Posting mengikut label

Tuesday, March 26, 2013

2,500 hidap penyakit buah pinggang kronik


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac - Penghidap penyakit masalah buah pinggang di negara ini dianggarkan seramai 2880 pesakit yang berdaftar di pusat dialisis dan klinik renal. Dari pada jumlah itu, dianggarkan 2,500 orang dikategorikan menghidap penyakit buah pinggang kronik apabila fungsi buah pinggang telah berkurangan.

Jumlah pesakit buah pinggang kronik ini adalah kritikal dan membimbangkan kerana jika tidak dikawal sebahagian pesakit akan mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang atau dikenali End Stage Renal Disease (ERSD), jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Jika kerosakan buah pinggang bertambah kronik dan tidak dapat diubati lagi, cara untuk mengatasinya adalah dengan menjalani Terapi Penggantian Renal (RRT) untuk meneruskan kehidupan, Yang Berhormat Pehin berucap semasa Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2013 yang berlangsung di Pusat Dialisis Rimba, Gadong, hari ini.

Jelas Yang Berhormat Pehin, RRT mempunyai dua kaedah iaitu menerusi rawatan dialisis apabila fungsi buah pinggang yang rosak diganti dengan buah pinggang tiruan yang dikenali sebagai dialyer atau menerusi rawatan pemindahan buah pinggang dengan pesakit akan menerima buah pinggang daripada penderma.

Yang Berhormat Pehin juga mendedahkan bahawa sehingga Februari 2013, terdapat seramai 638 orang yang sedang menjalani RRT di Brunei dan dari jumlah itu, seramai 551 orang atau 86 peratus menjalani rawatan dialisis jenis Hemodialisis dan 52 orang atau 8 peratus sedang menjalani rawatan dialisis jenis, Peritoneal Dialisis.

Manakala selebihnya iaitu 35 orang daripada pesakit berkenaan pula adalah mereka yang telah menjalani pemindahan buat pinggang.

Beliau juga menyatakan bahawa kos rawatan bagi setiap pesakit dialisis adalah sangat tinggi. Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menyediakan kemudahan, peralatan, ubat-ubatan dan barang guna habis bagi rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang.

"Pada 2011-2012, jumlah perbelanjaan yang telah digunakan oleh Jabatan Perkhidmatan Renal sahaja untuk pembelian ubat-ubatan dan barang guna habis bagi pesakit renal adalah hampir $9.5 juta."

"Ini adalah kerasan kos bagi rawatan dialisis bagi seorang pesakit buah pinggang untuk setahun adalah di antara $21,000 hingga $40,000 bergantung kepada jenis RRT yang diguna pakai."

Yang Berhormat Pehin menjelaskan penyebab utama penyakit buah pinggang kronik adalah penyakit diabetes dan penyakit tekanan darah tinggi. Di Brunei, lebih dari 57 peratus kes kegagalan fungsi buah pinggang adalah disebabkan oleh penyakit diabetes dan lebih 21 peratus adalah disebabkan oleh penyakit tekanan darah tinggi.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa setiap tahun, jumlah penghidap penyakit diabetes juga semakin meningkat disebabkan cara hidup yang kurang sihat dan corak pemakanan yang tinggi dengan kandungan gula, garam, lemak dan kolesterol.

"Masalah obesiti atau kegemukan adalah antara punca utama orang mengidap penyakit diabetes di negara ini. Paras gula di dalam darah yang sentiasa tinggi dan juga tekanan darah yang tinggi dan tidak terkawal boleh mengakibatkan buah pinggang cepat rosak dari jangka masa biasa."

"Jadi jika penyakit diabetes dan tekanan darah tidak dikawal dari peringkat awal, maka adalah lebih mudah untuk menerima risiko sehingga mengidap penyakit buah pinggang kronik."

Yang Berhormat Pehin berkata kementeriannya memandang serius masalah peningkatan penyakit buah pinggang kronik dan langkah-langkah telah diambil oleh pihak-pihak berkenaan di bawah kementeriannya seperti Jabatan Perkhidmatan Renal, Pusat Promosi Kesihatan, Unit Kardiologi, Unit Endokrinologi serta Klinik Diabetik bagi meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran mengenai penyakit buah pinggang serta faktor risiko kerosakan buah pinggang yang berpunca dari penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung serta obesiti.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: