Posting mengikut label

Sunday, October 7, 2012

Yang Di-Pertua MMN ketua delegasi negara


Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa
mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat ASEP ke-7 yang diadakan di Demokratik Rakyat Laos
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Rakan Kongsi Sama Parlimen Asia-Eropah (ASEP) ke-7 yang diadakan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos pada 3 dan 4 September lalu.

Pegawai Perhubungan Awam, Pejabat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Siti Bismi Nuruliman Emzah dalam satu kenyataan di sini berkata, mesyuarat yang bertemakan "Rakan Kongsi Sama Parlimen Asia - Eropah Ke Arah Pembangunan Mapan" itu memberi fokus kepada soal pembangunan mapan yang berkaitan dengan isu-isu sosial dan ekonomi.

Ia dipengerusikan oleh Presiden Parlimen Republik Demokratik Rakyat Laos Puan Yang Terutama Pany Yathotou, selaku Presiden ASEP Kali Ketujuh.

Delegasi negara turut disertai oleh Jurutulis 1 (Pertama) MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar; Jurutulis II (Kedua) Dato Paduka Haji Abdul Salam bin Abdul Momin; Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pegawai-pegawai dari Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Mesyuarat Kongsi Sama Parlimen Asia-Eropah (ASEP) ke-7 itu telah dibuka rasmi oleh Perdana Menteri Laos, Thongsing Thammavong.

Sebanyak 27 buah negara termasuk beberapa pertubuhan antarabangsa seperti IMF, (International Monetary Fund), UNDP (United Nations Development Programme) dan UNISDR (United Nations International Strategy for Disaster Reduction) telah menghadirinya.

Isu-isu keselamatan makanan, hutang awam dan pengurusan bencana adalah agenda utama pada mesyuarat berkenaan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin Awang Haji Isa bersama dengan ketua-ketua delegasi lain yang menghadiri mesyuarat tersebut telah mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Laos Tuan Yang Terutama Choummaly Sayasone dan Perdana Menteri Thongsing Thammavong.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: