Posting mengikut label

Wednesday, October 24, 2012

KDYMM: Terokai bidang kajian, penyelidikan ilmiah



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan sempena Majlis Konvokesyen Kedua KUPU SB Negara Brunei Darussalam Tahun 1433 Hijriah/2012 Masehi pada hari Selasa, 7 Zulhijjah 1433H bersamaan 23 Oktober 2012M, di Dewan Plenary Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim Alhamdulillahi Rabbil ' Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu, 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bersama-sama di Majlis Konvokesyen Kedua Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ini. Beta terlebih dahulu merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para graduan yang menerima ijazah dan diploma mereka pada hari ini.

Beta berharap, para graduan akan terus meningkatkan ilmu pengetahuan mereka serta berusaha lebih gigih lagi untuk menjadi pakar pengajar di bidang masing- masing dan dalam masa yang sama juga, mempunyai komitmen tinggi untuk menjadi guru agama yang berwibawa.

Ini secara tidak langsung, boleh meningkatkan kualiti sekolah-sekolah agama di negara ini.

Baru-baru ini, beta telah bertitah mengenai dengan Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2013. Perintah ini mungkin saja tidak akan menepati sasarannya, jika kita tidak menyediakan guru-guru agama yang berkepakaran tinggi untuk meyokong pelaksanaan perintah tersebut. Kerana itu, KUPU SB perlulah melihat perkembangan ini sebagai satu amanah dengan menyediakan guru-guru yang diperlukan itu.

Menyebut tentang guru agama ini, tugas mereka itu bukanlah setakat menyelesaikan rutin harian semata-mata, tetapi turut menjadi lebih penting, ialah dapat menyuntik kesedaran murid-murid mereka, sehingga menjadi benar-benar manusia yang bertakwa dan beramal soleh. Inilah kewajipan utama KUPU SB itu.

Beta difahamkan KUPU SB telah menawarkan programprogram akademiknya sebagaimana juga pusat-pusat pengajian tinggi lain menawarkannya, seperti Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, Diploma Lepas Ijazah dan Diploma Tertinggi. Malah Beta juga difahamkan, KUPU SB juga akan menawarkan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama pada awal tahun depan.

Pada asasnya, beta juga turut melihat, rancangan ini memanglah bagus. Tetapi sedikit peringatan, janganlah rancangan saja yang bagus, bahkan natijahnya juga mestilah sama-sama bagus. Maksud beta, jika ada kelulusan, mesti ada pula peningkatan dan semakin tinggi kelulusan itu, sepatutnya, semakin tinggi juga tahap kemampuan, barulah berbaloi kelulusan tersebut.

Beta turut gembira, KUPU SB sejak penubuhannya hingga sekarang, sering dilihat menganjurkan persidangan dan seminar peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, di samping aktif menjalin hubungan persefahaman dengan pusat-pusat pengajian tinggi luar negara, ini juga adalah baik, asalkan saja tidak mengabaikan prinsip berhati-hati dari dimasuki oleh pengaruh-pengaruh yang tidak sebulu dengan kita.

Peringatan ini bukan untuk KUPU SB sahaja, tetapi juga untuk semua pihak yang ada kaitan dengan perkara-perkara akademik dan ilmu. Pada masa ini terdapat semacam kecenderungan memanggil penceramahpenceramah daripada luar. Ini juga pada asanya adalah baik, tetapi ia akan menjadi tidak wajar apabila kita mengambil ringan tentang topik-topik ceramah dan siapa penceramahnya?

Kita perlu melihat dulu, apakah relevannya kepada Brunei satu-satu topik ceramah itu dan penerimaannya kelak oleh orang-orang Brunei? Jika topik dan penerimaan itu mungkin merugikan Brunei atau bertentangan dengan kepentingan Brunei, maka tidakkah di sini kita lebih baik jangan melibatkan diri dengannya? Kerana banyak lagi isu atau perkara boleh dijadikan pilihan yang sesuai.

Langkah ini diambil bukanlah untuk menyekat perkembangan akademik, tetapi ia dianggap munasabah dan sihat untuk menyangga perkara-perkara yang tidak diingini yang tidak diduga.

Turut menjadi penting, malah utama kepada KUPU SB juga, ialah bidang kajian dan penyelidikan ilmiah, kerana belumlah dianggap berjaya sesebuah pusat pengajian tinggi itu kalau ia belum atau tidak menerokai bidang ini.

Untuk KUPU SB, bidang pendidikan saja, khasnya pendidikan agama, adalah terlalu banyak isu boleh dikaji. Misalnya mengapakan pendidikan agama itu dianggap penting dan malah wajib untuk dipelajari? Dari segi apakah ia penting itu? Dan kalau betul ia penting, mengapakah Brunei sampai tercicir 50 tahun tidak mewajibkannya? Dan apa kesannya dari 50 tahun ia tidak diwajibkan itu?

Ini semua perlu kepada kajian, supaya kita tahu kelemahan, kekuatan, kekurangan dan kelebihan kita dan kemudian merumusnya sebagai bahan ilmiah yang lengkap dengan saranan-saranan, cara dan panduan, bagaimana ia hendak diperbaiki?

Ini baru satu contoh dari sekian banyak isu. Cuba-cubalah fikirkan dan teroka, dalam bentuk kajian ilmiah.

Untuk akhirnya, beta tidak lupa mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak berkenaan di KUPU SB ini, khususnya kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, pegawai-pegawai utama, staf akademik, pegawai pentadbir dan seluruh kakitangan Kolej Universiti, di atas segala sumbangan dan khidmat mereka yang dicurahkah. Semoa Allah jua yang akan membalas mereka dengan rahmat-Nya Amin.

Sekian. Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: