Posting mengikut label

Monday, March 11, 2013

Brunei sambut Hari Wanita Antarabangsa 2013 : Perkembangan wanita Brunei membanggakan


Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Mac. – Perjuangan hak dan perlindungan kaum wanita setentunya merentasi generasi dan sempadan serta meliputi pelbagai bidang yang saling berkait rapat.

Negara kita telah mencapai tahap pembangunan kaum wanita yang amat membanggakan sehingga dapat menandingi dan malah mengatasi pencapaian kaum lelaki dalam beberapa aspek.

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman menjelaskan demikian semasa berucap selaku tetamu kehormat merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2013 berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

Yang Mulia Datin Paduka berkata, wanita negara kita hari ini bukan sahaja terlibat aktif dalam proses perlaksanaan sebarang projek dan program, malah menjadi penyumbang yang efektif dalam proses perancangan, pentadbiran dan pengurusan.

Mereka juga jelasnya telah berjaya menembusi bidang kerjaya yang pada tradisinya didominasi oleh kaum lelaki seperti ketenteraan, kejuruteraan dan kesukanan.

Namun dalam meraikan kejayaan dan perkembangan kaum wanita, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menegaskan agar kaum wanita tidak alpa terhadap segelintir yang masih menjadi mangsa keganasan dan penindasan.

"Kita seharusnya meneruskan usaha gigih kita untuk menghapuskan semua jenis keganasan terhadap wanita dan memperkasa kaum wanita untuk terus berwaspada terhadap ancaman-ancaman yang boleh menggugat pencapaian yang telah kita raih sejauh ini," tambah Yang Mulia Datin Paduka.

Menyentuh mengenai tema sambutan Hari Antarabangsa Wanita yang dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk tahun ini iaitu 'A Promise is a Promise: Time for Action to End Violence Against Women' ataupun 'Janji Tetap Janji: Masa Untuk Menghentikan Keganasan Terhadap Wanita', Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyeru semua pihak yang berkepentingan untuk mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam memperkasa kaum wanita agar mereka sendiri dapat menyelesaikan permasalahan dan berkeupayaan untuk mengatasi segala cabaran dan rintangan yang mereka hadapi.

"Seorang wanita yang menyedari kelemahan diri sendiri dan ingin berusaha untuk memperbaikinya untuk meningkatkan potensi diri adalah seorang wanita yang hebat dan berwibawa tinggi. Jadilah wanita itu hari ini," ujarnya.

Majlis diisikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Awang Isham bin Awang Ismail dari Pusat Da'wah Islamiah yang menyentuh mengenai salah satu langkah yang boleh memberikan kesan yang positif terhadap kaum wanita agar mereka mengenali potensi yang ada pada diri mereka, memperbaiki kelemahan dan memanfaatkan kekuatan diri yang wujud secara semula jadi dalam diri mereka tanpa disedari.

Hari Wanita Antarabangsa diraikan pada setiap 8 Mac dengan sambutan tahunan diadakan secara global di kebanyakan negara di mana Negara Brunei Darussalam membawakan tema yang bertajuk 'Agenda Gender: Mencapai Momentum'.

Antara tujuan utama sambutan ialah untuk menghargai kemajuan dan pencapaian wanita dan seterusnya meningkatkan kesedaran mengenai peri mustahaknya ekuiti gender dalam semua aspek kehidupan.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: