Posting mengikut label

Monday, October 8, 2012

Titah KDYMM sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-7 Tahun 2012



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-7 Tahun 2012 pada hari Sabtu, 20 Zulkaedah 1433 bersamaan 6 Oktober 2012 bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi rabbil’alameen, wabihee nasta’eenu ‘alaa umuriddunyaa waddeen, wassalaatu wassalaamu ‘alaa asyrafil mursaleen, Sayyidina Muhammadin, wa’alaa aalihee wasahbihee ajma’een, waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri perhimpunan sambutan Hari Belia Kebangsaan pada pagi ini. Kepada para belia, beta rnengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan 2012.

Selaku warga dunia, Negara Brunei Darussalam adalah tidak terkecuali dari berhadapan dengan cabaran-cabaran yang dicetuskan oleh globalisasi. Ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat dan canggih menyediakan ruang amat mudah untuk menyalurkan pelbagai agenda globalisasi itu, yang setengahnya membawa implikasi positif ataupun sebaliknya, terhadap aneka aspek kehidupan.

Di antara aspek paling mudah untuk dimasuki ialah sosiobudaya sesebuah negara dan bangsa. Ia akan melibatkan, terutamanya generasi belia dan malah ummah seluruhnya.

Inilah cabaran yang sangat perlu disedari. Kelalaian kita menghadapinya akan membawa padah dan bencana.

Para belialah benteng yang paling diharapkan. Kerana itu amat perlu bagi mereka untuk memiliki ‘daya tahan diri’ yang tinggi bagi menangkis segala gejala buruk dan jahat yang dicetuskan oleh globalisasi.

Pada masa ini, dunia kita sedang bergelora akibat tusukan tsunami yang bernama 'Innocence of Muslims' sebuah filem menghina Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, yang juga bererti menghina Ugama Islam sendiri.

Kita umat Islam adalah dituntut untuk menolaknya dan malah berhak untuk menyekat saluran laman sesawang, di mana ia berkaitan. Kerana sesungguhnya menghina Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam itu adalah suatu perbuatan yang tidak bertamadun lagi tidak bermoral, yang tidak dapat dimaafkan sama sekali.

Oleh itu pendirian kita adalah tegas membantahnya dan malah tidak boleh bertolak ansur untuk menerimanya sebagai kebebasan bersuara atau freedom of speech, kerana tiada siapa pun yang berhak untuk menghina sesuatu pihak, apatah lagi menghina seorang Nabi.

Pendirian kita ini juga adalah selaras dengan pendirian kebanyakan pendirian negara di dunia, khususnya negara-negara anggota OIC.

Beta suka mengingatkan, bahawa perbuatan menghina Nabi atau menghina ugama dalam apa pun bentuknya adalah tidak akan ada titik noktahnya selama mana ada matahari dan bulan. Tinggal sahaja, kita amat perlu waspada dan bijaksana menghadapinya. Kita umat Islam tidak usahlah hilang punca, tetapi yang penting, suburkan ilmu ugama di dada dan mintalah kepada Allah supaya Dia menetapkan iman, agar kita tidak terpedaya dengan agenda-agenda jahat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungiawab.

Menyebut mengenai ilmu ugama, beta baru-baru ini telah mengisytiharkan Perintah atau Undang-Undang Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013. Sehubungan ini, pihak yang berkenaan, eloklah mengambil kira, mana-mana kanak-kanak yang memang sudah sedia belajar ugama termasuk Al-Qur'an, di sekolah-sekolah seperti Sekolah Al-falaah dan sekolah Arab atau yang sebanding dengannya supaya ditimbangkan sama ada mereka itu boleh dikecualikan dari perintah ini, dalam makna tidak perlu lagi dibebankan dengan pelajar di Sekolah Ugama, seperti kanak-kanak lain yang bukan penuntut Sekolah Al-Falaah atau Sekolah Arab atau yang sebanding dengannya. Ini adalah munasabah dan praktikal, kerana pelajaran yang dipelajari di Sekolah Ugama itu, itulah juga yang dipelajari di Sekolah Al-Falaah dan Sekolah Arab.

Beta penuh yakin, langkah mewajibkan pendidikan ugama adalah langkah yang sungguh-sungguh tepat. Di samping sebagai keperluan asas, ia juga amat penting bagi survival masa depan kita. Cuba perhatikan sahaja kepada senario orang-orang menghina Nabi dan ugama yang tidak pernah berhenti itu, andainya kaum belia atau generasi kita lemah ugama atau miskin ilmu ugama, bagaimanakah mereka akan dapat menghadapinya kalau dada kosong atau ketandusan ilmu ugama?

Beta semakin terpanggil untuk menyebut perkara ini, setelah melihat tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini berbunyi: ‘Generasi Belia Syumul’.

Erti syumul ialah sempurna atau unggul.

Dalam makna di sini, kita adalah menginginkan belia-belia yang sempurna lagi unggul. Sesungguhnya keinginan ini memanglah wajar dan luhur. Tetapi bagaimanakah untuk kita mencapainya?

Jawabnya, bukanlah setakat dengan kata-kata, atau setakat azarn dan semboyan untuk jadi syumul atau sempurna itu. Ini semua belum memadai, tetapi lebih penting ialah ‘pengisian’ terhadap belia itu. Mereka perlu diisi dengan sesuatu, sehingga membolehkan mereka benar-benar menjadi sempurna atau syumul.

Dengan bahan apakah mereka itu mesti diisi? Jawabnya dengan ‘ilmu’. Kerana tidak ada kuasa lebih hebat dari kuasa ilmu. Ilmulah yang menentukan keupayaan dan status seseorang, sama ada di sisi Allah mahupun di sisi manusia sendiri.

Dalam makna, usaha kita untuk melahirkan Generasi Belia Syumul, mestilah selari dengan usaha mengisi belia-belia tersebut dengan ilmu pengetahuan, khasnya ilmu ugama.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: