Posting mengikut label

Saturday, March 9, 2013

Titah KDYMM sempena pembukaan MMN ke-9



TITAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesembilan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Jalan Dewan Majlis pada hari Khamis 7 Mac 2013 bersamaan 25 Rabiulakhir 1434.

Martabatkan Majlis Mesyuarat Negara selaku institusi yang dihormati

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil'alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

ALHAMDULILLAH, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan Izin-Nya jua Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Kesembilan Majlis Mesyuarat Negara dapat diadakan pada hari ini.

Sewajarnyalah kita wajib bersyukur kerana Allah telah menjadikan Negara kita Brunei Darussalam kekal aman dan makmur, serta rakyat dan penduduk pula menikmati kehidupan yang selesa. Namun kita tidak boleh bersikap ambil ringan atau cepat berpuas hati, (complacent) dalam usaha kita memelihara keamanan dan mengekalkan kemakmuran.

Lebih-lebih lagi sejak lima tahun kebelakangan ini, dunia kita terus dibayangi oleh pergolakan ekonomi global yang dikhuatiri mungkin dapat menjejaskan kehidupan rakyat dan penduduk, walaupun pihak Tabung Kewangan Antarabangsa IMF pada akhir-akhir ini telah melahirkan sentimen lebih positif terhadap situasi ekonomi dunia. Namun pada pengamatan beta kedudukan fiskal sistem kewangan dan ekonomi di beberapa buah negara utama dunia masih saja terus bermasalah, masih terus teruji.

Dengan sebab inilah, Kerajaan Beta berhasrat untuk meneruskan dan melipatgandakan lagi usaha-usaha mengukuhkan ekonomi dan pertumbuhannya. Sebagai salah satu keperluan utama lalah pengembangan perniagaan dan perdagangan serta menarik lebih banyak lagi pelaburan asing. Kita juga akan terus mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif, industri huluan dan hiliran sector minyak dan gas juga akan terus dimantapkan selaku penyumbang utama ekonomi kita. Begitu juga untuk tujuan menggalakkan pelaburan dalam Negara, beta telah memperkenankan bagi Cukai Harta Pusaka (Estate Duty) ditiadakan mulai I Januari 2013, ini termasuk juga mana-mana cukai harta pusaka yang masih tertunggak akan turut dihapuskan dari kira-kira.

Manakala kemajuan sektor swasta yang bukan minyak dan gas akan terus dipermudahkan sebagaimana berjalan sekarang. Sementara sumbangan sektor Kerajaan pula akan diteruskan terutama dalam bentuk pembinaan prasarana-prasarana utama. Peruntukan kewangan sebanyak $6.5 bilion dalam RKN Kesepuluh adalah merupakan komitmen yang sangat besar daripada Kerajaan beta untuk membiayai pelbagai projek pembangunan negara. Semua ini perlu mendapat perhatian yang serius daripada sekalian Ahli MMN terutama Ahli-Ahli Yang Dilantik, mereka itu perlu untuk memberikan pandangan sebanyak yang mungkin.

Adalah tidak memadai setakat banyak bertanya sahaja tanpa memberikan pandangan, begitu juga tidak memadai setakat menyebut-nyebut jumlah peruntukan yang besar tanpa melihat apa dan bagaimana ia digunakan dengan berkesan. Ini semua tidak dapat disangkal lagi adalah memerlukan pandangan dan buah fikiran daripada ahli-ahli. Kita percaya ahli-ahli terutama mereka yang dilantik tentu saja sudah maklum atau mengetahui bidang-bidang yang dimajukan di dalam perancangan Kerajaan.

Maka bersabit itu tidakkah tepat pada masanya untuk mereka itu mesti sama-sama memberikan pandangan. Berikanlah pandangan misalnya bagaimanakah cara untuk meningkatkan lagi pendidikan, memperbaiki taraf kesihatan, mengatasi pengangguran, memajukan pelaburan, pelancungan, pertanian, perikanan dan alam sekitar.

Di dalam bidang-bidang ugama dan undang-undang pula diperlukan juga pandangan dan buah fikiran bagaimana cara, umpamanya untuk memperkemas serta melicinkan lagi pelaksanaannya. Begitu juga di bidang sosial, bagaimanakah cara yang berkesan untuk mengatasi dan mengubati penyakit jenayah dan lain-lain penyakit moral.

Pendeknya bidang-bidang ini adalah sangat luas dan terbuka untuk disebut dan dibincangkan. Jika ada respons baik dan hangat daripada ahli-ahli mengenainya maka barulah ada makna kita bersidang. Pada hemat beta, inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Mereka ingin untuk mendengarnya, mereka suka untuk tahu apa dia perkembangannya di dalam negara melalui projek-projek Kerajaan yang telah dan sedang berjalan. Adalah tidak memadai dengan cuma menyebut RKN Kesepuluh dengan peruntukan yang begitu besar tanpa memberikan gambaran apa dia projek-projek yang diungkayahkan itu dan bagaimana ia berjalan.

Pada hemat beta, inilah dia tanggungjawab besar Ahli-Ahli MMN selaku pemimpin akar umbi, mereka berkewajipan untuk mengetahui selengkapnya semua inisiatif Kerajaan baik yang telah mahupun yang sedang dilaksanakan meliputi semua aspek dan bidang ugama, ekonomi, pendidikan infrastruktur dan mentaliti, keselamatan dan sosial.

Dengan cara ini, Ahli-Ahli MMN barulah akan dapat dianggap telah memartabatkan Majlis ini selaku institusi yang dihormati. Selaku forum perbincangan ia diharapkan mampu untuk menghindari perkara-perkara remeh-temeh dan sebaliknya mengutamakan perkara-perkara besar untuk kebaikan semua lapisan rakyat dan negara. Akhirnya beta berharap MMN Kesembilan ini akan dapat= berlangsung dengan licin dan sempurna serta mampu mencapai objektifnya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamuhlaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: