Posting mengikut label

Monday, December 9, 2013

KOSEKA berjaya hasilkan padi Laila lebih 300 ribu kg



Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman

MUKIM PENGKALAN BATU, Sabtu, 7 Disember. - Acara Mengatam Padi Laila Musim 2013 anjuran Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersama Koperasi Setiakawan (KOSEKA) Berhad diadakan di ladang padi Kawasan Kemajuan Pertanian Kampung Wasan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Yunus dan Hajah Hasnah binti Ibrahim; Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd. Hanifah; Pengerusi KOSEKA Berhad, Awang Haji Mohd. Sahlan bin Hidup, Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan Jabatan Pertanian dan Agrimakan serta ahli-ahli peladang padi KOSEKA Berhad.

Acara Mengatam Padi telah disempurnakan di lot kepunyaan Awang Haji Mohd. Sahlan bin Hidup yang dimulakan dengan iringan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Awang Haji Mohd. Sahlan adalah antara peladang yang telah mengikuti Sekolah Perladangan Pengusaha Padi (Rice Farmer Field School) dan di antara pengusaha yang berjaya mendapat hasil padi sebanyak 3-4 mt sehektar dengan jumlah pengeluaran hasil padi sebanyak 16, 100 kilogram atau 16.1 mt daripada keluasan ladang 5.0 hektar.

Terdahulu, sebelum mengatam padi dimulakan, Yang Berhormat turut diberikan penerangan ringkas mengenai status Kemajuan Projek Padi negara yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah.

KOSEKA Berhad mula ditubuhkan pada 27 Julai 2007 dan dipengerusikan oleh Lt Kol (B) Awang Haji Mohd. Sahlan bin Hidup beserta 8 orang ahli Lembaga Pengarah.

Keramaian ahli pengusaha tanaman padi koperasi ini adalah seramai 72 orang dengan keluasan ladang 178.7 hektar. Pada Mei 2009, KOSEKA Berhad mula menanam padi jenis varieti Laila secara komersil dua kali setahun iaitu selepas Pelancaran Penanaman Padi ke Arah Mencapai Sara Diri Pengeluaran Beras di Negara Brunei Darussalam yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 27 April 2009.

Projek penanaman padi KOSEKA adalah untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan bagi mencapai tahap sara diri yang merupakan salah satu pendorong dalam usaha memajukan bidang pertanian di negara ini.

Bagi luar musim 2013 ini, KOSEKA Berhad telah menghasilkan padi Laila sebanyak 368,700 kg atau 368.76 mt dan musim utama akan dituai pada bulan Disember hingga Januari 2014.

Kejayaan ahli-ahli dan ketua ladang KOSEKA Berhad menyertai Sekolah Perladangan Pengusaha Padi yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan secara berterusan adalah antara sebab peningkatan hasil tanaman padi mereka, yang mana Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga telah berhasil mencetak dan mengeluarkan buku panduan yang lengkap mengenai penanaman padi yang bertajuk ‘Sistem Semakan padi’ bagi pengusaha-pengusaha padi agar dapat mempelajari dan mempraktikkannya di ladang mereka bagi mendapatkan hasil yang baik dan berkualiti tinggi.

Pada masa ini, perkhidmatan mesin seperti meradu, menanam dan menuai masih dibantu oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. Walau bagaimanapun dalam program jangka masa panjang KOSEKA Berhad akan memberikan perkhidmatan mesin-mesin padi kepada semua ahli-ahli dengan sewa berpatutan dan dividen akan diberikan melalui sewa perkhidmatan jentera tersebut.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: