Posting mengikut label

Tuesday, October 2, 2012

NDP sokong pendirian kerajaan dalam isu hina Islam dan Nabi S.A.W



LIMBARUH HIJAU, 2 OKTOBER 2012: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) mengalu-alukan dan menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri berhubung isu penerbitan filem menghina Islam dan Rasullulah SAW iaitu, 'Innocence of Muslims' yaang telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan tersebut pada 26 September 2012 yang lalu untuk menyatakan pendirian negara dalam pergolakkan tersebut.

“Kita mengalu-alukan dan menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri semalam berhubung dengan isu penerbitan filem innocence of Muslims” demikian kata TYT. Timbalan Presiden, Saudara Haji Juned bin Haji Ramli apabila ditanya pendapat beliau mengenai perkara tersebut.

Beliau seterusnya menambah, “sudah saatnya Negara Brunei Darussalam khususnya umat Islam menunjukkan solidariti  bersama umat Islam di seluruh dunia mengenai isu tersebut khususnya dan apa jua isu yang menyentuh sensitiviti  umat Islam amnya.”

Pendirian NDP tegas dalam isu berkenaan iaitu akan tetap menyokong apa jua tindakan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menangani dan menzahirkan bantahan berkenaan. Kita mengutuk keras apa jua kegiatan dan perbuatan yang menyentuh bukan sahaja sensitiviti umat Islam malah semua ugama. Kita tetap akan mempertahankan kesucian  Islam dan Nabi Muhammad SAW serta mengutuk sebarang perbuatan provokatif menghina Nabi dan Islam.

Setiap tahun kita mengadakan ‘perhimpunan aman’ iaitu Sambutan Maulidul Rasul bagi menunjukkan kecintaan dan sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW. Apakah dalam konteks ‘innocence of Muslims’ ini kita tidak boleh mengadakan perhimpunan serupa  bagi menunjukkan sayang dan kecintaan berkenaan walaupun dalam situasi yang berbeza.

Bagi menegaskan pendirian Negara Brunei Darussalam dalam isu ini apakah kemungkinan boleh ianya dijadikan usul khas dalam Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Negara sebagaimana yang telah dilakukan oleh Negara Islam jiran kita melalui Sidang Dewan Rakyatnya  yang telah meluluskan usul mengecam filem anti Islam berkenaan.

Akhirnya NDP menyeru kepada semua ahli yang beragama Islam dan seluruh rakyat muslim di Negara ini supaya memperbanyakkan munajat memohonkan pertolongan Allah dalam kita menghadapi  provokasi berterusan.

Dipetik dari : www.aspirasi-ndp.com

No comments: