Posting mengikut label

Wednesday, March 13, 2013

Kes Jenayah Siber, penyebaran berita palsu : Perlu diambil tindakan undang-undang


Oleh: Ak. Haji Waliyuddin Pg. Haji Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 Mac. - Jenayah siber dan penyebaran kes-kes berita palsu telah meningkat dan semakin berleluasa di Negara Brunei Darussalam.

Kedua-dua perkara ini telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Dayang Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Musim Kesembilan, pagi ini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan dan menyuarakan rasa kebimbangannya mengenai peningkatan kes-kes jenayah siber yang melibatkan kanak-kanak itu.

Hasil dari laporan yang diterima, jenayah siber di Brunei telah meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun 2010, dan 20 peratus lagi pada tahun 2011. Sehingga kini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah melaporkan sebanyak 2,000 kes jenayah melalui internet yang melibatkan kanak-kanak seperti kes kanak-kanak diperkosa, kes rogol dan kes pembulian alam siber.

Begitu juga dengan berleluasanya kes-kes mengenai penyebaran berita-berita palsu melalui rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter dan juga Whatsapp.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat bersyukur kerana pihak kerajaan ada mempunyai Syarikat ATPSS yang bertujuan untuk mengawasi dan menyediakan Skim Tindakan Kecemasan Komputer (Computer Emergency Respond Scheme) bagi menangani serangan yang dilakukan melalui internet.

Namun, Yang Berhormat juga mendapati bahawa kerja pihak polis dalam menangani jenayah-jenayah tersebut untuk dihadapkan ke mahkamah masih tidak begitu ketara.

"Alhamdulillah, baru-baru ini 'final court' telah pun siap dipinda yang mengambil kira pendakwaan berhubung dengan kes-kes yang dilakukan oleh alat-alat teknologi. Jadinya kuasa telah diberikan sekarang, diharap PDB meningkatkan penguasaannya supaya ia dapat dihadapkan ke mahkamah terutamanya dari segi kemahiran mereka apabila menjadi saksi di mahkamah dan juga kemahiran mereka, apabila mengendalikan bahan-bahan bukti," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menjelaskan lagi, dengan tindakan undang-undang sajalah yang dapat mendisiplin para pengguna media-media teknologi kerana kita tidak mahu suatu hari nanti pihak kerajaan mengambil cara yang lebih mudah dengan menyekat kebebasan para pengguna internet untuk membanteras jenayah siber.

Selain itu, Yang Berhormat turut meluahkan rasa kekecewaan dengan menyatakan terdapat anggota-anggota PDB tidak melakukan rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan pusat membeli-belah ataupun kawasan orang ramai.

Beliau seterusnya menyarankan PDB untuk sentiasa melibatkan diri mereka ke kawasan-kawasan tersebut.

Bagi mengulas masalah-masalah tersebut, Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menjelaskan perkara-perkara tersebut akan diambil perhatian agar rondaan dan pemantauan dapat dijalankan selalu pada waktu-waktu tertentu.

"PDB secara berterusan membuat perancangan untuk memperbaiki lagi kekerapan rondaan dan meningkatkan 'respons time' dengan menambah keanggotaan dan kereta peronda polis. Ini adalah untuk meningkatkan lagi 'police visibility' di seluruh kawasan termasuk di mukim-mukim dan kampung-kampung," jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat Menteri Kewangan II (Kedua) di JPM turut menjelaskan bahawa PDB juga berterusan meningkatkan program latihan pembangunan kapasiti dan keupayaan anggota-anggotanya dan menggunakan peralatan-peralatan terkini seperti penggunaan infokomunikasi dan teknologi sebagai usaha meningkatkan keupayaannya.

Sementara itu, Yang Berhormat Awang Haji Ramlee bin Haji Lahit telah mengemukakan cadangan untuk PDB agar anggota-anggota polis membuat rondaan dengan berpakaian seperti orang awam dan berada di pusat-pusat membeli-belah, tempat orang awam dan tempat yang mencurigakan. Kerana secara psikologinya, penjenayah juga memikirkan bahawa orang awam itu adalah anggota polis.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: