Posting mengikut label

Wednesday, October 3, 2012

Pakar luar buat siasatan


Yang Berhormat Pehin Awang Haji Suyoi semasa
mengadakan lawatan ke tapak insiden kelmarin

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept - Kementerian Pembangunan telah melantik sepasukan pakar dari luar negara untuk menjalankan siasatan terhadap insiden pelik yang berlaku di Takungan Air Melabau pada 25 September lalu di mana tangki air paras tinggi berharga lebih $1 juta, yang mampu menampung sehingga 3,000 meter padu air tiba-tiba runtuh semasa ujian sedang dijalankan.

Dan mujurlah tiada sesiapa yang cedera dalam insiden itu.

Menteri Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi Haji Osman yang mengadakan lawatan ke tapak insiden untuk melihat secara lebih dekat akan kerosakan yang berlaku berkata, laporan pakar-pakar tersebut dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.

Menurut Yang Berhormat Pehin, projek tersebut adalah untuk memenuhi permintaan air pada masa akan datang. Pada masa ini ia diharap sudah hampir siap dan berfungsi bagi membekalkan air ke kawasan perumahan.

"Kami pada masa ini sedang menyiasat punca insiden. Ia mungkin berpunca daripada struktur atau asas atau mungkin simpanan yang berat. Kami juga mendapatkan khidmat pakar-pakar dari luar negara untuk menyiasat punca kejadian," jelas Yang Berhormat Pehin kepada media semasa kunjungan lawatan itu.

Juga hadir pada lawatan tersebut adalah Setiausaha Tetap Pembangunan Dato Paduka Haji Suhaimi Haji Gafar dan Timbalan Setiausaha Tetap Pembangunan Eddie Dato Paduka Haji Sunny bersama pegawai-pegawai lain.

Menjawab satu pertanyaan, Yang Berhormat Pehin berkata, pada masa ini tidak berlaku sebarang gangguan bekalan air akibat insiden itu memandangkan projek itu bertujuan untuk memenuhi permintaan air pada masa depan.

"Bagaimanapun apabila projek perumahan kami selesai manakala projek ini belum lagi siap, maka ia sudah pasti mengakibatkan masalah terhadap bekalan air.

Susulan kejadian robohnya projek tangki air itu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan berkata, insiden itu memaksa pihak kementerian mencari strategi lain untuk memastikan bekalan air tidak akan terjejas.

"Kami mahu projek ini diselesaikan secepat yang mungkin walaupun sudah terdapat sedikit penangguhan dalam projek itu."

Satu-satunya orang yang berada di tempat kejadian ketika insiden berlaku adalah penyelia projek tersebut. Menceritakan semula kejadian itu, penyelia tersebut berkata; "Saya sedang menguji tangki air sebelum pentauliahan rasmi. Tiba-tiba saya terdengar bunyi keretakan yang kuat apabila tangki itu diisi dengan air.

"Saya cuba untuk memanggil kontraktor di dalam struktur tersebut tetapi tidak ada isyarat, lalu saya pergi ke luar untuk membuat panggilan. Sebaik sahaja saya sampai di luar, struktur tersebut roboh dan air dari tangki tersebut keluar dengan derasnya. "Saya bernasib baik kerana berada di tempat bertentangan dari laluan air dan tidak mengalami kecederaan dari insiden itu. Saya benar-benar terkejut apabila struktur takungan itu roboh dan saya terselamat," katanya sambil memberitahu bahawa keretanya mengalami kerosakan teruk dalam insiden itu.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: