Posting mengikut label
ABDB
(18)
ADUAN
(18)
AGAMA
(127)
ALAM SEKITAR
(22)
ANTARABANGSA
(35)
ASEAN
(110)
BELIA
(37)
DEMOKRASI
(95)
EKONOMI
(200)
HAK ASASI
(89)
HALAL
(7)
HUBUNGAN LUAR
(61)
ISU LIMBANG
(4)
ISU PALESTIN
(12)
ISU ROHINGYA
(37)
ISU SELATAN THAI
(1)
ISU SPRATLY
(165)
ISU SYRIA
(1)
ISU UYGHUR
(4)
JENAYAH
(35)
KANAK-KANAK
(10)
KEBAJIKAN
(19)
KEKAYAAN
(9)
KEMALANGAN
(11)
KEMANUSIAAN
(45)
KEMISKINAN
(62)
KEPENTINGAN AWAM
(78)
KERAJAAN
(55)
KESELAMATAN AIR
(6)
KESELAMATAN MAKANAN
(70)
KESELAMATAN NASIONAL
(72)
KESELAMATAN SERANTAU
(265)
KESELAMATAN TENAGA
(10)
KESIHATAN
(45)
KETIDAKCEKAPAN
(2)
KEWANGAN
(34)
KHUTBAH
(3)
KOMUNIKASI
(4)
KONGRES
(26)
LAMAN ASPIRASI
(20)
MANIFESTO NDP
(6)
MENYUSUR DESA
(1)
MIB
(15)
MILF
(54)
MINYAK
(83)
MMN
(85)
NDP
(157)
NEGARA
(5)
NEGARA ZIKIR
(4)
PEKERJAAN
(79)
PELANCONGAN
(8)
PEMBANGUNAN
(16)
PEMBRUNEIAN
(17)
PENDAPATAN
(6)
PENDIDIKAN
(46)
PENGANGKUTAN
(5)
PERIKANAN
(9)
PERTANIAN
(25)
PERUMAHAN
(29)
PERUNDANGAN
(45)
PKS
(44)
POLITIK
(152)
RAJA
(102)
SEJARAH
(76)
SOSIAL
(61)
SWASTA
(13)
SYARIAH
(68)
TAKZIAH
(14)
TARBIAH
(22)
TAZKIRAH
(37)
TEKNOLOGI
(10)
TITAH
(120)
TPPA
(43)
UCAPAN
(16)
USUL
(10)
WANITA
(24)
WAWASAN 2035
(12)
Wednesday, October 17, 2012
KDYMM: Siap-siaga melalui pendidikan
BANDARAYA KUWAIT, Selasa, 16 Oktober. - Kebawah DuliYang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam percaya cara yang paling berkesan untuk mempersiapsiagakan penduduknya melalui pendidikan terutama dalam kalangan belia yang akan mewarisi potensi Asia dalam menghadapi dan menangani cabaran dunia moden masa kini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian semasa berangkat menghadiri Sesi Tertutup Pertama Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) yang berlangsung di Istana Bayan.
Pada peringkat asas titah Kebawah DYMM, ianya memerlukan penelitian yang berterusan ke atas kurikulum pendidikan yang menjurus kepada keperluan dan permintaan masa hadapan, sementara pada peringkat yang lebih meluas, ia melibatkan peningkatan peluang-peluang kepada anak-anak muda untuk berinteraksi dengan rakan kongsi di seluruh Asia.
Seterusnya baginda bertitah bahawa di sinilah keunikan dan pentingnya peranan ACD yang menawarkan peluang-peluang terbaik untuk menyelaras pemikiran dan pendapat-pendapat yang diilhamkan sepanjang dekad yang lalu.
Baginda seterusnya bertitah menyatakan bahawa dialog ini membolehkan para pemimpin untuk berkongsi pandangan mengenai kerumitan ekonomi dan kewangan global; keutamaan dalam perkembangan sosial; dan juga aspek-aspek cabaran keselamatan semasa, yang mana dengannya, pendapatpendapat boleh dikongsikan dan persefahaman bersama boleh dibentuk serta pengalaman masing-masing boleh dipelajari.
Berlandaskan semangat tersebut, titah baginda dengan menyatakan bahawa para pemimpin mengalualukan usaha untuk memperkukuhkan dialog di bawah Pengerusi yang baru iaitu Republik Tajikistan dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Thailand di atas kerja keras yang berterusan selaku Penyelaras ACD.
Baginda juga bertitah mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kuwait di atas sambutan baik yang dihulurkan dan seterusnya baginda mengalu-alukan Afghanistan selaku Ahli ACD yang terbaharu.
Terdahulu sebelum itu baginda bertitah mengimbas kembali cadangan mantan Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Thaksin Shinawatra sepuluh tahun lalu, yang mana cadangan tersebut telah mencetus pelbagai imaginasi para pemimpin yang membawa kepada berlangsungnya Mesyuarat Pertama ACD.
Ketika itu, titah baginda, adalah suatu masa yang sangat menarik yang disebut sebagai Abad Asia atau Asian Century.
Baginda bertitah, ianya dikaitkan dengan kekayaan sejarah dan kekukuhan empayar purba yang memiliki banyak sumber manusia mahupun material, di mana rantau ini kian berkembang dengan kukuhnya.
Mereka juga menaruh harapan tinggi terhadap potensi yang besar yang terdapat di dalamnya.
Baginda menyatakan bahawa dalam masa yang sama para pemimpin juga mengambil maklum akan realiti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh penduduk Asia di era moden yang terbit dari krisis ekonomi, keselamatan makanan dan penyakit pandemik.
Dengan yang demikian, mereka mengenal pasti satu jurang di antara potensi dan realiti.
Walaupun para pemimpin berharap jurang tersebut dapat dirapatkan sejak sepuluh tahun yang lampau, Kebawah DYMM menyatakan bahawa jurang tersebut telah bertambah besar dalam berbagai bentuk.
Norma sosial terhadap toleransi dan sifat hormat-menghormati antara negara sering sahaja diuji dengan hebatnya.
Nilai budaya yang mencorak pelbagai masyarakat juga berhadapan dengan berbagai risiko. Sistem Kewangan Antarabangsa telah bertambah kompleks sehingga para pakar juga berbeda pendapat mengenai cara untuk menanganinya.
Negara-negara yang berjiran kadang-kadang merasa kurang selasa antara satu dengan yang lain, yang mana keselamatan, seperti yang difahami oleh masyarakat umum, menjadi rapuh.
Dalam erti kata yang lain, titah baginda, cabaran yang kita hadapi ialah kita masih menghadapi jurang di antara aspirasi yang kita hendak capai dan realiti yang sebenarnya.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah bahawa sepertimana yang telah dinyatakan sepuluh tahun yang lalu, jurang tersebut tidak boleh semata-mata ditangani oleh mekanisma kerajaan dan kerjasama formal sahaja. Sebahagian besarnya perlu dicapai melalui dialog yang membina.
Ini kerana dialog membawa kepada kesefahaman dan kesefahaman tersebut pula menjurus kepada rasa saling hormat-menghormati terhadap objektif bersama (common purpose).
Mengiringi keberangkatan baginda ke Sesi Tertutup Pertama Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) ialah Menteri Kewangan Kedua di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.
Negara Kuwait menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ACD Pertama dengan dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara, Ketua-Ketua Kerajaan serta Ketua-Ketua Delegasi dari 32 buah negara ahli.
Negara-negara Ahli ACD terdiri daripada Bahrain, Bangladesh, Negara Brunei Darussalam, Bhutan, Kemboja, Republik Rakyat China, India, Republik Indonesia, Iran, Jepun, Kazakhstan, Repubik Korea, Kuwait, Kyrgyztan, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Pakistan, Republik Filipina, Oman, Qatar, Russia, Arab Saudi, Republik Singapura, Sri Lanka, Tajikistan, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan, Viet Nam dan Afghanistan sebagai negara anggota ahli yang baru.
Antara lain objektif ACD adalah untuk menyatukan kekuatan Asia dan mengukuhkan daya saing Asia dengan memaksimakan kepelbagaian dan sumber yang kaya di Asia.
Selain itu, Sidang Kemuncak tersebut juga berhasrat untuk membincangkan cabaran-cabaran Ahli-ahli ACD pada peringkat serantau dan global seperti ketidaktentuan ekonomi semasa; sekuriti makanan dan tenaga; perubahan iklim dan bencana alam; serta berusaha secara kolektif di dalam melaksanakan tindak balas kepada cabaran-cabaran yang dihadapi.
Dialog kerjasama itu merupakan satu inisiatif dari Thailand, yang mana negara tersebut menjadi hos bagi Mesyuarat ACD Peringkat Menteri Kali Pertama dan Kedua pada tahun 2002 dan 2003 yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan menuju ke arah sebuah masyarakat Asia.
Sebanyak 20 bidang kerjasama telah dikenal pasti untuk diambil tindakan oleh penggerak utama dan penggerak utama bersama yang meliputi bidang-bidang keselamatan tenaga, mengatasi kemiskinan, pertanian, hubungan pengangkutan, bio-teknologi, e-perdagangan, dana infrastruktur, e-pendidikan, institut piawaian Asia, kerjasama Peniaga Kecil dan Sederhana, Pembangunan IT, sains dan teknologi, pelancongan, kumpulan kerja dalam kerjasama kewangan, pembangunan sumber tenaga manusia, pendidikan alam sekitar, pengukuhan infrastruktur perundangan, keselamatan jalan raya, bencana alam dan kebudayaan.
(Laporan : Haji Dayang Haji Kassim, Bolhassan Haji Abu Bakar dari Bandaraya Kuwait)
Dipetik dari - Pelita Brunei
Labels:
PENDIDIKAN,
TITAH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment