Posting mengikut label

Tuesday, December 31, 2013

Polisi dermasiswa baru


LONDON, 29 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan, Baginda ingin melihat satu polisi dermasiswa baru dibentuk bagi memastikan calon-calon penerima biasiswa Kerajaan adalah benar-benar layak.

Baginda turut menasihatkan pelajar-pelajar supaya tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan dalam mencari pekerjaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian semasa berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland yang terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai pegawai kerajaan yang bertugas, berkursus dan yang berada di United Kingdom dan Ireland bersama keluarga; dan Penganugerahan Biasiswa ‘Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam Sesi 2013/2014. Majlis tersebut telah berlangsung di Hotel Hilton on Park Lane, London, United Kingdom hari ini.

Berangkat sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di hotel tersebut dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom dan Ireland Utara Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Mohd Aziyan bin Abdullah serta isteri; dan Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Ireland Utara (Brunei Students Union)Awang Radin Abdullah bin Radin Mas Basiuni.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua ke Majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malek; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Nasibah.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Mohd Ayadey Hazawallah bin Haji Mohd Zain, Pelajar Tahun Ke-3 dari Kensington College of Business, jurusan Business Management, dan intisarinya pula dibacakan oleh Awang Muhd Afif bin Abu Bakar, Pelajar Tahun Ke-2 dari University of Hull, jurusan Inggeris. Majlis disusuli dengan doa selamat yang telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Setelah itu, sembah alu-aluan telah disembahkan oleh Awang Radin Abdullah bin Radin Mas Basiuni, Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Ireland Utara. Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah, melahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat lagi bersama-sama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang menuntut dan berkhidmat mahupun sedang bercuti di United Kingdom.

Baginda mengambil maklum bahawa penuntut-penuntut tersebut adalah dari kalangan mereka yang mempunyai tahap akademik yang tinggi dan adalah pelaburan berterusan untuk masa depan negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah bahawa Negara bukan sahaja memerlukan rakyat yang berpendidikan tetapi juga yang memiliki kepimpinan dan etika yang tinggi. Itu adalah objektif Kerajaan dalam menghasilkan sumber tenaga manusia untuk Negara.

Baginda seterusnya bertitah bahawa walaupun sering dinasihati atau diberikan dorongan, namun masih terdapat beberapa isu di kalangan pelajar. Isu-isu tersebut termasuk isu kegagalan dan mengulang pengajian, yang berisiko boleh membawa orang cenderung untuk menukar kursus yang diambil. Ini belum termasuk isu pelajar yang memegang biasiswa Kerajaan memohon untuk dilepaskan dari ikatjanji berkhidmat dengan kerajaan.

Semua itu berpotensi untuk menjejaskan perancangan peruntukan Kerajaan. Dalam hal ini, Baginda telah mempersoalkan komitmen dan kesetiaan para pelajar terhadap Kerajaan dan Negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah melahirkan kegembiraan dalam mengetahui bahawa pada tahun ini, Kementerian Pendidikan telah mengambil inisiatif bagi memastikan calon-calon adalah benar-benar layak dianugerahkan biasiswa iaitu melalui kaedah ‘Multiple Mini-Interview’ (MMI) yang mana pelajar-pelajar dinilai bukan sahaja dari aspek pencapaian akademik bahkan juga difokuskan kepada sifat kesetiaan dan komitmen kepada Negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah menambah bahawa dalam pada yang sama, Kementerian Pendidikan juga perlu memantau jenis-jenis kursus yang diambil. Terdapat setengah pelajar yang sengaja mencari kursus yang tidak ditawarkan di universiti-universiti tempatan bagi mudah mendapatkan biasiswa keluar negeri. Perkara ini juga perlu dipantau dan dinilai bagi mengelakkan ketidaksepadanan atau mismatch dengan keperluan Negara.

Mismatch tersebut adalah salah satu penyumbang kepada pengangguran yang telah menjadi isu global.

Baginda menambah bahawa di Negara Brunei Darussalam, 18 ribu belia dijangka sebagai pencari kerja, termasuk yang berpendidikan tinggi yang jumlah semakin meningkat iaitu dari 470 orang pada tahun 2001 kepada 968 orang pada tahun 2011.

Bagi mengawal tren yang tidak wajar tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan penubuhan Badan Khas Yang Bertanggungjawap Menyediakan Dasar Perancangan Sumber Tenaga Manusia. Badan Khas tersebut akan menjadi platform bagi kementerian-kementerian dan agensi-agensi swasta untuk memberikan anggaran keperluan tenaga kerja (workforce demand) masing-masing.

Pada masa yang sama, Baginda ingin melihat satu polisi dermasiswa baru dibentuk bagi memastikan calon-calon penerima biasiswa Kerajaan adalah benar-benar layak.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah menasihatkan pelajar-pelajar supaya tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan dalam mencari pekerjaan.

Mereka perlu lebih bersedia menanam sifat keusahawanan di dalam diri masing-masing.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar terpilih di bawah Skim Biasiswa The Chancellor’s Scholar Universiti Brunei Darussalam Sesi 2013/2014 dalam pengajian di peringkat PhD.

Baginda berharap para penerima anugerah tersebut akan dapat membuktikan kecemerlangan mereka. Baginda juga berharap supaya pelajar-pelajar tidak akan melupakan tujuan mereka untuk belajar dan bukan untuk yang lain-lain.

Jangan cepat-cepat hilang punca jika berhadapan dengan keadaan-keadaan tertentu, misalnya anasir-anasir jahat yang ingin mempengaruhi pelajar-pelajar, sama ada ia berupa fahaman-fahaman keugamaan atau ideologi-ideologi yang tidak diingini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menambah bahawa baru-baru ini telah mendengar tentang cerita penuntut yang menukar haluannya kepada meminati ideologi tertentu sehingga membawanya meninggalkan keluarga dan tanah air dalam tempoh berpuluh-puluh tahun lamanya.

Baginda berdoa semoga perkara seumpama itu diselisihkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala daripada berlaku kepada pelajar-pelajar Brunei. Apa yang penting, para pelajar berpegang teguh dengan ajaran ugama Islam tulen, dan turut mengikuti perkembangan di tanah air, terutama sekali mengenai langkah melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syar’iah. Walaupun berada di luar negeri, namun perlu turut tahu, sekurang-kurangnya mengetahui pengertian pengertian yang terkandung di dalamnya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri titah dengan berdoa semoga semua pelajar sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wata’ala serta berjaya mencapai cita-cita.

Selepas mengurniakan titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Biasiswa ‘The Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam kepada dua orang pelajar PhD iaitu Awang Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi yang mengikuti pengajian Doktor Falsafah di bidang Kimia Inorganik di University of Oxford; dan Dayang Siti Nornadhirah binti Haji Amdani yang akan mengikuti Doktor Falsafah di bidang Obstetrik dan Gynaekologi di University of Oxford.

Di majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima pesambah dari Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Ireland Utara sementara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima pesembah daripada Naib Yang Di-pertua Persatuan Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Ireland Utara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga berkenan berangkat bercemar Duli bersama lebih kurang 2,600 rakyat dan penduduk Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland, terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas, berkursus dan dalam percutian bersama keluarga.

Sebelum Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland diadakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan berangkat ke Majlis Santap Minum Tengahari bersama dengan pegawai-pegawai di Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di London dan penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam yang telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian masing-masing. Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai dengan para Pegawai Kanan Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di London serta ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland. Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri kemudiaannya berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai dengan para Penerima anugerah Biasiswa “The Chancellor’s Scholar” Universiti Brunei Darussalam Sesi 2013/2014.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: