Posting mengikut label

Thursday, October 25, 2012

Ulama perlu berani tegakkan kebenaran


SHAH ALAM - Ulama perlu berani menegakkan kebenaran dalam apa jua keadaan tanpa mengira tempat dan masa.

Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil berkata, ulama bertanggungjawab menegakkan kebenaran dan keadilan serta tidak berkompromi atau bersekongkol.

Menurutnya, ulama harus berani dan membebaskan diri mereka untuk memberikan pendapat demi kebaikan semua.

"Ulama sekarang lupa tugas mereka sebagai penasihat dan pendidik. Ciri-ciri ulama ialah takut kepada ALLAH, bukannya takut kepada bos," katanya.

Siddiq yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, ulama tradisi Islam tidak merasakan mereka sebagai ulama tetapi diiktiraf berdasarkan ilmu, kewibawaan, integriti moral dan penampilan dalam masyarakat.

"Di samping mendidik, perilaku mereka juga dicontohi. Ulama juga harus menguasai nas(tidak berubah) dan realiti (berubah).

Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, ulama boleh mengundurkan diri sekiranya terdapat perubahan di mana jika ulama ada sekalipun mereka masih tidak mampu untuk membuat sebarang perubahan.

"Kita mementingkan perubahan-perubahan yang berlaku dalam realiti. Ulama boleh mengundur diri kerana maruah, jika diteruskan pun akan masih diperkudakan, lebih baik berundur," katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku dalam politik, pendapat tidak penting, sebaliknya pendapatan diutamakan.

"Sekarang, politik wang kuat. Saya khuatir, sekiranya ia tidak dikawal, pemimpin tidak akan ditentukan oleh undi tetapi kapitalis (pemberi dana) yang mengangkat mereka," katanya.

Beliau berkata, ramai pemimpin lupa erti kepimpinan tetapi 'sedap' menjadi orang besar.

Dipetik dari - Sinar Harian, Rabu 24 Oktober 2012 / 8 Zulhijjah 1433

No comments: