Posting mengikut label

Tuesday, October 23, 2012

Menjelang kemuncak haji

 
 
MEKAH - Bakal-bakal jemaah haji kini berkumpul di kota suci Mekah untuk menunaikan Rukun Islam Kelima itu, dalam apa yang dianggap sebagai perhimpunan ugama terbesar dunia dan pihak kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa kekacauan yang berlaku di rantau Arab sama sekali tidak menjejaskan ibadah haji tahun ini.
 
Bergerak dalam berkumpulan, para bakal jemaah, kebanyakannya diketuai oleh mutawif yang mempunyai lambang bendera negara pada ihram mereka, berduyun-duyun ke Mekah untuk mengerjakan umrah menjelang kemuncak ibadah haji yang bermula Rabu ini di mana lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, termasuk 400 bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam akan menyertainya.
 
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, lebih 1.6 juta jemaah luar negeri sudah berada di Mekah pada masa ini dan jumlah tersebut akan bertambah pada Rabu ini. Kira-kira 750,000 jemaah Arab Saudi sendiri dijangka turut mengerjakan ibadah haji tahun ini.
 
Khamis merupakan hari paling penting apabila semua jemaah akan berhimpun di Padang Arafah untuk berwukuf dan diakhiri dengan sambutan Hari Raya Korban pada keesokan harinya (Jumaat).
 
Berikut antara fakta menarik mengenai haji tahun ini:
  • Jemaah paling ramai adalah dari Indonesia iaitu 200,000 orang.
  • Projek pembangunan bernilai lebih 1.1 bilion riyal telah dilaksanakan di tiga bandar suci iaitu Mina, Muzdalifah dan Padang Arafah.
  • Arab Saudi mengerahkan 25,700 anggota pertahanan awam, 6,600 kenderaan dan 18 helikopter untuk berkawal.
  • Kira-kira 20,000 petugas kesihatan, 320 daripadanya doktor pakar ditugaskan bersama 80 buah ambulan besar dan 95 ambulan kecil untuk mengangkut pesakit ke pusat-pusat rawatan
  • 300 tan air Zam-Zam akan dibekalkan setiap hari.
  • Lebih 6 juta buku, filem, brosur dan pita rakaman akan diserahkan kepada jemaah dari Arab Saudi manakala 12 juta naskhah Al-Quran akan diberikan kepada jemaah luar negara.
  • Pusat-pusat media menggunakan lebih 32 bahasa turut membantu menyediakan maklumat dan panduan untuk jemaah.
  • Masjidil Haram mempunyai keluasan 368,000 meter persegi dan mampu menampung lebih 1.5 juta jemaah.
  • Kapasiti tingkat bawahnya telah ditingkatkan tahun ini untuk menampung tambahan 300,000 jemaah dan kerja-kerja sedang dilaksanakan untuk memperbesarkannya.
 
Dipetik dari - Media Permata

No comments: