Posting mengikut label

Wednesday, October 10, 2012

Sasaran 1,600 orang


Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Mohammad Yasmin
menyampaikan ucapan beliau di majlis berkenaan
Oleh Sim Y. H. dan Ak Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt - Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Dato Seri Setia Kolonel (B) (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar hari ini mengumumkan sasaran baru bagi pengambilan pekerja tempatan dalam industri minyak dan gas tahun depan iaitu seramai 1,600 orang.

Beliau yakin sasaran tersebut boleh dicapai berdasarkan prestasi pada tahun ini sangat menggalakkan di mana sasaran pengambilan seramai 1,000 pekerja tempatan bagi industri itu sudah pun dicapai, yakni dua bulan lebih awal.

Menurut perangkaan terkini, seramai 1,302 orang pekerja tempatan baru telah diambil bekerja dalam industri perkhidmatan minyak dan gas di mana jumlah itu telah melepasi sasaran Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri sepanjang 2012 dalam industri tempatan.

Yang Berhormat Pehin berkata, pencapaian itu bukannya kecil tetapi merupakan satu mercu tanda yang penting di mana masih lagi terdapat 2 bulan setengah sebelum berakhir 2012 dan dipercayai jumlah pekerjaan berkenaan akan menunjukkan perkembangan yang positif.

"Dari jumlah 1,302 pekerja tempatan yang baru yang diambil bekerja, 53 orang adalah lepasan ijazah Sarjana, 111 orang adalah lepasan ijazah pertama, 107 orang adalah lepasan diploma kebangsaan tinggi manakala itu 1031 orang pula adalah mereka yang mempunyai kelulusan PMB, O-levels, A-Levels, OND, sijil teknikal dan lain-lain lagi," jelas beliau semasa berucap di Perasmian Pesta Kerjaya 2012 Sektor Perkhidmatan Minyak dan Gas yang berlangsung di Dewan Pameran 2, BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa beliau yakin bahawa peluang pekerjaan bagi pekerja tempatan di dalam industri minyak dan gas pada 2013 adalah lebih cerah.

Beliau berkata jumlah itu adalah angka yang diberikan kepada Jabatan Tenaga oleh 47 buah dari jumlah 70 buah syarikat minyak dan gas yang menyertai pesta kerjaya pada 2011.

"Saya difahamkan bahawa kita mempunyai sedikit masalah untuk mendapatkan input dari 23 buah syarikat yang lain. Saya menyeru kepada mereka yang berkenaan untuk bekerjasama dengan kami berhubung perkara ini.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Mohammad Yasmin seterusnya berkata bahawa pada masa ini, terdapat sebanyak 270 syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan industri minyak dan gas yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, syarikat-syarikat berkenaan adalah dikehendaki untuk memberikan maklumat yang tertentu kepada jabatannya dalam tempoh yang ditetapkan termasuk jumlah pekerja tempatan yang bekerja dengan syarikat berkenaan.

"Maklumat itu adalah amat penting untuk membolehkan jabatannya memantau perkembangan Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) di Brunei," ujarnya.

Mengulas mengenai pencapaian sasaran jumlah pekerja tempatan itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa mencapai sasaran itu adalah amat penting kerana ia menunjukkan bahawa industri berkenaan masih mampu untuk mengambil lebih banyak pekerja tempatan; pekerja tempatan tidak lagi memilih pekerjaan seperti anggapan ramai; menunjukkan trend positif bagi pekerja tempatan serta juga menunjukkan sokongan yang padu dari semua syarikat dalam industri berkenaan.

Namun begitu, mencapai sasaran adalah satu perkara tetapi yang lebih penting ialah mereka diambil bekerja dalam pekerjaan sebenar, ujar beliau lagi.

"Pekerjaan sebenar bererti kerja sebenar, iaitu satu pekerja yang membolehkan pekerja mampu untuk menyediakan sekurang-kurangnya untuk dirinya sendiri kualiti kehidupan yang munasabah.

"Kami tidak mahu melihat seseorang itu diambil bekerja untuk hanya tiga bulan dan selepas itu mereka akan kembali memasuki pasaran pekerjaan. Oleh sebab itulah saya telah mengambil banyak masa untuk melawat ke syarikat-syarikat untuk melihat sendiri, realiti situasi pekerjaan di setiap syarikat yang saya lawati. Saya berikrar pada diri saya sendiri bahawa saya akan melawat lebih dari 100 buah syarikat di sehingga penghujung tahun ini."

Yang Berhormat Pehin menerangkan bahawa menerusi lawatan berkenaan, beliau dapat melihat sendiri status pekerjaan dan menyediakan peluang bagi pekerja dan majikan untuk memberikan maklumat kepadanya.

Beliau juga menggalakkan pegawai-pegawai kanannya termasuk Setiausaha-setiausaha Tetap untuk melakukan perkara yang sama untuk bertemu dengan pekerja dan majikan dalam industri berkenaan.

"Kita memerlukan maklumat yang sebenar dan merasai apa yang sebenarnya berlaku, supaya kita dapat menimbang dan menyediakan inisiatif-inisiatif pembangunan perniagaan tempatan tambahan, jika dan bila diperlukan.

"Saya tidak mahu melihat angka dan fakta yang cantik yang disediakan dalam brosur-brosur oleh syarikat-syarikat mengenai jumlah pekerja mereka dan perisian tempatan yang lain, di mana realitinya perkara itu adalah jauh dari yang benar."

Mengulas mengenai contoh kejayaan dalam membangunkan sumber tenaga manusia tempatan, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) merupakan contoh baik di mana warga Brunei menunjukkan bahawa mereka mampu untuk menyahut cabaran bekerja di kapal-kapal yang belayar ke luar negara.

Pada masa ini, BGC mempunyai lebih dari 270 orang pegawai dan kru tempatan di mana kesemua kru junior adalah warga tempatan dan baru-baru ini terdapat juga warga tempatan yang mencapai pangkat Ketua Pegawai dan Jurutera Kedua yang merupakan satu langkah untuk mencapai pangkat Kapten dan Ketua Jurutera.

Beliau berharap di masa akan datang, melihat kapal-kapal LNG Brunei dikendalikan dan dikemudikan oleh kru yang kesemuanya terdiri dari warga tempatan.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: