Posting mengikut label

Monday, March 11, 2013

Beberapa projek infrastruktur utama akan dilaksana


Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Mac. - Bagi meningkatkan lagi taraf kemudahan dan perhubungan awam di negara ini, kerajaan akan dan sedang melaksanakan beberapa projek infrastruktur yang utama.

Projek-projek yang akan dilaksanakan itu, selain sebagai suntikan bagi mendukung aktiviti ekonomi negara, akan juga menjadi prasarana penting yang akan turut mendukung sektor perniagaan dan perdagangan di negara ini.

Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ketika membentangkan kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2013) Perbekalan 2013/2014 dalam Permesyuratan Pertama Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Kali Kesembilan yang berlangsung di Dewan MMN di sini

Yang Berhormat menambah, antara projek-projek yang dimaksudkan termasuk Projek pembinaan Jambatan Penghubung Daerah Temburong dengan Daerah Brunei dan Muara. Sebagai permulaan, peruntukan sebanyak BND100 juta disediakan bagi kerja-kerja awal yang perlu dilaksanakan; Projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang sedang berjalan dengan Harga Projek sebanyak BND130 juta; Pembinaan Jambatan Penghubung dari Sungai Kebun ke Jalan Residency dengan peruntukan 2013/2014 sebanyak BND15 juta dengan Harga Rancangan sebanyak BND70 juta; Projek bagi membina Jalan Tutong-Seria, Fasa 3 bagi Jalan Penghubung Telisai-Lumut dengan peruntukan BND28.0 juta dengan Harga Rancangan BND66 juta; dan Projek pembinaan Lorong Kedua 'Seria Bypass' dengan peruntukan sebanyak BND10.5 juta dan Harga Rancangan BND31.5 juta.

Inisiatif-inisiatif berkenaan, jelas Yang Berhormat, hanyalah sebahagian dari usaha-usaha utama kerajaan bagi memperkembangkan dan memantapkan sektor swasta khususnya usahawan-usahawan tempatan.

Di samping Yang Berhormat menjelaskan, kemajuan dan perkembangan sektor swasta di negara ini diharap akan dapat membantu membuka peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan, serta meningkatkan keupayaan sektor swasta untuk meneraju aktiviti ekonomi negara dari hanya bergantung kepada perbelanjaan kerajaan.

Menurut Yang Berhormat, dengan peluang-peluang, bantuan-bantuan, kemudahan-kemudahan dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dan disediakan oleh kerajaan, para belia, usahawan-usahawan dan sektor swasta secara keseluruhannya, perlulah merebut peluang-peluang tersebut bagi mengembangkan dan mengukuhkan lagi aktiviti perniagaan dan perusahaan mereka, termasuk meneroka bidang-bidang perniagaan baru yang bersesuaian.

Walau bagaimanapun Yang Berhormat menjelaskan, semua insentif kerajaan itu hanya akan dapat dicapai dengan jayanya, jika ianya mendapat sokongan padu berterusan daripada peniaga-peniaga, pengusaha-pengusaha dan pelabur-pelabur dari sektor swasta sendiri.

Kerajaan katanya, telah pun menyediakan dan menghulurkan pelbagai insentif bagi memudah cara dan mengurangkan kos perniagaan di negara ini.

Yang Berhormat seterusnya menambah, dengan insentif-insentif yang disediakan oleh kerajaan tersebut, para peniaga dan pengusaha hendaklah mempunyai tekad dan visi jauh bagi mengembangmajukan operasi perniagaan masing-masing sehingga menjadi sebuah perniagaan yang kukuh dan mantap. Para peniaga dan pengusaha juga perlu sedia bersaing dan kompetitif dengan syarikat-syarikat besar dan maju, di dalam atau luar negara.

Kejayaan sedemikian katanya, walau bagaimanapun, hanya akan dapat dicapai, jika para perniagaan tersebut mempunyai sumber tenaga yang bermotivasi tinggi dan inovatif.

Oleh itu Yang Berhormat menekankan, adalah perlu para peniaga dan pengusaha di negara ini, sentiasa menitikberatkan dan memedulikan hal ehwal kebajikan pekerja-pekerja mereka, terutamanya anak-anak tempatan, yang telah memberikan sumbangan mereka kepada perkembangan sesebuah perniagaan tersebut.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan itu antara lainnya, dengan menyediakan persekitaran tempat kerja yang lebih kondusif, termasuk menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang sempurna, seperti bilik sembahyang yang besesuaian bagi pekerja-pekerja beragama Islam, serta menawarkan gaji dan insentif-insentif yang lebih menarik.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: