Posting mengikut label

Tuesday, February 5, 2013

Kemurungan penyakit kedua tertinggi


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan - Di Negara Brunei Darussalam, kemurungan merupakan penyebab kedua tertinggi kes-kes pesakit yang berdaftar dengan Perkhidmatan Psikiatri di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional & Teknikal) Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Norlila Dato Paduka Haji Abdul Jalil turut mendedahkan bahawa faktor yang sering menghalang pesakit murung serta keluarganya dari mendapatkan rawatan, yang turut berlaku di negara ini ialah stigma iaitu sifat negatif masyarakat umum terhadap mereka yang menghidap gangguan dan penyakit mental termasuk kemurungan.

Mereka itu dianggap sebagai "gila" dan lemah semangat, ujarnya lanjut dalam ucapan perasmian di Majlis Forum Kesihatan Mental di Dewan Pencapaian, Institut Perkhidmatan Awam (IPA) hari ini.

Sehubungan dengan itu beliau menekankan bahawa kemurungan ialah suatu jenis penyakit yang menyebabkan perubahan bahan kimia tertentu dalam otak dan pemulihan perubatan kimia itu akan menyembuhkan kemurungan yang dihidapi pesakit.

Kemurungan bukanlah disebabkan kelemahan individu berkenaan dan tidak perlu ada perasaan malu untuk tampil mendapatkan rawatan, tegasnya sambil menjelaskan bahawa rawatan yang diberikan biasanya berupa gabungan di antara kaedah psikologi dan rawatan ubat anti-kemurungan (anti-depressant) dan rawatan itu terbukti berkesan.

Majlis bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia itu, dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan, ketua kampung, guru, pelajar dan orang awam ,telah turut mendengar ucapan alu-aluan dari Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Dr Lailawati Haji Jumat selaku Pengerusi Bersama Majlis.

Forum yang bertemakan "Kemurungan - Krisis Global" itu menampilkan empat orang pembentang kertas kerja yang telah membentangkan kertas kerja berkaitan dengan kemurungan.

Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Hospital RIPAS, Dr Hilda Ho membentangkan tajuk "Kemurungan: Cara Mengenalpasti dan Diagnosis", manakala Pegawai Psikologi Klinikal, Hospital RIPAS, Awang Yusri Kefli membentangkan tajuk "Fakta Risiko Kemurungan Dari Aspek Sosiopsikologi.

Pembentang ketiga, Juru Pulih Cara Kerja, Hospital RIPAS, Siti Nurhamizah Haji Awang pula membentangkan tajuk "Rawatan dan Pemulihan Dari Kemurungan", dan pembentang terakhir, Kaunselor, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Ustaz Adi Zaky Haji Matassim membentangkan tajuk "Penyembuhan Kesihatan Mental Dari Perspektif Islam".

Adapun objektif forum itu diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kepentingan kesihatan mental di kalangan masyarakat, untuk mengurangkan rasa cela, penistaan dan prasangka terhadap pengidap gangguan mental, dan untuk meningkatkan kefahaman yang mendalam bagi mengelakkan, mengenalpasti dan rawatan bagi penyakit kemurungan.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: