk menanamkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada bendera negara, menghormatinya dan menjaga kemuliaannya sebagai lambang kedaulatan negara.

Pada masa yang sama, ia turut diharap dapat mendisiplinkan diri penuntut serta merasa megah dan bangga kerana dapat sama-sama memeriahkan lagi suasana Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-29.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: