Posting mengikut label

Saturday, October 13, 2012

Titah KDYMM sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-90 Penubuhan Sekolah Menengah Chung Hwa



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-90 Penubuhan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan pada 25 Zulkaedah 1433 bersamaan 11 Oktober 2012.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Aalaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

TERLEBIH dahulu Beta merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan bersempena dengan Ulang Tahun Ke-90 penubuhannya. Sekolah ini tidak syak lagi adalah merupakan antara sekolah tertua yang masih kekal menyumbangkan khidmatnya kepada masyarakat.

Dalam lingkungan tempoh tersebut, sekolah ini turut memperolehi kecemerlangannya melalui pencapaian akademik dan juga anugerah yang disandang oleh beberapa orang pelajarnya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beta difahamkan, sekolah ini bukan sahaja membukakan pintunya kepada pelajar-pelajar berbangsa Tiong Hua, tetapi juga turut menerima para pelajar dari pelbagai bangsa, termasuk pelajar-pelajar Melayu.

Pada hemat Beta, institusi pendidikan swasta adalah turut memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini. Mereka juga tidak terkecuali dari mempunyai tujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang cekap, mahir dan profesional, di samping dalam masa yang sama, tidak mengabaikan 'faktor nilai' orang-orang Brunei.

Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 atau SPN21 adalah pemangkin ke arah itu.

Terdapat usaha Kerajaan Beta untuk membantu sekolah-sekolah formal swasta di negara ini, termasuk bagi meningkatkan kualiti infrastruktur dan premis sekolahsekolah swasta, melalui bantuan mendapatkan tanah untuk membangun bangunan sendiri.

Inisiatif juga sedang diambil untuk meningkatkan kapasiti dan kompetensi guru-guru sekolah swasta dengan meninggikan tahap pengetahuan mereka melalui kursus-kursus yang diselenggarakan oleh Kementerian Pendidikan. Inisiatif ini selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2012 - 2017.

Selain itu, guru-guru sekolah formal swasta juga sama-sama diberi peluang untuk mengikuti program-program perkembangan profesional, bagi membantu mereka meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Program-program perkembangan profesional ini adalah selaras dengan keperluan pelaksanaan kurikulum kebangsaan dan Sistem Pendidikan Negara (SPN).

Terbukti di sini, Kerajaan Beta tidak pernah bersikap lepas pandang terhadap pendidikan, sama ada ia di bawah tadbir kerajaan mahu pun swasta. Kedua-duanya itu tidak pernah diabaikan untuk mendapat perhatian dan layanan sewajarnya.

Di pihak rakyat yang menikmati kemudahan ini, sepatutnya mereka itu, tidaklah akan berbelah bahagi lagi terhadap kerajaan.

Mereka sepatutnya bersyukur atau berterima kasih kerana mempunyai kerajaan yang mampu untuk memenuhi hajat, khasnya hajat di bidang pendidikan.

Mereka, tanpa mengira suku atau kaum apapun, selama bernama atau berstatus rakyat, sewajarnya, wajiblah bagi mereka bersikap telus dan setia kepada negara.

Jika mereka itu pelajar, nawaitunya ialah belajar untuk Brunei. Sementara jika sudah lulus pula, nawaitunya juga mestilah tetap kekal untuk Brunei juga, barulah mereka yang macam ini, dapat kita nobatkan sebagai patriot sejati, dan adapun patriot sejati itu menurut keyakinan kita, tidak sekali-kali akan bertindak serong membawa sijil-sijil atau ijazah-ijazah mereka berhijrah ke tempat lain, untuk berkhidmat di tempat lain itu.

Beta ingin mengingatkan, bahawa untuk menjadi lebih terhormat dan mulia, setiap rakyat perlulah jadi patriot, walaupun ini, sedikit mungkin menjejaskan 'kantong' mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: